IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-653 : HUKUM SESEORANG BERWASIAT AGAR DILAKSANAKAN BADAL HAJI SUNAT BAGINYA SELEPAS MENINGGAL DUNIA

 

Presentation1

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang hukum seseorang berwasiat supaya dilaksanakan badal haji  sunat untuknya selepas dia meninggal dunia. Adakah perlu dilaksanakan wasiat tersebut ataupun tidak?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum seseorang berwasiat kepada warisnya agar melaksanakan badal haji sunat setelah dia meninggal dunia adalah harus dan dibolehkan. Hal ini diharuskan sekiranya dia telah melaksanakan ibadah Haji dan Umrah yang fardu. Namun jika belum dilaksanakan, maka wajib didahulukan kedua-dua ibadah fardu tersebut terlebih dahulu.

Selain itu, hendaklah upah bagi badal haji tersebut tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalannya. Jika satu pertiga daripada hartanya tersebut tidak mencukupi untuk dilaksanakan badal haji yang sunat, maka wasiat itu terbatal dan tidak perlu dilaksanakan serta harta dikembalikan kepada ahli waris.

WaAllahu a’lam. 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, hukum melaksanakan ibadah Haji dan Umrah ialah wajib ke atas umat Islam yang berkemampuan sekali seumur hidup di sisi mazhab al-Syafie.[1] Justeru, hendaklah dipastikan sama ada seseorang yang berwasiat untuk dilaksanakan haji atau umrah yang sunat tersebut bahawa mereka telah melaksanakan kedua-duanya yang fardu terlebih dahulu. Hal ini kerana ibadah yang fardu lebih perlu diutamakan dan didahulukan berbanding ibadah yang sunat. Jika masih belum dilaksanakan ibadah yang fardu tersebut, maka wajib digantikannya terlebih dahulu menggunakan harta peninggalannya.

Kedua, harus untuk berwasiat supaya dilaksanakan badal haji atau umrah yang sunat mengikut pandangan yang muktamad di sisi mazhab al-Syafie. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini bahawa:

(وَتَصِحُّ) الْوَصِيَّةُ (بِحَجٍّ) وَعُمْرَةِ (تَطَوُّعٍ فِي الْأَظْهَرِ) بِنَاءً عَلَى الْأَظْهَرِ مِنْ جَوَازِ النِّيَابَةِ فِيهِ؛ لِأَنَّهَا عِبَادَةٌ تَدْخُلُ النِّيَابَةُ فِي فَرْضِهَا فَتَدْخُلُ فِي نَفْلِهَا كَأَدَاءِ الزَّكَاةِ

Maksudnya: Sah untuk berwasiat supaya dilaksanakan haji dan umrah yang sunat mengikut pandangan yang muktamad di sisi mazhab al-Syafie, iaitu pandangan muktamad yang mengharuskan ibadah itu untuk digantikan perlaksanaannya  kerana ia (haji dan umrah wajib) merupakan ibadah yang boleh digantikan (perlaksanaan) oleh orang lain, termasuk juga ibadahnya yang sunat sama seperti perlaksanaan zakat.[2] (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 4:107)

Selain itu, harus untuk berwasiat bagi melaksanakan badal haji sunat dengan menggunakan satu pertiga daripada harta peninggalannya. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam karyanya:

فَالتَّطَوُّعُ تَصِحُّ الْوَصِيَّةُ بِهِ عَلَى الْأَظْهَرِ تَفْرِيعًا عَلَى صِحَّةِ النِّيَابَةِ فِيهِ. ثُمَّ هُوَ مَحْسُوبٌ مِنَ الثُّلُثِ

Maksudnya: Manakala bagi ibadah Haji yang sunat pula, sah untuk berwasiat dengannya menurut pandangan yang muktamad sebagai cabang kepada perbahasan sahnya penggantian bagi ibadah tersebut. Kemudian, wasiat tersebut hendaklah dikira dengan (tidak melebihi) satu pertiga (daripada keseluruhan hartanya). [3] (Rujuk Raudhat al-Talibin, 6:195)

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa hanya satu pertiga daripada harta peninggalannya tersebut boleh diambil untuk dilaksanakan bagi badal Haji sunat tersebut. Justeru, jika jumlah satu pertiga daripada hartanya tersebut tidak mencukupi untuk menunaikan satu ibadah Haji yang sunat, maka wasiat itu terbatal dan tidak perlu dilaksanakan. Dalam hal ini, Imam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa:

(تَصِحُّ الْوَصِيَّةُ بِحَجِّ التَّطَوُّعِ) بِنَاءً عَلَى صِحَّةِ النِّيَابَةِ فِيهِ (وَتَبْطُلُ) الْوَصِيَّةُ بِهِ (إنْ عَجَزَ الثُّلُثُ أَوْ مَا يَخُصُّهُ) أَيْ الْحَجَّ (مِنْهُ) أَيْ مِنْ الثُّلُثِ

