Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #67: EPICUREAN PARADOX

ih124 5c 20 5c 26736410 3

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan Epicurean Paradox?

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam perbahasan falsafah agama, natural atheology merupakan cabang falsafah yang cuba untuk membuktikan keyakinan mereka yang percayakan Tuhan adalah salah. (Lihat God, Freedom and Evil, m. 7). Salah satu hujah utama bagi natural atheology adalah isu Masalah Kejahatan (Problem of Evil/مشكلة الشر). Epicurean Paradox secara umumnya adalah persoalan berkaitan Masalah Kejahatan yang telah kami jawab iaitu Al-Afkar #25: Tuhan Maha Pengasih Tetapi Membenarkan Kejahatan? Maka, kami akan memberi fokus kepada pengenalan bagi Epicurean Paradox.

Persoalan berkenaan Masalah Kejahatan ini bukan sahaja menjadi isu yang dibincangkan dalam Islam bahkan ianya turut menjadi antara perbincangan utama dalam agama Kristian dan Yahudi serta agama-agama tidak bertuhan ataupun polytheistic seperti Buddha, Hindu dan Jaina.

 

Definisi dan Pengenalan Epicurean Paradox

Ia diasaskan oleh Epicurus, salah seorang daripada ahli falsafah yang hidup pada era Hellenistik, tiga kurun selepas kematian Alexander the Great pada 323 Sebelum Masihi dan Aristotle pada 322 Sebelum Masihi. Manakala paradox atau paradoks menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah sesuatu yg bertentangan dgn pendapat yg diterima umum.

main qimg 506a4cc089f75a274d6780c9fa2c0279

Persoalan dan jawapan dalam Epicurean Paradox ini seringkali dibangkitkan oleh kelompok Ateis yang menolak kewujudan Tuhan atau secara khususnya, Allah SWT. Berikut adalah antara EP yang menarik untuk diteliti:

  • Jika Tuhan boleh menghalang kejahatan, adakah Tuhan tahu tentang semua kejahatan?
  • Jika Tuhan tahu tentang semua kejahatan, adakah Tuhan mahu menghalang kejahatan?
  • Jika Tuhan mahu menghalang kejahatan, mengapa ada kejahatan pada hari ini?
  • Jika jawapannya untuk menguji kita, Tuhan semestinya Maha Mengetahui dan tahu apa yang kita akan lakukan jika kita diuji. Justeru, Tuhan tidak perlu menguji kita.
  • Jika jawapannya adalah kerana syaitan, Tuhan yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan Maha Baik boleh sahaja dan pasti akan menghapuskan syaitan.
  • Jika jawapannya ia adalah satu keperluan bagi alam semesta untuk wujud, bolehkah Tuhan menciptakan alam semesta tanpa kejahatan?
  • Jika boleh, mengapa Dia membiarkannya?
  • Jika Dia membiarkannya kerana memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih/bertindak, bolehkah Tuhan mencipta alam semesta yang memberi kebebasan kepada manusia tanpa kejahatan?
  • Jika ya, mengapa Dia tidak berbuat demikian? Jika tidak, maka Dia bukan Maha Berkuasa.
  • Jika Tuhan tidak boleh menghalang kejahatan, maka Tuhan bukan Maha Berkuasa
  • Jika Tuhan tidak tahu tentang semua kejahatan, maka Tuhan bukan Maha Mengetahui.
  • Jika Tuhan tidak mahu menghalang kejahatan, maka Tuhan bukan Maha Baik dan Mengasihani.

Persoalan-persoalan sebegini biasa ditemui dalam perbahasan masalah kejahatan (musykilat al-syar) dalam falsafah. Ia bukanlah isu yang baharu dibincangkan. Dalam perbahasan falsafah, isu ini telah lama dibincangkan seawal kenyataan Plato dalam bukunya The Republic: “since a god is good, he is not – as most people claim – the cause of everything that happens to human beings but of only a few things, for good things are fewer than bad ones in our lives. He alone is responsible for the good things, but we must find some other cause for the bad ones, not a god”

 

Pengenalan Masalah Kejahatan (Musykilat al-Syar/Problem of Evil)

Isu masalah kejahatan ini adalah isu yang hangat dibicarakan dalam kalangan ahli falsafah. Antara debat yang popular dimuatnaik di Youtube adalah:

