Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-247: SAMBUTAN BULAN SOLAT KEBANGSAAN

Bayan linnas 247

MUKADIMAH

Bersempena dengan bulan Rejab yang mulia ini, marilah kita merenung sebuah firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Al-Isra’, 17: 1

Ayat ini menerangkan berkenaan salah satu mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj, yang berlaku sekitar setahun atau setahun setengah sebelum hijrah Nabi Muhammad SAW ke bumi Madinah, dan menurut satu pendapat yang masyhur bahawa peristiwa ini berlaku pada bulan Rejab.[1]

Di antara perkara penting yang berlaku ketika peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah turunnya perintah solat fardu lima waktu secara khusus. Kisah ini ada diceritakan secara panjang lebar di dalam sebuah hadis sahih berkenaan Israk Mikraj yang diriwayatkan oleh Malik bin Sa‘sa‘ah R.Anhuma.[2]

Bertitik tolak daripada kisah dan peristiwa Israk Mikraj ini, pada 4 Febuari 2022, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengambil inisiatif melancarkan kempen “Sambutan Bulan Solat Kebangsaan[3]. Ia bertujuan menyemarakkan ruh dan semangat umat Islam untuk mempertingkat amal ibadah di samping memberi kesedaran kepada masyarakat akan kewajipan solat yang diperintahkan pada bulan Rejab ini.[4]

YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam ucapannya sewaktu merasmikan Sambutan Bulan Solat Kebangsaan menyatakan[5]:

“Sambutan bulan solat kebangsaan ini menunjukkan peri pentingnya usaha memperkasakan amalan solat dalam kalangan masyarakat sebagai suatu inisiatif bagi menangani masalah sosial yang berlaku pada hari ini.”

YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyambut baik idea dan usaha murni yang diketengahkan ini dan mengharapkan ia mendapat sokongan dan dokongan dari setiap peringkat masyarakat Islam di negara ini.

TUNTUTAN KEWAJIPAN SOLAT

Solat merupakan salah satu ibadah penting dalam kehidupan seorang Muslim. Ia juga merupakan paksi utama keimanan seseorang Mukmin. Dalam rukun Islam, solat berada pada kedudukan kedua setelah mengucapkan dua kalimah syahadah. Dalam satu riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya:  Islam dibina di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha Illallah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, dan berpuasa pada bulan Ramadan.[6]

Riwayat Muslim (16)

Solat juga merupakan tiang agama sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Nabi SAW:

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ

Maksudnya: Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad.[7]

Riwayat al-Tirmizi (2616)

Bahkan, ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Maksudnya: Sesungguhnya amalan pertama seorang hamba yang akan dihisab oleh Allah SWT adalah solatnya. Jika elok solatnya maka dia akan berjaya (dalam proses hisab tersebut), jika rosak solatnya maka dia adalah orang yang rugi.[8]

Riwayat al-Tirmizi (413)

Oleh itu, dalam apa keadaan sekalipun umat Islam perlu menunaikan solat kerana ia merupakan kewajipan yang Allah SWT perintahkan ke atas sekalian mukalaf. Perihal kewajipan ini telah banyak disebutkan di dalam nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW, antara firman Allah SWT yang jelas menekankan kewajipan mengerjakan solat:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Al-Nisa, 4:103

Ayat ini merupakan salah satu dalil kefarduan solat ke atas umat Islam seluruhnya. Setiap individu Muslim yang mukalaf berkewajipan menunaikan solat melainkan terdapat sebarang keuzuran Syar‘ie yang menggugurkan kewajipan atau meringankannya. Oleh itu barangsiapa yang meninggalkan solat disebabkan keuzuran seperti terlupa atau tertidur, maka hendaklah dia menggantikannya sebaik sahaja tersedar ataupun terjaga. Adapun bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja yakni kerana mengingkari kewajipannya, maka terbatal imannya dan terkeluar daripada agama Islam. Manakala bagi mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau melengah-lengahkannya, maka dia dikira melakukan dosa besar dan hendaklah dia menggantikannya (qada’) semula sesegera mungkin.[9]

KEUTAMAAN SOLAT BERJEMAAH

Sambutan Bulan Solat Kebangsaan ini turut dipenuhi dengan pelbagai program dan kempen yang dirancang bersama-sama dengan pihak Jabatan Agama Negeri dan juga pihak NGO bagi membantu merancakkan lagi program sambutan ini. Antara pengisian utama dalam sambutan yang dianjurkan ini ialah penganjuran kempen solat berjemaah.

