Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 61/2026: ISU PENGANJURAN PROGRAM ‘GLAMPING WITH PRIDE’ : SATU TEGURAN DAN BIMBINGAN SYARAK

TintaMufti.jpg

TINTA MUFTI : ISU PENGANJURAN PROGRAM ‘GLAMPING WITH PRIDE’ : SATU TEGURAN DAN BIMBINGAN SYARAK

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda.

Baru-baru ini, pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah mengambil maklum mengenai penularan penganjuran sebuah program bertajuk ‘Glamping With Pride’ yang dikesan mempromosikan gaya hidup dan budaya songsang yang bertentangan dengan fitrah manusia. Penganjuran program berkenaan dilihat telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam. Sehubungan dengan itu, Tinta Mufti kali ini terpanggil untuk memberikan teguran dan bimbingan syarak berhubung isu ini sebagai pedoman bersama.

Larangan Mempromosikan Budaya Songsang

Agama Islam merupakan agama yang amat mementingkan aspek kesucian akhlak dan keutuhan sistem kekeluargaan yang dibina atas fitrah kejadian lelaki dan wanita. Penggunaan istilah ‘Pride’ yang secara global dikaitkan dengan gerakan LGBTQ+ (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) adalah satu usaha normalisasi terhadap perbuatan yang jelas diharamkan oleh Allah SWT.

Di dalam al-Quran, Allah SWT telah merakamkan kisah kaum Nabi Luth AS sebagai pengajaran tentang keji dan haramnya perbuatan songsang menerusi firman-Nya:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ

Maksudnya : “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?”

Surah al-A’raf (80)

Oleh itu, penganjuran program yang cuba menyuntik elemen-elemen ini biarpun dikaburi dengan aktiviti rekreasi yang kelihatan normal seperti glamping, penganjurannya adalah jelas dilarang kerana ia merupakan satu bentuk mempromosikan perbuatan maksiat dan dosa secara terbuka lebih-lebih lagi di negara Malaysia yang meletakkan agama Islam berada pada kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan. .

Dari perspektif Maqasid Syariah, penganjuran program sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl) dalam syariat Islam. Ini kerana pensyariatan pernikahan antara pasangan berlainan jantina bertujuan untuk mengembangkan zuriat manusia secara sah, di samping mencegah mafsadah (kerosakan) yang terhasil daripada perbuatan zina dan hubungan sejenis.

Bahkan, tindakan mempromosikan budaya ini dianggap sebagai menyebarkan fahsya’ (perkara keji) dalam kalangan orang beriman. Allah SWT berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang suka agar perbuatan keji itu tersebar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (Surah al-Nur: 19)

Selain daripada itu, perbuatan sebegini iaitu berbangga melakukan dosa secara terang-terangan merupakan suatu dosa tidak diampunkan oleh Allah SWT. Golongan ini disebut sebagai al-mujahirun berdasarkan hadis Nabi SAW:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ.

Maksudnya: “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya antara perbuatan mendedahkan dosa itu ialah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: “Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini.” Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.”

(Riwayat Al-Bukhari)

Tanggungjawab Pihak Berkuasa dan Masyarakat

Dalam konteks sebuah negara berdaulat, setiap penganjuran program awam mestilah menghormati sensitiviti agama, undang-undang dan norma budaya tempatan. Pihak berkuasa dan pemilik premis rekreasi perlulah lebih peka dan bertegas dalam menapis sebarang aktiviti yang cuba menormalisasikan budaya yang bertentangan dengan enakmen jenayah syariah sedia ada.

Masyarakat juga diseru agar tidak memberikan sebarang sokongan atau pengiktirafan terhadap program-program yang mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan aqidah dan akhlak anak muda kita. Sikap berdiam diri terhadap kemungkaran yang dipromosikan secara terang-terangan dikhuatiri akan mengundang bala yang menyeluruh.

Sebaliknya, masyarakat perlu bersama berusaha untuk mencegah perkara kemungkaran ini mengikut dengan kapasiti dan peranan masing-masing. Hal ini selaras dengan sabda Nabi SAW:

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان.

Maksudnya: Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.

(Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas sudah tentu perkara maksiat dan kemungkaran seperti ini tidak akan diredai oleh mana-mana orang yang mempunyai iman dalam hatinya. Setiap orang mukmin pasti berusaha untuk mencegahnya daripada apa yang termampu untuk mereka lakukan.

Kesimpulan

Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menasihati pihak penganjur agar membatalkan atau menghentikan sebarang aktiviti yang mempunyai unsur promosi budaya songsang. Bahkan, setiap individu dan golongan yang terlibat dalam program maksiat seperti ini perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman yang berat setimpal dengan kejelekan maksiat yang dilakukan tersebut. Namun jika ada dalam kalangan yang terlibat ingin bertaubat dan menyesal dalam perbuatan mereka tersebut, ketahuilah pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang ingin kembali kepada fitrah.

Oleh itu, berbanding penganjuran program sedemikian, umat Islam dan seluruh masyarakat di negara ini sewajarnya didedahkan dengan aktiviti rekreasi yang mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagai Pencipta alam semesta melalui penghayatan terhadap keindahan alam demi meningkatkan keimanan. Selain itu, aktiviti tersebut juga perlulah berupaya mengeratkan ukhuwah yang sihat dengan membina hubungan kemasyarakatan yang bersih daripada sebarang unsur maksiat, sekali gus berfungsi sebagai wadah untuk memelihara jati diri serta menjadi benteng ampuh daripada pengaruh budaya luar yang merosakkan.

Marilah kita bersama-sama menjaga kesucian bumi ini daripada segala bentuk kemungkaran agar rahmat dan keberkatan Allah SWT sentiasa menaungi kita semua.

Wallahu a’lam.

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

21 REJAB 1447H / 11 JANUARI 2026