Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-682: PANDANGAN SYARAK TENTANG KAEDAH PEMASARAN FEAR MONGGERING

682

 

Soalan

Assalamualaikum. Saya nak tanya pandangan pejabat mufti tentang fear monggering marketing. Boleh ke kita guna teknik macam tu?

 

Jawapan Ringkas

Teknik pemasaran fear monggering adalah teknik pemasaran yang tidak beretika dan haram dilakukan oleh umat Islam. Ini adalah kerana perbuatan menakut-nakutkan orang adalah perbuatan yang dilarang dalam agama. Namun begitu, kaedah pemasaran tersebut tidak menjejaskan akad jual beli kerana hukum haram hanya jatuh pada kaedah pemasaran bukan pada akad jual beli.

 

Huraian Jawapan

Fear mongering bermaksud menimbulkan ketakutan kepada orang lain dengan sengaja tanpa ada alasan yang munasabah[1]. Kebiasaannya, perbuatan ini bertujuan untuk mengambil kesempatan terhadap ketakutan dan kelemahan orang lain seperti seorang penjual menakut-nakutkan orang supaya dia membeli barang yang dijualnya.

 

Ada juga yang berkata bahawa sekiranya tidak sertai kursus yang dianjurkan maka dia akan jadi miskin, menakut-nakuti fizikal pelanggan supaya dia akan beli produk yang dijual dan pelbagai kaedah manipulasi emosi takut orang yang lain. Perbuatan yang dinyatakan adalah sama sahaja seperti perbuatan sengaja menakut-nakutkan orang lain.

 

Oleh hal yang demikian, kaedah pemasaran dengan cara menakut-nakutkan orang lain adalah tidak beretika bahkan perbuatan tersebut dilarang dalam agama. Rasulullah SAW bersabda:

‌لَا ‌يَحِلُّ ‌لِمُسْلِمٍ ‌أَنْ ‌يُرَوِّعَ ‌مُسْلِمًا

Maksudnya: Tidak halal bagi seorang muslim menakut-nakuti muslim yang lain

Riwayat Ahmad (23064)

 

Selain itu, terdapat juga hadis lain yang turut membicarakan tentang perkara yang sama. Rasulullah SAW bersabda:

‌مَنْ ‌أَشَارَ ‌إِلَى ‌أَخِيهِ ‌بِحَدِيدَةٍ فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ تَلْعَنُهُ حَتَّى يَدَعَهُ، وَإِنْ كَانَ أَخَاهُ لِأَبِيهِ وَأُمِّهِ

Maksudnya: Sesiapa yang mengacukan besi kepada saudaranya maka malaikat akan melaknatnya sehingga dia buang besi tersebut, sekalipun orang itu adalah saudara kandungnya.

Riwayat Muslim (2616)

 

Oleh itu, para ulama menyatakan bahawa perbuatan menakut-nakuti orang lain tanpa sebab atau dengan tujuan bergurau senda bahkan dengan apa cara sekalipun adalah haram dan amat dilarang dalam agama. (Rujuk al-Minhaj 170:16[2]; Ikmal al-Muallim bi Fawaid Muslim 96/8[3])

 

Sehubungan dengan itu, Rasulullah SAW juga berpesan sebagaimana berikut:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ‌فَلَا ‌يُرَوِّعَنَّ ‌مُسْلِمًا

Maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat maka janganlah dia menakut-nakuti orang Islam yang lain.

Riwayat al-Tabharani (6487)

 

Meraih keuntungan daripada kaedah pemasaran yang tidak beretika sedemikian adalah sama seperti makan harta orang lain dengan cara yang batil. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

Surah An-Nisa’ (29)

 

Kesimpulan

Teknik pemasaran fear monggering adalah teknik pemasaran yang tidak beretika dan haram dilakukan oleh umat Islam. Ini adalah kerana perbuatan menakut-nakutkan orang adalah perbuatan yang dilarang dalam agama. Namun begitu, kaedah pemasaran tersebut tidak menjejaskan akad jual beli kerana hukum haram hanya jatuh pada kaedah pemasaran bukan pada akad jual beli.

[1] the action of intentionally trying to make people afraid of something when this is not necessary or reasonable (https://dictionary.cambridge.org/us/dictionary/english/fearmongering)

[2] فِيهِ تَأْكِيدُ حُرْمَةِ الْمُسْلِمِ وَالنَّهْيُ الشَّدِيدُ عَنْ تَرْوِيعِهِ وَتَخْوِيفِهِ وَالتَّعَرُّضِ لَهُ بِمَا قَدْ يُؤْذِيهِ..... تَرْوِيعَ ‌الْمُسْلِمِ ‌حَرَامٌ بِكُلِّ حَالٍ

[3] على غير قصد إلا بجهة اللعب والترويع بالهزل بدليل ذكره، لأخيه لأبىه وأمه الذى لا يبهم عليه، وترويع المسلم حرام


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+