Visitors Hit

5065664 Views

 

 

Soalan: Apakah riwayat ini menunjukkan sifat solat malam Nabi SAW?

 

  • Daripada Aisyah RA, beliau berkata:

 

كَانَ يُصَلِّي إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، كَانَتْ تِلْكَ صَلاَتَهُ يَسْجُدُ السَّجْدَةَ مِنْ ذَلِكَ قَدْرَ مَا يَقْرَأُ أَحَدُكُمْ خَمْسِينَ آيَةً، قَبْلَ أَنْ يَرْفَعَ رَأْسَهُ، وَيَرْكَعُ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الفَجْرِ، ثُمَّ يَضْطَجِعُ عَلَى شِقِّهِ الأَيْمَنِ حَتَّى يَأْتِيَهُ المُنَادِي لِلصَّلاَةِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW solat sebanyak sebelas rakaat, kadar satu sujud Nabi SAW adalah selama tempoh seseorang itu membaca 50 ayat sebelum Baginda SAW mengangkat kepalanya. Nabi SAW rukuk (solat) sebanyak dua rakaat sebelum solat Subuh. Kemudian Baginda SAW berbaring pada sebelah kanan sehingga didirikan solat”. [Riwayat al-Bukhari (1123)].

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, hukum hadith ini adalah sahih dan ia diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RA di dalam Sahihnya. Selain itu, kami akan cuba menjawab persoalan ini dengan membahagikannya kepada beberapa bahagian. Antaranya:

 

Bilangan rakaat solat malam Nabi SAW

Hadith ini menunjukkan bahawa Nabi SAW melakukan solat malam sebanyak 11 rakaat sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah RA. Selain daripada hadith ini, terdapat hadith-hadith lain yang menceritakan berkenaan sifat solat malam Nabi SAW, antaranya:

 

  • Daripada Abu Salamah RA, beliau bertanya Aisyah RA: Bagaimana Nabi SAW bersolat (malam) pada bulan Ramadhan? Maka Aisyah RA berkata:

 

مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّي أَرْبَعًا، فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا، فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak solat melebihi 11 rakaat samada pada Ramadhan atau selain daripadanya (Ramadhan). Baginda SAW bersolat 4 rakaat dan janganlah kamu bertanya akan kesempurnaan dan panjang solat Baginda SAW. Kemudian, Baginda SAW solat lagi 4 rakaat dan janganlah kamu bertanya akan kesempurnaan dan panjang solat Baginda SAW. Setelah itu, Baginda SAW solat 3 rakaat”. [Riwayat al-Bukhari (1147) (2013) (3569) dan Muslim (738)]

 

Walaubagaimanapun, terdapat juga hadith lain yang menunjukkan bahawa Nabi SAW solat pada waktu malam melebihi 11 rakaat iaitu sebanyak 13 rakaat. Antara yang meriwayatkan bahawa Nabi SAW solat pada waktu malam dengan 13 rakaat adalah Ibn Abbas RA dan juga Aisyah RA.

 

  • Daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata:

 

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ ثَلَاثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW solat pada waktu malam 13 rakaat termasuk witir dan Baginda SAW juga solat sunat 2 rakaat al-Fajar”.  [Riwayat Muslim (764)]

 

Tempoh sujud Nabi SAW

Di dalam hadith di atas, Aisyah RA menggambarkan bahawa kadar sujud Nabi SAW adalah seperti membaca 50 ayat al-Qur’an sebelum Baginda SAW mengangkat kepalanya. Ini menunjukkan bahawa Nabi SAW memanjangkan sujudnya ketika baginda menunaikan solat malam. Imam al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan bahawa Nabi SAW banyak membaca ketika ruku’ dan sujud: [Lihat: Fath al-Bari, 8/3]

 

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي

Maksudnya: “Maha suci Engkau, segala puji bagi-Mu, wahai Tuhan, ampunilah aku”.

 

  • Baginda SAW juga membaca ketika sujud:

 

سُبْحَانَكَ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Segala puji bagimu, tiada Tuhan melainkan Engkau”.

 

Kelebihan solat sunat al-Fajar

Solat sunat al-Fajar mempunyai kelebihan yang cukup besar sebagaiman yang terdapat di dalam hadith yang sahih.

 

  • Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Maksudnya: “(Solat) Dua rakaat (sebelum) al-Fajar lebih baik daripada dunia dan seisinya”. [Riwayat Muslim (725)]

 

Imam al-Nawawi berkata yang dimaksudkan dengan “وَمَا فِيهَا” adalah kesenangan dunia. Selain itu juga, antara surah atau ayat yang disunatkan untuk kita membaca ketika solat sunat al-Fajar adalah surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan al-Ikhlas pada rakaat kedua. Di dalam riwayat yang lain pula, disunatkan kita membaca ayat “قُولُوا آمَنَّا بِاللَّـهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْنَا” [al-Baqarah:136] pada rakaat pertama dan pada rakaat kedua “قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ” [ali-Imran:64]. Ini merupakan dalil bagi mazhab kami (al-Syafie) dan juga mazhab jumhur bahawa digalakkan membaca surah pada kedua rakaat selepas daripada surah al-Fatihah. Digalakkan juga untuk menjadikan dua surah atau ayat ini (sebagai bacaan selepas daripada al-Fatihah) kerana ia adalah sunnah. Adapun Imam Malik dan juga ashabnya mengatakan tidak dibaca di dalam solat sunat al-Fajar melainkan al-Fatihah sahaja. Begitu juga sebahagian salaf mengatakan tidak dibacakan sesuatu sebagaimana yang telah lalu. Akan tetapi keduanya adalah khilaf (percanggahan) bagi sunnah sahih yang tidak mempunyai tentangan padanya. [Lihat: al-Minhaj, 6/6]

 

Berbaring pada sebelah kanan sebelum solat al-Fajar

Di dalam hadith juga dinyatakan bahawa Nabi SAW berbaring pada lambung kanan sebagaimana yang terdapat di dalam hadith Aisyah RA di atas. Perkara ini menjadi khilaf dalam kalangan para ulama’ samada ia adalah sunnah ataupun tidak. Di sini kami datangkan pendapat berkaitan hal ini berdasarkan kitab ulama’ al-Syafieyyah:

 

“Disunatkan berbaring pada lambung kanan selepas solat sunat al-Fajar dan perlulah menunaikan solat sunat tersebut di awal waktu. Selain itu juga, seboleh-bolehnya tidak ditinggalkan berbaring (selepas daripada solat sunat). Jika tidak, pisahkan (antara solat sunat al-Fajar dan solat al-Fajar) dengan bercakap atau beralih tempat atau seumpama dengannya”. [Lihat: al-Mu’tamad, 377/1]

 

Akan tetapi, kami menasihatkan agar perbuatan ini dilakukan di rumah agar ia tidak menimbulkan gangguan terhadap jemaah yang datang ke masjid. Caranya adalah dengan melakukan solat sunat yang ringkas lalu berbaring. Selain itu juga, hal ini digalakkan bagi sesiapa yang menunaikan solat malam dan tidak bagi sesiapa yang tidak menunaikan solat malam.

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith tersebut menceritakan cara atau sifat solat malam Nabi SAW. Untuk itu, kita sebagai umat Baginda SAW seharusnya mencontohi setiap yang dilakukan oleh Baginda SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mencintai dan mengikuti Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’lam

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top