Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

if513 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Saya terlihat ada seorang saudara (mungkin dia dari Pakistan agaknya) semasa dia mengambil wuduk, dia menggunakan bekas (gayung @ chebok - panggilan sesetengah tempat). Setelah menyedok air dari kolah, dia letakkan cebok @ gayong tersebut di bingkai/tembok kolah, kemudian dia celupkan tangan ke dalam gayong @ cebok tersebut lalu mengambil air untuk membasuh anggota anggota wuduknya. Dia melakukan perbuatan yang sama untuk semua anggota wuduknya. Soalan saya, adakah perbuatan mengambil air dengan tangan dari sesuatu bekas yang airnya tidak sampai 2 qullah itu dibolehkan? Adakah nas atau dalil yang membolehkannya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Daripada soalan di atas, kita boleh bahagikan isu kepada tiga:

  • Apakah hukum berwuduk daripada air yang tidak cukup dua kolah?
  • Adakah air yang sedikit di dalam gayung berubah kepada air musta`mal kerana tangan dicelup selepas basuhan muka?
  • Bagaimana hukum air basuhan yang terpercik dari anggota wuduk dan yang berbaki pada tangan?

 

Hukum berwuduk dengan air yang tidak cukup dua kolah

Pada asalnya, tidak disyaratkan air mutlak yang digunakan untuk mengangkat hadas, sama ada hadas kecil atau besar, mestilah lebih daripada dua kolah. Hukum penggunaan kadar dua kolah hanyalah merujuk kepada status takungan air, yang dimasuki najis, sama ada berubah menjadi air mutanajjis, yang tidak boleh digunakan untuk bersuci, atau tidak berubah.

Rujuk Al-Kafi #239 : Tangki Air Bercampur Tahi Cicak

Justeru, hukum air mutlak kekal suci dan menyucikan, sekalipun ditakung di dalam bekas yang kecil, tidak cukup dua kolah, selama mana tidak berlaku sesuatu yang menajiskan atau merosakkan tohuriyyah (sifat menyucikan) air itu. Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan perihal air mutlak:

 “Air yang kekal dengan sifat asal yang dicipta oleh Allah ﷻ, sama ada tawar atau masin. Dan air itu tidak berubah dari sifat semulajadinya. Dan bukan air yang telah digunakan untuk berwuduk, mandi wajib atau menghilangkan najis”.

Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e (1/37)

Rujuk juga Al-Kafi #1482 : Bersuci Dengan Air Tadahan Pendingin Hawa & Al-Kafi #1417: Adakah Sah Menggunakan Spray Air Untuk Berwuduk Semasa Di Pejabat

 

Status air di dalam gayung apabila dicelup tangan

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut dalam kitab Minhaj al-Qowim (hlm. 13):

“Seseorang yang berwuduk dengan tangan dimasukkan ke dalam air yang sedikit, selepas dia membasuh muka, tanpa berniat dilakukan untuk mencebok, maka baki air yang sedikit tadi itu berubah menjadi air musta`mal”

Ini pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie. Hal ini berlaku kerana basuhan tangan sehingga ke siku ialah basuhan wajib daripada wuduk, sedangkan membasuh tangan ialah rukun wuduk selepas membasuh muka. Namun, jika seseorang itu mencelupkan tangannya dengan niat mencebok, yakni memindahkan air untuk tujuan berwuduk, maka niat untuk mengangkat hadas telah dinafikan di sini dan baki air yang sedikit itu tidak berubah menjadi air musta`mal.

Hadis berkenaan wuduk dengan celupan daripada bekas air memang sabit. Antaranya ialah hadis Humran, maula Uthman bin `Affan R.Anhuma, bahawa dia pernah melihat Saiyidina Uthman RA memintanya bawakan air untuk berwuduk:

فأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ مِن إِنَائِهِ، فَغَسَلَهُمَا ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الْوَضُوءِ، ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا، وَيَدَيْهِ إِلى الْمِرْفَقَيْنِ ثَلاَثًا، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ، ثُمَّ غَسَلَ كلْتَا رِجْلَيْهِ ثَلاثًا، ثُمَّ قالَ: رَأَيْتُ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هذا، وقَالَ مَن تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هذَا، ثُمَّ صلَّى رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Lalu beliau menuangkan air ke atas tangannya daripada bekasnya maka dia membasuh kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, kemudian beliau mencelupkan tangan kanan ke dalam bekas air wuduk tersebut, kemudian beliau berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidungnya dan mengeluarkannya, kemudia beliau membasuh mukanya sebanyak tiga kali, dan tangannya hingga ke siku sebanyak tiga kali, kemudia dia menyapu kepalanya, kemudian dia membasuh kedua-dua kakinya sebanyak tiga kali, kemudian beliau berkata: Aku telah melihat Nabi berwuduk seperti wudukku ini, dan baginda bersabda: “Barangsiapa yang berwuduk seperti wudhkku ini, kemudian dia solat sunat dua rakaat dengan penuh khusyuk dalam kedua-dua rakaat itu, maka Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu.”

