Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #126: ADAKAH ALLAH SWT MEMAKBULKAN DOA NON-MUSLIM YANG DIZALIMI

adakah allah makbul

 

Soalan

Seperti yang kita tahu, Rasulullah SAW pernah bersabda dan memperingatkan kita supaya berwaspada terhadap doa orang yang dizalimi, kerana doa mereka mustajab. Soalan saya, adakah ia merangkumi juga doa non-muslim yang dizalimi, atau hanya khusus kepada muslim sahaja?

Ringkasan Jawapan

Menurut para ulama, doa seorang non-muslim yang dizalimi itu boleh jadi dimakbulkan oleh Allah SWT, berdasarkan pelbagai ayat al-Quran serta hadis yang mengisyaratkan bahawa Allah SWT memakbulkan doa golongan yang dizalimi. Hal ini merupakan manifestasi daripada sifat keadilan Allah SWT serta sifat Rububiyyah-Nya yang merangkumi seluruh makhluk dan hidupan di dunia tanpa mengira agama dan keyakinan.

Huraian Jawapan

Terdapat satu hadis yang secara jelas berpesan kepada kita agar berwaspada terhadap doa orang yang dizalimi. Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa tatkala Rasulullah SAW mengutuskan Mu‘az bin Jabal R.A ke Yaman, Baginda berpesan:

اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ، فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Maksudnya: Takutlah terhadap doa orang yang dizalimi, sesungguhnya tiada penghalang antara doa itu dengan Allah SWT.

Riwayat al-Bukhari (2448)

Terdapat juga sedikit variasi bagi hadis ini, iaitu yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقوا دَعْوَةَ المــــَـظْلُومِ وإنْ كانَ كافِراً فإنَّهُ ليسَ دُونها حِجابٌ

Maksudnya: Takutlah terhadap doa orang yang dizalimi, meskipun dia itu seorang kafir, kerana sesungguhnya tiada penghalang antara doa itu dengan Allah SWT.

Riwayat Ahmad dalam Musnad, Abu Ya’la dan al-Dhiya’ al-Maqdisi[1]

Imam al-Munawi memberi komentar terhadap hadis ini dengan berkata:

 (اتقوا دعوة المظلوم) أي تَجَنِّبُوا الظلمَ لِئَلَّا يَدعُو عليكم المظلومُ (وإن كان كافراً) معصوماً فإنَّ دَعْوَتَهُ إَنْ كانَ مَظْلُوماً مُسْتَجَابةً وَفُجُورُهُ عَلَى نَفْسِهِ ...

Maksudnya: Takutlah terhadap doa orang yang dizalimi, iaitu janganlah berlaku zalim, jika tidak orang yang dizalimi akan mendoakan balasan terhadap engkau, meskipun dia itu kafir, iaitu kafir yang terpelihara nyawanya. Sesungguhnya doanya adalah mustajab jika dia dizalimi, sedangkan kejahatannya akan ditanggung oleh dirinya sendiri.[2]

Oleh yang demikian jelas doa orang kafir yang dizalimi tiada hijab antaranya dengan Allah SWT berdasarkan hadis yang dinyatakan di atas. Namun ada juga ulama yang berpandangan bahawa doa orang kafir itu tidak dimakbulkan Allah SWT sama sekali, berdasarkan firman-Nya:

وَمَا دُعَاءُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَالٍ

Maksudnya : Tiadalah doa dan ibadat orang kafir itu melainkan sia-sia sahaja.

