Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

maqasid awam

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

 

MuqaddImah

Maqasid Syariah, seperti yang dijelaskan oleh ‘Allamah Muhammad Tohir ibn ‘Asyur, Syeikh ‘Allal al-Fasi dan Syeikh Syeikh Ahmad al-Raisuni bermaksud:

“Tujuan, makna dan hikmah yang telah ditetapkan oleh Syari’at Islam dalam hukum-hakam yang disyariatkan serta rahsia disebaliknya dengan tujuan untuk merealisasikan kemaslahatan manusia”. (Rujuk Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyyah hlm. 55, Maqasid al-Syari’ah wa Makarimuha, hlm. 7 dan Nazhariyyah al-Maqasid ‘inda al-Imam al-Syatibi, hal. 7)

Untuk perbahasan selanjutnya tentang pendahuluan kepada ilmu Maqasid, rujuk pautan berikut:

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-33: http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-usul-fiqh/3099-irsyad-usul-al-fiqh-33-pendahuluan-kepada-ilmu-maqasid-syariah?highlight=WyJsdXFtYW4iLCJ0YXJtaXppIiwibHVxbWFuIHRhcm1pemkiXQ

Keperluan seorang faqih dan ulama kepada Maqasid

Dr. Ahmad ar-Raysouni menganggap penguasaan ‘ilmu Maqasid sebagai satu kewajipan kepada setiap faqih:

أن المقاصد لازمة للفقيه في جميع المناحي والوجوه الاجتهادية

Maksudnya: Sesungguhnya (pengetahuan berkenaan) Maqasid Syari’ah adalah satu keperluan kepada para fuqaha’ dalam segenap segi dan wajah ijtihad. (Rujuk Muhadharat fi Maqasid as-Syari’ah, hal. 104)

Sementara Dr. Nuruddin bin Mukhtar al-Khadimiy pula menyatakan:

فهي ضرورية لازمة للفقيه وغيره كضرورة النصوص نفسها، وإلا ظل الفقه كيانا بدون روح، فارغا من كل دلائله وأهدافه

Maksudnya: Ia (Maqasid Syari’ah) merupakan satu perkara yang wajib dikuasai oleh para fuqaha’ dan selain mereka sepertimana keperluan menguasai nas-nas syara’ itu sendiri. Jika tidak, ‘ilmu fiqh akan menjadi tanpa roh dan jiwa, kontang tanpa dala’il dan tujuan. (Rujuk al-Ijtihad al-Maqasidiy, 1/65)

 

Perlukah orang awam kepada ilmu Maqasid?

Hajat dan keperluan seorang ulama, mufti atau mujtahid kepada Maqasid Syariah merupakan satu hal yang tidak dipertikaikan lagi. Namun bagaimana pula dengan orang awam? Adakah mereka berhajat kepadanya?

Dalam isu ini, Syeikh Ahmad al-Raisuni telah menjelaskannya secara panjang lebar dalam karyanya yang berjudul Maqasid al-Maqasid (Objektif Maqasid Syariah). Kami bawakan di sini petikan dan ringkasan daripada kitab tersebut bagi menjawab persoalan akan keperluan orang awam kepada ilmu Maqasid Syariah:

“Sejak dulu, sebahagian ulama mendefinisikan Maqasid Syariah sebagai rahsia-rahsia Syariah dan rahsia-rahsia taklif. Mutakhir ini, kita dapati pula sebahagian karangan memaknakan Maqasid Syariah sebagai falsafah Syariah dan pensyariatan.

Sesungguhnya penisbahan istilah ‘rahsia-rahsia’ atau ‘falsafah’ kepada Maqasid Syariah ini kadang-kala memberi gambaran yang tidak tepat, seolah-olah ilmu ini merupakan satu ilmu teoretikal yang tidak diketahui melainkan para ulama dan pemikir sahaja yang mampu menyingkap rahsia serta memahami falsafah syariah ini.

Wajib diperingatkan bahawa syariah datang untuk seluruh manusia; ia datang untuk memenuhi keperluan mereka, maka seharusnya ia datang dalam bentuk yang mampu difahami, diambil manfaat dan diamalkan oleh mereka.

Atas asas inilah Syeikh Waliyullah al-Dahlawi berkata: “Sesungguhnya syariat itu diturunkan dengan ‘lisan al-jumhur’, yakni dalam bahasa yang difahami oleh kebanyakan manusia”. Sementara Imam al-Syatibi pula menyatakan: Syariah diletakkan oleh Allah SWT dalam bentuk ummiyyah (wasf al-ummiyyah), yakni bentuk yang difahami seluruh lapisan manusia, hatta oleh orang yang tidak tahu membaca dan yang tidak terpelajar (Rujuk Hujjatullah al-Balighah 1/305 dan Al-Muwafaqat 2/70).

Maka difahami daripada petikan di atas, Syariah itu sendiri diturunkan dalam laras bahasa dan bentuk yang mudah supaya boleh difahami seluruh lapisan manusia. Timbul persoalan, adakah orang awam juga mampu memahami Maqasid Syariah? Syeikh Raisuni melanjutkan perbahasannya:

Hakikatnya, kefahaman berkenaan Maqasid Syariah adalah lebih mudah – atau paling kurang kesukarannya – berbanding memahami ilmu-ilmu Islam yang lain. Maqasid adalah lebih mudah berbanding fiqh dan hukum-hakam furu’nya yang begitu mendalam; lebih mudah berbanding ilmu Usul Fiqh dan ilmu kalam dengan istilah-istilah perbahasan-perbahasan teknikal; lebih mudah daripada ilmu Mustolah al-hadith dengan syarat-syarat, illah, jarh wa ta’dil; dan ia jauh lebih mudah daripada ilmu bahasa Arab seluruhnya, khasnya ilmu Nahu yang kita pelajari pada peringkat permulaan.

