Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-263: PERSPEKTIF ISLAM TERHADAP FILEM MENTEGA TERBANG

BAYAN LINNAS PERSPEKTIF ISLAM TERHADAP FILEM MENTEGA TERBANG

 

Mukadimah

Baru-baru ini, tular sebuah filem berjudul Mentega Terbang di laman media massa ekoran isi dan jalan penceritaannya yang dilihat terkait dengan kefahaman dan kesucian agama Islam. Filem ini yang pertama kali ditayangkan pada 28 November 2021 di Jogja-NETPAC Asian Film Festival 2021 merupakan sebuah filem indie yang turut dibintangi beberapa pelakon Muslim. Ia mula disiarkan di Malaysia secara meluas melalui laman Viu pada awal tahun 2023.

Ringkasnya, filem ini mengisahkan kisah protagonis bernama Aisyah, seorang remaja beragama Islam yang gemar mengkaji persoalan-persoalan agama khususnya terkait persoalan kehidupan selepas kematian.

Ada pihak yang merasakan ia merupakan suatu usaha yang baik bagi mendedahkan kepada masyarakat awam tentang kemajmukan budaya dan kepelbagaian agama. Namun, melalui filem ini, banyak babak dan skrip yang menjadi pertikaian dan mendapat tentangan daripada kalangan penonton khususnya mereka yang beragama Islam.

Oleh yang demikian, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif untuk memberikan ulasan dan pandangan terhadap filem ini menurut perspektif Islam. Secara ringkasnya, terhadap beberapa tema utama yang perlu diperhalusi secara teliti dan berhati-hati:

Pertama: Isu kelahiran semula (reincarnation)

Akidah kepercayaan semula (reincarnation) merujuk kepada kepercayaan bahawa jiwa, minda atau roh seseorang yang telah meninggal dunia akan berpindah kepada suatu makhluk yang lain, sama ada ke dalam bentuk manusia, haiwan atau sayur-sayuran. Akidah ini mempunyai akarnya dalam pelbagai tradisi agama dan falsafah, namun agama utama yang memayungi akidah ini ialah Hindu, Jain, Buddha dan Sikh.[1]

Reincarnation menjadi salah satu tema utama filem ini. Namun berdasarkan penceritaan dan naratif yang dipersembahkan, Aisyah sebenarnya lebih cenderung ke arah akidah reincarnation berbanding akidah kebangkitan dan hari pembalasan yang dibawa oleh Islam bukanlah kerana kekuatan hujah setelah penyelidikan dan pembacaan, namun sebaliknya kerana keinginan dan pengharapan agar roh ibunya terus berada bersamanya di dunia. Justeru ia merupakan satu cara Aisyah menghadapi realiti kematian ibunya (coping with death)

Walau apa pun, al-Quran secara jelas menegaskan kebatilan akidah reincarnation ini dengan menekankan ketidakmampuan roh kembali ke dunia selepas meninggal dunia, tatkala golongan kafir mengimpikan agar dikembalikan ke dunia apabila mereka melihat azab-Nya. Firman Allah SWT:

وَلَوۡ تَرَىٰٓ إِذۡ وُقِفُواْ عَلَى ٱلنَّارِ فَقَالُواْ يَٰلَيۡتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِـَٔايَٰتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Maksudnya: “Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azab-Nya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman.”

Surah al-An‘am (27)

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya melalui riwayat Jabir RA, beliau berkata:

قَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "يَا جَابِرُ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَحْيَا أَبَاكَ، فَقَالَ لَهُ: تَمَنَّ عَلَيَّ، فَقَالَ: أُرَدُّ إِلَى الدُّنْيَا، فَأُقْتَلُ مَرَّةً أُخْرَى، فَقَالَ: إِنِّي قَضَيْتُ، أَنَّهُمْ  إِلَيْهَا لَا يُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Rasulullah bersabda kepadaku: Wahai Jabir, adakah kamu tidak mengetahui bahawa Allah ‘Azza wa Jalla telah menghidupkan ayahmu dan berfirman kepadanya: “Mohonlah kepada-Ku”. Lantas ayahmu berkata: “Kembalikanlah diriku ke dunia hingga aku terbunuh (dalam jihad fi sabilillah) sekali lagi. Maka Allah berfirman: “Aku telah memutuskan bahawa mereka yang telah mati tidak akan kembali lagi ke dunia.”

Riwayat Ahmad (14881). Komentar Syeikh Syu’aib al-Arna’out: Sanad-sanadnya hasan.

Melalui hadis ini, jelas bahawa orang yang telah mati tidak akan sesekali kembali ke dunia.

