Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-70: PENGAMALAN PENDAPAT MAZHAB ATAU MAJORITI FUQAHA DI MALAYSIA

IUF070

SOALAN

“Saya ada beberapa soalan, kita umat Islam di Malaysia, ikut jumhur ulama atau Mazhab Syafie? Bila masa yang kita boleh ikut jumhur ulama? Adakah bila berlaku perkara khilaf? Terima kasih atas pencerahan. Jazakumullahu khairan kathira”.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Masyarakat awam perlu beramal mengikut mazhab Imam al-Syafi’i sepertimana yang ditetapkan oleh Ulil Amri diikuti dengan pandangan-pandangan mazhab selain mazhab Syafi’i termasuk pandangan yang mengikut hemat mufti dalam mengeluarkan fatwa bersandarkan kepada kefahamannya terhadap nas-nas mazhab tertakluk di bawah Akta yang ditetapkan oleh pihak berautoriti. Sementara itu, ilmuwan yang telah menguasai pelbagai disiplin ilmu dalam mengistinbat dan mengeluarkan sesuatu hukum, maka boleh untuk mengambil pandangan secara peribadi untuk pengamalan diri sendiri berdasarkan hasil kajian dan penelitiannya terhadap nas-nas dalam mazhab yang ada tanpa melibatkan masyarakat awam.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Rujukan yang utama bagi sesuatu hukum syariah ialah al-Quran dan sunnah dan menyusul selepas itu ijmak dan qias. Namun begitu, kefahaman terhadap nas-nas adalah berbeza antara mujtahid sehingga memberikan natijah hukum yang berbeza-beza mengikut mazhab fiqh. Menurut Imam Ahmad bin Muhammad al-Hanafi al-Hamawi tentang pengertian mazhab:

وأما اصطلاحا: ما اختص به المجتهد من الأحكام الفرعية الإجتهادية المستفادة من الأدلة الظنية

Bermaksud: Manakala Mazhab menurut istilah: bermaksud Hukum-hukum syarie yang bersifat far’i[1] dan ijtihadi[2] yang dihasilkan dari dalil-dalil yang bersifat zhanni oleh seorang mujtahid secara khusus.

(Rujuk: Ghamz ‘Uyun al-Basha’ir fi Syarh al-Asybah wa an-Nazha’ir, 1/37)

Terdapat empat mazhab yang utama iaitu mazhab Imam Abu Hanifah an-Nu’man, mazhab Imam Malik, mazhab Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i dan mazhab Imam Ahmad bin Hanbal. Sekiranya majoriti mazhab sepakat dalam sesuatu hukum permasalahan maka ini dipanggil Jumhur Fuqaha. Jumhur Fuqaha menurut Bahasa: Kebanyakan atau sebahagian manusia[3] . Memandangkan terdapat pelbagai pendapat dan pandangan mengikut mazhab dan aliran dalam Islam, maka timbul persoalan dari masyarakat mengenai pengamalan antara pandangan yang ada antara pendapat Jumhur Fuqaha dan pendapat dalam mazhab-mazhab yang tertentu.

Masyarakat dalam sesebuah negara mempunyai tahap pengetahuan ilmu agama yang berbeza begitu juga di Malaysia. Oleh itu, mereka yang tiada pengetahuan mengenai dalil dan hukum syarak dikategorikan sebagai masyarakat awam.[4] Manakala, ahli ilmu yang telah menguasai pelbagai disiplin ilmu dalam mengistinbat dan mengeluarkan sesuatu hukum dikenali sebagai mujtahid[5].

Bagi masyarakat awam, mereka perlu merujuk dan mengikut (taqlid) kepada pihak berautoriti dalam bidang agama yang menerangkan hukum syarie atau Mufti bagi sesuatu kawasan. Syeikh Zakaria al-Ansori menyatakan:

 (ويلزم غير المجتهد) المطلق عاميا كان أو غيره أى يلزمه (في غير العقائد) التقليد للمجتهد في الأصح

Bermaksud: Selain golongan mujtahid sama ada masyarakat awam atau selainnya perlu mengikut (taklid) pandangan mujtahid dalam mengetahui sesuatu hukum kecuali dalam perkara usul (akidah) menurut pendapat yang paling sahih.

(Rujuk: Ghayah al-Usul Syarh Lubbi al-Usul, m/s 322)

Oleh itu, masyarakat awam perlu mengikut pandangan mujtahid dan tidak boleh menetapkan hukum mengikut hemat sendiri. Bahkan mereka perlu berpegang kepada pandangan sesuatu mazhab mengikut kebiasaan sesebuah kawasan. Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikhul Islam Zakariya al-Ansori:

والأصح أنه يلزم المقلد التزام بمذهب معين من مذاهب المجتهدين

Bermaksud: Pandangan yang lebih tepat ialah orang yang bertaklid (masyarakat awam) perlu mengikut mazhab tertentu daripada mazhab-mazhab para Mujtahid.

