Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1562 : BAPA ENGGAN BAYAR YURAN IPT

af1562 compressed

Soalan:

Apa hukumnya untuk seorang bapa yang enggan membayar biaya yuran pengajian anak di IPT dan mendesak anak supaya mengambil pinjaman spt PTPTN (walhal bapa adalah orang yang mampu) dengan alasan supaya anak tahu susahnya untuk mendapatkan duit/belajar bersungguh-sungguh?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat dan seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, menjadi kewajiban seorang ayah untuk menanggung nafkah merangkumi keperluan tempat tinggal, pakaian, makan minum, perubatan, dan pendidikan pada ukuran uruf yang sesuai dengan pendapatan seseorang ayah itu. Para ulama menetapkan tiga syarat wajib ke atas ayah, datuk, ibu dan nenek untuk menafkahi anak:

  1. Penafkah berstatus yasar (senang)

Seseorang asal (ayah, datuk atau nenek) itu disyaratkan hendaklah berstatus senang, yakni memiliki harta yang surplus setelah ditolak keperluan peribadinya, dan isterinya bagi tempoh sehari semalam, atau lebih. Justeru, jika dia tidak mempunyai harta lebih daripada nafkah dirinya sendiri, dan nafkah isterinya ke atasnya, maka tidak diwajibkan nafkah dan beralihlah tanggungjawab itu kepada penafkah atau orang lain.

  1. Anak masih kecil

Wajib ke atas penafkah untuk menafkah seseorang anak kerana statusnya masih kanak-kanak, yang tidak mampu untuk mencukupkan diri sendiri, dan juga kerana dia memerlukan kepada nafkah, sehinggalah dia baligh. Begitu juga status yang seumpama dengan kanak-kanak, seperti zamanah, yakni ketidakmampuan untuk bekerja kerana suatu uzur seperti sakit, tidak mampu bekerja, cacat dan gila.

  1. Anak berstatus faqir

Hendaklah anak yang hendak dinafkahi itu faqir, yakni tidak melepaskan hak kifayah (kecukupan). Jika anak itu memiliki kecukupan maka, seperti harta yang banyak, maka dia tidak memerlukan kepada orang lain. Begitu juga anak itu hendaklah daripada kalangan yang tidak mampu berusaha, kerana orang yang mampu berusaha sama seperti orang yang mampu daripada sudut harta. Justeru jika dia mampu untuk berusaha maka tidak wajib nafkah kepadanya ke atas bapa atau datuknya, walaupun jika dia tidak bekerja kerana malas. Ini kerana Rasulullah ﷺ menyatakan status orang yang kaya dengan orang yang mampu untuk bekerja. Daripada Abu Saied bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لا تَحِل الصَّدقةُ لغنيّ، ولا لذي مِرَّةِ سَويٍّ

Maksudnya: “Tidak dihalalkan sedakah (zakat) ke atas orang kaya dan orang yang mempunyai mirrah (kekuatan dan akal, disebut rajulun marir bererti kekuatan yang hebat) yang kuat.”

Riwayat Abu Daud (1634) dan al-Tirmidzi (652). al-Tirmidzi menghukumkan hadis ini sebagai hasan.

Jika anak itu sudah baligh dan mampu untuk berusaha tetapi tidak mampu untuk bekerja kerana sibuk dengan ilmu contohnya, maka ditilik pada jenis ilmu yang dipelajari itu. Jika ia berkaitan dengan kewajiban peribadi seperti ilmu akidah dan ibadah maka anak itu dianggap tidak mampu untuk berusaha dan wajiblah nafkah bapa ke atas anak itu. Adapun jika ilmu itu adalah ilmu kifayah yang diperlukan oleh masyarakat seperti perubatan, jurutera, arkitek, dan lain-lain, maka kesibukan itu tidak mengeluarkannya daripada kemampuan untuk bekerja. Justeru bapa boleh memilih sama ada untuk menafkahkannya supaya dia boleh meneruskan pengajiannya, dan bapa itu memperoleh pahala, ataupun menghentikan nafkah itu.

