Visitors Hit

7499718 Views

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas Baginda SAW, keluarga, para Sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kemudian.

Dalam kemelut, pergeseran dan salah faham antara agama di Malaysia, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini setelah mendapat satu perkhabaran yang menarik dari Sarawak. Kami mendapat info bahawa Masjid An-Naim dan Gereja The Good Shepherd di Lutong, Sarawak yang jaraknya hanya sekitar 100 meter mengambil inisiatif berkongsi kawasan meletak kenderaan. Pada setiap hari Jumaat, pengurusan gereja akan membuka kawasan parkir untuk kegunaan umat Islam. Manakala pada setiap hari Ahad, pihak pengurusan masjid pula membuka kawasan parkir untuk kegunaan penganut Kristian.

Bagaimanakah pandangan Islam berhubung perkara ini? Apakah yang boleh difahami dengan fiqh ta’ayush dalam konteks semasa? Bagi mengupas lebih lanjut akan perkara ini, kami bawakan kepada anda Bayan Linnas Siri ke-89 dengan tajuk “Masjid Dan Gereja Berkongsi Ruang Meletak Kenderaan”

Keperluan Memaham Fiqh Kewujudan Bersama (al-Ta’ayush/ Co-Existence) Pada Masa Kini

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”
(Surah al-Hujurat: 13)

Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan.[1]

Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya pada faham creedal nation (al-ummah al-‘aqidiyyah). Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara.

Terlalu banyak contoh-contoh dalam al-Qur’an, bagaimana para Nabi dinamakan kepada kaum masing-masing oleh Allah SWT sebagai “saudara” walaupun bagi kaum yang menentang Nabi mereka.

وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا

Maksudnya: “Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh.”
(Surah al-A’raf: 73)

 

قَالُوا أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَابْعَثْ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ

Maksudnya: Mereka berkata: "Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir).”
(Surah al-Syu’ara: 36)

 

وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا

Maksudnya: “Dan kepada kaum ‘Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud…”
(Surah Hud: 50)

 

وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا

Maksudnya: “Dan kepada penduduk Madyan, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib.
(Surah Hud: 84)

Berdasarkan nas-nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa perkataan saudara digunakan walaupun pada masa itu kebanyakan kaumnya tidak seagama dengan mereka berdasarkan mafhumnya. Mereka didakwahkan oleh Rasul-rasul dengan penuh hikmah dan kesabaran.

Hatta, dalam sejarah jelas menukilkan kata-kata Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

لَوْ قَالَ لِي فِرْعَوْنُ: بَارَكَ اللَّهُ فِيكَ. قُلْتُ: وَفِيكَ

Maksudnya: “Sekiranya Fir’aun berkata kepadaku: ‘Semoga Allah memberkati kamu.’ Nescaya aku akan menjawab: ‘Kepada kamu jua.”[2]

Ini bermakna, perbezaan fahaman apatah lagi pegangan tidak menjadi masalah bagi Muslim untuk menerima dan menanggapi bukan Muslim sebagai seorang saudara, yang bersusurgalurkan daripada Adam dan Hawa.

Contoh Unggul Fiqh al-Ta’ayyush Dalam Kehidupan

Ini adalah kisah benar, Abdullah yang buta mata (beragama Islam) dan Samir yang kenit dan lumpuh (beragama Nasrani). Samir yang lumpuh itu dipikul dan dikendong oleh sahabatnya yang buta bernama Abdullah. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain; Samir sebagai penunjuk jalan bagi Abdullah manakala Abdullah pula membawa Samir. Keduanya bergabung tenaga dan kelebihan untuk mendepani kehidupan. Samir bekerja sebagai penglipurala di sebuah kedai kopi di bandar lama Damsyik. Abdullah pula menjual hummus di hadapan kedai kopi. Halwa telinganya setiap hari adalah celoteh Samir yang amat menghiburkan. Setiap pertemuan, ada perpisahannya. Ditakdirkan Tuhan, Samir meninggal dunia. Abdullah menangis pemergian sahabatnya hampir seminggu dan berkurung di dalam biliknya. Akhirnya beliau ditemui meninggal dunia di biliknya dek kesedihan atas kehilangan sahabat baiknya tersebut.