Riwayat al-Bukhari (no. 159) dan Muslim (no. 226)

Dalam riwayat lain, daripada Amr, daripada ayahnya, Yahya bin `Umarah: Aku pernah menyaksikan `Amr bin Abi Hasan bertanya kepada Abdullah bin Zaid RA – seorang Sahabat Nabi ﷺ - tentang wuduk Nabi ﷺ:

وَسَلَّمَ فَدَعَا بِتَوْرٍ مِنْ مَاءٍ، فَتَوَضَّأَ لَهُمْ وُضُوءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  «فَأَكْفَأَ عَلَى يَدِهِ مِنَ التَّوْرِ، فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثَلاَثًا، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فِي التَّوْرِ، فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ، ثَلاَثَ غَرَفَاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَغَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا، ثُمَّ غَسَلَ يَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ إِلَى المِرْفَقَيْنِ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَمَسَحَ رَأْسَهُ، فَأَقْبَلَ بِهِمَا وَأَدْبَرَ مَرَّةً وَاحِدَةً، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ إِلَى الكَعْبَيْنِ»

Maksudnya: “Lalu beliau minta diambilkan satu gayung air, kemudian beliau memperlihatkan kepada mereka cara wuduk Nabi ﷺ. Beliau menuangkan air dari gayung ke telapak tangannya lalu mencucinya tiga kali, kemudian memasukkan tangannya ke dalam gayung, lalu berkumur-kumur, lalu memasukkan air ke hidung lalu mengeluarkannya kembali dengan tiga kali cidukan, kemudian memasukkan tangannya ke dalam gayung, lalu membasuh mukanya tiga kali, kemudian membasuh kedua tangannya dua kali sampai ke siku. Kemudian memasukkan tangannya ke dalam gayung, lalu mengusap kepalanya dengan tangan; bermula dari bahagian depan ke belakang dan menariknya kembali sebanyak satu kali, lalu membasuh kedua kakinya hingga buku lali."

Riwayat al-Bukhari (no. 186) dan al-Baihaqi (no. 378) dalam Sunan al-Kubra.

Berkata Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis di atas:

“Adapun tentang pensyaratan niat ightiraf (mencebok) maka tidak ada dalilnya dalam hadis ini, mahupun dalil menafikannya. Abu Uwanah berdalilkan hadis ini dalam Sahih-nya tentang keharusan bersuci dengan air musta`mal, kerana dia memandang daripada sudut bahawa niat tertentu tidak disebutkan dalam hadis ini, sedangkan disebutkan beliau (Ibn Zaid) memasukkan tangannya setelah membasuh wajahnya sewaktu membasuh tangan. Al-Ghazali berpendapat semata-mata mencebok (sekalipun tanpa niat) tidak menjadikan air itu musta`mal kerana air musta`mal hanya berlaku pada pihak yang dicelup daripadanya. Inilah pendapat yang diputuskan oleh al-Baghawi.”

 Rujuk Fath al-Bari (1/293-294)

Huraian di atas menunjukkan bahawa hukum air musta`mal berlaku perselisihan pada penyucian menggunakannya. Sebahagian ulama menganggap air musta`mal masih lagi menyucikan tetapi makruh digunakan, seperti mazhab Maliki. Manakala dalam bab niat ightiraf, pendapat yang berbeza daripada muktamad tidak mewajibkan niat tersebut. Inilah pendapat Imam al-Ghazali dan Imam al-Baghawi.

Oleh itu, semata-mata melihat seseorang berwuduk dengan celupan tangan dalam bekas yang kecil, tidak boleh dihukumkan secara mutlak bahawa wuduk seseorang itu tidak sah kerana menggunakan air musta`mal. Hal ini disokong dengan fakta bahawa cara berwuduk daripada satu bekas dilakukan oleh para sahabat, sekalipun bekas itu digunakan oleh ramai orang.

Abdullah bin Umar R.Anhuma berkata:

الرِّجَالُ وَالنِّسَاءُ يَتَوَضَّئُونَ فِي زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمِيعًا

Maksudnya: “Golongan lelaki dan wanita berwuduk pada zaman Rasulullah bersama-sama.”

Riwayat al-Bukhari (no. 193)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani menghuraikan:

“Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa mencedok dalam air yang sedikit tidak mengubah air itu menjadi air musta`mal, kerana bekas-bekas mereka dahulu bersaiz kecil, seperti mana yang disebut secara jelas oleh al-Syafie dalam al-Umm di beberapa tempat.”

