Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IF 506 onani

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Wajibkah seseorang itu mandi wajib jika dia sengaja beronani tanpa keluar air mani, walaupun untuk perempuan? Dan sekiranya dia waswas terhadap air atau cecair yang keluar dan mengambil jalan untuk mandi wajib adakah memadai?  Mohon pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya : “(Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka. Melainkan ke atas para isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka, sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka sesiapa yang mencari-cari di sebalik itu mereka merupakan golongan yang melampaui batas.”

(Surah al-Mukminun : 5 - 7)

Para ulama kebanyakannya menyatakan bahawa hukum beronani adalah haram. Imam Syafie ketika mengulas ayat di atas menyatakan bahawa :

فَلَا يَحِلُّ الْعَمَلُ بِالذَّكَرِ إلَّا فِي الزَّوْجَةِ أَوْ فِي مِلْكِ الْيَمِينِ وَلَا يَحِلُّ الِاسْتِمْنَاءُ

Maksudnya : “Tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Dan tidak halal juga perbuatan istimna’ (mengeluarkan air mani).” (Lihat al-Umm, 5/102)

Kami jelaskan terlebih dahulu definisi bagi perkataan onani. Onani ialah perbuatan mengeluarkan mani dengan tangan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1097) Lafaz الاستمناء atau onani itu berasal dari kata terbitan استمنى iaitu usaha mengeluarkan air mani. Manakala dari sudut istilah pula ia membawa maksud mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/97)

Sebab-sebab yang mewajibkan mandi

Antara sebab yang mewajibkan seseorang itu untuk mandi ialah janabah. Makna asal janabah ialah jauh. Janabah juga bermaksud air mani yang terpancut atau persetubuhan. Oleh itu, orang yang junub ialah orang yang tidak suci disebabkan keluarnya air mani atau bersetubuh. Ia dinamakan sebagai junub kerana orang yang berjanabah itu menjauhkan diri daripada mendirikan solat selama mana dia berkeadaan demikian. Perkataan junub digunakan untuk umum, sama ada untuk lelaki atau perempuan, dan sama ada untuk seorang atau ramai.

Dan seseorang itu dianggap sebagai telah berjunub disebabkan oleh dua perkara :

  • Keluar air mani sama ada di kalangan lelaki atau perempuan dengan apa-apa sebab sekalipun sama ada dengan bermimpi, bercumbuan, melihat seseorang dengan berahi atau berkhayal.
  • Bersetubuh sekalipun tidak keluar air mani.

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, Cet. Dar al-Qalam,  1/73-74)

Beronani tetapi tidak keluar air mani

Secara umumnya, perbuatan onani yang mewajibkan pelakunya untuk mandi wajib, diikat dengan syarat keluarnya air mani. Sekiranya air mani tidak keluar disebabkan oleh zakar yang menahannya daripada keluar dan dia tidak mengetahui (atau nampak tanda-tanda) mengenai keluarnya air mani tersebut selepas itu, maka majoriti ulama termasuk mazhab Syafie mengatakan tidak perlu mandi wajib. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/140) 

Begitu juga, turut dinyatakan di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/99) bahawa :

يَجِبُ الْغُسْل عَلَى الْمَرْأَةِ إنْ أَنْزَلَتْ بِالاِسْتِمْنَاءِ بِأَيِّ وَسِيلَةٍ حَصَل

Maksudnya : “Wajib ke atas seorang perempuan yang beronani untuk mandi wajib, sekiranya keluar air mani kerana perbuatan onaninya itu, dengan apa cara sekalipun.”

Oleh itu, difahami daripada kenyataan di atas, sekiranya seseorang perempuan itu beronani tetapi tidak sampai mengeluarkan air mani, maka tidak wajib ke atasnya untuk mandi wajib.