Inilah contoh unggul dua insan biasa yang tidaklah terlalu memahami agama masing-masing tetapi kaya dengan sifat manusiawi yang saling melengkapi, merentasi sempadan agama.

Toleransi Islam - Kristian Dalam Lembaran Sejarah Islam

Asas toleransi inter-agama yang paling baik sudah pasti mengambil contoh daripada apa yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan salafussoleh di mana kisah mereka dan peristiwa yang berlaku pada zaman mereka patut menjadi neraca dalam tindakan kita. Inilah hujah dan nas yang terbaik.

Rasulullah SAW ketika berbicara tentang Nabi Isa AS telah menyatakan:

أَنَا أَوْلَى النَّاسِ بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَالْأَنْبِيَاءُ إِخْوَةٌ لِعَلَّاتٍ، أُمَّهَاتُهُمْ شَتَّى وَدِينُهُمْ وَاحِدٌ

Maksudnya: “Aku adalah orang yang paling dekat dan paling mencintai Isa bin Maryam di dunia mahupun di akhirat. Para nabi itu adalah saudara seayah walau ibu mereka berlainan, dan agama mereka adalah satu.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 3443)

Pertama: Perlembagaan Negara Kota Madinah

Usai penghijrahan Nabi SAW ke Madinah, peranan Baginda SAW bukan lagi hanya sebagai seorang Rasul tetapi juga adalah seorang pemimpin politik sebuah negara baru yang ditadbir berlandaskan nilai-nilai Islam. Ia menuntut kepada pelaksanaan undang-undang pentadbiran yang jelas, bagi menjamin keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat - yang pernah berpecah kerana siri peperangan yang panjang - yang hidup secara berbilang agama iaitu Islam, Yahudi, Kristian dan juga mereka yang menyembah berhala. Oleh itu Baginda SAW telah melancarkan sebuah piagam atau perlembagaan yang memperincikan tanggungjawab-tanggungjawab semua pihak yang menetap di Madinah, peranan dan kewajiban terhadap satu sama lain, dan beberapa had atau larangan yang terpakai antara satu sama lain. Perlembagaan ini dikenali sebagai Sahifah Madinah.[3]

Kedua: Kristian Najran Sembahyang Di Masjid Nabawi

Baginda juga pernah menerima orang Kristian dari Najran didalam masjid baginda di Madinah. Apabila tiba waktu sembahyang mereka, mereka akan bersembahyang di masjid menghadap ke arah timur. Rasululllah SAW bersabda, yang bermaksud: “Biarkan mereka.”

Kisah ini disebutkan oleh Ibn Ishaq dalam karya agung Sirah Ibn Ishaq, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/42; Ibn al-Qayyim dalam Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/397 dan Zad al-Ma’ad, 3/549.

Berdasarkan kisah ini, dapat difahami bahawa Kristian Najran pernah bersembahyang di Masjid Nabawi atas keizinan Nabi SAW. Dalam masa yang sama, terdapat juga beberapa hal yang penting untuk diteliti pada kisah ini:

  1. Riwayat ini sebenarnya daif kerana sanadnya terputus. Ia diriwayatkan oleh Ibn Ishaq daripada perawi yang bernama Muhammad bin Jaafar bin al-Zubair daripada Nabi SAW. Muhammad bin Jaafar bukan merupakan seorang sahabat bahkan beliau hanya sempat berguru dengan tabien kecil sahaja.[4]
  2. Ibn Qayyim meletakkan syarat supaya ia tidak menjadi adat atau rutin harian dan kebiasaan.[5]
  3. Tidak ada riwayat lain yang menyatakan Nabi SAW membenarkan orang bukan Islam melakukan ibadat di Masjid Nabawi melainkan riwayat ini sahaja.
  4. Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alu al-Syeikh menyatakan bahawa kisah ini menunjukkan bahawa sekiranya ada keperluan atau hajat yang memungkinkan hal seperti itu, ia dibolehkan.

