Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-115 : FIQH JENAZAH KEBAKARAN

 

Mukadimah

Semalam kita dikejutkan dengan isu kematian anak-anak tahfiz kita di Kuala Lumpur akibat kebakaran. Kami bersimpati dengan apa yang berlaku dan telah melakukan sedaya upaya untuk membantu keluarga mangsa dan mangsa. Bahkan, isu ini sudah tular sehingga ke peringkat antarabangsa. Kami mengucapkan terima kasih kepada Prof. Dr. Ahmad Tayyib, Imam al-Akbar, Syeikhul Azhar yang turut merakamkan ucapan takziah atas berita kematian para pelajar tahfiz terbabit kepada kerajaan dan rakyat Malaysia, khususnya keluarga mangsa. Beliau berdoa semoga Allah supaya dilimpahi rahmat, dan dikurniakan kepada kaum keuarga dengan kesabaran dan diberi kesembuhan yang segera kepada yang dirawat. Beliau memberi kenyataan ini semalam.

Dalam pada masa yang sama, banyak persoalan yang berlegar dan sampai ke meja Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di samping soalan melalui telefon untuk mendapat sejumlah maklumat berkenaan dengan fiqh mati kebakaran ini.  Justeru, kami dalam Bayan Linnas pada kali ini terpanggil untuk mengupas isu ini berdasarkan pengamatan kami. Antara yang kami tekankan berkenaan dengan fiqh dan permasalahan berkaitan dengan si mati dan yang masih hidup serta sebahagian hukum hakamnya. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua.

Kematian Adalah Pasti

Sesungguhnya mati adalah satu kepastian. Ini dinyatakan dalam nas dan telah difahami oleh semua manusia. Firman Allah SWT:

 

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

 

Maksudnya: “Setiap jiwa pasti merasai kematian dan kepada Kami pasti kami dikembalikan.”

         (Surah al-Ankabut: 57)

Al-Qurtubi berkata: “Sesungguhnya Allah menyebut tentang kematian pasti dirasai untuk menggambarkan betapa kecilnya dan sedikitnya perkara dunia dan apa-apa yang menakutkannya.”

Walau sehebat mana kehidupan dan pangkat di dunia, tiada siapa pun yang dapat hidup kekal selama-lamanya. Begitu juga kematian tidak mungkin bertangguh apabila sampai ajalnya. Benarlah firman Allah SWT:

 

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

 

Maksudnya: ““Bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan), maka apabila telah sampai masanya, mereka tidak dapat menangguhkannya walaupun sesaat, dan tidak dapat pula mereka mempercepatkannya.”

 (Surah al-A’raf: 34)

Kematian datang dengan tiba-tiba tanpa boleh disangka seperti kata Saidina Ali RA:

 

الْمَوْتُ يَأْتِي بَغْتَةً  وَ الْقَبْرُ صُنْدُوقُ الْعَمَلِ‏

 

Maksudnya: “Mati datang secara mengejut Sedangkan kubur menjadi tabung amalan seseorang”

Kematian tak dapat dihindari, tidak mungkin ada yang dapat lari daripadanya. Namun seribu kali sayang, sedikit sahaja yang mahu mempersiapkan diri menghadapinya. Berkata Khalifah Umar Abdul Aziz rahimahullah:

 

مَا رَأَيْتُ يَقِينًا أَشْبَهَ بِالشَّكِّ مِنْ يَقِينِ النَّاسِ بِالْمَوْتِ ثُمَّ لَا يَسْتَعِدُّونَ لَهُ

 

Maksudnya: “Aku tidaklah pernah melihat suatu yang yakin kecuali keyakinan akan kematian. Kemudian mereka tidak mempersiapkan untuknya.” (Tafsir al-Qurtubi, 10/64)

Ujian Kematian

 

Firman Allah SWT:

 

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

 

Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)

             (Surah al-Mulk: 2)

Ibn Kathir berkata: “Untuk Allah uji kamu mana yang lebih taat dan cepat mencari keredhaan-Nya. Begitu juga mana yang lebih baik amalan, bukan lebih banyak amalan seperti kata Muhammad bin Ajlan. Lihat Tafsir Ibn Kathir.

