Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

if481 compressed

Kredit gambar: Bernama

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Bagaimana cara bersuci dan solat, jika sekiranya terpaksa, bagi seorang petugas Covid-19 yang memakai Personal Protection Equipment (PPE) selama 12 jam tanpa boleh dibuka, contohnya dari pukul 9 pagi hingga 9 malam?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

 

Hukum tayammum di atas PPE

Melakukan tayammum di atas PPE adalah dibenarkan mengikut sebahagian ulama Syafieyyah, dikiaskan dengan hukum sapuan tayammum di atas jabirah (pembalut luka). Pendapat yang muktamad ialah seseorang yang tidak boleh bersuci dengan air atau debu tanah maka dia berada dalam keadaan faqid al-tohurain (ketiadaan dua alat untuk bersuci). Maka hukumnya ialah dia tetap wajib untuk solat lima waktu dan hendaklah melaksanakannya tanpa wuduk dan tayammum kerana dia berada dalam keadaan keuzuran, dan solatnya itu dianggap sah tetapi perlu diqadha’.

Berkata Imam al-Nawawi:

“Jikalau pembalut itu berada di atas tempat (anggota) tayammum, maka tidak untuk menyapunya dengan debu tanah berdasarkan pendapat yang asah.”

Rujuk Raudhah al-Tolibin (1/105)

Manakala dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (2/327), beliau menyebut:

“Dan adapun melakukan tayammum, beserta membasuh anggota yang sihat, dam menyapu pembalut dengan air, maka pada kes ini ada dua toriq (jalan dalam kalangan ulama); pendapat yang asah antara kedua-dunya, lagi lebih masyhur, dan diputuskan oleh majoriti ulama, bahawa di sana terdapat dua qoul (Imam al-Syafie); qoul yang lebih asah di sisi majoriti ialah hukumnya adalah wajib, seperti mana yang dinaskan di dalam al-Umm, al-Buwaiti, dan (al-Hawi) al-Kabir. Qoul yang kedua bahawa hukumnya tidak wajib. Inilah yang dinaskan dalam pendapat yang lama (al-qodim), yang zahir dalam al-Mukhtasar, dan disahihkan oleh Syeikh Abu Jamid, al-Jurjani, dan al-Ruyani dalam al-Hilyah. Berkata al-Abdari: Inilah pendapat yang dipegang oleh Imam Ahmad dan sekalian fuqaha’. Manakala jalan kedua, diceritakan oleh ulama-ulama (Syafieyyah) Khurasan, dan disahihkan oleh al-Mutawalli, bahawa sekiranya di bahagian bawah pembalut itu ada ilat, yang tidak dapat dibasuh apabila didedahkan, maka wajiblah tayammum, sama seperti luka. Namun, jika boleh dibasuh apabila didedahkan maka tidak wajib untuk tayammum, sama seperti hukum orang yang memakai khuf. Pengarang (Imam al-Syirazi) tela menyebutkan dalil dua-dua qoul, maka pendapat mazhab ialah hukumnya adalah wajib.

Apabila kita mewajibkan tayammum, sekiranya pembalut itu berada di atas anggota tayammum, maka terdapat dua wajah (pandangan); seperti mana yang dihikayatkan oleh Syeikh Abu Muhammad dan anaknya, Imam al-Haramain, al-Ghazali dan ulama selain mereka; pendapat pertama ialah wajib menyapu pembalut itu dengan debu, seperti mana wajib menyapunya dengan air. Manakala pendapat yang lebih sahih di sisi Ashab, dan diputuskan oleh al-Mawardi, al-Baghawi , dan lain-lain, bahawa tidak wajib menyapunya dengan debu, tetapi disapu selainnya. Ini kerana debu tanah itu sifatnya lemah maka ia tidak memberi kesan (apabila disabu) atas ha’il (perkara yang menghalang pada kulit), berbeza dengan sapuan dengan air. Sesungguhnya air memberi kesan apabila disapu di atas penghalang, seperti mana yang berlaku dalam kes khuf. Berdasarkan perkara ini, maka (hukum tayammum  itu adalah) disunatkan, itulah yang disebut oleh al-Darimi dan selainnya, bagi tujuan keluar daripada khilaf.”