Sebagaimana maklum, solat berjemaah merupakan satu syiar yang perlu dipertahankan dan ditunaikan oleh umat Islam. Ia juga merupakan satu wasilah dan cara untuk memupuk mahabbah dan kasih sayang serta semangat tolong menolong antara sesama Muslim. Ia adalah sunnah muakkadah (yakni sunnah yang dituntut) dan makruh hukumnya jika meninggalkan solat berjemaah.

Dalil pensyariatan jelas dinyatakan melalui firman Allah SWT di dalam, surah al-Nisa’ ayat 102;

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِّنْهُم مَّعَكَ وَلْيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا فَلْيَكُونُوا مِن وَرَائِكُمْ وَلْتَأْتِ طَائِفَةٌ أُخْرَىٰ لَمْ يُصَلُّوا فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا حِذْرَهُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ ۗ....الآية

Maksudnya: “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing.”….hingga akhir ayat.

Ayat ini menunjukkan betapa pentingnya mengerjakan solat secara berjemaah meskipun di dalam situasi perperangan. Maka dalam erti kata lain, sudah semestinya dalam keadaan yang aman lebih digalakkan untuk melakukan solat berjemaah.[10]

Selain itu terdapat banyak hadis yang menjelaskan tentang kepentingan dan fadilat solat berjemaah, antaranya sabda Rasulullah SAW:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: Solat secara berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.[11]

Riwayat Muslim (650)

SOLAT DAN KAITANNYA DENGAN KEHIDUPAN

Kempen solat ini juga bertujuan memastikan masyarakat Islam di pelbagai lapisan umur dapat melaksanakan solat dengan sempurna melalui program dan aktiviti yang telah diatur sepanjang sambutan ini berlangsung. Adalah diyakini jika solat dapat dihayati dengan sebaiknya ia dapat membentuk jati diri yang kukuh lagi teguh dalam diri setiap individu untuk berdepan dengan pelbagai situasi dan cabaran.

Apabila seseorang menunaikan solat dengan sempurna maka Allah SWT akan memberikannya ketenangan jiwa. Hal ini kerana, tujuan ibadat solat dilaksanakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Selain itu, ia juga dapat memperkasakan ummah kita untuk terus mencapai kejayaan dan kegemilangan di dunia mahupun akhirat.

Bukan itu sahaja, solat juga dapat menjadi satu benteng yang menghalang seseorang itu daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.

Al-‘Ankabut, 29: 45

Solat fardu lima waktu boleh menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan di sela masa waktu-waktu solat tersebut.  Ini yang ditunjukkan oleh hadis Nabi SAW yang mafhumnya: Tidakkah kamu melihat seolah-olah sebuah sungai yang berada berhampiran kamu lalu kamu mandi di dalamnya sebanyak lima kali pada setiap hari, adakah tersisa kekotoran pada diri kamu, mereka berkata: tidak akan tersisa lalu Nabi SAW menjawab begitulah perumpamaan solat lima waktu yang menghapuskan segala dosa manusia dengannya[12].