Kedua: Hukum mempelajari kitab agama lain

Dalam filem ini, dipaparkan bahawa watak utama iaitu Aisyah begitu gemar membaca kitab-kitab agama lain seperti Injil, Taurat dan Veda serta berkongsi pula isi kandungan kitab tersebut dengan ibu bapanya.

Para ulama membincangkan secara panjang lebar hukum seseorang Muslim membaca kitab-kitab agama lain. Ringkasannya, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyimpulkan bahawa hukumnya terbahagi kepada dua:

وَالْأَوْلَى فِي هَذِهِ الْمَسْأَلَةِ التَّفْرِقَةُ بَيْنَ مَنْ لَمْ يَتَمَكَّنْ وَيَصِرْ مِنَ الرَّاسِخِينَ فِي الْإِيمَانِ فَلَا يَجُوزُ لَهُ النَّظَرُ فِي شَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ بِخِلَافِ الرَّاسِخِ فَيَجُوزُ لَهُ وَلَا سِيَّمَا عِنْدَ الِاحْتِيَاجِ إِلَى الرَّدِّ عَلَى الْمُخَالِفِ وَيَدُلُّ عَلَى ذَلِكَ نَقْلُ الْأَئِمَّةِ قَدِيمًا وَحَدِيثًا مِنَ التَّوْرَاةِ وَإِلْزَامُهُمُ الْيَهُود بِالتَّصْدِيقِ بِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَا يَسْتَخْرِجُونَهُ مِنْ كِتَابِهِمْ وَلَوْلَا اعْتِقَادُهُمْ جَوَازَ النَّظَرِ فِيهِ لَمَا فَعَلُوهُ وَتَوَارَدُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: Dalam permasalahan ini, adalah lebih baik untuk kita membezakan antara dua golongan, iaitu: (i) golongan yang tidak berkemampuan untuk mendalami soal keimanan dan teguh imannya, maka mereka tidak diharuskan untuk membaca kitab-kitab agama lain. (ii) golongan yang telah mendalami soal keimanan dan teguh imannya, mereka ini diharuskan, lebih-lebih lagi jika ada keperluan untuk membantah hujah ke atas Islam.

Hal ini berasaskan kepada amalan para ulama terdahulu dan terkemudian yang banyak menukilkan daripada kitab Taurat dalam karangan mereka, serta hukum kewajipan ke atas orang Yahudi untuk beriman dengan Nabi Muhammad SAW berdasarkan nukilan yang dikeluarkan daripada kitab-kitab agama mereka sendiri. Jika tidak kerana para ulama menghukumkan harus membaca kitab-kitab agama lain, sudah tentu mereka sendiri tidak membaca dan menukilkan daripadanya.[2]

Justeru, seseorang itu tidak boleh membaca dan mengkaji kitab-kitab agama lain dan buku-buku yang mengandungi fahaman yang sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar, melainkan setelah dia mempunyai fahaman agama yang mantap dan mendapat bimbingan daripada guru yang mursyid.

Ketiga: Kebebasan untuk murtad

Pada bahagian penghujung filem, watak bapa secara jelas memberi keizinan dan restu kepada anaknya untuk mengkaji dan mencari agama yang sesuai dengan jiwa, sekaligus memberi kebebasan untuk memeluk agama tersebut.

Bagi golongan yang berpegang kepada teori hak asasi manusia (HAM) menurut kerangka liberal, kebebasan untuk keluar daripada agama Islam perlu dinikmati oleh semua serta tidak boleh ada sebarang tindakan undang-undang terhadap perbuatan tersebut. Hal ini kerana ia tertakluk di bawah prinsip kebebasan agama yang termaktub dalam artikel 28 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948.

Namun, konteks di Malaysia sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, serta peranan besar yang dimainkan oleh Islam dalam pembentukan identiti negara, menescayakan pendekatan yang berbeza dalam menerapkan prinsip kebebasan beragama. Bahkan artikel 29 UDHR 1948 sendiri memberi ruang pembatasan terhadap prinsip kebebasan beragama itu atas faktor hukum moral, ketenteraman awam dan kemaslahatan umum dalam sesebuah masyarakat. Tambahan pula, perspektif HAM di Barat adalah amat terikat dengan pengalaman di dunia barat sendiri yang telah menyudutkan agama ke ruang peribadi dan menyahkan agama daripada kawalan negara.