Hal ini juga adalah berdasarkan kepada hadis Aisyah R.Anha, katanya :

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الرَّجُلِ يَجِدُ الْبَلَلَ وَلاَ يَذْكُرُ احْتِلاَمًا قَالَ : يَغْتَسِلُ. وَعَنِ الرَّجُلِ يَرَى أَنَّهُ قَدِ احْتَلَمَ وَلاَ يَجِدُ الْبَلَلَ قَالَ: لاَ غُسْلَ عَلَيْهِ. فَقَالَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ: الْمَرْأَةُ تَرَى ذَلِكَ أَعَلَيْهَا غُسْلٌ قَالَ: نَعَمْ ، النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ

Maksudnya : “Rasulullah SAW telah ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati dirinya basah tetapi dia tidak ingat mimpinya. Rasulullah SAW menjawab: Dia hendaklah mandi. Baginda juga ditanya tentang seorang lelaki yang bermimpi tetapi mendapati dirinya tidak basah. Baginda menjawab: Dia tidak wajib mandi. Kemudian Ummu Sulaim pula bertanya: Jika perempuan bermimpi demikian, adakah dia wajib mandi? Rasulullah SAW menjawab: Ya, kerana perempuan adalah pasangan kepada lelaki.” Riwayat Abu Daud (236)

Berbalik kepada persoalan di atas, seorang perempuan yang beronani hukumnya sama seperti lelaki yang beronani iaitu diwajibkan untuk mandi sekiranya keluar air mani kerana perbuatan onaninya itu, dan sekiranya tidak keluar air mani maka tidak diwajibkan untuk mandi.

Had penentuan keluar air mani (inzal) yang mewajibkan perempuan untuk mandi

Namun, perkara yang mesti diberi perhatian oleh kaum perempuan ialah had penentuan yang menunjukan bahawa telah berlakunya inzal (keluar air mani) yang mewajibkannya untuk mandi. Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi telah menukilkan di dalam kitabnya bahawa :

وَلَوْ أَنْزَلَتْ الْمَرْأَةُ الْمَنِيَّ إلَى فَرْجِهَا فَإِنْ كَانَتْ بِكْرًا لَمْ يَلْزَمْهَا الْغُسْلُ حَتَّى يَخْرُجَ مِنْ فَرْجِهَا لِأَنَّ دَاخِلَ فَرْجِهَا فِي حُكْمِ الْبَاطِنِ وَلِهَذَا لَا يَلْزَمُهَا تَطْهِيرُهُ فِي الِاسْتِنْجَاءِ وَالْغُسْلِ فَأَشْبَهَ إحْلِيلَ الذَّكَرِ وَإِنْ كَانَتْ ثَيِّبًا لَزِمَهَا الْغُسْلُ لِأَنَّهُ يَلْزَمُهَا تَطْهِيرُ دَاخِلِ فَرْجِهَا فِي الِاسْتِنْجَاءِ فَأَشْبَهَ الْعُضْوَ الظَّاهِرَ

Maksudnya : “Jika seorang perempuan itu telah keluar air mani sehingga sampai ke farajnya, maka sekiranya dia seorang anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), tidak wajib ke atasnya untuk mandi sehinggalah air mani tersebut keluar daripada farajnya kerana bahagian dalam farajnya mengambil hukum bahagian anggota dalam (bukan zahir dan nampak). Oleh kerana itu, tidak wajib ke atasnya membersihkan bahagian dalam farajnya ketika beristinja’ dan mandi wajib sepertimana hukum urethra (saluran kencing) zakar. Manakala sekiranya dia seorang thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi kerana diwajibkan juga ke atasnya untuk membasuh bahagian dalam farajnya ketika beristinja’. Maka ia menyerupai hukum anggota zahir (yang nampak).” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/140)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff dan al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi bahawa seorang perempuan itu, tidak wajib untuk mandi melainkan setelah keluar air mani. Bagi anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani telah keluar dari farajnya (melepasinya). Manakala bagi thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi) pula, wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani tersebut telah sampai di tempat yang wajib untuknya basuh ketika beristinja’ (sekalipun masih belum keluar melepasi farajnya), iaitu bahagian yang terzahir (nampak) ketika duduk atas kedua kakinya (duduk bercangkung) atau sewaktu qada’ hajat (buang air). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 114, Mughni al-Muhtaj, 1/214 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/49) Ini juga adalah merupakan pendapat Imam al-Hattab al-Maliki. (Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, 1/307)