  1. William Lane Craig dan Stephen Law
  2. William Lane Craig dan Michael Tooley
  3. Michael Ruse dan Fazale Rana
  4. Hamza Tzortis dan Stephen Fry

Dengan tajuk-tajuk yang memberi fokus kepada tema Masalah Kejahatan, ahli falsafah ini membentangkan hujah masing-masing akan masalah ini. (Rujuk If God Is Good: Faith in the Midst of Suffering and Evil, m. 11)

Menurut Dr. Sami Aamiri dalam Musykilat al-Syarr wa Wujud al-Ilah (m. 20-21), perbincangan berkenaan Masalah Kejahatan boleh ditemui dalam perbahasan teodisi (theodicy) di sisi falsafah yang berasal daripada kalimah theos (Tuhan) dan dike (keadilan). Maka, ia bermaksud “keadilan Tuhan” atau lebih khusus lagi, ia adalah penjelasan mengapa Tuhan yang Maha Sempurna, Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui membenarkan kejahatan. Perkataan theodicy mula ditemui dalam penulisan Leibniz melalui bukunya Theodicy: Essays on the Goodness of God, the Freedom of Man, and the Origin of Evil.

Isu ini dibincangkan dalam bab keadilan Allah SWT atau secara khususnya, penjelasan kewujudan kejahatan di dunia ini, tidak menafikan kewujudan Allah SWT. Ini juga ditemui dalam perbahasan ilmu kalam dalam bab-bab yang pelbagai antaranya bab Sifat Allah, Kehendak Allah, perbuatan hamba. Di sisi Muktazilah, isu ini boleh ditemui dalam bab al-qabih.

Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah:

  • Asal usul kejahatan. Bagaimana kejahatan berkembang? Siapakah yang dipertanggungjawabkan?
  • Tabiat kejahatan. Apakah ontologi kejahatan dan bagaimanakah ia ditemui?
  • Masalah kejahatan. Bagaimana kejahatan membentuk permasalahan berkenaan zat dan sifat Allah.
  • Sebab kejahatan. Bagaimana Allah membenarkan wujudnya kejahatan? Apakah sebab dari sudut etika yang logik akan kewujudannya?
  • Pengakhiran kejahatan. Bagaimana Allah akan menghentikan kejahatan? Atau bagaimanakah diekstrakkan kebaikan daripada penutup bagi keburukan?

Ahli falsafah sentiasa berbincang sejak ribuan tahun dahulu samada kejahatan itu sendiri adalah satu zat yang tersendiri atau atau kejahatan itu hanyalah kehilangan bagi kebaikan. Epicurean Paradox membawa premis yang membentuk silogisme seperti berikut:

  1. Tidak dapat diterima logik akan Tuhan yang Maha Sempurna dari sudut ilmu-Nya, kekuasaan-Nya dan kebaikan-Nya mengizinkan wujudnya kejahatan.
  2. Kejahatan wujud
  3. Tuhan tidak wujud.

Di sisi Islam, tidak wujud kejahatan dan penderitaan secara mutlak. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Ghazali. Menurut beliau, tidak ada kejahatan dalam kewujudan yang tidak ada langsung kebaikan padanya. Bahkan, jika kejahatan itu dibuang, kebaikan akan hilang dan boleh jadi kerosakan yang lebih besar akan terjadi. Beliau memberi contoh pemotongan anggota badan. Ianya adalah satu kerosakan bagi tubuh badan tetapi, ianya jua adalah kebaikan sekiranya ia dilakukan untuk memelihara kesihatan atau nyawa. Sekiranya tangan seseorang perlu dipotong tetapi ianya dibiarkan, mungkin seluruh tubuh akan menerima padahnya. (Lihat al-Maqsad al-Asna, m. 65)

Hal ini dikukuhkan lagi dengan pandangan Imam Ibn al-Qayyim yang menyatakan bahawa kejahatan mutlak itu tidak wujud dalam dunia. Tidak ada kejahatan yang mutlak kerana dalam setiap kejahatan dalam dunia ini, ada sisi kebaikannya. Sebagai contoh, kesakitan memudaratkan badan pada satu sudut manakala daripada sudut lain ianya menguji kesabaran, merangsang pemulihan dan meningkatkan imuniti. (Lihat Syifa’ al-‘Alil, m. 380-413)