Menurut perspektif Islam, hukuman ke atas perbuatan murtad adalah perlu bagi melindungi keimanan masyarakat dan tatanan sosial sebuah negara umat Islam. Hal ini demikian kerana perbuatan murtad, apatah lagi jika dipromosikan dan digalakkan secara terbuka merupakan satu bentuk galakan terhadap menzahirkan kebencian, pergolakan dalaman peribadi, atau kehilangan kepercayaan individu ke ruang awam dalam masyarakat. Ia berisiko mencarik fabrik sesebuah masyarakat itu sendiri.[3]

Keempat: Pluralisme agama

Tema pluralisme agama diangkat secara konsisten dalam filem ini sejak awal hingga akhir. Dalam erti kata yang ringkas, pluralisme agama merujuk kepada pandangan, fikiran dan keyakinan bahawa agama-agama yang pelbagai dan berbeza-beza itu mempunyai kesamaan dari segi ontologi (cabang falsafah yang mengkaji konsep seperti kewujudan dan realiti), soteriologi (cabang ilmu teologi berkenaan keselamatan di akhirat) dan epistemologi (kajian tentang sifat pengetahuan, justifikasi dan rasionalisme kepercayaan). Seperti yang dikemukakan Peter Byrne, professor di King’s College London UK, pluralisme agama merupakan persenyawaan tiga tesis. Pertama, semua tradisi agama-agama besar dunia adalah sama, semuanya merujuk dan mengisyarat kepada suatu realiti tunggal yang transcendent dan suci. Kedua, semuanya sama-sama menawarkan jalan keselamatan. Dan ketiga, semuanya tidak ada yang final. Ertinya, setiap agama mesti senantiasa terbuka untuk dikritik dan diteliti kembali. 

Antara tokoh yang mengembangkan fahaman pluralisme agama ialah Raimundo Panikkar (seorang paderi Katolik kelahiran Sepanyol), Wilfred Cantwell Smith (pengasas dan mantan pengarah Institute of Islamic Studies di McGill University, Canada), Fritjhof Schuon (bekas penganut Kristian yang pergi mengembara dan keluar masuk pelbagai macam agama) dan John Hick (profesor teologi di Claremont Graduate School California, USA)[4].

Islam mengiktiraf kepelbagaian agama (religious plurality) dan toleransi dalam kepelbagaian tersebut. Namun Islam tidak sesekali mengiktiraf pluralisme agama hingga mengaburkan garis pemisah antara Islam dan kekufuran. Islam juga tidak sesekali mempromosi toleransi beragama hingga ke tahap menafikan bahawa hanya Islam agama yang benar dan mampu membawa kepada keselamatan (salvation) di akhirat.

Mana-mana penganut agama yang teguh dan komited dengan kepercayaan agamanya akan meyakini bahawa agama anutannya itulah yang benar. Hal ini telah berlangsung sejak sekian lama, dan ia tidak pernah menjadi isu sama sekali.

Kelima: Menyentuh sensitiviti agama dan umat Islam

Dalam filem ini, terdapat juga beberapa babak yang dilihat menyentuh sensitiviti agama dan umat Islam seperti perilaku Aisyah yang terlihat selesa ketika menyentuh anjing dan memakan pau babi. Bagi umat Islam, pengharaman menyentuh anjing tanpa keperluan dan memakan babi merupakan satu hukum yang jelas dan ia sememangnya wajib dijauhi.

Menurut mazhab Syafie, setiap inci bagi seekor anjing itu adalah najis. Begitu juga, menyentuh anjing secara sengaja dikira menajiskan diri tanpa tujuan atau hajat dan ini merupakan suatu perbuatan yang haram di sisi Islam. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh  Ibn Hajar al-Haitami dan al-Bujairami[5].

Demikian juga halnya terhadap perihal kenajisan dan pengharaman babi yang secara jelas telah termaktub dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor.”

Surah al-Baqarah (173)

Kedua-dua perkara ini sememangnya menjadi suatu perkara yang maklum dalam agama akan pengharamannya. Justeru itu, membawa kedua-dua perkara ini ke dalam filem secara tidak langsung menyentuh sensitiviti umat Islam di bumi Malaysia ini khususnya. Perkara ini juga pada dasarnya terkait dengan Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Bahagian III - Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam dan Institusinya: Seksyen 7 iaitu Menghina, atau menyebabkan dipandang hina, dll. agama Islam; dan juga Seksyen 8 iaitu Mempersendakan, dll. ayat Al-Quran atau Hadis[6].

Selain itu, terdapat juga satu babak dalam filem tersebut iaitu ketika mana bapa Aisyah menggalakkan Aisyah melanggar syariat dengan membawa lelaki bukan mahram masuk ke dalam biliknya. Hal ini sama sekali jelas bertentangan dengan apa yang agama Islam perintahkan sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma, Baginda bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ

Maksudnya:Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan perempuan itu bersama mahramnya.”

