BAYAN LINNAS SIRI KE-20: TERIMA KASIH CIKGU!

BL20

Muqaddimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Rabbal ‘Alamin, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, keluarga, para sahabat dan yang mengikuti jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Bersempena dengan hari guru yang lazimnya disambut pada setiap 16 Mei setiap tahun, sebagai penghargaan dan penghormatan kepada guru atas jasanya yang tidak ternilai, maka kami ingin melakarkan dalam Bayan Linnas siri ke 20 ini khas buat guru bagi mengenangkan jasa dan pengorbanannya.

InsyaAllah dalam ruangan ini akan dibincangkan secara khusus kemuliaan guru dan juga betapa besar tanggungjawabnya pada anak bangsa dan negara.

Apa Erti Cikgu dan Guru?

Panggilan cikgu lebih mesra, berkekalan hingga akhir hayat. Oleh itu muncul satu kata-kata“Cikgu: Dulu, Kini dan Selamanya.” Ia lebih menampakkan atau tertonjolnya watak yang dekat dengan masyarakat. Guru pula panggilan yang formal bagi yang menjadikannya sebagai kerjaya atau pekerjaan.

Dalam Kamus Dewan Edisi ke-4 hal 492, guru adalah orang yang mengajar, pendidik, pengajar, pengasuh dan pemimpin.

Sementara cikgu pula adalah panggilan bagi guru dalam Bahasa Melayu kita. Dalam bahasa Arab guru digelar ‘muallim’ yang memberi maksud pengajar atau pendidik. Sudah barang tentu kalimah ‘muallim’ sebagai ‘ism fa’il’ menggambarkan pemiliknya seorang yang berilmu. Itulah guru.

Gelaran Guru

Betapa mulianya guru sehingga ia digelar dengan pelbagai gelaran seperti Cikgu, Ustaz, Maulana, Tuan Guru, Syeikh, dan juga kadang-kadang disifatkan sebagai mursyidmurabbimuaddib dan lain-lain. Ini jelas menunjukkan ianya disanjung kerana melalui merekalah manusia menjadi manusia bahkan diisi dengan jati diri, akhlak, modal insan di samping membawa kepada ma’rifatullah. Saya sendiri lebih cenderung untuk guru dikenali sebagai muallim yang memberi maksud pemberi dan pengajar ilmu.

Oleh kerana guru memiliki segunung ilmu sudah pasti dia dapat menaungi, membimbing, mengasuh dan mendidik murid dan pelajarnya. Melalui sentuhan inilah, menjadikan mereka watak-watak yang mulia, soleh dan berpekerti tinggi sekalipun menjawat pelbagai jawatan atau menceburi pelbagai bidang tugas dan pekerjaan. Sudah pasti, ilmu yang diterimanya sejak mengenali alifbata, dari gurunya sentiasa menjadi azimat dan panduan dalam menempuh rencah kehidupan.

 Martabat Guru

Dengan menekuni nas-nas al-Quran dan Hadith, jelas menunjukkan betapa mulianya guru. Ini kerana, ia telah membawa bersamanya ilmu dan dengannya juga ia dapat menunjukkan pelajarnya erti kehidupan dan kemanusiaan yang wajib mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa. Antara yang menunjukkan kemuliaan guru atau muallim ialah:

·       Kebaikan yang Allah SWT kurniakan kepadanya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

وَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا، يُفَقِّهُّ فِي الدِّينِ

Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”

Riwayat al-Bukhari (3116), Muslim (1037)

·       Guru sebagai khazanah harta yang tiada ternilai. Benarlah sabda Rasulullah SAW

وَالنَّاسُ مَعَادِنٌ ، خِيَارُهُمْ فِي الجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الِإسْلاَمِ

Maksudnya: “Manusia itu adalah umpama barang-barang galian. Sebaik-baik mereka di zaman kejahilan dulu juga akan menjadi sebaik-baik manusia setelah mengikut Islam jika mereka memahami Islam itu.”

Riwayat al-Bukhari (3587)

·       Guru menjadi petunjuk jalan kebaikan. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الدَّالَّ عَلَى الْخَيْرِ كَفَاعِلِهِ

Maksudnya“Siapa yang menunjuk kebaikan maka baginya pahala seperti orang yang melakukannya.”

