Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1286: HUKUM MEMAKAN TELUR ULAR

 makan teloq ulaq.JPG

SOALAN

Saya seorang yang suka masuk ke dalam hutan dan mencari hasil hutan. Saya ingin bertanya benarkah Islam menghalalkan semua jenis telur haiwan tanpa perlu melihat hukum binatang tersebut, seperti ular?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan Nabi SAW, dan ahli keluarga, sahabat-sahabat, seterusnya mereka yang mengikut jejak Baginda hingga ke hari kiamat.

Dalam menjawab persoalan berkaitan dengan makanan ini, perlu untuk difahami beberapa perkara.

Yang pertama, berkaitan dengan perihal makanan ini, sesungguhnya Islam telah menghalalkan pelbagai jenis makanan kepada umatnya. Maka, janganlah sesekali kita mengharamkan makanan-makanan yang telah diizinkan kita untuk menikmatinya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

(Surah al-Ma’idah: 87)

Berkaitan dengan hukum memakan telur-telur haiwan, para ulama’ mazhab al-Syafie, secara asasnya membolehkan untuk memakan telur haiwan. Lihat al-Mu’tamad (2/588). Namun begitu dalam isu ini perlu dilihat sekiranya ia memberikan mudarat maka haram dimakan telur tersebut. Ini selaras dengan hadith Nabi SAW:

لَا ضَرَرَ وَلا ضِرَار
Maksudnya“Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.”

Riwayat Ibn Majah (2341)

Hal ini turut dibahaskan oleh beberapa fuqaha’ Mazhab al-Syafie antaranya:

سَائِرُ الْبُيُوضِ طَاهِرَةٌ وَلَوْ مِنْ غَيْرِ مَأْكُولٍ وَإِنْ اسْتَحَالَتْ دَمًا بِحَيْثُ لَوْ حُضِنَتْ لَفَرَّخَتْ، وَلَكِنْ يَحْرُمُ أَكْلُ مَا يَضُرُّ كَبَيْضِ الْحَيَّاتِ

Maksudnya:  Kesemua telur suci meskipun daripada [haiwan yang] tidak di makan [dagingnya], walaupun telah berubah [menjadi] darah di mana jika diperam, akan menetas. Namun diharamkan memakan apa yang memudaratkan seperti telur ular. Lihat kitab Qalyubi wa Umairah (1/82)

Imam al-Suyuthi pula dalam menyatakan hukum memakan telur haiwan-haiwan dan telur ular menyatakan bahawa:

. لَيْسَ لنا بَيْضٌ يُحَرِّم أَكْلَهُ وَاِسْتَثْنَى بَعْضَهُمْ بَيَّضَ الحَيَّاتِ وَالحَشَرَاتِ وَ لَا شَكَّ فِيهُ

Maksudnya: Tiada telur yang diharamkan bagi kita memakannya. Sesetengah [daripada] mereka (ulama Mazhab al-Syafie) mengecualikan telur ular dan serangga. Tiada syak padanya (pengecualian ini). Lihat al-Asybah wa al-Nazoir (1/695).

 

Kesimpulan

Berdasarkan hujah di atas, umumnya jelas bahawa telur ular dan serangga haram dimakan. Manakala telur haiwan-haiwan lain dihukum sebagai halal dengan syarat-syarat tidak memudaratkan.

Semoga kita mendapat hidayah dan taufiq dalam memahami syariat-Nya. Amin