 

Hadis Berkenaan Mati Kebakaran

Daripada Jabir RA bahawa Nabi SAW bersabda:          

الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ وَالَّذِى يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدٌ

Maksudnya: "Orang-orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah 7 orang, iaitu korban wabak adalah syahid; mati tenggelam (ketika melakukan safar dalam rangka ketaatan) adalah syahid; yang punya luka pada lambung lalu mati, matinya adalah syahid; mati kerana penyakit perut adalah syahid; korban kebakaran adalah syahid; yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid; dan seorang wanita yang meninggal ketika melahirkan anak adalah syahid.” (HR. Abu Daud, no. 3111 dan al-Nasaie)

Mengkhususkan Istilah Syahid Kepada Seseorang

Hukum menentukan kesyahidan kepada individu tertentu memiliki dua sudut:

Penyaksian Umum: Yakni kita menentukan kesyahidan berdasarkan keadaan atau sifat yang berlaku berdasarkan sifat atau keadaan yang diiktiraf dalam al-Quran atau Hadis Rasulullah SAW. Contohnya seperti hadis Jabir RA di atas. Maka hukumnya adalah diharuskan bahkan wajib untuk membenarkannya, kerana kita menyaksikannya berdasarkan sifat yang dikhabarkan oleh Rasulullah.

Penyaksian Khusus: Yakni kita mengucapkan seseorang itu syahid pada orang tertentu seperti kita berkata: “Orang itu syahid.” Maka hal ini tidak dibenarkan melainkan individu tersebut disaksikan syahid oleh Rasulullah SAW atau kesepakatan umat Islam.

Oleh sebab itu, Imam al-Bukhari membuat bab khas dalam kitab Sahih al-Bukhari: “Larangan Mengatakan Seseorang Itu Syahid.” Menurut Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari (9/60): “Larangan itu bermaksud atas jalan yang pasti. Ini kerana kepastian hanyalah boleh diterima berdasarkan kenyataan wahyu. Justeru, dia (Imam al-Bukhari) seolah-olah menyandarkan larangan ini kepada hadis Umar (al-Khattab) yang berkhutbah: “Kalian mengatakan dalam peperangan-peperangan kalian, “si Fulan syahid” dan “si fulan mati syahid” padahal mungkin orang itu (mati kerana) membebani tunggangannya dengan terlalu berat (lalu mati jatuh kenderaan). Oleh itu, jangan kalian berkata sedemikian, sebaliknya katakanlah seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

 

مَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ قُتِلَ فَهُوَ شَهِيدٌ

 

Maksudnya: “Sesiapa yang mati atau terbunuh di jalan Allah, maka dia (mati) syahid.”

Kata Imam Ibn Hajar: “Hadis ini ialah hadis hasan dan ditakhrijkan oleh Imam Ahmad dan Said bin Mansur dan selain mereka.”

Oleh itu, kita mendoakan dan mengharapkan ganjaran syahid kepada orang yang mati dalam keadaan syahid seperti mana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW tanpa kita menetapkannya secara qat’i dan kita bersangka baik dengannya.  

 

Kaedah Memandikan Mayat Mangsa Kebakaran

Hukum asal atau hak bagi jenazah adalah wajib dimandikan, samada ianya terbakar ataupun tidak. Sekiranya terdapat keuzuran seperti tahap kebakaran yang amat parah iaitu tahap ketiga (deep burn), tidak diperlukan air kerana dikhuatiri kulit yang melepuh akan tertanggal dan menyukarkan lagi keadaan. Maka, digantikan dengan tayammum. Ini adalah pandangan dalam mazhab Syafie. Dalil bagi para fuqaha’ adalah qias kepada keadaan orang yang hidup. Sekiranya seseorang yang sihat berubah daripada wudhu’ dengan air kepada tayammum disebabkan keuzuran tertentu, begitu juga bolehnya ditayammumkan jenazah kerana keuzuran pada jenazah itu sendiri.

