Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

deposit 2 

Soalan

Assalamualaikum. Sebagai pemilik rumah, apakah hukum menggunakan wang deposit si penyewa tanpa persetujuan si penyewa? Perlukah meminta izin untuk menggunakan deposit sewa memandangkan deposit sewa adalah wang cagaran? Adakah menggunakan wang deposit sewa tanpa meminta izin si penyewa dianggap menggunakan hak orang lain tanpa izin? Adakah ia salah disisi agama?

 

Jawapan Ringkas

Berdasarkan situasi di atas, hukum pemilik rumah menggunakan wang deposit yang dijadikan cagaran tanpa izin penyewa adalah haram dan tidak sah sekiranya pemilik rumah tidak mempunyai wang lain yang mencukupi sebagai ganti kepada wang deposit yang telah digunakan.

Namun, terdapat keadaan yang mengharuskan pemilik rumah menggunakan wang deposit tersebut. Antaranya:

1) Sekiranya pemilik rumah mempunyai wang yang mencukupi untuk menggantikan wang deposit yang telah digunakan, maka hukumnya sah. Alasannya wang deposit yang berada dalam pegangan tuan rumah boleh dikategorikan sebagai harta yang tidak bersifat spesifik; selagi mana pemilik mempunyai duit lain yang sama nilainya dengan wang deposit dan bersifat tunai, maka dia boleh menggunakannya.

2) Sekiranya penyewa membatalkan atau melanggar akad yang telah dipersetujui bersama, maka pemilik rumah mempunyai hak untuk menggunakan wang deposit tersebut sebagai ganti rugi walaupun tanpa izin penyewa.  

Dalam masa yang sama, disarankan kepada pemilik rumah mengambil wang deposit sekadar menampung kerugian yang dialami manakala lebihan dipulangkan semula kepada penyewa. Perbuatan ini lebih dekat dengan sifat adil dan ihsan.  

 

Huraian Jawapan

Wang deposit atau wang pendahuluan dibincangkan para ulama dalam bab Bai’ al-urbun (بيع العربون). Bai’ al-‘urbun merupakan satu bentuk jual beli dimana pembeli membayar sejumlah wang pendahuluan. Sekiranya jual beli diteruskan maka wang pendahuluan ini akan menjadi sebahagian daripada harga barangan. Jika tidak, maka wang yang ini tidak akan dikembalikan kepadanya. Transaksi ini selain berlaku untuk jual beli, ia juga berlaku untuk akad sewa menyewa (al-Ijarah) atas sebab ia juga merupakan jual beli manfaat.

Pada dasarnya, jual beli secara ‘urbun adalah tidak sah menurut mazhab Syafi’e, mazhab Maliki dan juga mazhab Hanafi. Namun, menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitab karangannya, al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh (5/3434-3435), jual beli secara ‘urbun adalah diharuskan berdasarkan kepada uruf semasa. Selain itu, hadis yang melarang jual beli ini juga tidak kuat di sisi ahli hadis. Rujuk artikel kami di laman web https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1328-al-kafi-424-hukum-jual-beli-secara-urbun-deposit

Melihat kepada senario masyarakat Islam pada hari ini, jual beli secara ‘urbun ini dilihat sudah menjadi suatu keperluan khususnya di zaman sekarang ini sebagai tanda atau bentuk komitmen dalam melakukan perjanjian jual beli. Ia bertujuan bagi mengelakkan kerugian bagi pihak-pihak yang melakukan transaksi; penjual dan pelanggan.

Dalam hal ini, Majma’ Fiqh al-Islami juga telah mengeluarkan satu keputusan berkenaan bai’al-‘urbun ini bahawa ia dibenarkan dan diharuskan. Mereka menyebut:

يجوز بيع العربون إذا قيدت فترة الانتظار بزمن محدود. ويحتسب العربون جزءاً من الثمن إذا تم الشراء، ويكون من حق البائع إذا عدل المشتري عن الشراء.

Maksudnya: “Dibolehkan bai’ al-‘urbun sekiranya tempoh menunggu diikat dengan waktu yang terhad. Wang pendahuluan tersebut dimasukkan sebagai sebahagian daripada jumlah harga apabila bayarannya sudah dilunaskan. Dan ia (al-‘urbun) menjadi milik penjual apabila pembeli membatalkan urusniaga pembelian".

(Lihat: Majallah Majma’al-Fiqh al-Islami, 8/540)

Sehubungan dengan itu, jelaslah di sini bahawa pemilik rumah berhak mengambil wang deposit yang telah diberikan oleh penyewa kepada mereka walaupun tanpa izin sekiranya berlaku pembatalan sewaan dan pelanggaran akad yang telah dipersetujui bersama.