Rujuk Fath al-Bari (1/299)

Di sisi ulama yang mewajibkan niat ightiraf apabila ingin mencebok menggunakan tangan, mereka berdalilkan beberapa hadis. Disebutkan oleh Syeikh al-Ramli al-Kabir dalam Hasyiah (1/7) beliau ke atas Asna` al-Matolib oleh Imam Zakariyya al-Ansari:

“Niat ightiraf itu asalnya daripada sunnah, iaitu sabda ﷺ:

لَا يَغْتَسِلْ أَحَدُكُمْ فِي الْمَاءِ الدَّائِمِ وَهُوَ جُنُبٌ فَقَالَ كَيْفَ يَفْعَلُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ؟ قَالَ َتَنَاوَلُهُ تَنَاوُلًا

Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang tetap tidak mengalir sedangkan dia berada dalam keadaaan berjunub.”Lalu Abu Hurairah ditanya: “Bagaimana sepatutnya dia lakukan wahai Abu Hurairah?,” Lalu dia menjawab: “Mengambilnya satu persatu.”

Riwayat Muslim (283)

Maka jelas bahawa larangan itu bertujuan untuk mengelak air daripada rosak dengan penggunaannya (dengan mandi junub). Kesimpulan daripada itu jua, hendaklah dipindahkan air daripada bekas dan membasuh dengan air itu di luar bekas. Begitu juga hadis-hadis lain yang melarang memasukkan tangan ke dalam bekas sebelum membasuh tangan[1]. Maka sesungguhnya basuhan itu jika bertujuan untuk menyucikan najis, dalil menunjukkan bahawa air yang sedikit menjadi bernajis apabila didatangi najis ke atasnya. Jika basuhan itu bertujuan untuk mengangkat hadas, maka larangan itu untuk mengelakkan rosaknya air dengan basuhan kedua-dua tangan dalam bekas itu lantaran hadas, seperti mana yang warid berkenaan larangan mandi orang berjunub di dalamnya, dan begitu juga hadis larangan berwuduk dengan lebihan wuduk orang perempuan[2].”

Tambahan lagi, niat mencedok dengan tangan ini bukanlah sesuatu yang sukar, sebaliknya adalah perkara yang biasa berlaku dalam kalangan manusia. Berkata Syeikh Jamal dalam Hasyiah-nya (1/37):

“Tidak disyaratkan niat mencebok itu dengan berkata: nawaitul ightiraf dun raf` al-hadath (Sahaja aku mencebok bukan untuk mengangkat hadas), tetapi cukup semata-mata dengan niat, yakni makna niat itu, bertujuan mengeluarkan air dari bekas, untuk mengangkat hadas apabila ia keluar.”

Dalam masa yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa syarat niat ightiraf ini tidak disepakati oleh ulama Syafie sendiri kerana hadis-hadis itu tidak begitu jelas dan memiliki kemungkinan. Berkata al-Allamah al-Habib Abdurrahman Ba`lawi:

“Tidak warid dalam isu niat ightiraf apa-apa khabar (hadis) mahupun athar. Tiada nas tentangnya oleh al-Syafie mahupun oleh para sahabatnya. Sesungguhnya ia datang semata-mata berdasarkan istinbat ulama yang terkemudian dan para pengikut mereka. Pendapat yang tepat lagi zahir ialah hukumnya wajib…berkata Abu Makhramah: Janganlah seorang ulama itu mengetatkan hukum ke atas orang awam, bahkan berfatwalah bahawa hukumnya (niat ightiraf) itu tidak wajib.”

Rujuk Bughyah al-Mustarsyidin (hlm.25-26) & al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 60) oleh Syeikh Hasan al-Kaf

 

Keringanan pada percikan dan baki air basuhan pada anggota

Apabila berwuduk, sudah pasti tabiat air itu akan terpercik mengenai anggota-anggota wuduk yang lain. Apatahlagi ketika mencedok air dengan menggunakan tangan ke dalam bekas yang kecil, mesti akan berbaki sisa-sisa air wuduk daripada basuhan sebelumnya. Air percikan dan baki basuhan ini jika dikategorikan sebagai air musta`mal, sudah pasti menghalang seseorang daripada wuduk daripada bekas yang kecil kerana sukarnya percikan dan sukarnya menghilangkan baki air basuhan pada setiap kali basuha, sedangkan hadis-hadis di atas tidak menunjukkan begitu sukar.

Jawapannya ialah kedua-duanya dimaafkan pada Hukum Syarak, kerana begitu sulit untuk dijaga pada adat kebiasaan.