Berkata Imam Syihabuddin al-Ramli:

“[Beliau ditanya] perihal seseorang yang tertutup sekalian anggota tayammumnya dengan pembalut; adakah dia perlu bertayammum atau solat seperti orang yang ketiadaan dua alat bersuci, kemudian dia ulang balik solat itu? [Maka dijawab] bahawa sesungguhnya dia tidak diwajibkan untuk bertayammum dan hendaklah dia solat seperti solat orang yang ketiadaan dua alat untuk bersuci, kemudian dia ulang balik solat itu (apabila hilang uzur – pent.), akan tetapi sunat baginya untuk bertayammum, supaya keluar daripada khilaf para ulama yang mewajibkannya.”

Rujuk Fatawa al-Ramli (1/93)

Berkata Syeikh Ahmad Salamah al-Qolyubi:

“Sekiranya penggunaan air itu terhalang pada sebahagian wajah, atau sebahagian daripada dua tangan, atau sebahagian daripada dua anggota tadi, tambahkan sapuan tayammum untuk kali ketiga. Wajib menyapu kawasan yang ilat dengan debu tanah secara keseluruhan jika tidak ada penutup. Sunat menyapu jika ada penutup. Jika ilat itu bersifat menyeluruh pada anggota wuduk, atau anggota tayammum, dan (dalam masa yang sama) pembalut menutup semua anggota tayammum, maka gugurlah (kewajiban) sapuan (dengan air) dan tayammum, sama seperti kes basuhan, seperti mana yang disebutkan dalam al-Kifayah: “Sesungguhnya debu tanah itu lemah, tidak memberi kesan apabila dilakukan ke atas penghalang. Maka seseorang itu hendaklah solat seperti faqid al-tohurain dan nanti mengulang semula solatnya.” Sebahagian ulama mewajibkan sapuan dalam kes ini, katanya: Jika (ilat) itu menyeluruh pada semua anggota wuduk, wajib (juga) wuduk, dengan cara sapuan. Sebahagian mereka mewajibkan tayammum (sahaja) di atas pembalut, manakala bahagian yang dibalut untuk tujuan menyokong tetapi masih sihat, wajib itu disapu (air), dan untuk tayammum, seperti mana yang engkau maklum. Sebahagian ulama berkata sunat sahaja tayammum di sini dan tidak wajib.”

Rujuk Hasyiata Qolyubi wa Umairah (1/98)

Solat dengan tayammum yang dilakukan di atas PPE tidak perlu diulang semula

Ini pendapat yang dipegang oleh Imam al-Nawawi dan Imam al-Muzani dalam kes faqid al-tohurain. Ini juga merupakan pendapat dalam mazhab Imam Ahmad bin Hanbal. Ini berbeza dengan apa yang disebutkan dalam qoul jadid, seperti mana yang dinaskan oleh Imam al-Syafie:

“al-Syafie lebih menyukai agar seseorang itu mengulang semula (solat) apabila dia mampu mendapatkan wuduk atau bertayammum, kerana sesungguhnya dia sebelum ini tidak solat dengan wuduk menggunakan air dan tidak pula bertayammum. Sesungguhnya hanya sanya Allah Taala menjadikan tayammum itu sebagai pengganti kepada air. Apabila seseorang itu tidak sampai kepada anggotanya air atau debu maka apabila dia mampu kelak hendaklah dia mengulanginya. Inilah perkara yang aku putus selepas beristikharah kepada Allah tentangnya.”

Rujuk al-Umm (1/60)

Sebahagian daripada rujukan berkenaan pendapat muktamad ini telah kami sebutkan di atas.

