Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

 

Ditulis oleh:

Khairul Anuar bin Yazid (Ketua Unit Falak PMWP)

Muhammad Afiq bin Zainol Abidin (Unit Buhuth)

Mukadimah

Idul Adha atau Hari Raya Adha adalah merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Idul Fitri (Hari Raya Fitrah). Idul Adha disambut pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah setiap tahun. Idul Adha merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Selain itu, salah satu keistimewaan Idul Adha adalah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Idul Adha sehingga sebelum terbenam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

           

Penentuan Awal Bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari Rahimahullah daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi ﷺ  telah bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمْ الْهِلالَ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَصُومُوا ثَلاثِينَ يَوْمًا

Maksudnya: "Berpuasalah kamu kerana melihatnya iaitu anak bulan dan berbukalah kamu kerana melihatnya. Sekiranya ia terlindung daripada kamu maka genapkanlah bilangan bulan Sya'ban tiga puluh hari.”

Riwayat Imam Al-Bukhari (no.30)[1]

Daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawa sesungguhnya Rasulullah ﷺ  menyebut Ramadhan dengan sabda Baginda:

لا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلالَ وَلا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ

 Maksudnya:"Janganlah kamu berpuasa sehinggalah kamu melihat anak bulan dan janganlah kamu berbuka (berhari raya) sehingga kamu melihatnya. Sekiranya ia tersembunyi daripada kamu maka hendaklah kamu takdirkannya.”

Riwayat Imam al-Bukhari (no.1906)[2]

 

Al-Quran dan Sunnah memberi panduan kepada kita untuk membuat penentuan awal setiap bulan hijrah terutama Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah. Para ulama telah berbahas dengan panjang lebar berkenaan isu ini di dalam kitab-kitab mereka yang muktabar. Berdasarkan pedoman-pedoman ini, lahirlah tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dengan kaedah berikut:

(a) Rukyah (melihat anak bulan)

(b) Hisab falak (pengiraan)

(c) Rukyah dan hisab dengan menggunakan kriteria imkanur-rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan (hilal)

Perbezaan amalan dan cara di atas berlaku adalah berpunca daripada perbezaan dalam memahami dan mentafsir maksud ayat-ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan. Malaysia mengamalkan cara penentuan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dengan rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria imkanur-rukyah.

Kriteria imkanur-rukyah adalah pada 29 haribulan Hijriyyah sebelum matahari terbenam telah berlaku ijtimak dan melalui perkiraan kewujudan hilal adalah positif serta dapat memenuhi salah satu syarat-syarat berikut:

  • ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang dari 2 darjah dan jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang dari 3 darjah

atau

  • ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtima’ berlaku.

Di Malaysia, tanggungjawab melihat anak bulan dilakukan oleh Jawatakuasa Rukyah Negeri yang dilantik oleh Ketua Agama Islam Negeri yang diurusetiakan oleh Jabatan Mufti Negeri. Terdapat kira-kira 30 lokasi melihat anak bulan di seluruh negeri. Sesetengah lokasi mempunyai balai cerap dan pusat kajian cerapan secara bulanan bagi kenampakan anak bulan. Peralatan berteknologi seperti teleskop dan teodolit dan pengiraan data rukyah yang meliputi jadual pergerakan bulan dan matahari digunakan pada hari rukyah bagi membantu para pencerap.

 

Idul Adha dan Puasa Sunat Arafah

 

Istilah “Idul Adha” amat masyhur digunakan dalam hadis-hadis dan kitab-kitab feqah. Masyarakat Islam di Malaysia kebiasaannya menggunakan istilah “Hari Raya Korban” yang sememangnya bertepatan dengan istilah Idul Adha. Tidak ada kitab hadis dan feqah yang menggunakan istilah “Idul Hajj” yang juga disebut oleh sesetengah masyarakat Islam sebagai “Hari Raya Haji”.

 

Hari Wukud di Arafah adalah bagi penduduk Makkah, adalah sehari sebelum Hari Nahar (Idul Adha). Tarikh Hari Wukuf bagi mengerjakan ibadah haji akan diisytihar oleh pihak pemerintah iaitu kerajaan Arab Saudi. Bagi negara atau kawasan yang berlainan terbit matahari seperti Malaysia dan lain-lain, penentuan 9 Zulhijjah adalah mengikut ketentuan imkanur-rukyah negara masing-masing. Puasa Hari Arafah (9 Zulhijjah) mempunyai kelebihan menghapuskan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas sebagaimana riwayat Muslim. Justeru itu, tarikh berpuasa hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah mengikut ketentuan rukyah awal bulan Zulhijjah negara masing-masing.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi ﷺ  bersabda:

الصَّوْمُ يَوْمَ تَصُومُونَ وَالفِطْرُ يَوْمَ تُفْطِرُونَ وَالأَضْحَى يَوْمَ تُضَحُّونَ

 

Maksudnya: “Puasa itu (permulaannya) adalah pada hari kamu berpuasa (bulan Ramadhan) dan Hari Raya Puasa (Idul Fitri) adalah hari di mana kamu berhari raya dan Hari Raya Korban (Idul Adha) adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”.