Surah al-Ra‘d (14)

Menurut Syeikh Ibn ‘Asyur, sebahagian orang menyangka bahawa tatkala orang kafir berdoa dan memperoleh apa yang dihajatinya, maka ia bermaksud doa mereka dimakbulkan, sedangkan hakikatnya mereka mendapat apa yang dihajati disebabkan pada waktu itu Allah SWT memakbulkan doa orang soleh. Bagaimana mungkin doa orang kafir dimakbulkan, sedangkan Nabi SAW telah bersabda bahawa doa orang yang makan dan minum daripada harta yang haram pun tidak akan dimakbulkan doanya?[3]

Namun, ramai dalam kalangan ulama tafsir dan hadis yang berpandangan bahawa ayat ini tidak memberi maksud bahawa doa orang kafir itu tidak akan dimakbulkan secara mutlak di dunia. Menurut Imam al-Alusi:

والحقُّ أَنَّ الآيةَ في دُعاءِ الكُفَّارِ يَومَ القيامةِ وأَنَّ الكافِرَ قَدْ يَقَعُ في الدنيا ما يدعو به ويَطْلُبُهُ مِن اللهِ تعالى إِثْرَ دُعائِه كَما يَشْهَدُ بذلك آياتٌ كثيرةٌ

Maksudnya: Hakikatnya, ayat ini merujuk kepada doa golongan kafir pada hari kiamat, sedangkan orang kafir boleh jadi dia memperolehi apa yang dia doa dan minta di dunia daripada Allah SWT sejurus selepas dia berdoa, seperti yang dibuktikan dalam banyak ayat al-Quran.[4]

Pandangan yang sama juga turut disebut oleh Syeikh Mulla Ali al-Qari, Syeikh al-Zarqani dan Syeikh al-Munawi.[5]

Syeikh Ibn Taimiyyah pula berkata:

وَأَمَّا إجَابَةُ السَّائِلِينَ فَعَامٌّ؛ فَإِنَّ اللَّهَ يُجِيبُ دَعْوَةَ الْمُضْطَرِّ وَدَعْوَةَ الْمَظْلُومِ وَإِنْ كَانَ كَافِرًا

Maksudnya: Pemakbulan doa orang yang meminta pula ada bersifat umum; sesungguhnya Allah SWT memakbulkan doa orang yang dalam kesusahan dan yang dizalimi, meskipun dia seorang kafir.[6]

Namun ini tidak bermaksud bahawa Allah SWT reda kepada orang kafir tersebut. Kata Ibn al-Qayyim:

فليس كُلُّ مَنْ أَجَابَ اللهُ دُعاءَه يكونُ راضياً عنه، ولا محباً له، ولا راضياً بِفعلهِ فإنه يُجِيبُ البر والفاجرَ، والمؤمنَ والكافرَ

Maksudnya: Bukan semua orang yang Allah SWT makbulkan doanya itu bermaksud Allah reda atau sayang padanya, tidak juga bermaksud Dia reda dengan perbuatannya; ini kerana Allah SWT memakbulakn doa orang yang baik dan jahat, mukmin dan kafir.  [7]

Imam Ibn Rajab al-Hanbali pula ketika mensyarahkan sebuah hadis berkenaan seorang hamba wanita berkulit hitam yang masih belum memeluk Islam telah dituduh mencuri sehelai selendang oleh tuannya, lalu tersingkap kebenaran bahawa dia sebenarnya tidak bersalah. Beliau memberi komentar:

فإنْ كَان الكافرُ مَظْلومًا كَهذهِ المرأةِ فَهُوَ أَقْرَبُ إِلى تفريجِ كُرْبَتِهِ وإجابَةِ دَعْوَتِهِ، فإنَّ دَعْوَةَ المظلومِ قَدْ تُجَابُ مِن الكافرِ، كما وَرَدَ في أحاديث مرفوعة متعددة؛ فإن عَدْلَ اللهِ يَسْمَعُ المؤمنَ والكافرَ، والبَرَّ والفاجرَ.