Berkenaan pendapat yang tidak perlu mengulangi solat itu, al-Nawawi menyebutkannya setelah membahaskan hadis berikut. Daripada Aisyah R.Anha, Ummul Mukminin:

أَنَّهَا اسْتَعَارَتْ مِنْ أَسْمَاءَ قِلَادَةً فَهَلَكَتْ، فَأَرْسَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِهِ فِي طَلَبِهَا، فَأَدْرَكَتْهُمُ الصَّلَاةُ، فَصَلَّوْا بِغَيْرِ وُضُوءٍ، فَلَمَّا أَتَوُا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَكَوْا ذَلِكَ إِلَيْهِ، فَنَزَلَتْ آيَةُ التَّيَمُّمِ فَقَالَ أُسَيْدُ بْنُ حُضَيْرٍ: جَزَاكِ اللهُ خَيْرًا، فَوَاللهِ مَا نَزَلَ بِكِ أَمْرٌ قَطُّ، إِلَّا جَعَلَ اللهُ لَكِ مِنْهُ مَخْرَجًا وَجَعَلَ لِلْمُسْلِمِينَ فِيهِ بَرَكَةً

“bahawa beliau telah meminjam daripada (kakaknya) Asma` sekalung rantai dan ia telah hilang. Rasulullah ﷺ telah menghantar beberapa sahabat untuk mencarinya, sehinggalah masuk waktu solat. Mereka telah solat tanpa berwuduk (kerana tidak memperolehi air). Apabila mereka berjumpa Nabi ﷺ, mereka adukan hal itu lantas turunlah ayat tayammum. Berkata Usaid bin Hudhoir kepada Aisyah: Semoga Allah berikan ganjaran baik kepada anda. Demi Allah! Tidak turun disebabkan anda suatu wahyu, melainkan Allah telah menjadikan padanya kerana anda suatu jalan keluar, dan menjadikan untuk kaum Muslim pada wahyu itu ada keberkatan!.”

Riwayat al-Bukhari (3773) dan Muslim (367)

Al-Nawawi berkata:

"Dalam hadis ini ada dalil bahawa menjadi tanggungjawab seseorang yang kehilangan air dan debu hendaklah dia solat dalam keadaan begitu. Ini merupakan isu yang mengandungi perbezaan pendapat di sisi ulama Salaf dan Khalaf. Di sisi al-Syafie sendiri terdapat empat qoul.

  • Qoul yang lebih sahih di sisi Ashab kami ialah hukumnya adalah wajib untuk solat dan wajib jua untuk mengulangi solat tadi. Tentang kewajiban solat, ini berdasarkan sabda Baginda ﷺ:

فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Apabila aku memerintahkan kalian dengan suatu arahan maka hendaklah kalian melakukakannya sekadar kemampuan kalian.”

Riwayat al-Bukhari (7288)

Tentang kewajiban qadha’, sesungguhnya masalah itu adalah keuzuran yang jarang berlaku maka jadilah hukumnya sama dengan kes seseorang yang lupa membasuh salah satu anggota taharahnya (seperti wuduk dan tayammum) lalu melaksanakan solat sebegitu. Maka semestinya dia wajib mengulangi kembali solatnya.

  • Qoul kedua ialah dia tidak wajib solat tetapi sunat sahaja dan wajib dia mengulangi kembali, sama ada tadi dia solat ataupun tidak.
  • Qoul ketiga ialah dia haram untuk solat kerana keadaannya sebagai orang yang berhadas dan wajib dia ulang semula.
  • Qoul keempat ialah dia wajib solat dan tidak wajib ulang. Inilah pendapat al-Muzaniyy, yang merupakan qoul paling kuat daripada sudut dalil, dan disokong dengan hadis (Aisyah R.Anha) ini, dan hadis-hadis yang serupa. Sesungguhnya tidak dinaqalkan daripada Nabi suatu kewajiban untuk mengulangi solat dalam kes seumpama ini. Pendapat yang terpilih (di sisiku) ialah bahawa kewajiban qadha’ itu mesti berdasarkan perintah yang baharu (bukan semata-mata berdasarkan perintah pertama – pent.), sedangkan tidak sabit arahan (baharu) justeru qadha’ itu tidak wajib. Inilah pendapat al-Muzaniyy terhadap setiap solat yang wajib dilakukan pada waktunya tetapi dilaksanakan dalam keadaan terdapat kecacatan tidak perlu diulang semula.

Rujuk al-Minhaj Syarh Muslim (4/60)

Antara hadis yang serupa ialah hadis daripada Aisyah R.anha:

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Perkara itu (yakni haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kita (kaum wanita). Maka kita diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid).”

