Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #33: TRAGEDI BERDARAH DI SRI LANKA

SRILANKA

Mukadimah

Kami menzahirkan rasa sedih dan sebak atas kejadian siri letupan yang menggegarkan beberapa lokasi iaitu Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel, Kingsbury Hotel dan Gereja St Barnabas di Batticaloa di Colombo. Laporan setakat 22 April 2019 menyebut bahawa tragedi tersebut telah mengorbankan lebih 290 orang. Jurucakap polis memaklumkan, angka mangsa cedera turut meningkat kepada 500 orang berbanding 450 seperti yang dilaporkan sebelum ini.[1]

Dari lubuk hati kami, dirakamkan setinggi ucapan takziah yang kami tujukan kepada pihak gereja, pemilik hotel yang terlibat, keluarga dan kaum kerabat mangsa dan kerajaan Sri Lanka dan seluruh penganut Kristian yang pastinya sedang berhadapan dengan situasi yang amat kritikal dan sukar.

Menurut maklumat yang kami perolehi daripada laporan media, sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab, atau yang telah terbukti mendalangi siri pengeboman yang dilakukan ketika penganut Kristian meraikan Hari Easter itu. Maka kami menggesa agar mana-mana pihak tidak menuding jari dan menuduh secara melulu, selain terus mendoakan agar pihak berkuasa Sri Lanka berjaya menangkap dalang yang bertanggungjawab, serta membawanya ke muka pengadilan. Sesiapa pun jua pengganasnya, telah melakukan tindakan yang zalim dan berdosa.

 

Menyokong Kenyataan Yang Dipertuan Agong

Kami turut menyokong kenyataan Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jenayah tersebut:

“Seri Paduka juga mengucapkan takziah dan simpati tidak terhingga kepada mangsa jenayah tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun itu, yang disasarkan kepada orang tidak berdosa ketika sambutan perayaan Easter iaitu ketika penganut Kristian sedang berkumpul untuk berdoa dan merayakan sambutan itu.

“Baginda turut menyatakan sokongan dan solidariti Malaysia dengan mangsa, keluarga mereka dan rakyat Sri Lanka.”

Selain itu, Baginda al-Sultan Abdullah juga yakin rakyat Sri Lanka akan terus bersabar mempertahankan kekuatan dan kemanusiaan mereka dalam menghadapi tragedi amat mengerikan itu.[2]

 

Kenyataan Syeikh al-Azhar dan Mufti Mesir

Kami kemukakan terlebih dahulu kenyataan ringkas Syeikh al-Azhar Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Tayyeb:

“Kami tidak dapat menggambarkan bagaimana sifat manusia boleh memfokuskan untuk mengenakan serangkan terhadap golongan yang dalam keadaaan aman pada hari perayaan mereka. Beliau menambah dalam kenyataannya di facebook al-Azhar al-Syarif pada pagi Ahad dengan kenyataan bahawa mereka yang ekstremis telah bertentangan naluri fitrah mereka bersama semua nilai ajaran semua agama. Justeru, kami mengajak untuk mangsa agar sentiasa bersabar dan bagi mereka yang tercedera semoga dikurniakan kesembuhan.”[3]

Kami juga turut menyokong sepenuhnya kenyataan rasmi Mufti Republik Mesir Prof Dr. Syauqi Ibrahim ‘Allam yang menyatakan bahawa perbuatan merosakkan rumah ibadat dan menumpahkan darah merupakan satu perbuatan yang dilarang oleh semua agama, lantaran ia membawa kepada kebencian dan fitnah dalam masyarakat dan mampu menjerumuskan sesebuah negara ke dalam kancah perang saudara.

Beliau turut mendoakan supaya rakyat Sri Lanka akan memberi kerjasama yang padu kepada pihak berkuasa negara tersebut bagi menangkap pihak yang bertanggungjawab, serta bersatu-padu dalam menghadapi ancaman ekstremisme dan keganasan.[4]

 

PenghormatanTerhadap Rumah Ibadat Agama Lain

Istilah gereja dikenali dalam istilah fiqh sebagai al-kanisah. Terdapat ulama yang mengumumkan istilah al-kanisah kepada rumah ibadat agama Kristian dan Yahudi, tapi Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari mengkhususkannya kepada rumah ibadat agama Kristian. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 38/148 dan Hasyiyah al-Jamal, 5/223)

Islam merupakan sebuah agama yang penuh dengan rahmah dan toleransi. Penghormatan terdapat rumah ibadat agama lain dirakamkan dalam al-Qur’an melalui firman Allah SWT:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّـهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّـهِ كَثِيرًا ۗ

Maksudnya: Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya.

