Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-45: ISU BRELFIE (BREASTFEEDING + SELFIE)

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Mukadimah

Isu breastfeeding menjadi topik yang hangat diperbincangkan oleh para netizen sekitar minggu ini. Ianya menjadi viral setelah segelintir ibu-ibu di Malaysia memuatnaik gambar mereka di media-media sosial ketika sedang menyusukan bayi mereka dan kami berpendapat isu ini perlulah dinilai dari kacamata syara’ dan juga keluhuran akhlak islamiyyah serta moral.

Islam amat menitikberatkan  persoalan nafkah isteri dan anak-anak. Bermula di awal alam perkahwinan sehinggalah berkembangnya keluarga itu maka Islam ada hukum-hukum yang berkaitan dengannya. Salah satu daripadanya ialah menyusukan bayi atau di dalam istilah fiqhnya dinamakan al-Rido’ ( الرِّضَاعُ ) ataupun al-Rado’ ( الرَّضَاعُ ).

Mengikut pengistilahan para ulama, al-Rido’ bermaksud kata nama yang bertujuan untuk menyampaikan susu seorang perempuan ataupun apa yang terhasil daripada susunya ke dalam perut bayi. [Lihat Ifadah al-Raghibin Syarh Minhaj al-Tolibin oleh Prof. Dr. Mustafa al-Bugha, 3/1446]

Ianya satu bab yang sangat penting di dalam fiqh kerana dengannya boleh tersabit hukum mahram disebabkan oleh penyusuaan dan mengakibatkan beberapa hukum-hakam yang berkaitan dengan nasab.

 

 

Hukum Menyusukan Anak

Asal pensyariatan menyusukan anak adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.

(Al-Baqarah: 233)

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam tafsirnya menyebut bahawa ayat ini adalah petunjuk buat para ibu agar menyusukan anak-anak mereka dengan sempurna iaitu selama dua tahun dan jika melebihi dua tahun ianya tidak mendatangkan hukum haram. Namun arahan ini bukanlah bersifat wajib tetapi ianya bersifat istihbab (sunat) seperti dinyatakan oleh al-Imam al-Baghawi Rahimahullah di dalam tafsirnya. Ini juga berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنۡ أَرۡضَعۡنَ لَكُمۡ فَ‍َٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ وَأۡتَمِرُواْ بَيۡنَكُم بِمَعۡرُوفٖۖ وَإِن تَعَاسَرۡتُمۡ فَسَتُرۡضِعُ لَهُۥٓ أُخۡرَىٰ 

Maksudnya: Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya. 

(Al-Talaq: 6)

 

 

Sifat Malu, Wanita & Islam

Malu itu adalah perhiasan wanita. Al-Quran juga tidak lepas dari memperkatakan tentangnya. Firman Allah SWT:

فَجَآءَتۡهُ إِحۡدَىٰهُمَا تَمۡشِي عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ قَالَتۡ إِنَّ أَبِي يَدۡعُوكَ لِيَجۡزِيَكَ أَجۡرَ مَا سَقَيۡتَ لَنَاۚ

Maksudnya: Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:" Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami".

(Al-Qasas: 25)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di Rahimahullah di dalam tafsirnya mengatakan ayat ini menunjukkan kepada mulianya keturunan dan baiknya akhlak wanita tersebut. Sesungguhnya malu itu adalah dari akhlak-akhlak yang terpuji khususnya pada wanita. [Lihat Tayseer al-Karim al-Rahman, hlm. 614]

Kami melihat isu ini adalah isu akhlak dan juga nilai moral yang perlu dititikberatkan oleh setiap muslim dan ianya masih boleh diperbetulkan dan diluruskan. Hukum menyusukan anak di tempat awam dengan menjaga aurat dan adab adalah dibolehkan namun yang menjadi masalahnya di sini apabila perbuatan memuatnaik gambar sedang menyusukan anak di media sosial dan menjadi ratapan ribuan mata yang melihatnya.
 