Riwayat Muslim (335)

Berkata Imam al-Nawawi lagi: “Sesungguhnya solat itu banyak dan berulang-ulang maka akan menyusahkan wanita untuk menggantikannya, berbeza dengan puasa, yang diwajibkan dalam setahun itu sekali sahaja, dan mungkin seseorang wanita itu haid hanya satu atau dua hari sahaja. Berkata ashab kami (ulama Syafieyyah) setiap solat yang luput pada zaman haid tidak diqadhakan melainkan dua rakaat (solat sunat) tawaf…dan sesungguhnya kewajiban qadha’ itu mesti dengan perintah yang baharu”

Rujuk Syarh Sahih Muslim (4/26)

Para ulama usul dalam kalangan Syafieyyah menghuraikan kaedah yang disebut oleh al-Nawawi. Berkata Imam al-Isnawi:

“Kaedah yang diringkas dalam al-Mahsul, al-Hasil dan al-Tahsil (oleh al-Razi), dan selainnya, bahawa hukum qadha’ itu hanya sanya wajib apabil ada perintah yang baharu. Apabila Pembuat Syariat memerintahkan dengan suatu ibadah dan tidak memerintahkan qadha’ baginya, lalu seseorang (mukallaf) itu menunaikannya maka ibadah tadi dihukumkan sebagai telah dilaksanakan dengan sempurna. Ini disertai dengan fakta bahawa qadha’ ketika itu tidak wajib kerana tidak ada perkara yang mewajibkannya, yakni perintah yang baharu.”

Rujuk Nihayah al-Sul oleh al-Isnawi (hlm. 30); al-Mahsul (2/246) oleh Imam Fakhruddin al-Razi

Dalam konteks pemakaian PPR oleh petugas perubatan semasa wabak Covid-19 masih berlaku dan tidak tahu bila tamat, mungkin memakan masa berbulan-bulan -na`udzubillah min dzalik – adalah munasabah untuk mengatakan bahawa keuzuran ini bukanlah suatu yang masing lagi bersifat jarang-jarang dan memerlukan rukhsah yang lebih menepati prinsip kaedah al-masyaqqah tajlib al-taysir (kesukaran mendatangkan kemudahan), al-dhorurat tubih al-mahzurat (keadaan-keadaan darurat mengharuskan perkara yang dilarang) dan al-dhorurat tuqaddar bi qodariha (keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara yang dilarang sekadar kadar darurat itu). Justeru, apabila berlaku kesukaran yang berpanjangan untuk menggantikan solat, maka dibenarkan untuk petugas kesihatan yang perlu memakai PPE dalam tempoh masa yang terlalu lama untuk solat dalam keadaan sebegitu dan tidak perlu qadha’.

 

Adakah dibenarkan solat jamak dengan satu tayammum?

Sekiranya kita berpegang bahawa tayammum itu diwajibkan bagi petugas kesihatan Covid-19 yang perlu memakai PPE, maka diwajibkan jua untuk mengulangi tayammum bagi setiap solat fardhu. Syeikh Muhamamd al-Zuhaili menyebut dalam al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/106):

“Tidak diharuskan untuk orang yang bertayammum solat dengan satu tayammum bagi banyak kefarduan, kerana tayammum ialah penyucian yang bersifat darurat maka tidak boleh solat dengannya untuk dua solat fardhu, yang bersifat fardhu air, berdasarkan ucapan Ibn Umar R.anhuma:

يَتَيَمَّمُ لِكُلِّ صَلَاةٍ وَإِن لَم يُحْدِثْ

Maksudnya: "Hendaklah bertayammum bagi setiap solat sekalipun tidak berhadas."

Riwayat al-Baihaqi (1/221) dengan sanad yang sahih

Justeru, tidak boleh menjamakkan dua solat fardhu dengan satu tayammum sama ada kedua-duanya pada waktu yang sama atau berlainan, secara qadha’ atau tunai.”

