Visitors Hit

6951611 Views

 

Soalan:

Apakah hukum memakai kanta lekap yang berwarna bagi wanita?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan penelitian kami, isu ini bolehlah dirumuskan seperti berikut:

  1. Tiada khilaf dikalangan para fuqaha’, iaitu mereka membenarkan penggunaan kanta lekap berwarna ataupun tidak sekiranya penggunaan kanta lekap tersebut atas dasar perubatan dan hajat. Ini kerana kanta lekap adalah ganti kepada kaca mata bagi mereka yang mengalami masalah penglihatan seperti rabun. Meskipun begitu, nasihat doktor yang bertauliah mestilah di ambil kira untuk mengelakkan berlakunya komplikasi terhadap mata selepas menggunakannya yang mana boleh merosakkan mata.[1]
  1. Pendapat yang membenarkan pemakaian kanta lekap berwarna atas dasar perhiasan mengatakan bahawa ianya termasuk di dalam perhiasan yang diharuskan penggunaannya selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

قُلۡ مَنۡ حَرَّمَ زِينَةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِيٓ أَخۡرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَٱلطَّيِّبَٰتِ مِنَ ٱلرِّزۡقِۚ قُلۡ هِيَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا خَالِصَةٗ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلۡأٓيَٰتِ لِقَوۡمٖ يَعۡلَمُونَ 

 

Maksudnya: Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat". Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.

 

(Al-A’raaf: 32)

 

Al-Imam al-Syaukani Rahimahullah menyebutkan bahawa perhiasan itu adalah apa-apa yang dihiaskan padanya manusia dari pakaian atau selainnya daripada perkara-perkara yang dibenarkan dari bahan galian yang mana tidak terdapat larangan untuk berhias dengannya seperti batu permata dan lain-lain.[2]

Berdasarkan keumuman mengambil perhiasan, maka hukum pemakaian kanta lekap sama ada berwarna ataupun tidak, adalah dibenarkan namun para ulama’ meletakkan beberapa syarat antaranya:

  • Mestilah tidak memudaratkan mata si pemakai.
  • Pemakaiannya tidak terdapat unsur-unsur penipuan, menunjuk-nunjuk serta bermegah-megah di hadapan orang lain, khususnya di hadapan bukan mahram. Adapun isteri yang memakai kanta lekap berwarna bagi tujuan berhias bagi suaminya, maka ianya dibolehkan. Begitu juga bagi perempuan yang bakal bertunang yang mana mengenakan kanta lekap berwarna dihadapan tunangnya bagi kelihatan cantik maka ianya tidak dibenarkan syarak kerana terdapat unsur penipuan di dalamnya.
  • Tidak berlaku pembaziran kerana sesetengahnya dijual dengan harga yang mahal.
  • Tidaklah kanta lekap itu menyerupai mata binatang, kerana tasyabbuh (menyerupai) dengan binatang adalah dilarang di dalam Islam.

 

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan di atas, sekiranya penggunaan kanta lekap itu bagi tujuan perubatan maka ianya dibolehkan sama ada berwarna ataupun tidak berwarna.

Adapun memakainya bagi tujuan perhiasan, pada asalnya hukum pemakaiannya adalah dibolehkan namun perlulah diambil kira syarat-syarat yang telah digariskan oleh para ulama’ seperti yang telah disebutkan di atas yang mana jika tidak diikuti boleh jatuh kepada hukum haram pada pemakaiannya.

Meskipun hukum asalnya adalah harus, namun kami juga cenderung terhadap pendapat ulama’ yang mengatakan seeloknya ditinggalkan pemakaian kanta lekap berwarna demi mengelakkan diri dari terjebak ke dalam fitnah seperti penipuan dan pembaziran. Wallahu a’lam.

 

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

16 November 2016 bersamaan 16 Safar 1438 H

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Muyassar oleh Prof. Dr. Abdullah al-Tayyar, Prof. Dr. Abdullah al-Mutlaq & Dr. Muhammad al-Musa. Madar al-Watan li al-Nasyar, (11/89). Lihat juga Fatawa Yas’alunak oleh Prof. Dr. Husamuddin ‘Afanah, (2/439).

[2] Lihat Fath al-Qadir. Dar Ibn Kathir, (2/228).

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top