Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

qrin

Soalan: Assalam DS. DS sy ada satu pertanyaan tentang Qarin. Apakah itu Qarin? Jika kita Islam adakah Qarin kita itu Islam juga? Sekian terima kasih DS.

Jawapan:

Daripada sudut bahasa, qarin bermaksud sesuatu yang menyertai (Lihat al-Munjid, m. 625) Dari sudut istilah, qarin bagi manusia ada dua iaitu malaikat dan syaitan. Qarin dalam kalangan malaikat menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menggalakkannya. Manakala qarin dalam kalangan syaitan menyuruhnya melakukan kejahatan dan menggalakkannya. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 2/447)

Wajib bagi orang-orang yang beriman untuk meyakini akan kewujudan qarin. Ini berdasarkan sebuah hadith:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ، وَقَرِينُهُ مِنَ الْمَلَائِكَةِ

 Maksudnya: “Setiap kalian (manusia) ada Qarin (pendamping) dari bangsa jin, dan juga Qarin dari bangsa Malaikat.”

(Riwayat Ahmad, no. 3648)

Pun begitu, ahli falsafah tidak menerima kewujudan qarin sebagaimana mereka juga menolak kewujudan jin. (Lihat Majmu al-Fatawa, 19/32)

Dalil

Firman Allah SWT:

وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”

(Surah al-Zukhruf: 36)

Firman Allah SWT:

وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَاءَ فَزَيَّنُوا لَهُمْ

Maksudnya: “Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat)…”

(Surah Fussilat: 25)

Firman Allah SWT:

وَقَالَ قَرِينُهُ هَذَا مَا لَدَيَّ عَتِيدٌ (23) أَلْقِيَا فِي جَهَنَّمَ كُلَّ كَفَّارٍ عَنِيدٍ (24) مَنَّاعٍ لِلْخَيْرِ مُعْتَدٍ مُرِيبٍ (25) الَّذِي جَعَلَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ فَأَلْقِيَاهُ فِي الْعَذَابِ الشَّدِيدِ (26) قَالَ قَرِينُهُ رَبَّنَا مَا أَطْغَيْتُهُ وَلَكِنْ كَانَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ (27)

Maksudnya: “Dan berkatalah malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya: "Inilah (Kitab catitan iman dan amal) orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia (untuk dibicarakan)". (Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): "Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam neraka Jahannam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya. Yang sering menghalangi jenis kebajikan, yang melanggar hukum ugama, lagi yang meragukan kebenaran. Yang menyembah benda yang lain bersama-sama Allah; maka humbankanlah oleh kamu berdua akan dia ke dalam azab seksa yang seberat-beratnya. (Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: "Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.”

(Surah Qaf: 23-27)

Umumnya, para ulama tafsir memahami qarin yang pertama sebagai para malaikat yang menemani seseorang dan qarin yang kedua adalah syaitan yang menemani seseorang. (Lihat Tafsir al-Tabari, 13/201, 203; al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 19/447; Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 13/191-192)

Rasulullah SAW juga mempunyai qarin tetapi keadaan qarinnya berbeza dengan manusia biasa. Daripada ‘Abdullah ibn Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ، إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ. قَالُوا: وَإِيَّاكَ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: وَإِيَّايَ، إِلَّا أَنَّ اللهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ، فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ

Maksudnya: “Tidaklah salah seorang dari kalian, kecuali didampingi Qarinnya dari bangsa jin”. Para sahabat bertanya, “Termasuk Engkau wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Ya, termasuk aku. Hanya Allah telah menolongku atasnya sehingga dia tunduk dan dia tidak memerintahku kecuali kebaikan.

(Riwayat Muslim, no. 2814)

Pandangan Para Ulama’

Menurut Ibn Taimiyyah, “Setiap manusia mempunyai qarin dalam kalangan malaikat dan jin. Dia tidak akan dapat melihatnya dan ianya tidak kelihatan di sekelilingnya.” (Lihat al-Jawab al-Sahih, 4/288)

Ibn Kathir menghuraikan, “Qarin dalam kalangan malaikat tidak berperanan untuk menjaga manusia tetapi ianya mendampinginya bagi memandunya ke arah jalan kebaikan sebagaimana qarin dalam kalangan syaitan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk membawanya kepada kebodohan dan kesesatan. Mereka yang selamat adalah yang diselamatkan oleh Allah SWT.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/52)

Kesimpulan

Berdasarkan hujah-hujah di atas, dapat difahami bahawa setiap manusia mempunyai qarin masing-masing dalam kalangan malaikat dan syaitan. Qarin malaikat mendorong manusia ke arah kebaikan dan qarin syaitan mendorong ke arah kemaksiatan. Hanya qarin Rasulullah SAW sahaja yang tidak mendorongnya melakukan kejahatan kecuali hanya kebaikan semata-mata.