Maksudnya: Jika seorang kafir dizalimi seperti wanita ini, maka dia sebenarnya sangat dekat dengan pelepasan daripada ujian yang menimpanya dan penerimaan doanya, kerana doa orang yang dizalimi boleh jadi dimakbulkan daripada seorang kafir, seperti mana yang disebut dalam hadis. Sesungguhnya keadilan Allah itu Maha Mendengar doa mukmin dan kafir, sama ada baik atau jahat.[8]

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani turut senada dengan Imam Ibn Rajab dan menyatakan perkara yang serupa ketika mensyarahkan hadith ini.[9]

Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi pula menyatakan:

وَإِجَابَةُ اللَّهِ لِدُعَاءِ الْعَبْدِ، مُسْلِمًا كَانَ أَوْ كَافِرًا، وَإِعْطَاؤُهُ سُؤْلَهُ - مِنْ جِنْسِ رِزْقِهِ لَهُمْ، وَنَصْرِهِ لَهُمْ. وَهُوَ مِمَّا تُوجِبُهُ الرُّبُوبِيَّةُ لِلْعَبْدِ مُطْلَقًا.

Maksudnya: Allah SWT memakbulkan doa hamba-Nya, sama ada muslim atau kafir, dan Dia memberikan apa yang mereka minta dari sudut jenis rezeki serta mengurniakan pertolongan kepada mereka; dan ia merupakan satu manifestasi sifat Rububiyyah kepada hamba-Nya secara mutlak.[10]

Kesimpulan

Kesimpulannya, doa seorang non-muslim yang dizalimi itu boleh jadi dimakbulkan oleh Allah SWT, seperti yang dinyatakan dalam hadis yang dibincangkan. Hal ini merupakan manifestasi daripada sifat keadilan Allah SWT serta sifat Rububiyyah-Nya yang merangkumi seluruh makhluk dan hidupan di dunia tanpa mengira agama dan keyakinan.

Wallahu a’lam.

[1] Rujuk al-Taysir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir oleh Zainuddin al-Munawi (1988) Riyadh: Maktabah al-Imam al-Syafi’e 1/31. Menurut al-Munawi: sanad bagi hadis ini sahih. Rujuk juga Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi oleh Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri (t.t) Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 6/131

أَمَّا حَدِيثُ أَنَسٍ فَأَخْرَجَهُ أَحْمَدُ فِي مُسْنَدِهِ وَأَبُو يَعْلَى وَالضِّيَاءُ الْمَقْدِسِيُّ عَنْهُ مَرْفُوعًا اتَّقُوا دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ وَإِنْ كَانَ كَافِرًا فَإِنَّهُ لَيْسَ دُونَهَا حِجَابٌ

قَالَ الْمُنَاوِيُّ فِي التَّيْسِيرِ إِسْنَادُهُ صَحِيحٌ

[2] Rujuk Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir oleh Zainuddin al-Munawi (1356H) Mesir: al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, Cetakan Pertama, 1/142

[3] Rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir oleh Muhammad al-Tahir ibn ‘Asyur (1984) Tunisia: al-Dar al-Tunisiyyah li al-Nasyr, 24/166

وَقَدْ يُتَوَهَّمُ فِي بَعْضِ الْأَحْوَالِ أَنْ يَدْعُوَ الْكَافِرُ فَيَقَعُ مَا طَلَبَهُ وَإِنَّمَا ذَلِكَ لِمُصَادَفَةِ دُعَائِهِ وَقْتَ إِجَابَةِ دُعَاءِ غَيْرِهِ مِنَ الصَّالِحِينَ، وَكَيْفَ يُسْتَجَابُ دُعَاءُ الْكَافِرِ وَقَدْ جَاءَ عَنِ النَّبِيءِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتِبْعَادُ اسْتِجَابَةِ دُعَاءِ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَأْكُلُ الْحَرَامَ وَيَلْبَسُ الْحَرَامَ فِي حَدِيثِ مُسْلِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: «ذَكَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثُ أَغْبَرُ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ»

[4] Rujuk Ruh al-Ma’ani fi Tafsir al-Quran al-‘Azim wa al-Sab’ al-Mathani oleh Syihabuddin al-Alusi (1415H) Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Cetakan Pertama, tahqiq: Ali ‘Abd al-Bari ‘Atiyyah, 12/329