Kami bersetuju dengan apa yang dinyatakan oleh William Craig bahawa dalam perbahasan Masalah Kejahatan, pada hakikatnya poin (1) dan (2) adalah tidak berkaitan dan tidak ada percanggahan. Seseorang itu tidak akan tiba-tiba menyimpulkan bahawa Tuhan Maha Kuasa dan Maha Baik itu tidak ada kecuali dia ada beberapa anggapan iaitu premis yang tersembunyi (Lihat Philosophical Foundations for A Christian Worldview, m. 538) seperti dibawah:

  1. Jika Tuhan Maha kuasa, Dia dapat membuat dunia sesuai keinginannya. Jika Tuhan Maha Kuasa, Dia akan mentakdirkan manusia melakukan hal yang benar dan tidak mengalami keburukan, kejahatan dan penderitaan
  2. Jika Tuhan itu baik, Dia akan membuat dunia tanpa kejahatan. Jika tidak, maka Dia adalah jahat kerana mentakdirkan manusia melakukan kejahatan dan merasakan penderitaan.

 

Konsep Kejahatan dan Penderitaan Dalam al-Qur’an

Al-Qur’an kebiasaannya menyandarkan kejahatan kepada makhluk ataupun perbuatan mereka. Ini kerana, kejahatan dan keburukan yang diciptakan oleh Allah SWT utamanya adalah kebaikan pada hakikatnya. Di sini, kita akan dapat melihat dua naratif kejahatan dalam al-Qur’an sebagaimana ayat-ayat berikut.

Sebagai contoh, firman Allah SWT:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (1) مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ (2)

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, "Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan;

(Surah al-Falaq: 1-2)

Firman Allah SWT:

وَأَنَّا لَا نَدْرِي أَشَرٌّ أُرِيدَ بِمَنْ فِي الْأَرْضِ أَمْ أَرَادَ بِهِمْ رَبُّهُمْ رَشَدًا

Maksudnya: `Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka?

(Surah al-Jin: 10)

Begitu juga bagaimana Nabi Ibrahim Alaihissalam yang menisbahkan hidayah, nikmat, kesembuhan kepada Allah SWT dan menyandarkan kesakitan kepada dirinya sendiri.

Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَنِي فَهُوَ يَهْدِينِ (78) وَالَّذِي هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ (79) وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ (80)

Maksudnya: “Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum. Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku.”

Perbahasan baik dan buruk merupakan tema umum yang disentuh dalam al-Qur’an dan ditekankan samada tempoh Makki ataupun Madani dalam penurunan wahyu. Manusia amat memerlukan panduan dalam memahami baik dan buruk kerana jika faham humanisme menjadi tonggak utama, kebaikan dan kebenaran itu akhirnya akan menjadi relatif.

Firman Allah SWT:

وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ

Maksudnya: Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka.

(Surah Ali Imran: 180)

Objektif bagi berlakunya kejahatan dan musibah ini membawa kepada dua kesimpulan utama;

  1. Tidak ada percanggahan antara sifat-sifat-Nya dan fakta wujudnya kejahatan dan keburukan. Tambahan pula, apabila Allah SWT tidak tertakluk kepada pengawalan makhluk, apa jua yang dikehendaki-Nya boleh berlaku sebagai bukti terbebasnya Tuhan daripada kongkongan manusia. Firman Allah SWT:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Surah Ali Imran: 36)

  1. Jika keburukan, musibah, dan kejahatan adalah satu bentuk ujian dan sebahagian daripada kehidupan, seorang Muslim mestilah melihatnya sebagai satu peluang untuk menzahirkan potensi diri dan meneruskan hidup dengan menjadi insan yang lebih baik.

 

Memahami Konsep Kejahatan dan Penderitaan Dalam Islam

Ibn Taimiyyah memberikan banyak contoh bagaimana perbezaan sifat ini tidak langsung menafikan kewujudan Allah SWT. Menurutnya, walaupun kejahatan boleh ditemui dalam ciptaan Allah SWT, ia tidak bermakna Tuhan juga mempunyai sifat yang sama dengan ciptaan-Nya.