Maksudnya: Sah berwasiat untuk dilaksanakan Haji yang sunat berdasarkan kepada sahnya gantian baginya. Walau bagaimanapun terbatal wasiat tersebut jika sekiranya tidak mampu ditunaikan dengan satu pertiga daripada harta peninggalannya atau harta yang dikhususkan untuk haji yang sunat itu daripada satu pertiga tersebut.[4] (Rujuk Asna al-Mathalib, 3:59)

Begitu juga, jika dia berwasiat dengan dua pertiga daripada hartanya, maka hendaklah digunakan hanya satu pertiga daripada hartanya sahaja untuk dilaksanakan ibadah sunat tersebut. Namun jika harta tersebut mencukupi untuk kos perbelanjaan ibadah Haji sebanyak dua, tiga atau lebih daripada itu, maka ia boleh dilaksanakan lebih daripada satu ibadah haji. Walau bagaimanapun jika jumlah harta yang berbaki tidak mencukupi untuk perlaksanaan badal haji yang kedua, maka harta tersebut hendaklah dikembalikan kepada ahli warisnya.

Namun jika si mati menentukan hanya satu ibadah Haji sunat sahaja, maka digunakan satu pertiga daripada hartanya tersebut untuk sekali sahaja dan bakinya dikembalikan kepada ahli waris. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa beliau berkata:

وَإِذَا لَمْ يَفِ الثُّلُثُ، أَوْ حِصَّةُ الْحَجِّ مِنْهُ بِالْحَجِّ، بَطَلَتِ الْوَصِيَّةُ، وَكَذَا لَوْ قَالَ: أَحِجُّوا عَنِّي بِمِائَةٍ مِنْ ثُلُثِي وَلَمْ يُمْكِنْ أَنْ يُحَجَّ بِهَا.وَلَوْ قَالَ: أَحِجُّوا عَنِّي بِثُلُثِي، صُرِفَ ثُلُثُهُ إِلَى مَا يُمْكِنُ مِنْ حَجَّتَيْنِ وَثَلَاثٍ فَصَاعِدًا. فَإِنْ فَضَلَ مَا لَا يُمْكِنُ أَنْ يُحَجَّ بِهِ، فَهُوَ لِلْوَرَثَةِ.

Maksudnya: Jika harta itu tidak mencukupi dengan satu pertiga atau tidak mencukupi untuk bahagian haji dengan satu haji, maka terbatallah wasiatnya. Begitu juga jika seseorang berkata, ‘Tunaikanlah haji (sunat) bagiku dengan 100 dinar daripada dua pertiga daripada hartaku’ dan tidak mampu untuk dilaksanakan dengannya (maka batallah wasiatnya juga).

Jika seseorang berkata, ‘Tunaikanlah (haji yang sunat) bagiku dengan dua pertiga daripada hartaku’, maka digunakan hanya satu pertiga daripadanya untuk dilaksanakan haji sunat baginya sehingga bilangan haji yang mampu dilaksanakan dengannya (jumlah harta) sama ada dua (ibadah haji), tiga atau lebih. Jika sekiranya berbaki jumlah harta yang tidak mencukupi untuk melaksanakan haji seterusnya, maka ia diberikan kepada ahli waris.[5] (Rujuk Raudhat al-Talibin, 6:195)

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa upah untuk badal haji yang sunat tersebut hendaklah tidak lebih daripada satu pertiga daripada harta peninggalan si mati tersebut. Apabila ia mencukupi maka hendaklah dilaksanakan badal haji sunat untuknya berdasarkan apa yang telah diwasiatkan. Jika tidak mencukupi, maka wasiat itu terbatal dan tidak perlu dilaksanakan.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] (Al-Syirazi, Abu Ishaq, t.t, al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafie, Beirut, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, 1:358)

الحج ركن من أركان الإسلام وفرض من فروضه لما روى ابن عمر رضي الله عنهما قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: "بني الإسلام على خمس شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمداً رسول الله صلى الله عليه وسلم وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة والحج وصوم رمضان" وفي العمرة قولان: قال في الجديد: هي فرض لما روت عائشة رضي الله عنها قالت: قلت: يا رسول الله أعلى النساء جهاد؟ قال: جهاد لا قتال فيه الحج والعمرة.

[2] Al-Syirbini, al-Khatib, 1994, Mughni al-Muhtaj fi Ma’rifati Maani al-Minhaj, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiah, jld. 4, hlmn. 107)

[3] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 1991,  Raudhat al-Talibin wa Umdat al-Muftiin, Beirut, al-Maktab al-Islamiy, jld. 6, hlmn. 195.

[4] Al-Ansari, Zakaria, t.t, Asna al-Mathalib fi Syarh Raudh al-Talib, Beirut, Dar al-Kitab al-Islami, jld. 3, hlmn. 59.

[5] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 1991,  Raudhat al-Talibin wa Umdat al-Muftiin, Beirut, al-Maktab al-Islamiy, jld. 6, hlmn. 195.


Cetak   Emel