Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #968: KAIFIAT SOLAT JENAZAH GHAIB

 

AK968.png

KAIFIAT SOLAT SUNAT JENAZAH

SOALAN

Boleh SS Datuk Seri Mufti jelaskan kaifiat solat jenazah ghaib?

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Solat jenazah ghaib bermaksud solat yang dilaksanakan di negeri yang lain yang berada jauh dari negeri asalnya. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 385) Pensyariatan solat jenazah ghaib ini dapat dilihat berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu akan berita kematian al-Najasyi ketika hari kematiannya. Baginda SAW keluar ke musolla, membuat saf dan bertakbir sebanyak empat kali.

Riwayat al-Bukhari (1245) dan Muslim (951)

Waktu Solat Ghaib

Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, solat jenazah ghaib boleh dilakukan bermula dari saat berita kematian dan berlanjutan selama tiga hari. Ini kerana tiga hari itu adalah tempoh bertakziah menurut yang maklum dari kitab-kitab fiqh. Namun pendapat yang muktamad adalah harus solat jenazah ghaib selama mana beliau adalah ahli solat ketika kematian berlaku. (Rujuk al-Tanbih hal. 38, al-Umm 1/244 dan Mughni al-Muhtaj,1/346)

Antara syarat solat jenazah ialah:

  1. Solat jenazah ghaib dilakukan di negeri yang berlainan dengan keberadaan mayat.
  2. Solat jenazah ghaib tersebut dilaksanakan setelah dimandikan mayat tersebut. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, hlm 385 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/600)

Kaifiah Solat Jenazah Ghaib

Pelaksanaan solat jenazah ghaib adalah sama dengan solat jenazah yang biasa.

Pertama: Bertakbiratul ihram sambil berniat solat Jenazah. Contoh lafaz niat adalah seperti berikut: “Sahaja aku solat ke atas mayat ini fardhu kerana Allah Taala.”

Kedua: Setelah bertakbir, letakkan kedua-dua tangan ke dada sebagaimana solat biasa, kemudian bacalah fatihah. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Talhah bin Abdullah bin `Auf seperti berikut:

صَلَّيْتُ خَلْفَ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمَا عَلَى جَنَازَةٍ فَقَرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ قَالَ لِيَعْلَمُوا أَنَّهَا سُنَّةٌ

Maksudnya: “Aku bersolat Jenazah di belakang Ibn Abbas R.A, dia membaca Fatihah. Kemudian katanya: Supaya mereka tahu itulah sunnah.”

Riwayat al-Bukhari (1335)

Ketiga: Setelah selesai membaca al-Fatihah, bertakbir pula kali kedua sambil mengangkat kedua-dua tangan hingga ke cuping telinga, kemudian meletakannya semula ke dada, dan bacalah apa-apa selawat ke atas Nabi SAW. Selawat yang afdhal ialah selawat Ibrahimiyah sebagaimana yang telah disebutkan dalam bab hukum-hukum solat.

Keempat: Bertakbir kali ketiga dan diikuti dengan mendoakan mayat. Mendoakan mayat adalah maksud utama solat jenazah. Perkara ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Umamah bin Sahal R.A:

أَنَّهُ أَخْبَرَهُ رَجُلٌ مِنْ أَصْخَابِ النَّبِيِّ أَنَّ السُّنَةَ فِي الصَّلاَةِ عَلَى الجَنَاَزَةِ أَنْ يُكَبِّرَ الإِمَامُ، ثُمَّ يَقْرَأُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ بَعْدَ التَكْبِيْرَةِ الأُوْلَى سِرًّا فِي نَفْسِهِ ثُمَّ يُصَلِّى عَلَى النَّبِيِّ وَيُخَلِّصَ الدُّعَاءَ لِلْجَنَازَةِ فِي التَكْبِيْرَاتِ وَلاَ يَقْرَأَ فِي شَيْءٍ مِنْهُنَّ ثُمَّ يُسَلِّمَ سِرًّا فِي نَفْسِهِ

Maksudnya: “Bahawa dia telah diberitahu oleh seorang lelaki di kalangan sahabat Nabi SAW bahawa solah jenazah menurut sunnah ialah imam bertakbir, kemudian membaca al-Fatihah dengan perlahan selepas takbir pertama, seterusnya berselawat ke atas Nabi SAW dan mendoakan jenazah semata-mata dalam takbir-takbir tersebut tanpa apa-apa bacaan yang lain. kemudian mengucapkan salam dengan perlahan.” (Riwayat al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, 4/39)

Demikian juga, sekurang-kurang bacaan doa adalah:

اللَّهُمَّ ارْحَمهُ أوِ اغْفِرلَه

 Maksudnya: Ya Allah! Rahmatilah dia. Atau Ya Allah! Ampunilah dia.” (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 1/602)

Kelima: Bertakbir kali keempat, kemudian berdoa:

اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ

 Maksudnya: Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.

Riwayat Abu Daud (3201)

Keenam: Mengucap salam sebanyak dua kali, iaitu ke kanan dan ke kiri sebagaimana salam solat-solat yang lain.

Kesimpulan

Tuntasnya, solat jenazah ghaib boleh dilakukan bila-bila masa setelah jenazah dimandikan. Syaratnya juga mestilah solat jenazah itu dilakukan di negeri yang lain daripada tempat jenazah itu berada. Manakala pelaksanaan solat tersebut pula sama seperti solat jenazah yang biasa yang dilaksanakan dengan cara berdiri tanpa rukuk, sujud dan duduk.

Wallahu a’lam.