 
Sebelum adanya media-media sosial, para ibu dahulu juga menyusukan anak-anak mereka di tempat awam meskipun pada waktu itu kemudahan awam tidaklah semoden kini. Ibu-ibu pada waktu tersebut juga menyedari akan kebaikan susu ibu buat bayi dan mereka menyusukan bayi mereka demi memenuhi kewajipan sebagai seorang ibu. Namun, apabila melihat kepada tanggungjawab dan kesedaran para ibu tersebut, kita melihat para ibu dahulu amat menitikberatkan soal akhlak dan moral meskipun pada asalnya perbuatan tersebut tidaklah salah.
 
 
Rasulullah SAW selalu mengingatkan kita tentang perihal pentingnya akhlak dan salah satunya adalah sifat malu. Bahkan malu itu juga sering dikatkan dengan perihal iman seseorang. Sabda Rasulullah SAW:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: Iman itu lebih dari enam puluh cabang dan malu itu satu cabang dari iman.

Riwayat al-Bukhari (9)

Begitu juga dalam satu hadith yang menyifatkan Nabi SAW sebagai seorang yang sangat pemalu. Ini berdasarkan hadith Abu Sa’id al-Khudri RA:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَشَدَّ حَيَاءً مِنَ الْعَذْرَاءِ فِي خِدْرِهَا

Maksudnya: Adalah Nabi SAW itu tersangatlah pemalu orangnya mengalahkan anak-anak dara di dalam kelambu.

Riwayat al-Bukhari (6119)

Dalam hadith yang lain, dari ‘Imran bin Husayn RA, Rasulullah SAW bersabda:

الْحَيَاءُ لاَ يَأْتِي إِلاَّ بِخَيْرٍ

Maksudnya: Malu itu tidak datang kecuali dengan kebaikan.

Riwayat al-Bukhari (6117) & Muslim (37)

 

Dalam banyak-banyak hadith yang menceritakan tentang sifat malu, terdapat satu hadith yang sangat terkesan maknanya iaitu sabda Rasulullah SAW yang berbunyi:

إِذَا لَمْ تَسْتَحِي فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Maksudnya: Jika kamu tidak merasa malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu inginkan.

Riwayat al-Bukhari (6120)

Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah dalam mensyarahkan hadith tersebut menyatakan bahawa jika sesuatu perkara tersebut tidak memalukan, maka lakukanlah manakala jika ianya suatu perkara yang memalukan, maka tinggalkan ia. [Lihat Fath al-Baari, 10/523]

Menyusukan anak bukanlah sesuatu perkara yang memalukan kerana ianya adalah perkara yang menjadi kebiasaan para ibu. Begitu juga apabila melihat kepada bayi yang mana akan menangis apabila kelaparan dan tidak mengenal erti di mana sahaja, maka seorang ibu itu perlu bersedia di mana sahaja untuk menyusukan anaknya. Keadaan begitu difahami oleh masyarakat setempat, namun perbuatan memuatnaik gambar sedang menyusukan anak ke laman sosial amatlah tidak menepati ciri-ciri akhlak Islami yang sebenar yang mana boleh mengundang fitnah ke atas diri ibu tersebut.

 

Kisah Ibrahim al-Nakha’ie Bersama Anak Muridnya

Diriwayatkan bahawa Ibrahim al-Nakha’ie adalah seorang yang buta dan anak muridnya, Sulaiman bin Mehran al-A’masy pula seorang yang rabun. Satu hari keduanya berjalan bersama-sama menuju ke masjid. Kata Ibrahim: “Sulaiman, apa kata kamu ikut jalan yang lain manakala aku pula ikut jalan yang lain kerana aku takut nanti orang ramai melihat kita lalu berkata si buta dipimpin si rabun lalu mereka mengumpat kita dan mendapat dosa”. Kata Sulaiman: “Wahai guruku, apa salahnya kita akan mendapat ganjaran pahala dan mereka (yang mengumpat) berdosa”. Jawab Ibrahim: “Tidak, kita selamat dan mereka juga selamat itu lebih baik dari kita diberi ganjaran pahala sedangkan mereka mendapat dosa”. [Lihat al-Muntazom fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam karya Ibn al-Jawzi, 7/22]

