Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #44: ABDULLAH BIN BAYYAH YANG SAYA KENALI

syeikh bin bayyah kenali.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Alhamdulillah, pada hari ini 1 Muharram 1441 H, saya sempat menghadiri Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan penuh ceria.

Berkenaan isu Hijrah, kami telah ulas dengan panjang lebar dalam siri Bayan Linnas. Pada kali ini, kami ingin mengemukakan sedikit sejarah berkenaan susuk tubuh yang termasuk daripada ulama’ yang amat saya kagumi dan hormati. Beliau yang saya maksudkan ialah Syeikh Abdullah bin Bayyah yang telah menerima tokoh Anugerah Ma’al Hijrah Peringkat Antarabangsa 1441 Hijrah pada hari ini.

Kami titipkan di sini biografi ringkas beliau seperti berikut:

Beliau adalah Syeikh al-Allamah Abdullah bin Syeikh al-Mahfuz bin Bayyah. Beliau dilahirkan pada tahun 1935 di Wilayah Timbedra, Timur Mauritania yang terletak di barat laut Afrika.

Bapanya merupakan seorang ulama besar di Mauritania, iaitu Syeikh Mahfuz bin Bayyah yang juga merupakan Ketua Kesatuan Ulama Mauritania yang ditubuhkan selepas negara tersebut mencapai kemerdekaan.

Syeikh Abdullah bin Bayyah mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri, iaitu Syeikh Mahfuz bin Bayyah. Beliau kemudian mendalami ilmu bahasa Arab dengan al-Allamah Muhammad Salim ibn al-Syin. Dalam ilmu Ulum al-Quran pula, beliau mendapat didikan daripada Syeikh Bayyah al-Salik al-Masumi.

Peringkat tersebut turut menyaksikan penguasaan beliau dalam pelbagai bidang teras keilmuan Islam seperti bahasa Arab, balaghah, syair-syair Arab dan sebagainya. Ilmu-ilmu seperti fiqh, ulum al-Quran dan teori undang-undang turut didalami dan dikuasainya pada peringkat ini.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang undang-undang di Fakulti Undang-undang di Tunisia. Beliau turut menjalani latihan kehakiman sebagai persediaan untuk pelaksanaan sistem kehakiman di Mauritania.

 

Jawatan yang Pernah Disandang

Setelah menamatkan pengajian dan sekembalinya beliau ke tanah air, beliau telah dilantik memegang beberapa jawatan penting di Mauritania. Antaranya:

  • Hakim di Mahkamah Tinggi Republik Islam Mauritania
  • Ketua Urusan Syariah di Kementerian Kehakiman
  • Timbalan Presiden Mahkamah Rayuan
  • Perunding Utama berkenaan Hal Ehwal Agama di Republik Islam Mauritania
  • Menteri pertama bagi Kementerian Hal Ehwal Islam. Syeikh Abdullah bin Bayyah sendiri yang mencadangkan penubuhan kementerian ini yang mana kemudiannya beliau dilantik memegang jawatan ini.
  • Menteri Pendidikan Asas dan Hal Ehwal Agama
  • Menteri Sumber Manusia dan dalam masa yang sama memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri
  • Menteri Pembinaan dan Organisasi Parti Nasional.

Selain itu, beliau turut dilantik memegang beberapa jawatan lain, antaranya:

  • Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Global Pembaharuan dan Rasionalisasi yang berpusat di London
  • Pengerusi Jawatankuasa Syariah Majlis Kewangan Islam Perancis
  • Ahli Majlis Tertinggi di Pusat Pengajian Maqasid Syariah, United Kingdom
  • Ahli Persidangan Dunia Islam di Karachi
  • Ahli Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah
  • Mantan Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia

Kini, beliau merupakan Pengerusi Majlis Fatwa Emeriah Arab Bersatu (UAE) serta Presiden kepada Muntada Ta‘ziz al-Silmi fi al-Mujtama‘at al-Muslimah (Forum Memperkasa Keamanan dalam Masyarakat Muslim) yang berpangkalan di Abu Dhabi. Ia disertai oleh lebih daripada 250 orang ulama dan pemikir Islam. Syeikh Abdullah bin Bayyah bergiat aktif dalam mempromosikan tema keamanan di segenap pelosok dunia sama ada di negara Muslim atau sebaliknya.

 

Karya Penulisan

Syeikh Abdullah bin Bayyah turut aktif dalam bidang penulisan dan pengajaran. Beliau telah menghasilkan karya yang meliputi pelbagai bidang keilmuan Islam, antaranya:

  • Khitab al-Amn fi al-Islam wa Thaqafat al-Tasamuh wa al-Wi'am
  • Amali al-Dilalat wa Majali al-Ikhtilafat
  • Sadd al-Zaraiʻ wa Tatbiqatuhu fi Majal al-Mu’amalat
  • Fatawa Fikriyyah
  • Sinaʻah al-Fatwa wa Fiqh al-Aqalliyyat
  • Maqasid al-Muʻamalat wa Marasid al-Waqi’at
  • al-Irhab: al-Tasykhis wa al-Hulul
  • Hiwar 'an Bu'd Hawl Huquq al-Insan fi al-Islam
  • Athar al-Maslahah fi al-Waqf
  • Masyahid min al-Maqasid
  • Dalil al-Maridh Lima Lahu ‘Inda min al-Ajr al-‘Aridh
  • Adab al-Ikhtilaf
  • Al-Bahth Haula al-Rukyah wa al-Hisab li Ithbat al-Saum wa al-Iftar
  • Mafhum al-Jihad fi al-Islam
  • Waraqah Haul al-Irhab
  • Min Dawabit al-I’jaz al-‘Ilmi
  • dan lain-lain.

