Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-673: HUKUM BEKERJA SEBAGAI DOKTOR BIDANG KECANTIKAN DAN KOSMETIK (AESTHETIC)

IF 673

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, jika saya bekerja sebagai doktor aesthetic, adakah ia dibolehkan dalam Islam? Selain dari merawat muka yang mempunyai masalah, skop kerja saya juga merangkumi 'nose lifting', 'face lifting', botox injection, membuat alis mata yang kedua dan sebagainya atas pilihan pesakit. Jika ianya disebabkan rekonstruktif setelah kemalangan atau kebakaran, saya yakin untuk melakukannya. Akan tetapi jika pesakit datang dan meminta saya untuk membuatnya bertujuan kecantikan, adakah ia dibolehkan dalam Islam? Adakah rezeki saya diberkati sebagai doktor yang melakukan pembedahan tersebut? Harap Pejabat Mufti boleh menjawab pertanyaan saya.

Ringkasan Jawapan

Melaksanakan rawatan atau pembedahan yang menyebabkan perubahan kepada anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan. Walau bagaimanapun, jika perubahan yang dilakukan disebabkan keperluan seperti rekonstruktif atau pemulihan semula setelah berlaku kemalangan sebagaimana yang dinyatakan di atas atau menutup sebarang keaiban, maka rawatan itu diharuskan oleh syarak.

Oleh itu, dinasihatkan kepada doktor dalam bidang kecantikan dan kosmetik untuk menjauhi sebarang proses rawatan yang mengubah ciptaan bentuk asal kejadian serta tidak menawarkannya kepada pesakit sekiranya tiada keperluan. 

Wallahu a’lam.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Dalam keadaan dunia semakin membangun ini sudah tentu teknologi perubatan semakin berkembang serta penemuan beberapa kaedah rawatan perubatan yang boleh dilaksanakan dengan lebih cepat dan kurang berisiko kepada pesakit, lebih-lebih lagi permintaan rawatan untuk kecantikan dan kosmetik daripada pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan tersebut.

Oleh yang demikian, timbul persoalan keharusan pekerjaan sebagai doktor yang melaksanakan rawatan kecantikan dan kosmetik kecantikan tersebut kerana tidak semua rawatan yang menyebabkan perubahan kepada anggota badan manusia diharuskan oleh syarak.

Hukum Rawatan dan Pembedahan yang Mengubah Ciptaan Allah SWT

Islam tidak menghalang seorang doktor merawat dan melaksanakan pembedahan untuk tujuan keselamatan, kebaikan dan kesejahteraan pesakit. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Maksudnya: Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.

Surah al-Ma’idah (32)

Imam al-Mawardi menyatakan takwilan Ibn Mas’ud bagi ayat al-Quran di atas bahawa sesiapa yang menyelamatkan seorang manusia daripada kebinasaan, maka dia seperti telah menyelamatkan hidup manusia semuanya. [i]

Rawatan yang mengubah ciptaan Allah diharuskan di sisi syarak sekiranya dilakukan untuk menghilangkan keaiban dan bukan semata-mata untuk kecantikan. Ini berdasarkan peristiwa seorang sahabat Rasulullah yang menggantikan hidungnya disebabkan kecederaan dalam peperangan, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis berikut:

عَرْفَجَةَ بْنِ أَسْعَدَ قَالَ: أُصِيبَ أَنْفِي يَوْمَ الكُلَابِ فِي الجَاهِلِيَّةِ، فَاتَّخَذْتُ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ، فَأَنْتَنَ عَلَيَّ «فَأَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَتَّخِذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ

Maksudnya: ‘Arfajah bin As’ad berkata: “Hidungku telah terputus sewaktu peperangan Kulab pada zaman jahiliyyah, maka aku menggantikan hidungku dengan perak, namun ia mengeluarkan bau yang busuk. Maka Rasulullah SAW menyuruhku agar menggantikan hidungku dengan emas.”

Riwayat al-Tirmizi (1770)[ii]

Oleh yang demikian, seorang doktor hendaklah memastikan rawatan atau pembedahan yang diberikan kepada pesakit bukan sesuatu yang diharamkan oleh syarak seperti mengubah anggota badan manusia tanpa keperluan dan semata-mata untuk kelihatan cantik. Perkara ini jelas dinyatakan dalam al-Quran, ketika syaitan berkata:

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَننْعَامِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.