Lihatlah akhlak yang telah ditonjolkan oleh Ibrahim al-Nakha’ie yang mana beliau bertanggungjawab ke atas perbuatannya. Boleh saja mereka berdua berjalan bersama untuk pergi ke masjid. Namun, apabila memikirkan mulut dan hati manusia lain yang tidak boleh di kawal dari mengumpat dan mencaci, maka mereka menggunakan jalan yang lain agar jauh dari manusia yang lain. Mungkin kita lebih suka untuk mendapat pahala hasil daripada umpatan orang lain sedangkan tanpa kita sedari perbuatan kita itu sendiri yang telah mengundang cacian dan umpatan. Ini tidak disukai oleh Ibrahim al-Nakha’ie dan baginya jika kedua-duanya terselamat adalah lebih baik.

Begitulah realiti pada masa kini. Janganlah kita cuba untuk menempah fitnah dengan perbuatan kita yang pada asalnya tidak bermasalah namun, jika tidak kena cara dan tempatnya boleh mengundang fitnah. Mentaliti seseorang yang mengatakan, “Biarlah aku nak buat apapun. Kalau orang mengumpat aku, aku yang dapat pahala” sangat tidak selari dengan prinsip dan akhlak Islami yang mana suka akan ditutupnya pintu-pintu fitnah dari tersebar luas.

 

 

Saranan Kami

Pertamanya, kami rasakan isu ini lebih kepada tersilap dalam percaturan dan kami amat memahami situasi yang berlaku itu. Justeru, apa yang perlu adalah mengambil iktibar dengan hal yang terjadi supaya ianya tidak diulangi lagi. Di sini, ingin kami kemukakan beberapa saranan, antaranya:

  1. Pilihlah tempat yang tertutup ketika menyusukan bayi mekipun di tempat awam.
  2. Tidaklah perlu selfie ketika menyusu sekalipun menutup aurat.
  3. Pilihlah pakaian yang sopan, menutup aurat yang mana akan menyenangkan proses penyusuaan bayi.
  4. Berbincanglah dengan suami cara yang terbaik untuk selesaikan isu penyusuaan anak.
  5. Kemudahan-kemudahan seperti bilik khas untuk menyusukan bayi perlu banyak diasaskan terutamanya di tempat-tempat awam, pusat-pusat membeli belah dan juga tempat-tempat yang difikirkan perlu.

Adapun mereka yang terlibat mengeluarkan kata-kata kesat, caci maki dan juga perkataan-perkataan yang tidak selayaknya keluar dari mulut seorang muslim dalam memberikan komentar tujahan dalam isu ini, maka ini jelas bercanggahan dengan akhlak yang telah diajarkan oleh Islam. Tidaklah menegur seseorang yang melakukan kesilapan itu dengan maki hamun, namun ianya perlulah ditegur dengan penuh hikmah. Ianya berbetulan dengan firman Allah SWT:

 

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ

 

Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.

 

(Al-Nahl: 125)

 

Kata Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah di dalam Madarij al-Salikin, ‘hikmah’ itu adalah melakukan sesuatu yang tepat, di tempat yang betul dengan cara yang sesuai. Maka dalam menegur juga perlukan hikmah. Biarlah apa yang ditegur itu dapat memberikan kesedaran dan bukannya menambahkan lagi kebencian buat orang yang menegur.

 

Semoga Allah SWT merahmati kita dan menunjukkan kita jalan yang benar dalam melayari bahtera kehidupan  serta meraih keredaannya. Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

13 Januari 2016 bersamaan 3 Rabi’ al-Akhir 1437H