Riwayat al-Turmuzi (2670)

·       Guru selamat dari celaan. Sabda Rasulullah SAW:

أَلَا إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ

“Dunia ini dan seisinya adalah laknat kecuali mengingati Allah, yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang alim (guru) dan orang yang menuntut ilmu.”

Riwayat al-Turmuzi (2322)

·       Guru dan murid sama-sama mendapat kebaikan. Dalam satu hadith, Rasulullah SAW pernah bersabda:

عَلَيْكُمْ بِهَذَا الْعِلْمِ قَبْلَ أَنْ يُقْبَضَ، وَقَبْضُهُ أَنْ يُرْفَعَ» وَجَمَعَ بَيْنَ إِصْبَعَيْهِ الْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِي الْإِبْهَامَ، هَكَذَا. ثُمَّ قَالَ: «الْعَالِمُ وَالْمُتَعَلِّمُ شَرِيكَانِ فِي الْأَجْرِ، وَلَا خَيْرَ فِي سَائِرِ النَّاسِ

“Hendaklah kamu mengambil ilmu itu sebelum ia digenggam.” Maksud digenggam di sini ialah diangkat. Lalu Rasulullah SAW menghimpun di antara kedua jarinya iaitu jari tengah dan telunjuknya begini. Kemudian sabdanya lagi: “Orang yang alim dan pelajar itu bersekutu di dalam mendapat kebaikan, tiadalah kebaikan yang banyak bagi manusia selain mereka itu.”

Riwayat Ibn Majah (228). Hadith ini bertaraf dhaif

Sebenarnya terlalu banyak kelebihan guru dan penuntut ilmu. Justeru, memadai apa yang telah disebutkan di atas.

Saya meminjam kata-kata Saidina Ali RA: “Manusia ada tiga jenis, seorang alim rabbani (yang takut kepada Allah SWT) dan seorang murid (pelajar) yang ingin selamat, dan selain itu rakyat jelata pengikut tiap suara seruan, condong mengikut arah angin”.

Mutiara Kata Berkenaan Dengan Guru

Di bawah tajuk ini penulis membahagikan kepada dua iaitu pendapat tokoh Islam berkenaan dengan guru dan juga tokoh barat:

Pertama: Pendapat Tokoh Islam

Antaranya:

·       Imam al-Ghazali:“Menghormati dan memuliakan guru merupakan tugas dan kewajipan kita sebagai anak dan murid. Guru bagaikan orang tua kita sendiri yang wajib kita hormati dan muliakan.”

·       Imam al-Syafie:“Aku membuka halaman kertas di hadapan Imam Malik perlahan-lahan kerana bimbang beliau mendengar bunyi kertas tersebut.”

·       Al-Rabi’ bin Sulaiman:“Aku tidak berani meneguk air apabila Imam Syafie berada dihadapanku kerana menghormatinya.”

·       Syu’bah bin al-Hajjaj:“Apabila aku mempelajari sesuatu (ilmu) daripada seseorang, maka aku akan menjadi hamba kepadanya selagi ia hidup.”

·       Ata’ bin Abi Robah: “Aku pernah mendengar seseorang menceritakan sesuatu sedangkan aku lebih mengetahui tentang perkara itu. Namun, aku tetap mendengarnya dan berpura-pura tidak tahu langsung tentang perkara tersebut.”

·       Imam al-Syafie dalam madah syairnya:

Aku melihat ilmu tuannya mulia,

Sekalipun dilahirkan oleh ibubapa yang keji,

Kalaulah tidak kerana ilmu, maka tidak bahagia mana-mana lelaki,

Dan tiadalah diketahui sama ada halal mahupun haram.

Kedua: Pendapat Tokoh Barat

Antaranya:

·       Joan Halifax:“Kesedaran seorang guru yang dirinya guru, menyebabkan dia mudah lupa dia sendiri masih bodoh.”

·       Friedrich Nietzche: “Kebanggaan guru yang paling besar apabila ada murid melebihi darinya.”