(Rujuk: Ghayah al-Usul Syarh Lubbi al-Usul, m/s 326)

Justeru itu, masyarakat awam perlu beriltizam dengan suatu mazhab mujtahid. Hal ini bukanlah merupakan perkara yang luar biasa kerana terdapat negara-negara Islam lain yang turut melazimi sesuatu mazhab dalam penentuan hukum fiqh seperti di Maghribi yang beramal dengan mazhab Maliki, India yang beramal dengan mazhab Hanafi, Arab Saudi yang beramal dengan mazhab Hanbali begitu juga Malaysia yang beramal dengan mazhab Syafi’i secara lazimnya. Malaysia mempunyai undang-undang yang digubal mengenai pengamalan pandangan fiqh bagi masyarakat awam adalah mengikut pegangan mufti terhadap mazhab Syafi’i di kebanyakan negeri secara lazimnya.

Hal ini juga bertepatan dengan firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Bermaksud: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui"

Surah An-Nahl (43)

Berdasarkan ayat di atas, Imam Baidawi menyebut akan makna ayat di atas ialah kewajipan merujuk kepada para ulama’ dalam perkara yang tidak diketahui.

(Rujuk: Tafsir Al-Baidawi Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Takwil, m/s 693)

Maka, masyarakat awam di Malaysia perlu merujuk dan mengikut Pejabat Mufti atau Jabatan Agama Negeri untuk mengetahui sebarang hukum hakam fiqh. Hal ini kerana, urusan agama di Malaysia termasuklah pengamalan ritual agama tertakluk dibawah undang undang Islam negeri masing masing. Oleh yang demikian, orang Islam yang bermastautin di sesuatu negeri hendaklah mematuhi dan berpegang dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti negeri tersebut.[6] Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan Ulil Amri (pemegang kekuasaan) antara kamu

Surah An-Nisa (59)

Berdasarkan ayat ini Imam Baidhawi menerangkan maksud ulil amri itu ialah para pemimpin Muslimin pada zaman Rasulullah SAW dan selepasnya termasuklah para khalifah, para qadhi, dan ketua-ketua tentera. Allah SWT memerintahkan umat Islam agar mentaati mereka setelah Allah SWT memerintahkan mereka agar berlaku adil dalam urusan adalah sebagai peringatan bahawa wajib mentaati mereka selagi mana mereka berada dalam kebenaran.

 (Rujuk: Tafsir Al-Baidawi Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Takwil, m/s 282-283)

Maka dapat difahami bahawa rakyat wajib mentaati kepada pemerintah Ulil Amri. Hal ini termasuklah bidang kuasa seorang mufti yang diberi mandat daripada pemerintah untuk mengeluarkan sesuatu hukum mengikut kaedah yang ditetapkan.

Sebagaimana pengamalan di Wilayah Persekutuan, seorang mufti yang ingin mengeluarkan apa-apa fatwa atau memperakukan apa-apa pendapat, Mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie.[7]

Namun begitu, jika mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad mazhab Syafi’i akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, mufti bolehlah mengikut qaul muktamad mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.[8] Begitu juga, sekiranya mufti berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, mufti bolehlah menyelesaikan persoalan itu tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana mazhab yang empat itu.[9]

Oleh yang demikian, secara lazimnya pandangan yang diamalkan oleh adat kebiasaan masyarakat di Malaysia mempraktikkan amalan yang berpegang kepada mazhab al-Syafi’i yang sudah sebati pandangannya dalam permasalahan fiqh umumnya di Nusantara dan sekitarnya termasuk negara Malaysia. Namun sekiranya seseorang mufti tidak mendapati pendapat yang sesuai dengan kepentingan masyarakat awam, maka ketika ini seorang mufti boleh beramal dengan pendapat jumhur atau mazhab lain yang bersesuaian. Hal ini menunjukkan keluasan ilmu fiqh dan keterbukaan ahli ilmu dalam menetapkan sesuatu hukum.

 

KESIMPULAN

Maka berdasarkan penerangan dan penghujahan di atas, kita dapat disimpulkan bahawa masyarakat awam perlu beramal mengikut mazhab Imam al-Syafi’i sepertimana yang ditetapkan oleh Ulil Amri diikuti dengan pandangan-pandangan mazhab selain mazhab Syafi’i termasuk pandangan yang mengikut hemat mufti dalam mengeluarkan fatwa bersandarkan kepada kefahamannya terhadap nas-nas mazhab tertakluk di bawah Akta yang ditetapkan oleh pihak berautoriti. Sementara itu, ilmuwan yang telah menguasai pelbagai disiplin ilmu dalam mengistinbat dan mengeluarkan sesuatu hukum, maka boleh untuk mengambil pandangan secara peribadi untuk pengamalan diri sendiri berdasarkan hasil kajian dan penelitiannya terhadap nas-nas dalam mazhab yang ada tanpa melibatkan masyarakat awam.

[1] Cabang-cabang permasalahan fiqh.

[2] Permasalahan fiqh yang memerlukan kesungguhan Mujtahid dalam mengeluarkan hukumnya.

[3] Mu’jam al-Arabi al-Asasi, M/S 265.

[4]Bughyah al-Mushtaq Fi Syarh al-Luma’ Li Abi Ishak, M/S 358.

[5] Syarh al-Waraqat fi Ilmi al-Usul, M/S 131. 

[6] Akta 505, Seksyen 34(3).

[7] Akta 505, Seksyen 39(1).

[8] Akta 505, Seksyen 39(2).

[9] Akta 505, Seksyen 39(3).