Ketiga: Pertemuan Kristian Najran dan Rasulullah SAW

جَاءَ العَاقِبُ وَالسَّيِّدُ، صَاحِبَا نَجْرَانَ، إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرِيدَانِ أَنْ يُلاَعِنَاهُ، قَالَ: فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ: لاَ تَفْعَلْ، فَوَاللَّهِ لَئِنْ كَانَ نَبِيًّا فَلاَعَنَّا لاَ نُفْلِحُ نَحْنُ، وَلاَ عَقِبُنَا مِنْ بَعْدِنَا، قَالاَ: إِنَّا نُعْطِيكَ مَا سَأَلْتَنَا، وَابْعَثْ مَعَنَا رَجُلًا أَمِينًا، وَلاَ تَبْعَثْ مَعَنَا إِلَّا أَمِينًا. فَقَالَ «لَأَبْعَثَنَّ مَعَكُمْ رَجُلًا أَمِينًا حَقَّ أَمِينٍ»، فَاسْتَشْرَفَ لَهُ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «قُمْ يَا أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ الجَرَّاحِ» فَلَمَّا قَامَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَذَا أَمِينُ هَذِهِ الأُمَّةِ»

Telah datang al-‘Aqib dan al-Sayyid; dua orang kepada dari Nejran kepada Rasulullah SAW, atas tujuan mubahalah dengan Nabi SAW. Berkata salah seorangnya kepada yang seorang lagi, “Jangan kamu lakukannya. Demi Allah, jika dia benar seorang Nabi dan kita lakukan li’an inim samada kita, tidak juga keturunan selepas kita akan berjaya.’ Mereka berdua berkata: ‘Sesungguhnya kami akan memberikanmu apa yang kamu minta. Tetapi kamu perlu mengutuskan bersama kami, seorang yang dapat dipercaya, dan jangan engkau mengutus orang yang tidak dapat dipercayai bersama kami. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya aku akan mengutus seorang yang dapat dipercaya.’ Maka para sahabat Nabi SAW menginginkan dirinya yang dimaksudkan itu. Rasulullah SAW bersabda: ‘Berdirilah wahai ‘Ubaidah bin Jarrah.’ Dan ketika Abu Ubaidah berdiri dan Baginda bersabda, “Ini orang paling dipercayai dalam umat ini.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 4380)

Hadith di atas adalah tentang peristiwa kedatangan delegasi Kristian Najran bertemu dengan Rasulullah SAW. Mereka datang bertemu dengan Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW tidak pula menghalau, menyuruh mereka pulang ke Najran bahkan berlaku dialog, antara mereka dan kisah ini masyhur dan dikenali dengan kisah al-Mubahalah.

Keempat: Hatib bin Abi Balta’ah dan Raja al-Muqauqis

Rasulullah SAW mengutus Hathib ibn Abi Balta’ah ke Mesir untuk membawa surat untuk Muqawqis, raja/penguasa Qibti. Surat itu berisi ajakan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada Muqawqis untuk memeluk Islam. Dr. Muhammad ‘Imarah menyatakan bahawa terdapat kenyataan Hatib ibn Abi Balta’ah semasa dialognya dengan Raja al-Muqauqis membuktikan bahawa beliau meraikan kebebasan beragama. Hatib ibn Abi Balta’ah berkata: “Bukanlah kami melarang kamu memeluk agama Nabi ‘Isa, bahkan kami menyeru kamu kepadanya (kefahaman sebenar ajaran Nabi 'Isa)…” Allah SWT jualah yang menciptakan kepelbagaian dan perbezaan dalam syariat agama-agama yang merupakan sunnatullah.[6]

Kelima : Kisah Syeikh Ahmad Kiftaro[7]

