Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-510 : HUKUM MENYERTAI MAJLIS ILMU ATAU USRAH TANPA KEBENARAN IBU BAPA

if510 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Apakah hukumnya menyertai usrah dan majlis ilmu sekiranya tidak diizinkan dan dilarang oleh ibu bapa?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

 

Tidak ada ketaatan dalam hal maksiat

Kami telah membahaskan sebelum ini hukum anak-anak menyakiti hati ibu bapanya dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-367 : Hak Ibu Ayah Campur Tangan Dalam Rumah Tangga Anak. Kesimpulannya, hukum menyakiti hati ibu bapa adalah haram dan berdosa besar. Namun begitu, bukan semua arahan ibu ayah wajib ditaati khususnya bagi perkara yang membawa kepada maksiat, dan perkara yang jika diselisihi tidak dianggap sebagai derhaka atau menyakitkan hati ibu bapa pada uruf.

Mempelajari ilmu agama dan menyertai halaqah-halaqah ilmu adalah keperluan seseorang Muslim. Kami telah menghuraikannya dalam beberapa penulisan kami, antara Irsyad Al-Hadith Siri Ke-109: Kelebihan Menuntut Ilmu; Irsyad Al-Hadith Siri Ke-191: Ilmu Itu Dengan Belajar. Seseorang itu tidak boleh dilarang atau dinafikan haknya untuk belajar ilmu, khususnya ilmu agama, melainkan larangan tersebut bertujuan sebagai sadd al-dzari`ah (menutup jalan daripada kerosakan) seperti difatwakan oleh para ulama berkenaan larangan kepada orang awam yang jahil memiliki buku astrologi, sihir dan falsafah, bahkan wajib menghapuskannya.

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (9/253) oleh Imam al-Nawawi; Fatawa Ibn Solah (1/210).

Termasuk dalam larangan ini, apa-apa program yang dianjurkan bertujuan untuk menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Rujuk Tashih Al-Mafahim #5: Kewajipan Melazimi Ahli Sunnah Wal-Jamaah; Fatwa Berkenaan Dengan Larangan Mengamalkan Ajaran Yang Menyalahi Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Oleh itu, anak-anak yang mempelajari ilmu agama yang sahih tanpa kebenaran ibu bapa tidak boleh dianggap sebagai menderhaka dan diharuskan bagi anak-anak itu untuk menggunakan hikmah kebijaksanaan mereka untuk berhelah supaya tidak menyakiti hati ibu bapa. Pedoman ini boleh dilihat dalam hadis riwayat Suhaib RA bahawa Rasulullah ﷺ menceritakan kisah Ashab al-Ukhdud yang popular perihal pemuda beriman yang berhelah dengan ibunya yang menyuruhnya belajar dengan ahli sihir raja tetapi pemuda itu belajar ilmu tauhid daripada rahib yang beriman. Berkata rahib:

إِذَا خَشِيتَ السَّاحِرَ، فَقُلْ: حَبَسَنِي أَهْلِي، وَإِذَا خَشِيتَ أَهْلَكَ فَقُلْ: حَبَسَنِي السَّاحِرُ

Maksudnya: “Jika engkau takutkan tukang sihir maka katakanlah: keluargaku menahan aku. Jika engkau takutkan keluargamu, maka katakanlah: ahli sihir menahan aku.”

Riwayat Muslim (no.3005)

Hak untuk pendidikan

Dalam masa yang sama, kita perlu membezakan hak pendidikan bagi orang dewasa yang berumur 18 tahun ke atas dan hak kanak-kanak.  Ini berdasarkan peruntukan dalam Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyatakan:

  • “Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.
  • Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.”

Rujuk Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-267 : Adakah Sah Pengislaman Kanak-Kanak?

Perkara 12 memberikan kuasa kepada ibu bapa untuk menentukan pendidikan agama kanak-kanak sehinggalah mereka mencapai umur dewasa. Apabila seseorang itu mencapai umur 18 tahun, maka dia sudah pun baligh mengikut kesepakatan ulama, boleh menguruskan urusan sendiri seperti perkahwinan, dan boleh mengatur kehidupannya sendiri.

Ini bersesesuan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Setiap anak yang dilahirkan itu berada dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Riwayat al-Bukhari (no.1358)

Daripada Sabrah bin Ma`bad al-Juhani, Rasulullah ﷺ bersabda:

مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا

Maksudnya: “Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).”

Riwayat Abu Daud (no.494)

Ulama mengqiyaskan tanggungjawab ini kepada kefardhuan lain seperti puasa. Rujuk Irsyad Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-163: Pada Umur Berapakah Anak-Anak Perlu Dididik Berpuasa

Justeru, ibu bapa bertanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak sehingga mereka dewasa. Apabila anak-anak sudah dewasa, maka mereka pula perlu bertanggungjawab terhadap keperluan ilmiah mereka sesuai dengan zaman, tempat dan keperluan hidup mereka.

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa menyertai usrah atau majlis ilmu tanpa kebenaran ibu bapa adalah diharuskan dengan syarat-syarat berikut:

  • Hendaklah majlis ilmu dan usrah itu dilaksanakan berdasarkan ilmu yang sahih, dan tidak bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, seperti mempromosikan keganasan, pentakfiran, ajaran yang difatwakan sesat dan menyeleweng, atau apa-apa ajaran yang menyalahi Hukum Syarak dan undang-undang negara.
  • Tidak melakukan perkara yang sengaja menyakiti hati ibu bapa. Justeru, sewajarnya bagi anak-anak yang sudah dewasa untuk menggunakan hikmah kebijaksanaan untuk memberikan penjelasan kepada ibu bapa dan dibenarkan untuk berhelah bagi tujuan untuk mempelajari ilmu yang sahih, sekiranya jika diketahui akan menyakiti hati ibu bapa.

Kebiasaannya, tiada ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anak mereka mempelajari ilmu agama yang betul. Namun begitu, wujud pada hari ini gerakan-gerakan yang menyebarkan kefahaman dan ideologi yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, mengancam keselamatan, keharmonian dan kerukunan masyarakat, serta membina sentimen ketaksuban kepada sesuatu kumpulan, dan kesan-kesan buruk yang lain. Justeru, apabila ibu bapa melarang anak-anak daripada mengikut usrah atau majlis ilmu kumpulan tertentu kerana bimbang dengan pemikiran dan keselamatan anak-anak mereka khususnya yang berumur bawah 18 tahun, maka sewajarnya arahan mereka ditaati. Namun begitu, ini tidak menjadi alasan untuk menghalang hak kanak-kanak itu untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna, di bawah tanggungjawab ibu bapa. Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ memberikan kita kefahaman yang benar terhadap agama-Nya. Amin