·       Horace Mann: “Guru yang mengajar tanpa menimbulkan dan menyemarak keinginan dan semangat belajar pada murid-muridnya, sama sahaja dengan orang yang menempa besi yang dingin.”

·       Henry Brooks Adams: “Seorang guru yang memiliki pengaruh pada keabdian, dia tidak pernah mengatakan bila pengaruh itu berhenti.”

·       Herbert Spencer: “Tujuan tertinggi perguruan bukanlah pengetahuan tetapi perbuatan.”

Ini adalah sebahagian daripada kenyataan tokoh berkenaan dengan guru yang amat mulia jawatannya sehingga disanjung sepanjang zaman.

Tugas Utama Pendidik

·       Menjadikan manusia itu sebagai manusia

Ini kerana ramai yang berupa manusia tetapi tanpa tarbiyah dan asuhan guru yang bersifat rabbani, maka lahirlah manusia yang hanya berupa manusia sedangkan hatinya lebih bejat daripada binatang buas. Mereka sanggup melakukan apa sahaja tanpa pertimbangan akal yang sihat dan waras sementelahan lagi dinilai dan diukur dari segi iman.

·       Melahirkan pekerja mahir, professional dan bertanggungjawab. Ia sebenarnya tidak terhad kepada mendapatkan kerjaya semata-mata. Apa yang lebih penting daripada itu untuk menjadikannya seseorang anak murid yang berakhlak baik.

·       Membentuk masyarakat berilmu. Mendidik murid dan pelajar yang dapat menyumbangkan ilmu yang dipelajari hingga ke menara gading kepada masyarakat, negara, bangsa dan juga agama. Begitu juga diharapkan supaya murid tersebut berguna kepada orang lain.

·       Mengenal potensi murid. Murid-murid mempunyai pelbagai kebolehan dan kemahiran. Guru-guru mesti bijak mengenalpasti potensi murid lebih awal supaya ia tidak mati sebelum masanya.

·       Mentarbiahkan anak didik. Mengasuh dan mendidik pelajar serta murid menjadi insan yang benar-benar bertanggungjawab, integriti, amanah, benar dan segala sifat-sifat mahmudahsebagai pakaian mereka. Ini sudah tentu mereka menjadi role model kepada masyarakat dan dapat memimpin mereka ke arah yang lebih gemilang.

·       Membentuk generasi berwawasan. Hasil didikan seorang pendidik menjadikan seseorang itu tahu hala tujuan dan matlamat hidupnya. Inilah antara cabaran yang terpenting kerana nawaitu dan matlamat hidup perlu diperjelaskan terlebih dahulu ibarat bangunan memerlukan pasak yang kukuh dan ampuh sebelum dibina batu-bata di atasnya. Berapa ramai manusia yang tidak mempunyai hala tuju yang akhirnya menempah kerugian dalam hidup mereka.

·       Melahirkan generasi yang bijak pandai. Melahirkan pemimpin masa depan yang benar-benar berwibawa dan mempunyai ciri kepimpinan Islam yang sejati. Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika menyampaikan ceramah, pesanan dan nasihat kepada murid-murid yang baru datang ke Universiti dari seantero dunia antara lain berkata: “Jadilah kamu pemimpin dan janganlah kamu menjadi orang yang dipimpin.”      

·       Memperkasakan ilmu. Melengkapkan ilmu pengetahuan dan maklumat dengan fahaman yang betul dan benar. Hal ini cukup bahaya jika seseorang belajar dan membaca tanpa adanya guru. Imam al-Ghazali cukup tegas dalam hal ini melalui kitabnya Ihya’ Ulum al-Din.

·       Sebagai pemangkin membina jati diri. Pemberi motivasi dan dorongan semangat yang tinggi kepada murid-muridnya. Dalam catatan sejarah menunjukkan, kehebatan murid yang menguasai dunia dalam pelbagai bidang dan lapangan kerana mempunyai mentor, murabbi dan guru yang hebat. Bacalah sejarah tokoh yang terkemuka dunia seperti Imam al-Syafie, Imam Abu Hanifah, Salahuddin al-Ayubi, Nuruddin al-Zanki, Muhammad al-Fateh dan ramai lagi di mana guru merekalah yang membentuk hala tuju perjalanan dan menambahkan kehebatan mereka.