Justeru, kami berpandangan di sini bahawa pembeli tidak boleh menuntut semula wang deposit mereka sekiranya:

  • Pembatalan pembelian atau sewaan itu berpunca daripada penyewa dan bukannya daripada kehendak penjual.
  • Wang deposit diletakkan sebagai bukti komitmen berdasarkan kesepakatan bersama.

Wang pendahuluan yang akan menjadi milik penjual merupakan wang ganti rugi (ta’widh) atas risiko kerugian yang akan ditanggung oleh penjual seperti mencari penyewa baru bagi mengisi baki masa sebelum kontrak tamat tempoh.

Namun, jika masih terdapat lebihan wang pendahuluan selepas ditolak kerugian sebenar, penjual digalakkan untuk memulangkan kembali lebihan wang kepada penyewa. Pendekatan ini lebih bersifat adil dan ihsan sesama manusia.

 

Penggunaan Wang Deposit Sebelum Pelanggaran Atau Pembatalan Akad

Dalam hal yang lain, sekiranya wang deposit tersebut digunakan sebelum berlaku pelanggaran atau pembatalan akad, maka hukumnya haram dan tidak sah. Ini kerana alasan utama dibenarkan untuk pemilik menggunakan wang deposit hanya sah sekiranya penyewa membatalkan atau melanggar akad yang telah dipersetujui bersama. Jika sebaliknya berlaku seperti penyewa masih meneruskan akad dan membayar sewa bulanan seperti biasa, maka tiada hak untuk pemilik menggunakannya.

Wang deposit dalam keadaan sebegini berperanan sebagai wang cagaran. Maka, menggunakannya tanpa izin penyewa sebagai pencagar hukumnya tidak sah dan terbatal di sisi mazhab Syafie. Sebaliknya, sekiranya penyewa mengizinkan, maka pemilik rumah boleh menggunakan wang tersebut. Dalam masa yang sama, secara automatik akad cagaran akan terbatal kerana wang yang dijadikan harta cagaran sudah berkurangan atau habis digunakan.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/387-388)

Alasan pembatalan akad tersebut melihat kepada status barang cagaran yang masih menjadi hak milik penyewa yang dijadikannya sebagai jaminan sekiranya tidak dapat membayar sewa rumah. Maka, penggunaan wang tersebut memerlukan keizinan daripada pencagar iaitu penyewa, jika tidak ia dianggap sebagai menggunakan hak orang lain tanpa izin.

Berdasarkan situasi soalan di atas, duit digunakan tanpa izin penyewa. Maka, menjadi tanggungjawab tuan rumah untuk menggantikan semula duit cagaran bahkan tuan rumah dianggap berhutang dengan penyewa dalam hal ini. Penetapan sebegini dibuat kerana sekiranya diharuskan penggunaan duit tersebut tanpa izin pemilik asal, maka hilanglah konsep jaminan dan cagaran yang dibuat apatah lagi apabila melibatkan sejumlah wang yang besar.

Pengharaman dikecualikan sekiranya pemilik rumah mempunyai wang lain yang mencukupi sebagai ganti kepada wang deposit yang telah digunakan. Hal ini kerana, wang ringgit boleh dikategorikan sebagai harta mithli. Harta mithli seperti yang ditulis oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, (4/2885) ialah harta yang mempunyai persamaan dengan harta yang lain dari segi bentuk dan nilai seperti gandum, padi, telur dan sebagainya. Tambahan pula, duit deposit yang berada dalam pegangan tuan rumah tidak bersifat spesifik

Oleh yang demikian, selagi mana pemilik mempunyai duit lain yang sama nilainya dengan wang deposit dan berbentuk tunai sebagai ganti duit deposit yang akan digunakan, maka dibenarkan untuk dia gunakan. Namun, sekiranya dia tidak mempunyai duit lain yang setara nilainya dengan wang deposit, maka haram menggunakannya tanpa izin penyewa.

Tambahan pula, terdapat beberapa kemungkinan yang berlaku yang akan bersangkutan dengan hak-hak penyewa dan tuan rumah. Contohnya, penyewa berhak mendapatkan semula wang deposit sekiranya akad berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Begitu juga tuan rumah berhak mendapatkannya sekiranya berlaku pembatalan atau pelanggaran akad yang dilakukan penyewa. Bertitik tolak daripada ini, wang deposit tersebut perlu dikekalkan statusnya sebagai harta cagaran sehinggalah tempoh akad berakhir atau berlaku pembatalan akad.

Akhir kata, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua dalam memahami hukum-hakam berkaitan muamalah sesama manusia. Di samping itu, mengurniakan sifat ihsan dan tolong menolong serta memberkati segala amal perbuatan kita semua.

Wallahu a’lam.