Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IF475

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, bolehkah seseorang mempercepatkan bayaran zakat walaupun masih belum cukup haulnya disebabkan oleh kemaslahatan seperti situasi yang sangat memerlukan oleh golongan asnaf?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, secara asasnya diwajibkan membayar zakat apabila telah cukup nisabnya dan sampai tempoh haul (setahun qamari). Oleh itu, syarat-syarat wajib zakat ialah:

  • Islam, tidak wajib zakat ke atas orang yang kafir.
  • Cukup nisab yang ditetapkan, iaitu sejumlah harta yang mencapai nilai yang diwajibkan untuk mengeluarkan zakat.
  • Cukup haul (setahun qamari), iaitu genap setahun harta tersebut berada dalam simpanannya. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji fi Fiqh al-Syafie, 2:8)

Ini juga berdasarkan kepada hadith Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Saidina Ali Ibn Abi Talib RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: Tidak wajib zakat harta sehingga berlalu waktu setahun qamari.

Riwayat Abu Daud (1573) dan Ibn Majah (1789)

Dengan ini, difahami bahawa jika sekiranya harta tidak cukup haul, maka sepatutnya harta tersebut masih tidak diwajibkan zakat. Namun, persoalan yang timbul adalah, adakah dibolehkan untuk disegerakan pembayaran zakat sebelum sampai tempoh haul disebabkan oleh beberapa kemaslahatan contohnya, keadaan yang mendesak dan memerlukan oleh golongan asnaf?

Telah berlaku dalam kalangan ulama’ berkaitan perkara ini. Jumhur ulama’ berpandangan bahawa harus untuk menyegerakan pembayaran zakat sebelum sampai haul, terutamanya jika wujud kemaslahatan apabila melakukan demikian seperti keperluan yang mendesak dan memerlukan daripada golongan asnaf.

Mereka bersandarkan kepada hadith dimana Rasulullah SAW memberikan rukhsah kepada bapa saudaranya, Saidina ‘Abbas untuk menyegerakan pembayaran zakat sebelum sampainya haul. Hadith tersebut adalah seperti berikut:

فعَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ الْعَبَّاسَ سَأَلَ النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ في تعجيلِ صَدَقَته قبل أنْ تَحُلَّ، فرَخَّصَ في ذلك

Maksudnya: Daripada Saidina Ali RA, bahawa Saidina ‘Abbas bertanya kepada Nabi SAW untuk menyegerakan pembayaran zakatnya sebelum tiba haul, maka Rasulullah SAW telah memberikan rukshah terhadap perkara tersebut.

Hadith riwayat Abu Daud: (1624)

Ini juga seperti yang dinyatakan di dalam kitab fiqh, seperti yang disebut dalam kitab Nihayatul al-Muhjat Syarh al-Minhaj:

يجوز تعجيلها في المال الحولي قبل تمام الحول فيما انعقد حوله ووجد النصاب فيه؛ لأنه صلى الله عليه وسلم أرخص في التعجيل للعباس

Maksudnya: Harus hukumnya untuk menyegerakan zakat pada harta yang diwajibkan zakat sebelum sempurnanya haul apa yang sampai pada haulnya dan wujud nisab padanya. Ini kerana Rasulullah SAW telah memberikan rukhsah untuk menyegerakan pembayaran zakat ini kepada Saidina ‘Abbas RA. (Rujuk Nihayatul Muhtaj Syarh al-Minhaj, 3:141)

Hal yang sama seperti apa yang disimpulkan oleh Ibn al-Qudamah di dalam kitabnya, al-Mughni, bahawa:

وجملته أنه متى وجد سبب وجوب الزكاة وهو النصاب الكامل جاز تقديم الزكاة

Maksudnya: Secara kesimpulannya, apabila terdapat sebab yang utama mewajibkan zakat iaitu cukup nisab dengan sempurna, maka harus untuk mempercepatkan bayaran zakat. (Rujuk al-Mughni Li Ibn Qudamah, 2:499)

Walau bagaimanapun, para ulama’ telah menetapkan syarat-syarat tertentu bagi tujuan menyegerakan pembayaran zakat sebelum tiba haul. Syarat-syarat tersebut ialah [1]:

  • Hendaklah memiliki nisab yang mencukupi dalam pemilikan pembayar zakat ketika dia ingin untuk menyegerakan pembayaran zakat. Tidak sah pembayaran zakatnya jika sekiranya dia tidak memiliki nisab.

ولا يجوز تعجيل الزكاة قبل ملك النصاب بغير خلاف علمناه

Maksudnya: Tidak boleh untuk menyegerakan zakat sebelum daripada memiliki nisab yang mencukupi tanpa sebarang khilaf menurut apa yang kami ketahui. (Rujuk al-Mughni Li Ibn al-Qudamah, 4:80)

  • Hendaklah dia menyegerakan zakatnya untuk tempoh satu tahun sahaja, dan tidak boleh untuk dia membayar zakat bagi tahun-tahun mendatang lebih daripada satu tahun. Hal ini kerana tahun kedua masih belum bermula dan ini bermakna dia mengeluarkan zakat sebelum memiliki nisab seperti di dalam syarat yang pertama.
  • Disyaratkan juga bagi sahnya untuk menyegerakan zakat adalah wujud nisab yang mencukupi tersebut sehinggalah ke akhir haul. Jika sekiranya hartanya musnah atau dia menjualnya, maka bayaran yang dibayar sebelum itu tidak dikira sebagai zakat.
  • Hendaklah orang yang menerima zakat yang dibayarkan tersebut merupakan golongan asnaf yang layak menerima zakat setelah berakhirnya haul. Jika sekiranya dia menjadi kaya atau sudah tidak menjadi asnaf setelah berakhirnya haul, maka bayaran yang dibayar sebelum itu tidak dikira sebagai zakat.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum menyegerakan pembayaran zakat sebelum sempurna haul adalah harus dan sah. Hal berdasarkan kepada pendapat jumhur ulama’ dengan mengikut kepada dhawabit dan syarat-syarat yang telah disebutkan di atas.

Oleh itu, kami berpandangan jika sekiranya wujud kemaslahatan bagi golongan asnaf seperti keadaan yang mendesak dan, maka dibolehkan bagi pembayar-pembayar zakat untuk menyegerakan pembayaran zakat mereka tanpa perlu menunggu cukup haul. Ini adalah salah satu inisiatif yang boleh untuk dihulurkan kepada golongan asnaf bagi meringankan beban mereka dan amal kebajikan yang akan diganjari dengan pahala yang besar di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللَّـهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.

(Surah al-Baqarah: 110)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.

Rujukan

[1]       https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=2974#.Xni2BkAzbMy