Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

corona 2

Soalan

Assalamualaikum, semoga SS Mufti dapat berikan pencerahan. Amat dukacita sekali 2 hari lepas diberitakan surau di RnR lebuhraya seluruh negara tidak akan dibuka. Ini amat membimbangkan saya sebagai seorang Islam di Malaysia yang menunaikan solat 5 kali sehari sedaya upaya. Begitu mudah sekali sesetengah pihak membuat keputusan tersebut.

Di mana lagi mereka yang jauh memandu dapat berhenti solat. Sudahlah masjid dan surau seluruh negara ditutup. Adakah ini caranya kita patut bertindak selepas lebih 40 hari dari tarikh mula PKP. Sekarang sudah lebih 60 hari. Bukan kah dalam Islam masanya hanyalah 40 hari untuk kuarantin?

Adakah pemimpin Malaysia lain tidak menitik beratkan solat? Atau mungkin mereka sendiri tak solat cukup waktu sehari semalam? Atau mereka takut Virus lebih dari takut Allah. Adakah mereka membuat keputusan tidak berdasarkan fakta, sebaliknya hanya fobia dek kes Seri Petaling tempoh hari? Tahukah mereka, sejak berakhir majlis di Seri Petaling pada 28hb Februari hingga 18 Mac, berapa ramai ahli Tabligh singgah di masjid2 di seluruh negara? Penjangkitan jemaah di masjid2 lain setahu saya tidak berlaku. Tetapi ianya berlaku di rumah dan tempat2 yang mana ada jamuan makan seperti kenduri dilakukan dan juga pusat tahfiz.

Kami amat2 berharap agar SS Mufti dapat memberi penjelasan dan mengesyorkan agar Surau di RnR di buka juga masjid2 dan surau2 dibuka semula. Kami amat merindui rumah Allah. Disaat2 kita semua tersepit. Masjid lah tempat utk menenangkan hati kita. Shopping mall dibolehkan beroperasi mengapa tidak masjid.

Jawapan Ringkas

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Setelah kami meneliti persoalan di atas, dapat kami menyimpulkan beberapa perkara:

1- Sebagai orang yang beriman, tidak kira apa-apa situasi yang berlaku sama ada diberi keizinan untuk hadir atau tidak ke masjid sepatutnya tidak menjejaskan semangat, kecintaan serta kerinduan kita untuk hadir ke rumah Allah, sebaliknya segala perasaan tersebut perlu dikekalkan dan ditingkatkan untuk dimanifestasikan di hari kemudian kelak tatkala musim Perintah Kawalan Pergerak berakhir.

2- Mengambil segala langkah pencegahan dan apa-apa tindakan yang dicadangkan atau diarahkan oleh pihak berwajib kerana mengelakkan mudarat lebih utama daripada memperoleh kebaikan termasuklah merancang perjalanan dan kelengkapan seperti sejadah, telekung dan air botol yang mencukupi untuk berwuduk.

3- Sentiasa menginsafi diri supaya tidak menjadi penyebab ketidakstabilan disebabkan kenyataan dan hebahan kita sehingga menimbulkan keadaan yang panik dan bimbang yang melampau dalam kalangan masyarakat.

4- Syariat tidak mengehadkan kuarantin atau perkara yang seumpama dengannya kepada 40 hari sebaliknya bergantung kepada situasi semasa dan kebijakan pemerintah untuk menangani isu tersebut.

5- Alternatif tempat solat bagi menggantikan musolla atau masjid ialah mana-mana tempat yang bersih dan terpelihara daripada najis dan kotoran. Manakala bagi wanita, sebaiknya cari tempat tersembunyi. Sekiranya darurat, boleh solat di tempat terbuka dengan syarat menutupi anggota badan dengan sempurna.

Huraian Jawapan

Kami memulakan perbahasan dengan memetik firman Allah SWT,

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.

Surah Al-Taubah (18)

Syeikh Al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya “Orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah S.W.T dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda S.A.W dengan hati yang penuh dengan keikhlasan”.

(Rujuk Tafsir al-Wasit Li Tantawi: 6/228)

Imam Al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan “Sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya”. Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: Apabila kamu melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.

Riwayat Imam At-Tirmizi (1060)

Melalui petunjuk dalil di atas dapat kita fahami bahawa tidak kira apa-apa situasi yang berlaku sama ada diberi keizinan untuk hadir atau tidak ke masjid tidaklah menjejaskan semangat, kecintaan serta kerinduan para Jemaah untuk hadir ke rumah Allah, sebaliknya segala perasaan tersebut perlu dikekalkan dan ditingkatkan untuk dimanifestasikan di hari kemudian kelak tatkala musim Perintah Kawalan Pergerakan berakhir.