Surah al-Hajj (40)

Selain itu, terdapat juga satu riwayat yang menyebut bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah menulis surat kepada pasukannya yang antara lain tertulis:

أَلاَّ يَهْدِمُوا بِيعَةً وَلاَ كَنِيسَةً وَلاَ بَيْتَ نَارٍ

Maksudnya: “Janganlah kalian menghancurkan biara Yahudi, gereja Kristian dan rumah (sembahan) api Majusi.” (Rujuk Al-Mausu'ah Al-Kuwaitiyyah 7/129, Fath al-Qadir 5/300, Ibn Abidin 3/263, Mughni al-Muhtaj 4/254, Asna al-Matolib 4/220 dan Hasyiyah Qalyubi 4/234-235)

Maka, perbuatan meletupkan bom di gereja seperti yang telah berlaku baru-baru ini, bukanlah daripada ajaran Islam. Malah, akal yang sihat sudah pasti mengutuk keras perbuatan tersebut yang bercanggah dengan mana-mana ajaran agama, mahupun moral sebagai seorang manusia.

Kenyataan Mufti Wilayah

Sesungguhnya dalam meniti sebuah kehidupan, maka sudah tentu semua masyarakat dan penganut agama mahukan kedamaian, keamanan serta keharmonian. Islam mempunyai suatu pandangan yang khusus terhadap ahli kitab sama ada mereka bermastautin di negara Islam, mahupun di tempat lain. Apa yang penting, bahasa yang digunakan oleh al-Qur’an ketika memanggil ahli kitab, maka dipanggil dengan panggilan ‘wahai ahli kitab’ dan juga dengan panggilan ‘wahai orang yang diberikan kitab’. Ini jelas menunjukkan bahawa sesungguhnya mereka berasal daripada golongan yang menganuti agama samawi yang diturunkan dari langit.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata:

“Oleh yang demikian, antara mereka (ahli kitab) dengan kaum Muslimin mestilah mempunyai unsur pertalian kerabat, yang disimpulkan padanya asal kepercayaan yang satu, iaitu agama yang diutus oleh Allah SWT dengan agama sekalian para Nabi, sebagaimana firman Allah SWT:

شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ ۖ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ ۚ

Maksudnya: Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya".

Surah al-Syura (13)

Golongan Muslimin dituntut untuk mempercayai dengan semua kitab Allah SWT tanpa ada sebarang pengecualian, di mana tidak akan diakui keimanan mereka melainkan dengan mempercayai keseluruhan apa yang ditegaskan dalam al-Qur’an al-Karim. (Rujuk Halal dan Haram dalam Islam, hal. 643)

Kami tegaskan di sini bahawa kejadian serangan yang berlaku merupakan satu kemalangan, malapetaka dan jenayah kemanusiaan di luar norma manusia yang berakal dan mengikut fitrah manusiawi yang sebenar. Sifat kasih sayang dan menghormati sesama manusia telah hilang dari kamus kehidupan mereka dek kerana kerasnya hati (qasawatul qalb) sehingga tiada lagi insan yang ada sifat keinsanan (insaniyyatul insan), sedangkan tuntutan Islam yang sebenar adalah untuk menzahirkan sifat ihsan kepada seluruh khalayak masyarakat.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar diberi kesabaran kepada keluarga mangsa dan disembuhkan yang tercedera dan awan hitam berarak lalu, dan digantikan dengan cahaya kedamaian dan keharmonian. Salam takziah daripada kami, kepada semua penganut Kristian.

 

Akhukum fillah,

Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

23 April 2019

 

[1] https://www.sinarharian.com.my/article/24664/GLOBAL/Lapan-letupan-dalam-sehari

[2] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/555788/agong-kutuk-serangan-keganasan-di-sri-lanka

[3] www.msn.com/ar-eg/news/national/استهداف-الآمنين-أول-تعليق-لشيخ-الأزهر-على-تفجيرات-سريلانكا/ar-BBW8TJz?ocid=Akhbarak

[4] https://www.facebook.com/438006193062541/posts/1050507635145724?sfns=mo