Sebagai contoh, Tuhan menciptakan bau badan manusia atau bau bunga, dan ia tidak menunjukkan Tuhan juga mempunyai bauan yang sama. Begitu juga apabila Allah SWT menciptakan manusia dengan akhlak yang kurang baik, samada fizikal atau sikap, ia tidak menggambarkan keburukan itu sebagai sifat Allah SWT. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 5/123)

Ibn al-Qayyim pula menjelaskan: “Apabila seorang hamba melakukan perlakuan yang buruk, apa yang dilakukannya sudah pasti adala jahat dan berdosa. Allah SWT yang mengizinkannya untuk menjadi pelaku perbuatan tersebut. Keizinan daripada Allah SWT ini adalah keadilan, kasih sayang, dan ketepatan. Tindakannya membolehkan seseorang itu bertindak (dengan bebas) adalah baik manakala manifestasinya adalah jahat dan buruk. Dengan membenarkan ianya berlaku, Allah SWT telah menempatkan sesuatu pada haknya, di mana ianya (membenarkan kebebasan untuk memilih) penuh dengan hikmah yang mana dengannya Dia wajar dipuji. Oleh itu, ia sebenarnya baik, bijak dan bermanfaat walaupun apa yang dilakukan oleh hamba itu tidak sempurna dan jahat. (Lihat al-Syifa’ al-‘Alil, m. 361)

Dalam kata lain, Allah SWT menciptakan manusia dengan kebebasan memilih (ikhtiyar) yang mana kadangkala manusia menggunakannya untuk kejahatan. Dalam hal ini, Allah SWT tidaklah sebab utama berlakunya kejahatan tetapi musabbib al-asbab bagi perlakuan manusia yang memilih kejahatan. Allah SWT juga adalah yang mengizinkannya berlaku untuk kebaikan dan maslahah yang terkandung dalam hikmah segala sesuatu.

 

Hikmah Kejahatan dan Penderitaan

Firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

(Surah al-Baqarah: 155)

Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata sebahagian salaf: Ada sebahagian pohon kurma yang tidak berbuah melainkan satu sahaja buah. Semua ini dan yang semisal dengannya adalah daripada ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Barangsiapa yang sabar, akan memperoleh ganjaran dan barangsiapa yang berputus asa, akan beroleh azab daripada-Nya.

Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman: “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” Sebahagian ahli tafsir menghikayatkan bahawa maksud takut dalam ayat adalah takut kepada Allah SWT, kelaparan adalah puasa Ramadhan, kekurangan harta benda adalah zakat, dan hasil tanaman adalah anak-anak. Dan dalam kenyataan ini ada pandangan (lain). Wallahu a’lam. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/338)

Ujian, penderitaan dan kejahatan yang berlaku di dunia ini mempunyai pelbagai hikmah yang tersembunyi daripada Allah SWT. Antaranya adalah:

  1. Manusia akan mengenali dan menghargai kebahagiaan.

Firman Allah SWT:

وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ نَعْمَاءَ بَعْدَ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي إِنَّهُ لَفَرِحٌ فَخُورٌ (10) إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ (11)

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur. Dan demi sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: "Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku". Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai). Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.”

(Surah Hud: 9-11)

  1. Menzahirkan hikmah-Nya dan sifat-sifat-Nya. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ

Maksudnya: Sesungguhnya besarnya ganjaran (pahala) bersamaan dengan besarnya ujian (bala’). Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, Dia menurunkan ujian (bala’). Maka sesiapa yang redha maka dia mendapat keredhaan (Allah) dan sesiapa yang marah maka dia mendapat kemurkaan (Allah).

(Riwayat al-Tirmizi, no. 2936)

 

Masalah Pada Epicurean Paradox

Masalah utama pada Epicurean Paradox adalah padanya terdapat kesalahan semantik. Epicurean Paradox menganggap jika "sesuatu" itu mempunyai kekuasaan yang mutlak, maka “sesuatu” itu pasti mampu untuk melakukan semua perkara pada masa yang sama menurut kehendak siapa sahaja selain-Nya. Itulah masalah utama pada manusia iaitu ketidakmampuan untuk memiliki kuasa yang mutlak dan pengetahuan yang mutlak yang akhirnya menyimpulkan Tuhan sepatutnya membuat itu dan ini. Kita hanya boleh menilai sesuatu dengan pengalaman sekeliling kita yang mempunyai limitasi yang sangat tinggi. Allah SWT sama sekali tidak akan bertindak berdasarkan kehendak sesiapa kerana jika Dia bertindak sedemikian, maka sudah pasti ada keterbatasan dan kontradiksi pada sifat-sifat-Nya.