Tambahan lagi, bagi orang solat dalam keadaan faqid al-tohurain, solat jamak yang dibenarkan ialah jamak ta`khir sahaja dan tidak boleh jamak taqdim kerana ada kemungkinan keuzurannya hilang pada waktu kedua, sama seperti wanita berhaid yang keliru dengan haidnya (kes mutahayyirah). Rujuk Hasyiah al-Jamal (1/610) oleh Syeikh Sulaiman al-Jamal. Namun begitu, jika illah keharusan menjamakkan solat bagi petugas Covid-19 adalah kerana sakit, atau seumpama dengan sakit daripada sudut Syarak, termasuk gawat ketakutan yang mengancam Maqasid al-Syariah, maka tidak ada masalah untuk solat jamak taqdim atau ta’khir, seperti mana yang telah kami bahaskan dalam  Irsyad Al-Fatwa Siri Ke 455 : Hukum Solat Jamak Bagi Petugas Covid-19.   Syeikh al-Syirwani dalam Hasyiah terhadap Tuhfatul Muhtaj (1/30,) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami, mengutip perkara Imam Ibn Qasim al-Abbadi yang menyebut:

“Maka sesungguhnya jika bertembung dengan solat fardhu pada waktunya; tindakan menyelamatkan seorang Nabi, atau selain Nabi, daripada kebinasaan, maka ditentukan mendahulukan tindakan menyelamat itu sedangkan ia lebih utama berbanding melaksanakan solat pada waktunya.”

Syarat yang berbeza dikemukakan dalam mazhab Hanbali. Disebut oleh para pengarah al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (14/271):

“Ulama Hanabilah berpendapat bahawa jika seseorang itu bertayammum, dia boleh solat yang hadir pada waktunya, dan solat bagi solat-solat yang luput, juga solat jamak antara dua solat. Dia juga boleh melaksanakan ibadat sunat sebanyak dia kehendaki selagi mana berlangsung waktu. Apabila masuk waktu yang baru maka batallah tayammum dan hendaklah dia perbaharui tayammum itu. Mereka berdalil bahawa tayammum itu sama seperti wuduk orang yang beristihadhah yang batal apabila masuknya waktu yang baharu.”

Justeru, memandangkan bagi petugas kesihatan Covid-19 berada dalam keadaan darurat, dua pilihan tersebut boleh dibuat:

  • Mengikut mazhab Hanbali bahawa solat jamak boleh dilakukan dengan satu tayammum bagi satu waktu.
  • Mengikut pendapat dalam mazhab al-Syafie bahawa tayammum sunat dilakukan dua kali bagi dua kali fardu, kerana solat faqid al-tohurain tidak mewajibkan tayammum di atas pembalut. Jika ditinggalkan salah satu tayammum, maka tidak berdosa dan solatnya sah.

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa cara bersuci dan solat bagi petugas kesihatan Covid-19 yang terpaksa memakai PPE selama 12 jam tanpa boleh dibuka adalah seperti berikut:-

  • Boleh melakukan tayammum[1] di atas PPE dengan syarat masuknya waktu solat, mengambilkira hukum faqid al-tohurain (orang yang tiada air dan debu tanah).
  • Tayammum boleh dilakukan setiap kali masuk waktu solat dan solat seperti biasa kecuali solat Maghrib dan Isyak yang boleh dilakukan secara jamak ta`khir dengan wuduk selepas PPE ditanggalkan, mengambilkira konsep inqadz al-muhtarim min al-halak (menyelamatkan orang yang dimuliakan daripada kebinasaan).
  • Jika keadaan mendesak, boleh melakukan solat jamak taqdim atau jamak ta’khir secara tamam dengan satu tayammum bagi solat Zohor dan Asar[2].
  • Jika sekiranya terdapat waktu rehat di pertengahan syif 12 jam tersebut maka disarankan melakukan solat jamak secara tamam dan berwuduk seperti biasa.

Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada pihak yang bertanya. Semoga Allah ﷻ membantu kita dan menyelamatkan kita daripada wabak yang berbahaya ini. Amin.

 Nota hujung:

[1] Tayammum paling selamat berbanding masah (sapuan air) atas nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

[2] Mengambil pendapat dalam Hanbali.