Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-685 : ADAKAH TIDAK SAH MANDI WAJIB TANPA DIDAHULUI DENGAN BASMALAH?

 

IF 685

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah mandi wajib perlu dimulai dengan ‘Bismillahirahmanirahim’. Ini kerana saya ada terdengar bahawa ada yang berkata tidak sah mandi wajib jika tidak didahului dengan membacanya?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Sah mandi wajib walaupun tanpa didahului dengan membaca basmalah. Ini kerana hukum melafazkan basmalah bukanlah sebahagian daripada rukun atau syarat sah mandi wajib, bahkan hukumnya sunat sahaja. Waktu yang disunatkan untuk membaca basmalah tersebut ialah menyertakannya ketika berniat untuk mandi wajib.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Para ulama telah menjelaskan bahawa fardu bagi mandi wajib ada dua perkara sahaja iaitu niat mandi wajib dan meratakan air ke seluruh badan. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa:

وأقله نية رفع جنابة أو استباحة مفتقر إليه أو أداء فرض الغسل مقرونة بأول فرض وتعميم شعره وبشره.

Maksudnya: Sekurang-kurang (mandi wajib) ialah niat mengangkat hadas atau bagi memboleh ibadah yang memerlukan kepadanya atau bagi melaksanakan fardu mandi wajib yang dilakukan bersamaan dengan basuhan pertama anggota yang wajib dan meratakan air ke seluruh bulu dan badan.[1] (Rujuk Minhaj al-Talibin, 4)

Adapun membaca basmalah maka ia termasuk salah satu daripada perkara sunat bagi mandi wajib sahaja. Imam Abu Syuja’ menerangkan lagi dengan berkata:

وسننه خمسة أشياء: التسمية والوضوء قبله وإمرار اليد على الجسد والموالاة وتقديم اليمنى على اليسرى.

Maksudnya: Sunat bagi mandi wajib pula ada lima perkara: membaca bismillahi rahmani rahim, mengambil wuduk sebelum mandi, meratakan air dengan tangan ke seluruh badan, berturutan dan mendahulukan anggota bahagian kanan berbanding kiri. (Rujuk Matan Abi Syuja’, 4)

Disamping itu juga, disunatkan untuk membaca basmalah apabila berniat untuk mandi wajib. Imam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa:

وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يَبْتَدِئَ بِالنِّيَّةِ مَعَ التَّسْمِيَةِ وَبِهِ صَرَّحَ فِي الْمَجْمُوعِ

Maksudnya: Sunat dimulai (mandi wajib) dengan niat yang disertai dengan membaca basmalah dan pandangan ini disebutkan secara jelas di dalam kitab al-Majmuk.[2] (Rujuk Asna al-Matalib, 1:69)

Oleh yang demikian, jika seseorang tidak membaca basmalah maka mandi wajibnya sah apabila dia telah melakukan ketiga-tiga fardu mandi wajib tersebut. Ini kerana membaca basmalah bersamaan dengan niat ialah perbuatan yang sunat sahaja.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 2005, Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftiin, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 14.

[2] Al-Ansari, Zakaria, t.t, Asna al-Matalib Syarh Raudh al-Talib, Dar al-Kitab al-Islami, Beirut, jld. 1, hlmn. 69.


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+