Syak atau waswas pada air yang keluar sama ada air mani atau bukan

Terlebih dahulu, kami ingin sebutkan di sini beberapa tanda yang telah disebutkan oleh para ulama yang menunjukan bahawa ia adalah air mani dan wajib ke atas sesiapa yang ada salah satu daripada tanda-tanda ini untuk mandi wajib, tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. Tanda-tandanya ialah :

  • Ia keluar dengan rasa lazat dan kepuasan syahwat.
  • Ia keluar secara memancut.
  • Mempunyai bau seperti tepung yang diuli apabila ia basah atau berbau hanyir seperti bau putih telur jika ia kering.

Walau bagaimanapun, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff juga menegaskan bahawa bukanlah tanda air mani itu mesti bewarna putih atau keluarnya dengan diiringi lembiknya zakar atau rasa lemah. Akan tetapi, ia hanyalah perkara yang menunjukan kebiasaannya begitu. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 116)

Oleh itu, sekiranya perempuan tersebut tidak pasti atau waswas terhadap air yang keluar sama ada air mani atau mazi selepas beronani.  Juga tidak terdapatnya sebarang rasa atau tanda-tanda lain yang menunjukan bahawa air maninya telah pun keluar. Dalam kes ini, perempuan tersebut diberi pilihan sama ada cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani atau air mazi. Sekiranya dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani, maka wajib ke atasnya untuk mandi. Dan sekiranya dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mazi, maka wuduknya telah terbatal dan perlu membasuhnya. Akan tetapi, adalah lebih baik (afdhal) untuk dia menghimpunkan kedua-duanya sekali iaitu mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena air tadi. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 116-117) Pilihan yang ketiga ini lebih selamat dan keluar daripada khilaf.  

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Pertama sekali, kami ingin menegaskan bahawa beronani adalah haram dan boleh membawa kepada kesan-kesan sampingan yang negatif sama ada dari sudut emosi, kekuatan tubuh badan, dan pelbagai kesan yang lain.
  • Seorang perempuan yang beronani diwajibkan ke atasnya untuk mandi wajib sekiranya keluar air mani disebabkan oleh perbuatan onaninya itu. Dan sekiranya tidak keluar air mani maka tidak diwajibkan ke atasnya untuk mandi.
  • Namun, perkara yang mesti diberi perhatian oleh kaum perempuan ialah had penentuan yang menunjukan bahawa telah berlakunya inzal (keluar air mani) yang mewajibkannya untuk mandi. Sekiranya dia seorang anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), tidak wajib ke atasnya untuk mandi sehinggalah air mani tersebut keluar daripada farajnya (melepasinya). Manakala jika dia seorang thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani tersebut telah sampai di tempat yang wajib untuknya basuh ketika beristinja’ (sekalipun masih belum keluar melepasi farajnya), iaitu bahagian yang terzahir (nampak) ketika duduk atas kedua kakinya (duduk bercangkung) atau sewaktu qada’ hajat (buang air).
  • Begitu juga, sekiranya perempuan tersebut tidak pasti atau waswas terhadap air yang keluar sama ada air mani atau air mazi selepas beronani. Juga tidak terdapatnya sebarang rasa atau tanda-tanda lain yang menunjukan bahawa air maninya telah pun keluar. Dalam kes ini, perempuan tersebut diberi pilihan sama ada memilih untuk menganggapnya sebagai air mani atau air mazi. Sekiranya dia memilih untuk menganggapnya sebagai air mani, maka wajib ke atasnya untuk mandi. Dan sekiranya dia memilih untuk menganggapnya sebagai air mazi, maka wuduknya telah terbatal dan perlu membasuhnya. Akan tetapi, adalah lebih baik (afdhal) untuk dia menghimpunkan kedua-duanya sekali iaitu mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena cecair tadi. Pilihan yang ketiga ini lebih selamat dan keluar daripada khilaf.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam mengamalkan kehidupan beragama. Ameen.