Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #23: RAWATAN METHADONE ADALAH USAHA MURNI

metadone

 

Pada Jumaat yang lepas, 25 Januari 2019, saya dikunjungi oleh YB Nurul Izzah (Ahli Parlimen Permatang Pauh) dan juga dua pakar perubatan membincangkan berkenaan dengan isu pemulihan penagih dadah. Mereka ialah Prof. Dr. Mohamad Hussain Habil (Profesor di Department of Psychiatry, University MAHSA) dan Prof. Dr. Rusdi (Universiti Malaya).

Program Rawatan Terapi Gantian (RTG) Dadah telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak tahun 2005 bagi mencegah jangkitan dan penularan penyakit khususnya HIV/AIDS yang disebabkan oleh perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih dadah.[1]

Selepas berbincang dan mendapat maklumat daripada mereka, kami dapati usaha yang dilakukan untuk pemulihan penagihan dadah melalui rawatan terapi gantian atau seumpamanya perlu diberi sokongan. Tetapi semuanya itu memerlukan kepada kerjasama semua pihak lebih-lebih lagi mengikut perancangannya, ia akan dibuat di masjid.

Sejujurnya kami menyokong usaha ini. Namun ia amat memerlukan kepada kefahaman yang jelas di samping cara kawal selia yang tidak mengundang sebarang tuduhan atau sangkaan negatif. Begitu juga masyarakat hendaklah diberi sejumlah pengetahuan berkenaan rancangan terapi ini di samping menjadi pembantu dalam mempercepatkan pemulihan dengan sokongan, dokongan dan santunan daripada semua pihak.

Kami yakin apabila berlaku kolaborasi di antara pihak-pihak terbabit, seperti institusi agama, masjid, Kementerian Kesihatan Malaysia serta tokoh-tokoh masyarakat, maka usaha murni ini akan menatijahkan hasil yang amat lumayan dan pemulihan akan berlaku dengan lebih baik.

Semoga usaha seperti ini membawa kebaikan kepada masyarakat terutamanya mereka yang terjebak dengan dadah seterusnya membantu membebaskan daripada belenggu hamba dadah.

Harapan kami agar satu masa nanti, Malaysia akan menjadi negara yang sifar dadah.

_____________________________________________

[1] Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia di pautan: http://www.myhealth.gov.my/methadone-kaedah-rawatan-terapi-gantian-rtg-penagihan-dadah/