Berikut adalah beberapa masalah lain yang ditemui pada Epicurean Paradox:

  1. Kami tidak menemui asal bagi Epicurean Paradox ini daripada kecuali nukilan yang terawal oleh David Hume dalam bukunya Dialogues Concerning Natural Religion tanpa rujukan. Justeru, ianya masih kurang jelas samada ia benar-benar idea daripada Epicurus ataupun tidak.
  2. Ia tidak memberikan definisi atau klasifikasi bagi kejahatan. Ini kerana, jika kita hendak menamakan sesuatu itu sebagai “jahat”, ia memerlukan penjelasan yang khusus dan sudah pasti ianya tidak subjektif. Kejahatan memerlukan
  3. Ia menafikan kebebasan memilih (ikhtiyar) dalam akidah Ahli Sunnah wal Jama’ah.
  4. Ianya cuma pendapat dan bukan fakta yang objektif.
  5. Ia seakan-akan meletakkan semua kesalahan kepada Tuhan sedangkan manusia bertanggungjawab atas apa yang dipilihnya dan dilakukannya.

Kesimpulan

Al-Qur’an menegaskan bahawa sebagai khalifah Allah di muka bumi, manusia diciptakan dengan tujuan yang jelas. Kegagalan seseorang itu memposisikan dirinya bagi memenuhi tujuan penciptaan dirinya akan mencampakkan dirinya ke lembah kebinasaan. Apa jua yang diciptakan-Nya, sudah pasti ada hikmah dan keadilan yang terselindung. Hanya memerlukan akal yang sihat untuk terus menekuninya dalam perjalanan mencari keredhaan Allah SWT:

Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاءَ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا بَاطِلًا ۚ ذَٰلِكَ ظَنُّ الَّذِينَ كَفَرُوا ۚ فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab neraka.”

(Surah Sad: 27)

Daripada ‘Ali RA,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ جَالِسًا وَفِي يَدِهِ عُودٌ يَنْكُتُ بِهِ فَرَفَعَ رَأْسَهُ، فَقَالَ: «مَا مِنْكُمْ نَفْسٌ إِلَّا قَدْ عُلِمَ مَنْزِلَتُهَا مِنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ» ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نَتَّكِلُ وَلَا نَعْمَلُ؟ قَالَ: «اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لَهُ» . ثُمَّ قَرَأَ {فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى، وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى} ، إِلَى قَوْلِهِ {وَأَمَّا مَنْ بَخِلَ وَاسْتَغْنَى، وَكَذَّبَ بِالْحُسْنَى، فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْعُسْرَى}

Pada satu hari, Nabi SAW duduk, dan bersama dengan Nabi sebatang kayu lalu baginda memusing-musingkannya daripada atas ke bawah. Kemudian baginda bersabda: ‘’Tidak ada seorangpun daripada kamu, tidak ada satu jiwa yang bernafas melainkan telah ditulis akan kedudukannya di syurga atau neraka. Serta telah dituliskan sama ada dia derita ataupun bahagia. Maka seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, tidakkah patut kita sekadar berserah kepada apa yang telah tertulis untuk kita dan kita meninggalkan beramal ? Maka sesiapa dari kalangan kita yang merupakan golongan yang bahagia, ia akan membawanya kepada amalan golongan yang bahagia. Dan sesiapa dari kalangan kita yang merupakan golongan derita (celaka) maka itu akan membawanya kepada amalan golongan yang derita’’. Maka kata baginda SAW: ‘’Adapun golongan yang bahagia, akan dipermudahkan mereka untuk beramal dengan amalan golongan yang bahagia. Manakala golongan yang derita, akan dipermudahkan untuk beramal dengan amalan golongan yang derita’’. Kemudian baginda membaca ayat: ‘Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya), Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga). Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, Serta ia mendustakan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.”

(Riwayat Muslim, no. 2647)

Semoga Allah SWT mengumpulkan kita di akhirat nanti dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berbahagia di sisi-Nya.