Surah al-Nisaa’ (119)

Sekiranya rawatan kecantikan itu melakukan perkara yang diharamkan seperti mengandungi unsur penipuan atau mengubah ciptaan Allah SWT semata-mata seperti tujuan kecantikan atau untuk kelihatan muda, maka hukum rawatan seperti ini adalah haram. Perkara ini boleh dikaitkan dengan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ‏

MaksudnyaAllah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu di wajah, mengikir gigi untuk kelihatan cantik dan mengubah ciptaan Allah."

Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari (4886)

Dalam menghuraikan hadis di atas, Imam Ibn Hajar al-Asqalani berkata bahawa hukumnya haram jika melakukan perubahan tersebut semata-mata untuk kecantikan, manakala diharuskan sekiranya untuk tujuan rawatan.[iii] (Rujuk Fath al-Bari, 10/373)

Selain itu, hadis tersebut juga jelas menunjukkan bahawa laknat Allah SWT dan dosa bagi mereka yang membuat tatu atau perubahan yang diharamkan sama ada ia dilakukan untuk dirinya ataupun orang lain.[iv] Oleh yang demikian, seorang doktor yang melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah tetap menanggung kesalahan dan dosa walaupun dilakukan atas permintaan pesakit.

Perkara ini juga bertepatan dengan firman Allah SWT untuk sentiasa saling menolong dalam melakukan kebaikan dan mengelakkan diri daripada bersubahat dalam melakukan dosa:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

MaksudnyaDan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Surah al-Ma’idah (2)

Tuntutan Mencari Sumber Pendapatan yang Halal

Islam amat menuntut umatnya untuk mencari pekerjaan yang halal dan diberkati Allah. Pendapatan yang halal sudah tentu berasal daripada pekerjaan yang halal dan tidak mengandungi perbuatan yang diharamkan mahupun perkara yang syubhah.

Oleh yang demikian, seorang doktor perubatan hendaklah berusaha mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu rawatan yang telah diharamkan oleh syarak ketika melaksanakan tugas untuk memastikan sumber pendapatan diberkati Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT akan sentiasa memberi jalan keluar yang terbaik bagi hamba-Nya bertaqwa dan berusaha mencari sumber pendapatan yang halal serta meninggalkan pekerjaan yang haram.

Wallahu a’lam.

 

[i]Al-Mawardi, ‘Ali bin Muhammad. Tafsir al-Mawardī (al-Nakt wa al-‘Uyūn). (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah) 92/32

والثاني: معناه فكأنما قتل الناس جميعاً عند المقتول , ومن أحياها فاستنفذها من هلكة , فكأنما أحيا الناس جميعاً عند المستنفذ , وهذا قول ابن مسعود.

[ii] Al-Tirmizi, Muhammad bin ‘Isa. Sunan al-Tirmizī. (Mesir: Syarikah Maktabah wa Matba’ah al-Babiy al-Halabiy,1975). 4/420

[iii]Al-Asqalani, Ahmad bin ‘Ali bin Hajar. Fatḥ al-Bārī. (Beirut:Dar al-Ma’rifah). 10/373

وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ يُفْهَمُ مِنْهُ أَنَّ الْمَذْمُومَةَ مَنْ فَعَلَتْ ذَلِكَ لِأَجْلِ الْحُسْنِ فَلَوِ احْتَاجَتْ إِلَى ذَلِكَ لِمُدَاوَاةٍ مِثْلًا جَازَ قَوْلُهُ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ هِيَ صِفَةٌ لَازِمَةٌ لِمَنْ يَصْنَعُ الْوَشْمَ وَالنَّمْصُ وَالْفَلْجُ

[iv] Hadis berikut:  «لَعَنَ اللَّهُ الوَاصِلَةَ وَالمُسْتَوْصِلَةَ، وَالوَاشِمَةَ وَالمُسْتَوْشِمَةَ»

Al-Bukhari, Abū ‘Abd Allāh Muḥammad Ibn Ismā‘īl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ed. Muḥammad Zuhayr Ibn Nāṣir al-Nāṣir (Beirūt: Dār Ṭūq al-Najāh, 2001). 7/195 (no. Hadis 5933)


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+