[5] Rujuk Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih oleh Mulla Ali al-Qari (2002) Beirut: Dar al-Fikr, Cetakan Pertama, 7/3096

لَا خِلَافَ فِي جَوَازِ اسْتِجَابَةِ الدُّعَاءِ لِلْوَلِيِّ وَغَيْرِهِ، مَا عَدَا الْكَافِرَ، فَإِنَّ فِيهِ خِلَافًا، لَكِنَّهُ ضَعِيفٌ لِاسْتِجَابَةِ دُعَاءِ إِبْلِيسَ. وَالِاسْتِدْلَالُ لِقَوْلِهِ تَعَالَى: {وَمَا دُعَاءُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَالٍ} [الرعد: 14] غَيْرُ صَحِيحٍ ; لِأَنَّهُ وَرَدَ فِي دُعَاءِ الْكُفَّارِ فِي النَّارِ، بِخِلَافِ الدُّنْيَا، فَإِنَّهُ وَرَدَ أَنَّهُ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - قَالَ: " «اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ وَإِنْ كَانَ كَافِرًا، فَإِنَّهُ لَيْسَ دُونَهُ حِجَابٌ» " عَلَى مَا رَوَاهُ أَحْمَدُ وَغَيْرُهُ عَنْ أَنَسٍ

Syarh al-Zarqani ‘ala Muwatta’ al-Imam Malik oleh Muhammad bin ‘Abd al-Baqi al-Zarqani (2003) Kaherah: Maktabah al-Thaqafiyah al-Diniyyah, Cetakan Pertama, tahqiq: Taha ‘Abd al-Ra’uf Sa’ad, 4/686

وَأَمَّا قَوْلُهُ تَعَالَى: {وَمَا دُعَاءُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَالٍ} [غافر: 50] (سورة غَافِرٍ: الْآيَةُ 50) فَذَاكَ فِي دُعَائِهِمْ لِلنَّجَاةِ مِنْ نَارِ الْآخِرَةِ، أَمَّا دُعَاؤُهُمْ لِطَلَبِ الِانْتِصَافِ مِمَّنْ ظَلَمَهُمْ فِي الدُّنْيَا كَمَا فِي الْحَدِيثِ فَلَا تُنَافِيهِ الْآيَةُ.

 dan Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir 1/142

ولا ينافيه {وما دعاء الكافرين إلا في ضلال} لأن ذلك في دعائهم للنجاة من نار الآخرة فلا يدل على عدم اعتباره في الدنيا

[6] Rujuk Majmu’ al-Fatawa oleh Taqiyuddin Abu al-‘Abbas Ibn Taimiyyah (1995) al-Madinah al-Munawwarah: Majma’ al-Malik Fahd, tahqiq: ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Qasim, 1/223

[7] Rujuk Ighathah al-Lahfan min Masayid al-Syaitan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah (t.t) Riyadh: Maktabah al-Ma’arif, tahqiq: Muhammad Hamid al-Fiqi, 1/215

[8] Rujuk Fath al-Bari oleh Ibn Rajab al-Hanbali (1996) Kaherah: Maktabah Tahqiq Dar al-Haramain, Cetakan Pertama, tahqiq: Mahmud bin Sya’ban bin ‘Abd al-Maqsud et al, 3/253

[9] Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ahmad bin Ali Ibn Hajar al-‘Asqalani (1379H) Beirut: Dar al-Ma’rifah, tahqiq: Muhammad Fuad ‘Abd al-Baqi, 1/535

[10] Rujuk Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyah oleh Sadruddin ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi (1997) Beirut: Muasssasah al-Risalah, Cetakan ke-10, tahqiq: Syu’aib al-Arna’ut dan Abdullah bin al-Muhsin al-Turki, 2/677