Bahkan, mengetahui Maqasid Syariah dan mengambilnya terus daripada nas-nas Syarak serta hukum-hakamnya tidak semestinya perlu bergantung kepada ijtihad dan istinbat para ulama semata-mata; bahkan di sana terdapatnya sebahagian Maqasid dan hikmah yang tidak tersembunyi daripada sesiapapun, dan ada juga Maqasid yang hanya memerlukan kepada sedikit perhatian dan penelitian.

Hukum-hakam syariah serta maqasidnya bukanlah ‘ilmu batini’, bukan juga ilmu ‘aqli yang bersifat teori dan teknikal seperti mantiq dan falsafah; bahkan ia merupakan himpunan hikmah dan makna yang ditujukan kepada sekalian mukallaf, dan mampu diambil manfaat oleh mereka, mengikut kadar dan usaha masing-masing.”

Seterusnya, Syeikh mengemukakan tiga peringkat pengajian Syariah dan maqasidnya:

  • Peringkat tertinggi yang dipelajari oleh ulama dan pelajar mutakhassis
  • Peringkat pertengahan untuk para pelajar yang bukan dalam bidang pengkhususan ilmu Syariah
  • Peringkat rendah yang lebih mudah, sesuai untuk orang awam yang mempunyai semangat dan perhatian terhadap Syariah

Kerana itulah kita dapati, terdapat ulama yang mengarang kitab khusus untuk mereka yang berada pada peringkat permulaan sesuatu bidang ilmu, antaranya:

  • Al-Muwatta’ oleh Imam Malik bin Anas, dalam bidang hadith
  • Al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil oleh Ibn Juzay al-Gharnati al-Maliki
  • Taqrib al-Wusul ila ‘Ilm al-Usul juga oleh Ibn Juzay al-Gharnati al-Maliki

Dalam bidang Maqasid pula, Imam Ibn Rasyid al-Maliki telah mengarang sebuah kitab yang berjudul “Lubab al-Lubab fi Bayan ma Tadhammanathu Abwab al-Kitab min al-Arkan wa al-Syurut wa al-Mawani’ wa al-Asbab” yang menghimpunkan faedah-faedah amali dan maqasid-maqasid ibadah yang ditulis secara khusus untuk orang awam.

 

Faedah amali daripada Maqasid Syariah

Seterusnya, Syeikh Raisuni menyenaraikan faedah amali dan praktikal kesan daripada pengetahuan terhadap Maqasid Syariah:

  • Menambah semangat untuk beramal

Setiap amalan yang diketahui maqasid serta faedahnya akan menjadikan kita lebih bersemangat ke arah pelaksanaannya, bersabar dalam menunaikannya dan berbahagia dengannya, dan begitu jugalah sebaliknya.

Kata Imam al-Munawi: Setelah seseorang hamba memahami rahsia-rahsia syariah dan menyingkap tabir-tabir yang menutup perintah dan larangan Allah SWT, hatinya menjadi luas dan lebih tangkas dan bersemangat untuk melaksanakan perintah Allah SWT serta menjauhi larangan-Nya. (Rujuk Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir 1/258)

  • Memandu dan memperbetulkan objektif amal ibadah

Apabila seseorang mukallaf itu beramal, dia hendaklah menjadikan objektif amalan tersebut bertepatan dnengan kehendak yang ditetapkan oleh Allah SWT. Kejahilan tentang objektif amal ibadat tidak akan menatijahkan kebaikan kepada pembuatnya.

Contohnya ialah sabda Rasulullah SAW:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلاَّ السَّهَرُ

Maksudnya: Boleh jadi seseorang itu berpuasa, tapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar; boleh jadi seseorang itu bangun solat malam, tapi tidak memperoleh apa-apa daripadanya kecuali hilangnya tidur.

Sunan Ibn Majah (1690)

Seseorang yang berpuasa pada siang hari, tapi berkali ganda pula makan dan minum pada waktu malam, atau yang berpuasa daripada makan dan minum tapi tetap bercakap, melihat dan melazimi perkara-perkara yang haram, mereka ini tidak memperoleh faedah daripada puasa mereka itu. Hal ini adalah disebabkan oleh kejahilan mereka terhadap maqasid puasa yang telah digariskan oleh syarak. (Rujuk Maqasid al-Maqasid, hlm. 119-132)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, Maqasid Syariah dalam erti kata himpunan hikmah dan makna pensyariatan yang ditujukan kepada seluruh manusia sememangnya mampu difahami, diambil manfaat serta diamalkan oleh setiap lapisan manusia. Namun kefahaman dan amalan tersebut adalah berdasarkan kadar dan usaha masing-masing, samada oleh para ulama, pemikir, pelajar atau orang awam.

Namun ini tidak bererti orang awam layak untuk mengistinbatkan maqasid daripada dalil-dalil syarak, kerana ia merupakan tugas para ulama dan mujtahid. Yang dimaksudkan dengan keperluan orang awam kepada Maqasid Syariah ialah kefahaman secara umum berdasarkan penjelasan para ulama dan mengambil manfaat ‘amali daripadanya untuk meningkatkan semangat dan kefahaman dalam melaksanakan ibadah.

Wallahu a’lam.