Memperkasakan Guru

Guru yang hebat sudah pasti melahirkan murid yang hebat. Kehebatan guru akan memberi kesan yang besar kepada murid. Oleh itu, keperluan untuk memperkasakan guru amat penting kerana dengannyalah akan mencorakkan pemimpin masa depan.

Persoalannya selain daripada jawapan di atas, terdapat banyak sebab keperluan bahkan kemestian untuk memperkasakan guru, antaranya:

·       Guru yang hebat dan berwibawa akan dapat mencorakkan watak murid-murid yang benar-benar cemerlang. Inilah yang dapat dilihat dalam sejarah tokoh-tokoh Islam yang berwibawa. Sebagai contoh, Imam Malik melahirkan murid seperti Imam al-Syafie dan lain-lain.

·       Guru yang hebat dan mempunyai jati diri yang tinggi sudah pasti memberi kesan kepada muridnya bahkan tidak pelik jika kita dengar kenyataan tokoh ulama dan juga pemimpin dalam ceramah atau pidato mereka akan menyebut kehebatan guru mereka.

·       Guru yang hebat pada kebiasaannya memberi kesan yang mendalam berkenaan dengan pendirian dan sikap pelajar. Inilah yang akan melahirkan generasi yang benar-benar bermaruah dan integriti yang tinggi. Sejarah telah membuktikan hakikat tersebut.

·       Guru yang hebat sentiasa mewakafkan diri dalam membina generasi unggul dan beradab serta mengakhlakkan pelajar mengikut lunas yang luhur yang tinggi nilai pekerti.

·       Paling penting daripada itu, guru yang memegang watak murabbi sudah pasti melahirkan murid-murid persis gurunya dalam menjaga asolah atau keaslian manhaj pendidikan yang sebenar akan bersambung dari satu generasi yang mendatang.

Cadangan Dalam Memperkasakan Guru 

Pada saat cabaran yang bersimpang siur dengan realiti semasa sudah pasti memerlukan sejumlah kekuatan untuk memperkasakan guru dari pelbagai sudut. Antaranya:

·       Menjadikan profesion perguruan sebagai pilihan utama dalam sektor pekerjaan dengan menyediakan imbuhan yang tinggi seperti yang dilakukan di Korea, Jepun dan Singapura. Inilah yang biasanya dilakukan oleh negara-negara maju. Dimana hak kebajikan guru diutamakan dengan ditambah hal yang berkaitan dengan memperkasakan profesion perguruan.  

·       Tarbiyah yang berterusan sebagai penambahan ilmu kepada guru-guru supaya mereka tidak ketinggalan sumber atau informasi terbaru serta tidak ketinggalan zaman. Kursus-kursus intensif dan professional perlu dipergiatkan dari masa ke semasa. Bukan hanya bersifat ‘melepaskan batuk di tangga’ tetapi kesungguhan amat perlu dalam perlaksanaan skim latihan ini.

·       Penghargaan yang setimpal kepada setiap pencapaian di atas kecemerlangan guru-guru. Inilah yang sepatutnya dilakukan dari masa ke semasa tanpa terhad kepada waktu-waktu tertentu sahaja seperti Hari Guru.

·       Menambahkan lagi skim pembelajaran untuk guru bagi mereka yang ingin menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Bayangkan di negara China, pengajar di politeknik sahaja bertaraf PhD. Guru-guru berkelulusan Master mengajar di sekolah rendah di Filipina. Kalaulah guru-guru di Malaysia di peringkat sekolah rendah dan menengah, sudah pasti murid-murid akan merasa bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh guru-guru mereka.

·       Sudah sampai masanya, satu kolabarasi antara guru dan pensyarah serta pakar yang ada di Universiti untuk menyuntik semangat dan penambahbaikan ilmu serta maklumat. Sebagai contoh, guru sejarah bertukar input dan mengambil faedah dari professor sejarah yang benar-benar menekuni bidang tersebut.