Mengambil Asbab Kerana Ia Termasuk Dalam Hakikat Tawakkal

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ

Maksudnya“Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.”

Riwayat Bukhari (5707)

Penyebaran virus COVID-19 telah mencetuskan pelbagai polemik dan persoalan dalam kalangan masyarakat. Dalam masa yang sama, sebagai langkah pencegahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan akhbar bertarikh 11 Mac 2020 menggesa agar:

  • Semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19 berlaku.

Ini kerana jika dibiarkan berlakunya perhimpunan beramai-ramai walaupun apa jua tujuan termasuklah solat Jemaah, maka ia sangat berisiko untuk membawa kepada kemudharatan dan kebinasaan, sedangkan prinsip Islam ialah menolak kemudharatan berdasarkan kaedah-kaedah fiqh:

لا ضرر ولا ضرار

Maksudnya: Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.

Riwayat Ibn Majah (2341)

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Maksudnya: Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan maslahah.

Menjadi sunnatullah agar kita terus berusaha dan mencari sebab bagi melaksanakan sesuatu atau mengenal sebarang bentuk penyakit seterusnya dengan itu dapat mencari ramuan serta rawatan untuk penyakit tersebut.

Benarlah hadith Nabi SAW Daripada Abi al-Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ الله عزّ وجلّ أنْزَلَ الدَّاءَ والدَّواء، وجَعَلَ لِكُل داءٍ دَوَاءً، فَتَداووا، ولا تَدَاووا بحرَام

Maksudnya“Sesungguhnya Allah SWT menurunkan penyakit dan penawarnya. Dia jadikan setiap penyakit ada penawarnya. Maka hendaklah kamu berusaha merawat tetapi jangan merawat dengan bahan yang haram.”

(Riwayat Abu Daud, no. 3874)

Dalam konteks Novel Coronavirus (2019-nCoV), kita digalakkan untuk berjaga-jaga dengan mengikuti segala bentuk panduan daripada KKM dan arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menjauhkan diri dari tempat-tempat yang dijangkiti virus termasuk juga di dalam kaedah ini sebagai langkah menjaga nyawa. Dalam situasi sebegini, kita berikhtiar dengan mengambil intipati daripada kata-kata hikmah yang berbunyi, “mencegah lebih baik daripada merawat”.

Jika dilihat daripada sudut sejarah, langkah ini juga yang telah diambil oleh sahabat Nabi SAW untuk mengekang penyakit berjangkit daripada terus merebak. Apabila berlakunya penyakit yang berjangkit iaitu Ta’un di kota ‘Amawas, Saidina ‘Amr al-‘As mengasingkan dan membawa golongan yang menghidap penyakit ke kawasan bukit-bukau dengan dipisahkan dari masyarakat yang sihat sehingga dapat menyelesaikan kemelut wabak tersebut. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Ibn Athir dalam kitabnya, al-Kamil fi al-Tarikh:

أنَّ عمرو بن العاص رضي الله عنه، خرج بالناس عندما أصابهم طاعون عمواس إلى الجبال، حتى رفعه الله عنهم، وأن فعله هذا بلغ عمر بن الخطاب رضي الله عنه فلم ينكره

Maksudnya: Bahawasanya Saidina ‘Amr Ibn al-’As telah keluar bersama sekelompok manusia yang dihidapi penyakit Ta’un di Amawas ke kawasan bukit-bukau, sehinggalah Allah SWT menghilangkan penyakit tersebut daripada mereka. Apa yang telah dilakukan oleh Saidina ‘Amr al-‘As telah sampai ke pengetahuan khilafah Saidina Umar al-Khattab RA pada ketika itu dan beliau tidak mengingkarinya. 

(Rujuk al-Kamil fi al-Tarikh Li Ibn al-Athir, 2/377)

Pengamalan dan pendirian sahabat di atas juga memberi isyarat secara tidak langsung bahawa amalan kuarantin atau pengawalan wabak tidak mempunyai had masa tertentu seperti 40 hari atau sebagainya. Sebaliknya, perkara tersebut bergantung kepada kebijakan pemerintah dan agensi-agensi berkaitan melihat kepada seberapa banyak masa yang diperlukan bagi mengekang wabak tersebut daripada terus menular.