Imam Al-Nawawi rahimahullah apabila menjelaskan hal ini berkata: Apabila terdapatnya keuzuran untuk memandikan mayat disebabkan ketiadaan air, atau jenazah terbakar, yang mana apabila ia dimandikan akan menyebabkan daging terpisah maka ia tidak dimandikan bahkan ditayammum. Dan tayammum ini wajib kerana ia adalah proses penyucian yang tidak berkaitan dengan menghilangkan najis maka wajib untuk beralih kepadanya (tayammum) ketika tidak mampu menggunakan air sama seperti mandi junub. Lihat Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab (5/178).

Dalam Raudhah al-Talibin, Imam al-Nawawi juga mengulas hal yang sama. Menurutnya, Jikalau seseorang Islam terbakar sekira-kira jika dia dimandikan dia akan hancur lumat, dia tidaklah dimandikan, bahkan cukuplah ditayamumkan." Lihat Raudhah al-Talibin,( 2/108).

Begitu juga Syeikh Nawawi al-Bantani rahimahullah menyebutkan: "Dan mayat yang tidak dapat dimandikannya kerana ketiadaan air atau seumpamanya, seperti jenazah yang terbakar jika dimandikan akan hancur, maka ia ditayammumkan." Rujuk Nihayah aI-Zain (hal. 151)

Maka, dalam isu kebakaran yang berlaku baru-baru di ini Darul Qur’an Ittifaqiah - setelah mendengar penjelasan pihak berwajib - kami berpandangan bahawa jenazah mangsa kebakaran memadai ditayammumkan sahaja.

 

Hukum Menguburkan Mayat Mangsa Kebakaran Dalam Satu Liang Lahad

Pada asalnya tidak dibolehkan menguburkan mayat dalam satu liang lahad. Diharamkan mengubur dua jenazah dalam satu kubur.

Namun, dikecualikan apabila hal tersebut dilakukan karena dalam keadaan darurat seperti karena banyaknya orang yang meninggal, dan sulit mengubur satu orang pada tiap satu kuburan, maka diperbolehkan mengubur lebih dari satu orang dalam satu kuburan. Alasan pelarangannya adalah bahawa Nabi SAW tidak pernah mengubur lebih dari satu orang dalam satu kuburan kecuali dalam keadaan darurat, seperti yang beliau kerjakan setelah perang uhud, sebagaimana diterangkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir R.Anhuma:

 

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَجْمَعُ بَيْنَ الرَّجُلَيْنِ مِنْ قَتْلَى أُحُدٍ

Maksudnya: "Bahawasanya Nabi SAW menghimpunkan antara dua orang diantara orang-orang yang terbunuh dalam satu liang pada masa perang Uhud".

Riwayat al-Bukhari (1345)

Begitu juga dalam satu hadis lain, Hisham bin Amir telah mengadu kepada Rasulullah SAW pada ketika Perang Uhud dengan berkata:  “Wahai Rasulullah, ia satu kesukaran bagi kami untuk menggali kubur bagi setiap seorang.” Maka sabda Rasulullah SAW:

 

احْفِرُوا وَأَعْمِقُوا وَأَحْسِنُوا وَادْفِنُوا الاِثْنَيْنِ وَالثَّلاَثَةَ فِي قَبْرٍ وَاحِدٍ

 

Maksudnya:“Galilah kubur, perdalamkannya dan perelokkanlah. Kuburkanlah dua jenazah dan tiga jenazah dalam satu kubur.

Riwayat al-Nasaie (2010)

Kesimpulannya, menguburkan lebih dari satu jenazah dalam satu kuburan hukumnya haram kecuali dengan sebab darurat. Untuk mendapat jawapan yang lebih tuntas, sila rujuk kitab al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi, 5/237; al-Madkhal hlm. 15 oleh Syeikh Ibn al-Haj al-Maliki, Hasyiah al-Syarwani ala Tuhfat al-Muhtaj (2/173) dan lain-lain.

Adab-Adab Menerima Berita Kematian

Kami mulakan perbahasan ini dengan mengemukakan beberapa noktah untuk difahami oleh kita semua. Antaranya:

  • Lafazkan dengan apa yang diajar oleh Allah

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya:  Mereka yang apabila ditimpa musibah akan mengucapkan dengan kalimah (إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ) Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kita kepada-Nya akan kembali.