Riwayat Muslim (1341)

Bukan itu sahaja, bapanya tidak pula bersikap mengambil peduli akan hubungan sosial anaknya yang sudah pun akil baligh, sedangkan tanggungjawab seorang bapa sepatutnya membimbing anaknya dengan didikan agama yang baik dan menghalang anaknya daripada melakukan sebarang tindakan yang secara jelas melanggar batas agama.

Sudut Pandang Positif Filem

Meskipun begitu, filem ini tidaklah kesemuanya hanya menyampaikan elemen mahupun tema yang negatif, malah ada juga beberapa babak yang memaparkan nilai-nilai baik yang boleh kita ambil dan jadikan sebagai pengajaran.

Antaranya termasuklah interaksi harmoni antara pelbagai kaum dalam komuniti setempat yang terzahir menerusi hubungan kejiranan yang akrab sesama mereka. Tidak pula timbul isu satu bangsa memandang jelek ataupun hina bangsa lain, malah mereka bersikap ramah serta menzahirkan rasa prihatin terhadap satu sama lain. Selain itu, kasih-sayang antara suami isteri juga dipaparkan dengan baik melalui watak suami yang setia menemani isteri dalam waktu-waktu sukar, selain keprihatinan bapa yang sabar melayan pertanyaan-pertanyaan anak.

Penutup

Kesimpulannya, filem ini ‘agak bermasalah’ dari sudut tema-tema utama yang ditampilkan, khasnya melibatkan isu akidah dan agama, meskipun tidak dinafikan adanya mesej-mesej murni yang dipersembahkan dari sudut kasih-sayang dan toleransi kaum.

Kenyataan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama terkait isu ini secara jelas menegaskan bahawa “...filem ini terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.”[7]

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak mereka telah menerima sebanyak lapan laporan polis, di mana satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan filem tersebut. Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.[8] Justeru, adalah dinasihatkan agar kita menyerahkan urusan siasatan kepada pihak berkuasa untuk mengadili permasalahan ini menurut lunas undang-undang.

Dalam pada itu, adalah dinasihatkan kepada para pemain industri kreatif dan perfileman agar lebih berhati-hati dalam mengamalkan kebebasan berkarya dan berekspresi. Sebarang isu kontroversi yang berpotensi menimbulkan kemarahan warga hendaklah ditangani melalui wacana yang harmoni dan dialog yang beradab, bukannya melalui karya filem yang mungkin mengundang salah faham serta persepsi yang tidak sihat. Filem yang seharusnya menjadi wadah pemangkin perpaduan tidak sepatutnya menjadi medium untuk menjolok sarang tebuan.

Sedangkan di dunia Barat yang mengamalkan demokrasi liberal sekalipun ada garisan merah yang tidak boleh dilangkaui apabila melibatkan isu-isu keagamaan dan perkauman, apatah lagi Malaysia yang mempunyai agama Islam sebagai agama Persekutuan yang perlu dijunjung serta sensitiviti kaum dan agama yang wajib dihormati.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan:

[1] Rujuk pautan: https://www.britannica.com/topic/reincarnation

[2] Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani, 13/525

[3] Rujuk artikel bertajuk The Issue of Apostacy in Islam oleh Jonathan Brown pada pautan: https://yaqeeninstitute.org.my/read/paper/the-issue-of-apostasy-in-islam#ftnt_ref54 Teks asal:

“In the Shari’ah, the aim of punishing apostasy from Islam is to protect the communal faith and social order of a Muslim state.”

 

“encouraging public displays of individuals’ private, internal upheavals of conscience or loss of faith doesn't promote sincere faith within a community. It risks tearing the threads of that community apart.”

[4] Dipetik daripada Prolegomena to Religious Pluralism, hlm. 191.

[5] Hasyiah Bujairami ‘ala Syarh Manhaj al-Tullab, m/s 105; Hawasyi Tuhfah al-Manhaj bi Syarh al-Manhaj, m/s 174.

التضمخ بالنجاسة إنما يحرم.

[6] http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/d31866f9fa58ec974825708200081476?OpenDocument.

[7] Rujuk pautan: https://www.facebook.com/DatoSetiaDr.Naim/posts/pfbid02n4qVK7zmaHxTAMyvxMQWztYXsNTk7SPNr88QC3BGuDeLSKjPzmpCZgZwUcoNu3KBl

[8] Rujuk pautan:

https://www.sinarharian.com.my/article/248385/berita/semasa/mentega-terbang-polis-buka-kertas-siasatan