Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-99 : KAPAL TERBANG DAN KEPENTINGAN DOA MUSAFIR

 

 

Mukadimah

Baru-baru ini, kami mendengar berita tentang isu kapten kapal terbang yang dikritik kerana menyarankan para penumpang agar berdoa apabila berlaku situasi getir. Ramai pihak yang memberi pandangan, sama ada menolak atau pun menyokong, dengan pelbagai idea dan justifikasi, pro atau kontra, berdasarkan niat dan maksud masing-masing. Justeru kami tajukkan rencana ini dengan tajuk, “Bayan Linnas Siri ke-99 : Kapal Terbang dan Doa”. Semoga memberi pencerahan dan manfaat untuk semua.

 

Peranan Doa Dalam Islam

Kami nyatakan, bahawa doa adalah senjata bagi orang beriman. Sifatnya juga adalah satu bentuk ibadat, sehingga Allah SWT sendiri menyarankan dan memerintahkan kita untuk berdoa kepada-Nya dalam kehidupan kita.

Justeru, konsep berdoa adalah amat penting untuk bersama kita hayati, amalkan dan munajatkan kepada-Nya. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ عِندَ رَبِّكَ لَا يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِهِ وَيُسَبِّحُونَهُ وَلَهُ يَسْجُدُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.

(Surah al-A`raf. 7:206)

Ayat ini secara asasnya merujuk kepada para malaikat, sepertimana yang disebut oleh ahli tafsir silam dan kotemporari. Namun, Imam Ibnu Kathir rahimahullah (w.774H) ketika mentafsirkan ayat ini, beliau berkata: “Allah menyebut kesemua sifat mereka yakni malaikat untuk dijadikan ikutan dek kerana banyaknya ketaatan dan ibadat (yang dilakukan) oleh mereka.” Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim (3/539).

Antara sikap menjauhi takbur dan membesarkan diri ialah dengan sentiasa meminta dan berdoa kepada Allah SWT dan mengaku kelemahan diri dalam mengawal urusan.

 

Doa Ketika Bermusafir

Islam mengajar umatnya untuk berdoa terutamanya ketika musafir, sama ada bagi perjalanan yang jauh atau yang dekat. Begitu juga ditekankan untuk berdoa ketika menaiki kenderaan. Doa ini dinaskan oleh Allah Taala sendiri di dalam al-Quran dengan firman-Nya:

وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الْفُلْكِ وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ (12)  لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ (13) وَإِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ (14)

 

Maksudnya: Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya, Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:" Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -"Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!"

(Surah al-Zukhruf, 43:12-14)

Imam al-Alusi rahimahullah (w.1342H) Berkata : “Maksudnya ialah bahawa sesungguhnya kita tidak memiliki kekuatan untuk menentukan arah tuju haiwan tungangan mahupun alam semesta hanya Allah sahajalah yang mampu untuk berbuat demikian”

Rujuk Tafsir Ruhul Ma’ani (14/106)

Imam Ibnu Kathir berkata : “Iaitu ia bermakna kekuatan,kalau tidak kerana bantuan daripada Allah SWT kepada kita,tidaklah mampu kita melakukan apa-apa”. Berkata Ibnu Abbas Qatadah dan Assadi dan juga Ibnu Zaid bahawa yang dimaksudkan dengan “مقرينين” adalah yang mampu atau boleh dikawal. 

Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim (4/106)

 

Berkata Imam Fakrurazi rahimahullah (w.606H) di dalam tafsirnya: “Tiada kekuatan bagi kami mahupun upaya untuk diikat haiwan tungangan mahupun alam semesta juga tidak mampu bagi kami untuk menetapkan kedua-dua nya (supaya tidak lari). Maha Suci Allah yang telah memberi bantuan kepada kami dengan ilmu-Nya dan kebijaksanaan-Nya serta kesempurnaan kudrat-Nya”.

Rujuk Tafsir al-Kabir (14/199)

Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah-lah yang memudahkan perjalanan kita tatkala kita bergantung harap kepada-Nya. Begitu juga ini menunjukkan Allah-lah berikan kemudahan untuk mengendalikan kenderaan sekalipun seseorang itu memang terlatih untuk mengendalikan satu-satu kenderaan, kebergantungan kepada Allah SWT amat perlu kerana hakikatnya Dialah yang menguasai setiap sesuatu. 