Berkata Imam al-Nawawi pada menakalkan ucapan Imam al-Juwaini:

“Berkenaan air lebihan ini, perlu kepada perhatian. Sesungguhnya air apabila ia berulang alik di atas beberapa anggota, yang masing-masing berbeza kejadiannya, berlaku pada aliran air tadi beberapa percikan dari anggota ke anggota lain, tanpa dapat dihalang. Tidak mungkin hal ini dapat dijaga dengan apa cara pun, dan Syarak tidak menginginkan agar seseorang itu mengendahkan perkara ini pada asalnya. Maka apa sahaja yang terdiri daripada kategori ini adalah dimaafkan secara pasti. Adapun percikan yang tidak berlaku melainkan kerana secara jarang-jarang, jika dilakukan secara sengaja maka jadilah air musta`mal.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (1/163)

Berkata Imam al-Khatib al-Syarbini:

“Air yang beralih-alih atas anggota seseorang yang berwuduk, dan atas badan orang yang berjunub, dan di atas benda yang bernajis, selagi mana tidak berubah, maka hukumnya ialah tohur (menyucikan, yakni tidak hilang sifat air mutlak). Jika air mengalir dari satu anggota seseorang yang berwuduk ke satu anggota yang lain, sekalipun bukan anggota wuduk, contohnya air itu mengalir sampai ke bahu, atau menitis dari anggota, sekalipun anggota badan orang yang berjunub, maka air itu jadi musta`mal. Benar, air yang biasa tercampak-campak (atau terpercik), contohnya dari tapak tangan ke pergelangan, atau sebaliknya, bukanlah air musta`mal, kerana keuzuran, sekalipun ia berlaku kerana digerakkan oleh angin, seperti mana yang ditegaska oleh al-Rafie.”

Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/24)

Berkata Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (1/274):

“Air musta`mal pada perbuatan mengangkat hadas; iaitu apa-apa air yang menitis dari anggota-anggota, atau yang bersambung dengannya, atau yang berpisah darinya, sedangkan air berpisah itu sedikit, atau dibasuh di dalamnya, maka apabila dicebok keluar kemudian digunakan untuk membasuh anggota, (semua tadi) bukanlah air musta`mal.”

Huraian ulama yang dinukilkan diatas jelas menunjukkan bahawa air basuhan yang terpercik semasa berwuduk yang sukar dikawal adalah dimaafkan apabila ia sedikit dan tidak mengubah sifat air. Maka jelaslah kepada kita mengapa para sahabat Nabi ﷺ boleh menjimatkan air dengan berwuduk menggunakan bekas yang kecil, tanpa risau kepada percikan atau baki air basuhan pada tapak tangan yang digunakan untuk meratakan air, kerana semua itu dimaafkan.

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk menyatakan seperti berikut:

  • Hukum mengambil wuduk dengan mencebok air daripada bekas yang kecil seumpama gayung adalah diharuskan, berdasarkan hadis-hadis sahih yang menunjukkan kepada perbuatan tersebut.
  • Perbuatan mencebok air daripada gayung menggunakan tangan selepas basuhan muka ketika berwuduk tidak menyebabkan air di dalam gayung menjadi air musta`mal jika perbuatan mencebok itu tidak diniatkan untuk mengangkat hadas, sebaliknya diniatkan semata-mata untuk memindahkan air.
  • Air percikan daripada basuhan mana-mana anggota wajib wuduk tidak menyebabkan air di dalam gayung berubah menjadi musta`mal kerana kuantiti baki air tersebut adalah sedikit yang tidak mengubah sifat air serta sukar dijaga pada kebiasaannya, maka dimaafkan seperti mana yang difahami daripada zahir hadis-hadis yang sahih.
  • Tidak boleh kita menghukum seseorang yang berwuduk dengan cebokan menggunakan tangan daripada gayong sebagai tidak sah atas alasan air musta`mal kerana wujud nas-nas yang mengharuskannya.

Kami berharap penjelasan ini memberikan pencerahan kepada pihak yang bertanya. Kita berdoa kepada Allah ﷻ agar mengurniakan ilmu yang bermanfaat dan menjauhkan kita daripda penyakit was-was dalam beribat. 

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Nota hujung: 

[1] Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

وَإِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِهِ فَلْيَغْسِلْ يَدَهُ قَبْلَ أَنْ يُدْخِلَهَا فِي وَضُوئِهِ، فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لاَ يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ

Maksudnya: “Dan jika salah seorang daripada kalian bangun daripada tidur maka hendaklah dia basuh tangannya sebelum memasukkan tangannya ke dalam air wuduk, kerana dia tidak tahu di mana tangannya berada malam tadi.”

Riwayat al-Bukhari (no.162 ) dan Muslim (no. 278)

[2] Daripada al-Hakam bin `Amr, bahawa Rasulullah ﷺ:

نَهَى أَنْ يَتَوَضَّأَ الرَّجُلُ بِفَضْلِ وُضُوءِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya: “Melarang daripada lelaki berwuduk dengan air lebih wuduk perempuan.”

Riwayat al-Nasaie (no. 343)