Syeikh Ahmad Kiftaro Rahimahullah ketika menerima lawatan Pope John Paul II berucap menceritakan bagaimana dahulunya umat Islam dan Kristian di Syria hidup ratusan tahun lamanya bersama-sama dalam keadaan harmoni dan sejahtera. Berjuang mempertahankan tanah Syria dari musuh sehingga ada nyawa yang terkorban dan kini musuh telah pergi manakala Muslim dan Kristian masih kekal hidup bersama-sama dalam sebuah negara.[8]

Keenam: Mauqif Ulama’ Azhar

Kami dapati sejak dahulu lagi ulama’ al-Azhar yang berwibawa termasuk Syuyukh al-Azhar begitu menyantuni golongan Nasara dengan penuh hikmah. Antara yang terkenal ialah Syeikh Muhammad al-Maghari, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi dan yang terbaru Syeikhul Azhar sekarang ini, Syeikh Dr. Ahmad Tayyib. Beliau juga mempelopori Fiqh al-Ta’ayyush dan hadir dalam banyak pertemuan dengan paderi Kristian.

Ketujuh: Pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Kami nukilkan pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebahagiannya daripada kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam: “Segala ketetapan ini meliputi semua ahli kitab walau di mana jua sekalipun mereka berada.  Namun, bagi mereka yang bermastautin di bawah naungan kerajaan Islam, terdapat satu perkara yang khusus bagi mereka. Mereka inilah dalam istilah Islam dikenali sebagai ahl al-zimmah yang membawa maksud ‘golongan yang membuat perjanjian’.[9]

Ianya merupakan satu perkataan yang digunapakai bagi mereka yang menunjukkan bahawa mereka sudah memberikan janji setia kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan kepada golongan Muslim bahawa mereka akan menjalani hidup di bawah naungan pemerintahan Islam dalam keadaan aman dan sentosa.

Mereka dikira dengan istilah baru iaitu warganegara dalam negara Islam. Golongan Muslimin telah memutuskannya sejak abad pertama sehingga hari ini yang bahawa mereka mempunyai hak yang sama dengan apa yang dimiliki oleh orang Islam. Ia akan dihitung ke atas diri mereka seperti ke atas orang Islam kecuali berkaitan agama dan akidah. Maka Islam akan membiarkan mereka hidup bebas dengan apa jua pegangan yang menjadi kepercayaan mereka tanpa sebarang campur tangan oleh agama Islam dalam konteks ini.[10]

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Dengan mengambil contoh apa yang sudah sekian lama diamalkan oleh pengurusan Masjid an-Naim dan Gereja The Good Shepherd di Sarawak, kami berpandangan bahawa ianya adalah satu contoh yang baik bagi mengekalkan keharmonian dan toleransi inter-agama. Maka,  Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan dalam Mesyuarat  Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke - 101 pada 26 April 2017 telah memutuskan hukum berkongsi ruang letak kenderaan antara masjid dan gereja adalah harus dan dibenarkan dalam Islam.

Dalam kaedah usul fiqh ada satu perkara yang dinamakan sebagai mafhum al-aula (مفهوم الأولى).  Mafhum al-aula adalah sesuatu yang tidak disebut itu lebih utama mendapat hukum daripada apa yang disebut.[11] Jika Kristian dibenarkan memasuki masjid atas keperluan-keperluan tertentu, maka apatah lagi cuma berkongsi ruang meletak kenderaan yang terletak di luar daripada kawasan masjid/gereja.