Riwayat Imam al-Tirmidzi (no.697)

 

Merujuk kepada petikan sabda Rasulullah ﷺ yang bermaksud “dan Hari Raya Korban (Idul Adha) adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”, Rasulullah s.a.w. menetapkan agar ibadat korban itu dilaksanakan pada Hari Raya Korban (Idul Adha) dan hari-hari Tasyriq (11,12 dan 13 Zulhijjah). Hadith tersebut juga menunjukkan bahawa ibadat korban tiada kaitan dengan penentuan ibadat haji yang dilaksanakan di Arab Saudi (sehari selepas wukuf di Arafah). Ia adalah sunat muakkad bagi orang yang mengerjakan haji dan umat Islam di seluruh dunia.

 

Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan matan Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi bahawa apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan negara Iraq. Rujuk Mughni Muhtaj 1/619)

 

 

Puasa Sunat Arafah

 

Polemik penetapan puasa sunat Arafah seringkali menjadi isu kerana ia terjadi setiap tahun, adakah perkiraannya mengikut anak bulan di sesebuah negeri atau mengikut hari wukuf di Arafah. Setiap permasalahan yang timbul telah diterangkan oleh para ulama di dalam karya-karya kitab mereka bagi menyelesaikan isu yang berlaku. Begitulah juga permasalahan isu penetapan puasa sunat Arafah.

Firman Allah Taala:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang anak-anak bulan. Katakanlah itu adalah penunjuk waktu bagi manusia (waktu-waktu berpuasa, berbuka, iddah seseorang wanita) dan waktu ibadah haji.

(Surah Al-Baqarah:189)

 

Berkata Imam Ibnu Kathir Rahimahullahu Taala ketika mana menafsirkan ayat tersebut: Berkata Abu Jaafar daripada Abu Rabi’ daripada Abu Al-Aliah. telah sampai kepada kita bahawa mereka telah berkata. “Ya Rasulullah! Mengapa dijadikan anak-anak bulan itu?” Maka turunlah wahyu dengan ayat ini. Rujuk Tafsir Ibn al-Kathir (1/280)

Berkata juga Imam al-Tabari Rahimahullahu Taala dalam menafsirkan ayat Al-Hajj iaitu ertinya kerana haji bermaksud Allah Taala menjadikan anak-anak bulan itu bagi masuk mengerjakan haji supaya kamu tahu waktu nusuk dan haji kamu. Rujuk Tafsir al-Tabari (3/555)

Daripada ayat tersebut dan penerangan para ulama termasuk Imam al-Nawawi Rahimahullahu Taala dalam Syarah Muslim bahawa wajib berpuasa dengan melihat anak bulan Ramadhan dan wajib berbuka puasa (hari raya) dengan melihat anak bulan syawal dan apabila terlindung anak bulan awal Ramadhan dan akhir Ramadhan maka hendaklah disempurnakan bilangan bulan Syaaban dan Ramadhan tiga puluh hari.

Maka begitulah juga sabit anak bulan Zulkaedah dan Zulhijjah dengan melihat anak bulan atau ditakmilkan tiga puluh hari sebagiamana diqiyaskan dengan anak bulan Ramadhan dan Syawal.

Telah berkata Imam Ibnu Hajar Rahimahullahu Taala dalam kitab Fathu Jawwad dan Imam Ramli Rahimahullah dalam Kitab al-Nihayah dan lain-lain ulama bahawa penepatan anak bulan Zulkaedah dan Zulhijjah disabitkan dengan melihat anak bulan pada suatu negeri.

Walaubagaimanapun Para Ulama Rahimahumullahu Taala telah berselisih pendapat berkaitan penetapan waktu puasa sunat Arafah kepada dua pendapat:

 

Pendapat Pertama: Antaranya pendapat Ibnu Rejab Al-Hanbali Rahimahullahu Taala dan sebahagian Ulama Malikiyyah Rahimahumullahu Taala .(Hari arafah adalah hari di mana para Jemaah Haji Wukuf di Arafah).

Pendapat Kedua: Pendapat Mazhab As-Syafie, dan juga sebahagian Ulama Malikiyyah seperti Ibnu Abdil Barr Rahimahumullahu Taala puasa Sunat Arafah mengikut perkiraan melihat anak bulan Zulhijjah pada sesuatu negeri (iaitu tanggal 9 Zulhijjah itu sendiri. Setiap negeri mempunyai matlak masing-masing).

Rujuk Fathul Bari oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani Rahimahullahu Taala (4/123)

 

Justeru, pendapat kedua merupakan pendapat yang ditarjih dalam Mazhab As-Syafi’e Rahimahullahu Taala dan terpakai di Malaysia. Namun begitu afdhalnya, seseorang itu apabila berpuasa sunat Arafah berpuasa juga pada hari Tarwiyyah (hari kelapan Zulhijjah) sebagai Ikhtiyat (berhati-hati) dalam ibadah puasa sunat Arafah.

 

Kesimpulan

Negara Malaysia yang terletak kira-kira 7000 kilometer dari Arab Saudi mempunyai matla’ (zon terbit matahari dan bulan) yang berbeza dan mempunyai kaedah falak yang jelas serta diperakui oleh ulama-ulama falak dalam menentukan tarikh-tarikh penting dalam Islam. Kekeliruan masyarakat dalam penentuan Hari Arafah di Malaysia dan  Arab Saudi perlu difahami sebaiknya dan keputusan rasmi penetapan Hari Raya Korban di Malaysia yang akan diisytihar oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia

 

والله أعلم وأحكم

 

Nota Hujung: 

[1] Pada Bab ke-11, Kitab As-Saum, Cetakan Pertama, Maktabah Darul Ibnu Hazm.

[2] Cetakan Maktabah Ibnu Hazm.