Hal ini diperkuatkan dengan hadis Nabi SAW yang menyebut suatu amalan apabila keluar daripada rumah.

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Seorang lelaki (termasuk perempuan) apabila dia keluar daripada rumahnya, lalu dia berkata

بِاسْمِ اللهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Maksudnya: “Dengan Nama Allah, aku bertawakkal kepada-Nya, dan tiada daya dan kekuatan melainkan daripada Allah.”

Maka akan dikatakan kepadanya (yakni para malaikat akan mendoakannya): “Sesungguhnya kamu akan diberi hidayah, dicukupkan (keperluan) dan dipelihara (dalam musafir agar selamat sampai dan selamat kembali)." Lalu syaitan-syaitan akan menjauhkan diri daripadanya, sedang syaitan yang lain berkata: “Mana mungkin engkau boleh menghadapi seorang lelaki yang sudah dipandu dengan hidayah, dicukupkan dan dipelihara!”

Hadis riwayat Abu Daud (5095)

Tiga perkara ini yakni hidayah, kecukupan dan perlindungan adalah amat penting bagi seorang musafir agar selamat sampai ke destinasi yang dituju, dan kembali kepada ahli keluarga yang tersayang.

Begitu juga dalam riwayat lain yang masyhur bahawa Ibn Umar R.Anhuma menyebut Rasulullah SAW berdoa jika ingin bermusafir, Baginda akan duduk tetap di atas binatang tunggangannya lalu apabila tunggangannya mula bergerak, Baginda membaca:

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Maksudnya: “Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -"Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!" Ya Allah! Kami mohon daripada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan dikira sebagai amalan yang Engkau redha. Ya Allah kami mohon agar musafir ini menjadi ringan atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika musafir! Penjaga bagi ahli keluarga yang ditinggalkan! Ya Allah! Kami mohon agar engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga.”

Hadis riwayat Muslim (1342), Ahmad (6311), Abu Daud (2599) dan lain-lain.

Imam al-Baidhawi rahimahullah (w.685) mensyarahkan hadis ini: “al-wa`tha’ bererti kepayan dan kesusahan… manakala al-kaabah bermaksud keadaan yang buruk dan suatu bentuk kesedihan. Dikehendaki daripada hadis ini doa memohon perlindungan daripada segala pemandangan yang mengakibatkan kekecewaan, dan daripada kepulangan yang teruk kerana berlaku kekurangan pada harta atau ahli keluarga (seperti kerosakan, kematianm dll).”

Rujuk Tuhfah al-Abrar (2/95)

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Berdasarkan nas-nas yang cukup banyak, tidak semua sempat kami hidangkan di sini, jelas menunjukkan bahawa adalah teramat penting bagi kita untuk meletakkan pengharapan kita kepada-Nya sahaja. Itulah Allah yang bersifat Maha Kuasa dan Maha Penyayang. Sebaiknya amalan berdoa sebelum dan ketika musafir kita promosikan dengan sebanyak mungkin agar manfaatnya dapat diperolehi segenap pihak. 

Cadangan

Justeru kami sejujurnya mencadangkan kepada syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia seperti Malaysia Airlines Berhad (MAS), Air Asia, Malindo dan Firefly untuk memulakan perjalanan musafir dengan doa yang dianjurkan. Ini akan membawa keberkatan dalam perjalanan dan InsyaAllah keselamatan serta keamanan kerana difahami bahawa sememangnya musafir itu sebahagian daripada azab dan masyaqqah (penderitaan atau kepayahan) yang perlu ditempuh oleh orang yang berkelana. 

Semoga dengan pencerahan ini memberikan kebaikan kepada kita semua dalam mendekatkan diri kepada-Nya dan memperoleh keberkatan untuk kita layari hidup ini sehingga kita bertemu dengan-Nya. Amin.

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri” kepada semua dan semoga perjalanan menuju ke destinasi, semuanya disulami dengan doa dan selamat sampai. Amiin.

 

Akhukum fillah,

Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan

30 Jun 2017 bersamaan 6 Syawal 1438H