Imam Syihabuddin al-Qarafi bermazhab Maliki berkata: “Sesungguhnya terdapat janji setia daripada golongan zimmi yang mewajibkan beberapa hak yang mesti dipelihara. Ini kerana mereka hidup di dalam lindungan kita serta berada dalam naungan Allah dan Rasul-Nya serta di bawah naungan Islam. Sesiapa yang mengganggu mereka sekalipun dengan suatu perkataan yang buruk atau melakukan penghinaan terhadap kehormatan salah seorang daripada mereka atau apa jua jenis bentuk penganiayaan maka mereka itu telah mensia-siakan naungan Allah SWT dan Rasul-Nya serta naungan agama Islam itu sendiri.”[12]

Demi menjaga sesiapa yang berada dalam naungan Allah dan Rasul-Nya manakala menyerahkan mereka kepada musuh adalah satu perbuatan yang sama seperti mencuaikan akad janji setia yang dibuat dalam naungan tersebut. [13] Para Khulafa’ al-Rasyidin juga telah melaksanakan hak ini serta melindungi kehormatan mereka yang bermastautin.[14]

Tambahan pula di dalam Islam, ruang toleransi inter-agama sentiasa terbuka luas dalam soal kehidupan seharian selagi tidak memasuki isu yang melibatkan akidah.

Firman Allah SWT:

وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang beriman ialah orang yang berkata: “Bahawa kami ini adalah orang-orang Kristian” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”
(Surah al-Ma’idah: 82)

Ibn Kathir menyatakan: “Mereka yang menyatakan bahawa mereka adalah Kristian yang mengikuti al-Masih (‘Isa ‘alaihissalam) dan di atas manhaj Injil, pada mereka ada kasih sayang terhadap Islam dan penganutnya. Ini kerana kelembutan dan kasih sayang mereka diperoleh melalui sebahagian ajaran al-Masih.”[15]

Semoga Allah merahmati kita dan sentiasa memelihara negara kita dengan penuh keamanan dan masyarakatnya sentiasa saling hormat menghormati antara satu sama lain. Kita mengharapkan dikurniakan negara kita menjadi baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur, Amin.

Akhukum fillah

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

 

________________________________________

[1] Al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, 4/374.

[2] Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, no. 1113.

[3] Bagi mendapatkan pencerahan yang lebih baik serta huraiannya, kami cadangkan supaya dirujuk kitab al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Safiyurrahman Mubarakfuri.

[4] Lihat Taqrib al-Tahzib, 2/471.

[5] Lihat Zad al-Ma'ad, 3/557.

[6] Muhammad ‘Imarah. Al-Islam wa al-Akhar, m. 83.

[7] Beliau merupakan Mufti ‘Am Syria dan menjawat jawatan tersebut begitu lama sehingga beliau meninggal dunia. Kemudian digantikan dengan Syeikh Ahmad Badreddin Hassoun.

[8] Ucapan penuh Syeikh Ahmad Kiftaro Rahimahullah bersempena lawatan Pope John Paul II ke Syria pada tahun 2001 boleh didapati di sini: http://www.kuftaro.net/english/activity1.php?activity_no=1%20&%20act_no=%2013

[9] Dalam Fiqh al-Siyasah al-Syar’iyyah oleh al-Anbari menyebutkan ahl al-zimmi adalah kaum Yahudi, Nasrani, Majusi dan lain-lain yang tinggal di negara Islam secara tetap. Golongan ini diakui oleh pemerintah akan agama mereka dengan syarat mereka mestilah patuh kepada sistem perundangan Islam dalam aspek mu’amalah dan hukuman mahkamah Islam.

[10] Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (terj.), hal. 646.

[11] Lihat Al-Madakhil Al-Usuliyyah Li Al-Istinbat Min Al-Sunnah Al-Nabawiyyah. m. 156.

[12] Lihat al-Furuq, 3/14.

[13] Dinukilkan daripada kitab Maratib al-Ijma’ oleh Ibn Hazmin al-Zahiri

[14] Dalam Fiqh al-Siyasah al-Syar’iyyah menyebut: Antara hak ahl zimmi itu ialah:

  • Mematuhi perjanjian perlindungan.
  • Tidak boleh memaksa mereka memeluk agama Islam.
  • Tidak boleh membinasakan rumah ibadah mereka.
  • Melindungi dan mempertahankan mereka.
  • Baik dan bersimpati dengan mereka.
  • Darah dan harta mereka terpelihara.
  • Haram menzalimi mereka.

[15] Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 3/167.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top