Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

if 549

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ada soalan yang ingin diajukan. Sekarang tular tentang satu permainan di mana seorang isteri perlu mengenal pasti suami dengan cara ditutup matanya dan hanya dibenarkan untuk menggunakan hidung bagi mengenal pasti bau suaminya tanpa menggunakan suara. Saya lihat dalam video itu, si isteri sampai mencium badan lelaki lain sambil dilihat oleh suaminya sendiri. Apa pandangan ustaz mengenai permainan ini?. Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Trend permainan mencium bau baju lelaki lain dengan tujuan untuk mengenal pasti bau suaminya adalah satu perbuatan haram dan bertentangan dengan hukum syarak. Islam mengajarkan agar para isteri menjaga maruah dirinya dan suaminya. Para suami pula tidak boleh membiarkan para isteri melakukan perkara yang dilarang.Apatah lagi berlakunya persentuhan isteri dengan lelaki lain dan ini termasuk dalam iktilat (percampuran) yang tidak dibenarkan. Permainan tersebut perlu dijauhkan. Jika ini diteruskan, maka tidak mustahil satu hari nanti kita akan melihat keruntuhan institusi kekeluargaan.

Semoga Allah memandu kita semua dengan hidayah dan taufiq-Nya. Wallahu’alam.

Huraian jawapan :

Dalam alam perkahwinan, suami dan isteri mempunyai hak yang perlu saling dijaga di antara satu sama lain. Bagi seorang isteri, antara tanggungjawab yang perlu dia jalankan adalah menjaga maruah dirinya dan suaminya khususnya ketika ketiadaan suami. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ :

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّـهُ

Maksudnya  : “…Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya…”[1]

Imam Al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat tersebut, beliau menyatakan :

هَذَا كُلُّهُ خَبَرٌ، وَمَقْصُودُهُ الْأَمْرُ بِطَاعَةِ الزَّوْجِ وَالْقِيَامُ بِحَقِّهِ فِي مَالِهِ وَفِي نَفْسِهَا فِي حَالِ غَيْبَةِ الزَّوْجِ.

“Ini semua adalah pengkhabaran. Yang dimaksudkan dengan ayat tersebut adalah perintah agar taat kepada suami dan menunaikan hak suami pada hartanya serta (menjaga) dirinya ketika ketiadaan suaminya.”[2]

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi ﷺ pernah ditanya :

أَيُّ النِّسَاءِ خَيْرٌ؟ قَالَ: " الَّذِي  تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ، وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ، وَلَا تُخَالِفُهُ فِيمَا يَكْرَهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

Maksudnya : “Siapakah wanita yang terbaik?. Baginda ﷺ bersabda : Yang mana dia menggembirakan suaminya jika dia melihatnya, dia taat kepadanya jika dia perintah dan tidak melakukan perkara yang bersalahan dengan apa yang dia tidak suka sama ada pada maruah dirinya atau harta suaminya.”[3]

Dalam sebuah riwayat yang lain  yang diriwayatkan daripada Abu Umamah Al-Bahili, Nabi ﷺ bersabda :

‌مَا ‌اسْتَفَادَ ‌الْمُؤْمِنُ ‌بَعْدَ ‌تَقْوَى ‌اللَّهِ ‌خَيْرًا ‌لَهُ ‌مِنْ ‌زَوْجَةٍ ‌صَالِحَةٍ، إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ، وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ، وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ، وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

Maksudnya : “Seorang mukmin tidak akan mendapat faedah yang lebih baik daripada isteri yang solehah selepas bertakwa kepada Allah. Jika suaminya memerintahkannya, dia akan taat. Jika suaminya melihatnya, dia akan menggembirakan suaminya. Jika suaminya bersumpah, dia akan melepaskan sumpah suaminya. Jika suaminya tiada, dia akan menjaga maruah dirinya dan harta suaminya.”[4]

Jika dilihat pada firman Allah dan hadith-hadith tersebut, seorang wanita atau isteri perlu untuk menjaga dirinya ketika ketiadaan suaminya. Jika keadaan seperti itu sudah diwajibkan untuk menjaga diri dan maruah, apatah lagi jika berada di hadapan suaminya. Aib suami perlu dijaga dan nama baik suami perlu dipelihara.

Tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul oleh isteri bahkan suami juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Firman Allah ﷻ :

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّـهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

Maksudnya : “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan…”[5]

Imam Al-Baidhawi menafsirkan ayat ini :

يقومون عليهن قيام الولاة على الرعية،

“Para lelaki mempunyai  tanggungjawab ke atas para wanita seperti mana tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat.”[6]

Ini bermakna tanggungjawab para suami bukan hanya memberikan nafkah bahkan lebih daripada itu.Antara tanggungjawab suami yang perlu dijalankan terhadap isterinya adalah mendidiknya. Perkara ini merujuk kepada firman Allah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”[7]

Ibn Kathir menukilkan pandangan Qatadah, seorang tokoh ahli tafsir terhadap ayat tersebut. Beliau berkata :

تأمرهم بطاعة الله وتنهاهم عن معصية الله وأن تقوم عليهم بأمر الله وتأمرهم به وتساعدهم عليه فإذا رأيت لله معصية ردعتهم عَنْهَا وَزَجَرْتَهُمْ عَنْهَا،

“Kamu memerintahkan mereka untuk taat kepada Allah dan melarang mereka daripada melakukan maksiat kepada Allah. Kamu perlu jalankan tanggungjawab terhadap mereka berdasarkan perintah Allah dan membantu mereka untuk menjalankan perintah Allah. Jika kamu lihat mereka melakukan maksiat kepada Allah, maka halang dan cegah mereka daripadanya.”[8]

Inilah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh suami. Dia tidak boleh membiarkan isteri dan ahli keluarganya hanyut tanpa panduan. Lebih teruk lagi membiarkan isterinya melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama. Jika ini berlaku maka suaminya itu adalagh seorang suami yang dayus.

Kembali kepada persoalan utama yang dikemukakan, kami melihat bahawa permainan tersebut adalah permainan yang tidak ada manfaat sama sekali bahkan ia telah melanggar ketetapan yang telah ditetapkan oleh Islam. Seorang Muslim sepatutnya meninggalkan apa sahaja perkara yang tidak mendatangkan manfaat dan yang boleh menjatuhkan maruah. Lebih-lebih lagi jika permainan itu mengandungi perkara yang dilarang oleh agama. Nabi ﷺ bersabda :

إِنَّ ‌مِنْ ‌حُسْنِ ‌إِسْلَامِ ‌المَرْءِ تَرْكَهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

Maksudnya : “Antara (tanda) baiknya islam seseorang adalah meninggalkan apa yang tidak penting untuknya.”[9]

Allah SWT berfirman tentang adab apabila berbicara dengan para isteri Nabi SAW :

وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ ۚ ذَٰلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ

Maksudnya : “Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.”[10]

Imam Al-Qurtubi menyebut :

يُرِيدُ مِنَ الْخَوَاطِرِ الَّتِي تَعْرِضُ لِلرِّجَالِ فِي أَمْرِ النِّسَاءِ، وَلِلنِّسَاءِ فِي أَمْرِ الرِّجَالِ، أَيْ ذَلِكَ أَنْفَى لِلرِّيبَةِ وَأَبْعَدُ لِلتُّهْمَةِ وَأَقْوَى فِي الْحِمَايَةِ. وَهَذَا يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ أَنْ يَثِقَ بِنَفْسِهِ فِي الْخَلْوَةِ مَعَ مَنْ لَا تَحِلُّ لَهُ فَإِنَّ مُجَانَبَةَ ذَلِكَ أَحْسَنُ لِحَالِهِ وأحصن لنفسه وأتم لعصمته

“Apa yang dimaksudkan adalah lintasan yang ada pada lelaki tentang wanita dan juga lintasan yang terdetik pada wanita tentang lelaki. Iaitu adalah satu penafian bagi keraguan, menjauhkan diri dari tohmahan dan memelihara diri. Ini menunjukkan bahawa tidak patut bagi seseorang untuk bersendirian bersama siapa yang bukan mahramnya. Menjauhkan diri daripada perkara tersebut adalah yang terbaik untuk dirinya dan memelihara maruahnya.”[11]

Selain daripada itu, permainan seperti ini juga melibatkan ikhtilat iaitu percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram di mana ianya adalah satu perbuatan yang tidak dibenarkan. Perkara ini merujuk kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi ﷺ bersabda :

