Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IF483

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-483 BOLEHKAH MENJUAL UBATAN YANG TIDAK MENDAPAT KEIZINAN PIHAK BERKUASA

Soalan

Assalamualaikum. Baru-baru ini viral orang menjual ubat dan petua untuk menyembuhkan penyakit atau virus covid-19. Persoalan saya adakah dibolehkan dalam hukum islam menjual ubat yang dibuat sendiri berdasarkan petua atau pengalaman diri sendiri tanpa perlu mendapat keizinan pihak berkuasa. Setahu saya jual beli adalah diharuskan pada umumnya dan barang yang hendak dijual itu ada kebaikan. Mohon pencerahan daripada pejabat mufti. Sekian terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Islam memuliakan manusia serta menyeru supaya menjaga diri dan akal fikiran. Oleh itu dalam penentuan sesuatu perkara, syariat menetapkan kewajipan dalam menjaga Maqasid al-Syariah iaitu menjaga agama, diri, akal fikiran, nasab keturunan, dan harta.

Bebalik kepada persoalan yang diajukan, menjual ubat tanpa pengesahan pihak berautoriti berkemungkinan boleh menyebabkan kemudharatan terhadap penggunaannya. Oleh itu, terdapat pelbagai nas al-Quran yang melarang serta memerintahkan agar mengelak diri daripada melakukan kerosakan dan kemudharatan terutamanya pada diri dan akalnya. Ini sepertimana Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)

(Surah al-Baqarah, 195)

Imam al-Baghawi menyatakan, menurut satu pandangan (التَّهْلُكَةُ) iaitu termasuk setiap perkara yang mengarahkan kepada kerosakan, serta larangan supaya jangan melakukan perkara tersebut. Selain itu, (التَّهْلُكَةُ) sesuatu perkara yang perlu berwaspada dan berhati-hati daripadanya. (Lihat Tafsir a-Baghawi, 1/215)

Syeikh al-Sa’di menyebut (التَّهْلُكَةُ) adalah perbuatan yang menyebabkan terjadinya kerosakan pada jasad atau ruh. Oleh itu, ianya termasuk dalam pelbagai perkara, di antaranya adalah menjadikan sesuatu perkara sebagai masalah atau kesusahan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/90)

Begitu juga Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ

Maksudnya: dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.

(Surah al-Nisa’, 29)

 Syeik al-Maraghi menyebut ayat di atas menceritakan berkenaan tegahan dan bertujuan memberitahu supaya sekelian umat saling bantu-membantu, bertanggungjawab dan bersatupadu. Selain itu, ayat al-Quran ini memberitahu kita sesungguhnya seseorang itu melakukan jenayah terhadap orang lain, sama seperti ia melakukan jenayah terhadap dirinya dan seluruh sekelian makhluk. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/19)

Ini jelas bahawa melakukan perkara yang memudharatkan ke atas dirinya atau orang lain merupakan perkara yang dilarang oleh syarak. Begitu juga perkara yang akan menjadi sebab berlakunya kerosakan dan kemudharatan, maka ia patut dielakkan.

Ini seperti mana yang hadis yang diriwayatka oleh Ibnu Abbas RA, Sabda Nabi SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh melakukan kemudharatan dan tidak boleh memudharatkan

Riwayat Ibnu Majah (2341)

Imam Suyuti meletakkan hadis ini di dalam bab (الضَّرَرُ يُزَالُ) bermaksud kemudharatan mesti dihilangkan. Katanya, ketahuilah bahawa kaedah ini banyak diguna pakai dalam pelbagai bab di dalam ilmu Fiqh. Ini kerana didatangkan syariat bertujuan untuk menghindarkan sesuatu daripada berlakunya kemudharatan. (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair, 1/84)

Pihak Berautoriti Sebagai Penentu dalam Bidang Perubatan

Peranan kerajaan atau pihak berautoriti dalam menentukan sesuatu perkara supaya tidak mendatangkan kemudharatan kepada umat merupakan perkara yang patut diambil berat oleh masyarakat. Ini kerana mereka merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan dalam mengurus tadbir bagi menghindarkan sesuatu perkara yang buruk berlaku kepada masyarakat.