(Surah al-Baqarah: 156)

  • Fahami maksud ayat di atas supaya keyakinan kita kepada Allah adalah benar-benar kukuh dan yakin. Ini penting supaya kefahaman yang benar, melahirkan keredhaan dan kesabaran.
  • Doa supaya digantikan dengan lebih baik. Ini berdasarkan hadis Ummu Salamah RAnha

اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah kepadaku pahala dengan musibah ini dan gantikanlah untukku dengan yang lebih baik daripadanya.”

                 Riwayat Muslim (918)

  • Memahami bahawa musibah merupakan kifarah daripada dosa seseorang. Hal ini berdasarkan hadis Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا

 

Maksudnya: “Apa saja yang menimpa orang Islam seperti kepayahan, penderitaan, kekecewaan, dukacita, gangguan dan tekanan batin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan pastilah Allah menghapus dosa-dosa kesalahannya (dengan sebab-sebab hal tersebut)”

                                            Riwayat al-Bukhari (5641), Muslim (2573), al-Turmudzi (966) dan Ahmad (2/303, 335)

  • Tidak berkata kecuali yang baik-baik sepertimana hadis yang sama di atas.
  • Jangan sekali-kali bercita-cita untuk mati dengan sebab mudarat yang berlaku atau musibah yang terkena. Hal ini berdasarkan hadis:

                أَلاَ لاَ يَتَمَنَّى أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ فَإِنْ كَانَ لاَ بُدَّ مُتَمَنِّيًا الْمَوْتَ فَلْيَقُلِ اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

 

Maksudnya: “Ketahuilah, Janganlah salah seorang kamu menginginkan dan bercita-cita untuk mati disebabkan kemudaratan yang menimpamu. Sekiranya dia terpaksa juga untuk berbuat demikian maka hendaklah dia berdoa: Ya Allah teruskanlah kehidupanku sekiranya hidup lebih baik bagi aku dan cabutlah nyawaku sekiranya kematian lebih baik buatku.”

Riwayat al-Bukhari (1/107-108) dan Muslim (2680)

 

  • Menggalakkan keluarga si mati supaya bersabar. Hal ini berdasarkan riwayat al-Bukhari bahawa Nabi SAW melalui berhampiran seorang wanita yang menangis di sisi kubur seraya bersabda:

                اتَّقِي اللَّهَ وَاصْبِرِي

                Maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah.”

          Riwayat al-Bukhari (1252)     

  • Menyapu kepala anak-anak yatim jika ada, dengan makna menyantuni dan membantunya sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada anak-anak Jaafar RA.
  • Memberi makan kepada keluarga si mati. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Jaafar RAnhuma, sabda Rasulullah SAW:

اصْنَعُوا لأَهْلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَإِنَّهُ قَدْ جَاءَهُمْ مَا يَشْغَلُهُمْ

Maksudnya: “Jamulah kepada keluarga Jaafar makanan kerana telah datang kepada mereka ujian yang menyusah dan menyibukkan mereka.”

             Riwayat al-Tirmizi (998)

               

Digalakkan untuk menyuruh mereka makan kerana kadang-kadang dengan sebab kesedihan, menjadikan mereka enggan makan dan lemah untuk makan. Inilah pandangan Malikiah. Lihat Maraqi al-Falah (hal. 300).

  • Larangan daripada amalan Jahiliah seperti menampar pipi, mengoyak baju dan berdoa secara Jahiliah. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abdullah, sabda Rasulullah SAW:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَطَمَ الْخُدُودَ، وَشَقَّ الْجُيُوبَ، وَدَعَا بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ

 

Maksudnya: “Bukanlah daripada kalangan kita siapa yang menampar pipi, mengoyak baju dan berdoa dengan cara Jahiliah tatkala menerima berita musibah.

Riwayat al-Bukhari (1294)

Ibn al-Siraj berkata: “Telah ijma’ ummah bahawa haram meratap dan berdoa dengan cara Jahiliah sebagaimana yang disebut oleh al-Tahtawi.” Lihat Maraqi al-Falah, hlm. 354.