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا، وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا، وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

Maksudnya : “Sebaik-baik saf bagi para lelaki adalah yang di hadapan dan yang paling buruk yang di belakang. Sebaik-baik saf wanita adalah di belakang dan yang paling buruk di hadapan.”[12]

Imam Al-Nawawi menyebut :

وَإِنَّمَا فَضَّلَ آخِرَ صُفُوفِ النِّسَاءِ الْحَاضِرَاتِ مَعَ الرِّجَالِ لِبُعْدِهِنَّ مِنْ مُخَالَطَةِ الرِّجَالِ وَرُؤْيَتِهِمْ وَتَعَلُّقِ الْقَلْبِ بِهِمْ عِنْدَ رُؤْيَةِ حَرَكَاتِهِمْ وَسَمَاعِ كَلَامِهِمْ وَنَحْوِ ذَلِكَ

“Sebenarnya Nabi ﷺ menyatakat bahawa yang terbaik bagi saf wanita di belakang sekali yang mana mereka hadir (solat) bersama para lelaki adalah untuk menjauhkan mereka daripada bercampur dengan lelaki, melihat mereka dan tidak tertarik hati ketika melihat pergerakan dan ketika mendengar percakapan mereka.”[13]

Jika berkhalwat pun tidak dibenarkan dan dianggap sebagai ikhtilat iaitu percampuran antara lelaki dan perempuan apatahlagi jika bermain permainan yang melibatkan persentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Jika dalam masjid yang merupakan tempat ibadah yang suci sudah diingatkan agar tidak bercampur lelaki dan perempuan, maka selain daripada itu adalah perkara yang lebih utama untuk dielakkan berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa keperluan. Apatah lagi, jika ada persentuhan antara mereka.

Dalam riwayat lain menyebut bahawa ketika Nabi ﷺ keluar, Nabi melihat berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan di jalan. Lalu Nabi ﷺ bersabda :

‌اسْتَأْخِرْنَ، فَإِنَّهُ لَيْسَ لَكُنَّ أَنْ تَحْقُقْنَ الطَّرِيقَ عَلَيْكُنَّ بِحَافَّاتِ الطَّرِيقِ

Maksudnya : “Jalan ke belakang (jangan bercampur). Kalian tidak patut berjalan di tengah-tengah jalan. Berjalan lah di tepi-tepi jalan.”[14]

Kesimpulannya, trend permainan mencium bau baju lelaki lain dengan tujuan untuk mengenal pasti bau suaminya adalah satu perbuatan haram dan bertentangan dengan hukum syarak.Ianya tidak pernah diajarkan dalam Islam. Islam mengajarkan agar para isteri menjaga maruah dirinya dan suaminya. Para suami pula tidak boleh membiarkan para isteri melakukan perkara yang haram.Apatah lagi berlakunya persentuhan isteri dengan lelaki lain dan termasuk dalam ikhtilat (percampuran) yang tidak dibenarkan tanpa ada keperluan.

Semoga Allah memandu kita semua. Wallahu’alam.

 

Nota Hujung : 

[1] Surah Al-Nisa’ : 34

[2] Al-Qurtubi, Muhammad Bin Ahmad Bin Abu Bakar, Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Dar Al-Kutub Al-Misriyah, Kaherah, Mesir, j.5 h.168.

[3] Riwayat Ahmad no 7421 dalam Al-Musnad

[4] Riwayat Ibn Majah no 1857.

[5] Surah Al-Nisa’ : 34

[6] Nasiruddin Al-Baidhawi, Abdullah Bin Umar, Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Ta’wil, Tahkik : Muhammad Abdurrahman Al-Mara’syili, Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi, Beirut, j.2 h.72.

[7] Surah Al-Tahrim : 6

[8] Ibn Kathir, Ismail Bin Umar, Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyah, Beirut, j.8 h.188.

[9] Riwayat Al-Tirmizi no 2317

[10] Surah Al-Ahzab : 53

[11] Al-Qurtubi, Muhammad Bin Ahmad, Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Dar Al-Kutub Al-Misriyah, j.14 h.228

[12] Riwayat Muslim no 440

[13] Abu Zakariya Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi, Beirut, j.4 h.160.

[14] Riwayat Abu Daud no 5272