Justeru, sebagai masyarakat seharusnya mematuhi apa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa demi menjaga kemaslahatan bersama. Dan ini juga merupakan perintah daripada Allah SWT di dalam al-Quran sepertimana Firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu

(Surah al-Nisa’, 59)       

Hal ini kerana, pihak berkuasa mempunyai kelayakan yang khusus di dalam bidang tersebut seperti kementerian kesihatan dan pegawai perubatan dalam mengkaji kandungan ubatan dan sebagainya supaya tidak memberi kemudharatan kepada pengguna.

Ianya bertepatan dengan larangan Allah SWT kepada manusia supaya tidak mengajar atau memberitahu sesuatu perkara yang tidak diketahuinya serta menyerahkan sesuatu perkara kepada ahlinya.

Firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui. 

(Surah al-Nahl, 43)

Selain itu, Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولً

Maksudnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya

(Surah al-Isra’, 36)

Imam al-Syafi’e menyebut, maka wajib bagi sekelian umat bahawa sesungguhnya tidak berkata-kata melainkan sekiranya ia telah mengetahui. Dan sesungguhnya sebahagian bercakap tentang ilmu, namun sekiranya mereka menahan diri (daripada bercakap) berkenaan dengannya maka menahan diri daripada berbicara tentangnya adalah lebih baik dan lebih selamat baginya. (Lihat al-Risalah, 1/34)

Selain itu, Baginda SAW mengingatkan bahawa akan dipertanggungjawabkan kepada sesiapa yang merawat akan tetapi ia tidak mengetahui tentang ilmu perubatan apabila berlakunya sesuatu kemudharatan. Hadis yang diriwayatkan oleh Amr bin Shu’aib RA daripada ayahnya, daripada datuknya, sabda Nabi SAW:

مَنْ تَطَبَّبَ وَلَمْ يُعْلَمْ مِنْهُ طِبٌّ قَبْلَ ذَلِكَ فَهُوَ ضَامِنٌ

Maksudnya: Barang siapa yang mengubati sedangkan ia tidak mengetahui daripadanya ilmu perubatan sebelum itu, maka ia sebagai orang yang dipertanggungjawabkan

Riwayat al-Nasa’i (4830)

Imam al-Munawi menyebut (فَهُوَ ضَامِنٌ) bagi sesiapa yang mengubatinya akan dikenakan diat (pampasan) sekiranya berlaku kematian disebabkan tindakannya (tidak mempunyai ilmu perubatan). Dan bagi sesiapa yang mempunyai ilmu perubatan dan merupakan keahlian dalam bidang perubatan serta berusaha bersungguh-sungguh di dalam mengubatinya maka ia tidak dipertanggungjawabkan ke atasnya sekiranya berlaku kematian (tidak dikenakan pampasan ke atas kematiannya) (Lihat Faid al-Qadir, 6/106)

Selain itu pihak kementerian kesihatan Malaysia melarang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang bagi mereka yang menjual dan memiliki produk yang tidak berdaftar kerana telah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 iaitu:

“Individu atau syarikat yang mengilang, menjual, mengedar, mengimport atau menggunakan ubat-ubatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984”.[1]

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan serta perbahasan yang diberikan dapat kami simpulkan bahawa, menjual ubatan yang tidak mendapat pengesahan pihak yang berautoriti adalah dilarang di sisi syarak dan perundangan Malaysi. Justeru, setiap ubat mestilah mendapat pengesahan daripada pihak yang berautoriti iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ianya bertujuan pemantauan dan pengesahan bahan kandungan di dalamnya supaya tidak memberi kemudharatan kepada manusia.

Selain itu, mengelak daripada terjadinya kerosakan dan kemudharatan merupakan salah satu tujuan menjaga kemaslahatan yang ditetapkan oleh syariat iaitu menjaga diri dan akal fikiran.

Oleh itu, dengan mengikut apa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa merupakan satu kewajipan bagi setiap masyarakat bagi memastikan tidak terjadi kemudharatan di masa akan datang. Ini sepertimana yang disebut di dalam kaedah fiqh:

تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة

Maksudnya: Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.

Dikesempatan ini, kami berpesan agar mematuhi arahan pihak berkuasa serta marilah sama-sama kita berdoa agar Allah SWT menyelamatkan negara kita daripada ancaman wabak ini dengan selamat dan sejahtera.

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.

 

[1] https://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/entri/hukuman.html