  • Tidak boleh meratap tetapi menangis diizinkan. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW seperti di atas dan juga hadis Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْمَيِّتَ لَيُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya mayat diazab dengan sebab ratapan kaum keluarganya.”

            (Riwayat al-Nasaie, no. 1855)

Kebanyakan pensyarah hadith menafsirkan dengan (بُكَاءِ) di sini dengan makna ratapan dan raungan, bukan menangis seperti biasa. Sebahagian menafsirkan dengan maksud apabila si mati mewasiatkan agar ditangisi dan diratapi kematiannya. Lihat al-Durr al-Mukhtar oleh Ibn Abidin, 1/633.

  • Segerakan jenazah dengan secepat mungkin seperti mandi, kafan dan mengebumikannya. Ini adalah sepakat di kalangan ulama’ bahkan tidak harus untuk kita simpan jenazah dengan melewatkannya untuk dikebumikan. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (16/7). Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ - لَعَلَّهُ قَالَ - تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

 

Maksudnya: “Hendaklah kamu bersegera dengan urusan jenazah. Jika sekiranya dia baik maka baik baginya yang kamu sampaikan untuknya. Dan sekiranya tidak, maka kejahatan kamu lepaskannya daripada lehermu.”

Riwayat Muslim (944)

  • Kepada masyarakat, elakkan daripada menyebarkan gambar yang tidak baik. Ini adalah akhlak Muslim dan ia bercanggah dengan peraturan undang-undang Seksyen 211 atau 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menyebut, “Jika didapati bersalah, hukumannya adalah denda melebihi RM 50,000 atau tidak lebih 1 tahun penjara.” Justeru, raikanlah kepada jenazah dan keluarga mereka.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa untuk mereka dan semoga mereka ditempatkan bersama para syuhada’.

 

اللَّهُـمَّ اغْفِـرْ لَهم ، وَارْحَمْـهم ، وَعَافِهم ، وَاعْفُ عَنْـهم ، وَأَكْـرِمْ نُزُلَـهم ، وَوَسِّـعْ مُدْخَـلَهم ، وَاغْسِلْـهم بِالْمَـاءِ وَالثَّـلْجِ وَالْبَـرَدِ ، وَنَقِّـهم مِنَ الْخَطَـايَا كَمَا نَـقَّيْتَ الـثَّوْبَ الأَبْيَـضَ مِنَ الدَّنَـسِ، وَأَبْـدِلْهم دَارًا خَـيْرًا مِنْ دَارِهم، وَأَهْلًا خَـيْرًا مِنْ أَهْلِـهم ، وَزَوْجًا خَـيْرًا مِنْ زَوْجِهم ، وَأَدْخِـلْهم الْجَـنَّةَ ، وَأَعِـذْهم مِنْ عَذَابِ الْقَـبْرِ وَعَذَابِ النَّـارِ

 

Maksudnya: “Ya Allah ampunlah mereka, rahmati, afiat dan terimalah keampunan mereka, muliakan tempat mereka, luaskanlah tempat masuk mereka, basuhlah mereka dengan air salji dan air sejuk, sucikanlah mereka dari sebarang kesalahan sebagaimana Kamu sucikan baju putih dari sebarang kotoran. Gantilah mereka tempat tinggal yang lebih baik dari tempat tinggal mereka, keluarga yang lebih baik daripada keluarga mereka, isteri yang lebih baik daripada isteri mereka dan masuklah mereka ke dalam syurga dan jauhlah mereka daripada azab kubur dan azab neraka.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا، وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا، وَصَغِيْرِنَا وَكَبِيْرِنَا، وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا، اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اْلإِسْلاَمِ، وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اْلإِيْمَانِ

Maksudnya: “Ya Allah ampunilah orang yang masih hidup di antara kami dan orang yang sudah meninggal, orang yang sekarang ada dan orang yg tidak hadir,  anak kecil di antara kami dan orang dewasa,  lelaki  dan perempuan  dari kalangan kami. Ya Allah siapa yang Engkau hidupkan di antara kami maka hidupkanlah ia di atas Islam dan siapa yang Engkau wafatkan di antara kami maka wafatkanlah dia di atas iman.

 

Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan

15 September 2017M bersamaan 24 Zulhijjah 1438H