 

Pujian Dr. Yusuf al-Qaradhawi Terhadapnya

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi memujinya dengan menyebut: “Beliau seorang yang menghimpunkan antara hafazan yang terbaik dan sifat terbuka. Seorang yang amat menjaga maruah diri tetapi bukanlah sampai kepada tahap tertutup dengan orang ramai. Memudahkan dan bukanlah sampai kepada sifat yang tidak baik. Seorang yang bermazhab Maliki dan menguasai Fiqh Maliki sama ada dari segi matan, syarah, hawasyi dan manzumah yang pelbagai. Namun, beliau juga seorang yang alim dalam bidang Fiqh Umum serta Fiqh Muqaran. Beraqidah salafi akan tetapi beliau juga seorang ahli sufi yang rabbani yang memahami realiti semasa.”

Kata Dr Yusuf al-Qaradhawi lagi: Beliau menghimpunkan pada zaman kita asolah dan semasa. Seorang yang benar-benar memahami usul yang sampai kepada turath. Seorang yang cukup arif yang menekuni khazanah yang pelbagai sama ada dari segi Fiqh, Tafsir, Hadis, Tarikh, Adab dan lainnya. Tetapi beliau bukanlah terasing daripada zaman kita. Ibn Bayyah memahami yang terdahulu dan mu’asyasyah zaman sekarang serta memahami masa depan.”[1]

Demikianlah kata Dr Yusuf al-Qaradhawi.

Saya telah menemuinya beberapa kali dalam Persidangan Antarabangsa seperti anjuran Majma’ al-Fiqh al-Islami pada bulan Ramadhan yang lepas di Makkah al-Mukarramah. Ketika bertemu pada pagi ini, saya diperkenalkan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan dan saya nyatakan yang saya hadir seminar beberapa kali bersamanya. Jelas kelihatan, beliau begitu bersemangat dan gembira dengan perkhabaran itu. Selepas majlis, saya menemuinya sekali lagi untuk mengucapkan tahniah ketika sesi santapan. Lantas beliau bertanya kepada saya berkenaan ucapannya. Saya memujinya dan menyatakan bahawa sebahagian diterjemahkan dengan baik. Beliau menyampaikan ucaptama dengan penuh ilmiah dan hikmah yang tinggi.

Syeikh Abdullah bin Bayyah amat dihormati oleh pemerintah dan ulama’ dengan sikap tasamuhnya yang tinggi serta buah fikirannya yang matang yang disulami dengan ilmu, hikmah serta Maqasid Syariahnya.

Kami tertarik dengan ucapan yang dikemukakannya pada kepada khalayak masyarakat dan pemimpin negara sempena anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1441H di PICC pada pagi ini. Antara ucapannya:

  • “Pada setiap zaman, terdapat suatu kewajipan dan tuntutan tugas yang mesti dilaksanakan. Tugas tersebut ialah suatu cabaran besar kepada manusia yang hidup pada waktu tersebut. Kewajipan yang berbeza-beza sepanjang waktu ini, terhasil daripada realiti semasa yang sentiasa terikat dengan kemaslahatan dan kemudaratan.”
  • “Sehubungan itu, kewajipan masa kini adalah kewajipan untuk memperjuangkan keamanan. Semua manusia pada ketika ini, lebih-lebih lagi dunia Islam, sangat memerlukan keamanan. Beberapa insiden hitam yang telah berlaku sejak kebelakangan ini, menuntut kita semua supaya bersama-sama menggembleng usaha dan tenaga demi memadamkan api peperangan yang sedang marak menyala, setelah itu membentuk ketenangan dalam hati dan jiwa manusia. Kewajipan masa kini ialah usaha membasmi ekstremisme dan terrorisme.”
  • “Demikianlah matlamat yang kami ingin capai, menerusi pelbagai idea dan inisiatif. Di mana sahaja kami berada, seruan kami hanyalah satu iaitu seruan kepada keamanan dan bukannya peperangan. Seruan kepada keharmonian dan bukannya kebencian. Seruan kepada kasih sayang dan bukannya pergaduhan. Kami mencari jalan-jalan keamanan, bukannya mencari sebab-sebab pergaduhan dan peperangan jahiliah. Mesej kami kepada seluruh manusia adalah keamanan, kasih sayang, dan persaudaraan. Slogan kami adalah “memerangi peperangan”, agar hasilnya menjadi aman atas keamanan. Demikianlah tuntutan agama dan tanggungjawab kemanusiaan ke atas kami.”

Semoga Allah mengurniakan kepada Syeikh ini kesihatan yang baik sehingga dapat menyumbang kepada ummah dari segi ilmu dan hikmahnya.

Saya katakan kepadanya jazakallahu khairal jaza’ ‘anna wa ‘an al-muslimin.

 

Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

1 Muharram 1441 H bersamaan 1 September 2019

 

Nota Hujung:

[1] https://binbayyah.net/arabic/archives/521