Jangan Sesekali Menakutkan Masyarakat Dengan Hebahan Yang Tidak Tepat

Antara nas yang masyhur boleh dijadikan pedoman hidup berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Surah al-Hujurat (6)

Hal ini bertepatan dengan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَمَلَ عَلَيْنا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنّا

MaksudnyaSesiapa yang membawa senjata untuk menakut-nakutkan kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.

Riwayat Bukhari (6874)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadis ini di sisi ahli ilmu memberi maksud perbuatan membawa senjata untuk menakutkan orang ramai bukanlah daripada petunjuk dan amalan kami. (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 1/109)

Termasuk juga dalam ertikata menakutkan orang adalah dengan maklumat palsu yang menjadikan masyarakat merasa panik, takut dan bimbang. Begitu juga sebaran maklumat yang menggerunkan tanpa usul periksa sedangkan hakikat sebenarnya adalah berlainan. Dengan sebab itulah kami selalu katakan

إن كنت ناقلاً فالصحة، أو مدعياً فالدليل

Maksudnya: Sekiranya kamu menukilkan sesuatu, maka sahkan terlebih dahulu. Atau jika membuat dakwaan, maka hendaklah mengemukakan bukti.” (Lihat Dhawabit al-Ma’rifah, m. 368)

Lantaran itu, mengatakan keputusan menangguhkan pembukaan masjid dan surau bertitik tolak daripada ketakutan kerajaan terhadap semata-mata kes tabligh di Masjid Sri Petaling merupakan satu dakwaan yang kurang tepat dan perlukan pembuktian di atas dakwaan yang dibuat. Sebaiknya, kita mengambil sikap bersederhana dalam menanggapi masalah ini di samping tidak sesekali melunturkan semangat untuk berkunjung ke rumah Allah suatu hari kelak.

Alternatif Tempat Solat

Dr. Muhammad Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya antara syarat-syarat sah solat seperti bersuci daripada hadas, suci daripada najis pada pakaian, menghadap kiblat, menutup aurat dan masuknya waktu solat. Dan apabila hilang salah satu daripada syarat ini maka batallah solatnya.

(Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/333)

Begitu juga disyaratkan supaya suci badan, tempat solat dan pakaian seseorang itu daripada segala najis. Firman Allah SWT dalam surah al-Muddatthir ayat 4:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.

Oleh yang demikian, sebelum diumumkan apa-apa taklimat atau sebarang perubahan terhadap ketetapan sedia ada, maka bagi masyarakat yang pekerjaannya banyak di luar dan tiada tempat khusus untuk solat ataupun mereka yang berada dalam perjalanan jauh dalam masa yang sama RnR tidak dibuka, kami mencadangkan beberapa perkara:

1) Menyediakan air botol khusus untuk ambil wuduk beserta sejadah kecil sebelum memulakan perjalanan.

2) Setelah itu, apabila hendak melakukan kewajipan solat, maka solatlah di mana-mana sahaja tempat yang memenuhi syarat, utamanya bersih daripada najis.

Manakala bagi wanita, kami mencadangkan agar mereka dapat mengaturkan perjalanan seharian termasuklah tempat untuk solat supaya dapat solat di tempat tertutup dan terlindung daripada pandangan ajnabi lantas mengelakkan sebarang fitnah.

Walau bagaimanapun, sekiranya tiada tempat tertutup dan risau waktu solat akan terlepas sekiranya tidak solat ketika itu, maka diharuskan untuk solat di tempat terbuka di samping memastikan anggota badan tertutup dengan sebaik mungkin. Pendirian ini bersandarkan pendirian Nabi Muhammad dalam hadis Ummu ‘Athiyyah tatkala baginda menyeru semua wanita perawan dan lain-lain untuk turut serta solat hari raya. Seperti yang sedia maklum, solat ketika itu dilakukan di tempat yang terbuka.

Kesimpulannya, kerajaan berperanan untuk menyemak segala tindakan yang diambil dan sewajarnya perbaharui setiap ketetapan sekiranya keadaan bertambah baik termasuklah pembukaan semula rumah-rumah Allah dengan SOP yang ketat memandangkan kita sudah masuk di fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah permudahkan urusan umat Islam sedunia dan hilangkan segala wabak dan virus agar umat Islam khususnya dapat mengimarahkan kembali rumah-rumah Allah lantas memartabatkan syiar agama Islam.

Wallahua’lam.