·       Inisiatif kepada guru dengan bekalan bahan rujukan untuk bidang masing-masing amat penting. Begitu juga peruntukan lebih profesional dengan penyediaan ipad yang membekalkan sejumlah maklumat terkini dan “up to date”. Sudah pasti menjadikan kefahaman dan maklumat guru begitu tinggi serta mantap.

·       Pemberian insentif kepada guru-guru yang pakar dalam bidangnya yang telah ditetapkan pada kedudukan yang tertentu seperti gelaran guru pakar, guru cemerlang dan sebagainya dengan anugerah tertentu boleh memartabatkan lagi seseorang guru pada kedudukan yang lebih ke hadapan.

Ini sebahagian daripada cadangan dan saranan dalam memperkasakan profesion perguruan. Guru yang berjaya dan hebat adalah yang bersikap siap siaga dan bersedia. Selain itu, mampu menguasai kawalan penuh tanpa membiarkan mana-mana jiwapun dalam kalangan murid-murid yang berusaha lolos dari genggamannya.

Ini kerana guru yang mampu mengungkapkan pelbagai mutiara hikmah dengan bahasa yang indah lagi mengesan kepada jiwa akan memberi satu hubungan yang begitu damai dengan muridnya untuk patuh dan taat. Natijahnya, sudah pasti mereka mempunyai sikap dan sifat yang baik seperti ketabahan dan kekuatan hati yang lebih, mempunyai rasa penuh percaya diri, mantap dalam melangkah, tenang dan tidak cepat bermain dengan emosi.

Ketika para murid gementar di hadapan hujahan dan serangan ilmiah yang dilancarkan dalam majlis pengajaran, namun guru yang hebat masih tetap dengan ketenangan yang tinggi tatkala jiwa para pelajar bergelojak kerana intonasi suara guru yang hebat tetapi jiwanya tetap tenang setenang air tasik dalam satu benteng yang kukuh.

Justeru bukanlah sesuatu yang mustahil jika guru dapat menjadi ejen perubahan masyarakat dan pembina masa depan negara yang lebih cemerlang dengan generasi madani bersulamkan nilai akhlak yang luhur lagi tinggi pekertinya.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Bersempena tema Hari Guru pada tahun ini iaitu “Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak” jelas menzahirkan hasrat kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperkasakan sistem pendidikan negara.  Dua aspek yang menjadi tunjang dan fokus utama:

·       Kemantapan ilmu yang menjadi nadi pendidikan.

·       Tarbiyah akhlak yang luhur yang menjadi natijah dan buah hasil daripada pendidikan yang bersepadu.

Inilah yang sepatutnya kita semua harapkan. Hal ini tidak tercapai dengan mudah kecuali guru mempunyai kemantapan ilmu, skill yang tinggi, dan keluhuran akhlak yang unggul.  Saya berdoa kepada Allah SWT agar guru-guru diberi kekuatan dalam melaksanakan amanah yang berat ini. Tanpa guru siapalah kita.

Penutup

Dinyatakan di sini dahulu pendapat Syeikh al-Habib Zein bin Ibrahim bin Sumait:

“Maka ilmu adalah punca dan sumber kebahagiaan yang hakiki di dunia dan di akhirat. Ini kerana, sebesar-besar kedudukan pada hak anak Adam adalah kebahagiaan yang berkekalan di akhirat dan melihat wajah Allah serta menghuni syurga-Nya. Hal ini, tidak akan sampai kecuali dengan ilmu dan amal dan amalan tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali dengan segala kaifiyatnya berdasarkan ilmu.”  

Marilah sama-sama kita doakan agar guru-guru kita sentiasa mendapat rahmat, taufiq dan hidayah dari-Nya. Begitu juga diberi kesihatan yang baik, dipanjangkan usia untuk diisi amalan kebajikan dan juga dilimpahruahkan rezeki yang halal lagi diberkati.

Semoga usaha murni cikgu dalam mendidik anak bangsa akan dipahalakan oleh Allah. Akhir kalam saya ucapkan selamat hari guru, jasamu tetap dikenang. Terima kasih cikgu!

Akhukum fillah

DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Mufti Wilayah Persekutuan


Cetak   Emel