Terdapat riwayat hadis yang menjelaskan jika solat tidak didirikan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka solatnya tidak membantu untuk membentuk keperibadiannya yang mulia. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ لَمْ تَنْهَهُ صَلَاتُهُ عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنْكَرِ لَمْ يَزْدَدْ مِنَ اللهِ إِلَّا بُعْدًا

Maksudnya: Sesiapa yang solatnya tidak dapat mencegah dirinya dari perkara keji dan munkar, tidak bertambah sedikitpun kedudukan dirinya dengan Allah melainkan bertambah jauh.[13]

Oleh itu, solat bukan semata-mata rukuk dan sujud, akan tetapi lebih daripada itu iaitu bagi melahirkan insan yang berkualiti dan menjauhkan dirinya daripada segala bentuk kemungkaran yang kecil mahupun besar, di samping melahirkan kebahagiaan dalam dirinya di dunia mahupun di akhirat.

KESIMPULAN

Marilah sama-sama kita menyemarakkan lagi sambutan bulan solat kebangsaan ini dengan melazimkan diri kita untuk mengerjakan solat lima waktu sehari semalam pada awal waktu, menghadiri solat jemaah di masjid, mendampingi ibadah fardu dengan solat-solat sunat rawatib, meningkatkan mutu kualiti ibadah kita dengan menambah ilmu pengetahuan berkenaan solat melalui majlis-majlis ilmu dan kelas-kelas agama, begitu juga menyeru kaum kerabat dan juga rakan taulan bersama-sama menunaikan kewajipan solat di samping turut saling ingat mengingati sesama kita.

Akhir kalam, kami mendoakan moga Allah SWT menerima usaha baik ini dan memberikan keringanan pada tubuh badan kita dan keikhlasan dalam hati kita untuk memperbanyak amal ibadah demi menggapai redha-Nya. Wallahu A‘lam.

[1] Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Tafsir al-Wasit, (Damsyik: Dar al-Fikr, 1422H), 2/1322, lihat juga: Sofiyurrahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, (Beirut: Dar al-Hilal, cetakan pertama, t.t), hlm.124.

[2] Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Tahqiq: Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir, (T.tp: Dar Tuq al-Najah, cetakan pertama, 1422H), Kitab: Manaqib al-Ansar, Bab: Al-Mikraj, No.Hadith: 3887, 5/52; lihat juga: Muhammad bin Ahmad Syams al-Din al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, Tahqiq: Ahmad al-Burduni dan Ibrahim Atfisy, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, cetakan kedua, 1384H), 10/208.

[3]    Lihat: https://www.youtube.com/watch?v=JLGnYVPAJmw&ab_channel=BeritaRTM, laman web diakses pada 3/2/2022.

[4]    Lihat: https://www.youtube.com/watch?v=JLGnYVPAJmw&ab_channel=BeritaRTM, laman web diakses pada 3/2/2022.

[5]    Lihat: [LANGSUNG] Pelancaran Sambutan Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022 | 4 Feb 2022 - YouTube, laman web diakses pada 4/2/2022.

[6]    Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t), 1: 45.

[7]    Muhamad bin ‘Isa bin Saurah al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, ed. Ibrahim ‘Atuwwah ‘Iwad (Mesir: Matbaʻah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1975), 5: 12.

[8]    Al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, 2/269.

[9]    Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 1/103-104.

[10] Al-Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj ila Maʻrifah Maʻani Alfaz al-Minhaj (Beirut: Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 1994), 1: 574.

[11] Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, 1/450.  

[12] Al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 13/347.

كَمَا قَالَ عَلَيْهِ السَّلَامَ:" أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهْرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسَ مَرَّاتٍ هَلْ يَبْقَى مِنْ دَرَنِهِ شي" قالوا: لا يبقى من درنه شي، قَالَ:" فَذَلِكَ مَثَلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ يَمْحُو اللَّهُ بِهِنَّ الْخَطَايَا" خَرَّجَهُ التِّرْمِذِيُّ مِنْ حَدِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ، وَقَالَ فِيهِ حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ.

[13] Al-Baihaqi, al-Muʻjam al-Kabir, ed. Hamdi bin ‘Abd al-Majid (Kaherah: Maktabah Ibn Taymiyyah, cet. 2, t.t), 11/54.