Rujuk al-Mu`amad fi al-Fiqh al-Syafie (4/288-289)

Mengikut uruf kita, bapa wajib menanggung nafkah seorang anak sehingga anak itu berusia 18 tahun, tetapi Mahkamah Syariah berkuasa untuk mengeluarkan perintah berdasarkan permohonan anak itu atau orang lain kepada bapanya untuk meneruskan saraan nafkah pada peringkat pengajian tinggi. Seksyen 793 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) memperuntukkan perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi.

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, pada asalnya bukan menjadi kewajiban seorang bapa untuk menanggung pembiayaan pendidikan anaknya pada peringkat institut pengajian tinggi. Seorang bapa wajib memastikan anak mengetahui ilmu fardhu ain, dan ilmu-ilmu yang menyempurnakan tuntutan fardhu ain tersebut. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia berusahan memastikan anaknya dapat belajar daripada orang lain, atau mengupah orang lain untuk mengajar anaknya. Ini termasuklah membayar yuran pendidikannya. Ini merupakan tanggungjawab seorang bapa sehingga anak mencapai umur baligh.

Namun begitu, mengikut uruf kita, bapa hendaklah menanggung nafkah anak sehingga mereka berumur 18 tahun. Ini kerana di bawah umur tersebut mereka masih dikira kanak-kanak berdasarkan Seksyen 2 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang menyebutkan bahawa kanak-kanak adalah seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun. Seksyen 43 dalam Akta yang sama juga melarang kanak-kanak di bawah umur 18 tahun untuk bekerja dan memperuntukkan hukuman bagi kesalahan tersebut kepada individu yang memaksa atau mengambil mereka bekerja. Ini penting bagi menjaga maslahat mereka untuk belajar.  

Dalam keadaan tertentu, seseorang yang berumur 18 tahun boleh jadi masih belum mampu untuk bersaing dalam pasaran kerja sehingga memerlukannya untuk sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Usaha ini pastinya memerlukan kos dan biaya pendidikan. Justeru, Mahkamah Syariah boleh mengarahkan ibu bapa untuk menanggung keperluan pendidikan anak-anak sehingga ke peringkat institut pengajian tinggi, tertakluk kepada permohonan.

Kami berpendapat berkenaan situasi yang diutarakan oleh pihak penanya, bahawa anak berkenaan boleh berbincang dengan baik bersama ibu bapanya tentang masalah yang dia hadapi. Tidak salah bagi seorang ayah untuk menyuruh anaknya mengambil pembiayaan pendidikan yang halal pada Hukum Syarak, tetapi keputusan adalah di tangan anak itu. Ini kerana pada uruf kita, keengganan mengambil pinjaman atas suruhan bapa tidaklah menyebabkan derhaka pada uruf kita dan hukumnya kembali kepada hukum asal iaitu dibolehkan sahaja. Rujuk perbahasan derhaka dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-367 : Hak Ibu Ayah Campur Tangan Dalam Rumah Tangga Anak. Kepada sang ayah, ingatlah bahawa pemberian yang paling utama dan paling berpahala ialah kepada orang yang kita pelihara. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Maksudnya: “Sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (keperluan dirinya). Maka mulakanlah sedekah kepada sesiapa yang menjadi tanggunganmu.”

Riwayat al-Bukhari (1426)

Imam Ibn Hajar al-`Asqalani mensyarahkan hadis ini dengan katanya: “Mendahulukan nafkah ke atas diri sendiri dan keluarga adalah kerana mereka bergantung kepadanya, berbanding orang lain.”

Rujuk Fath al-Bari (3/296)

Daripada Hakeem bin Hizam RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

أَفْضَلُ الصَّدَقَةِ أَوْ خَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى، وَالْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى، وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Maksudnya: “Sedekah yang paling utama atau paling baik adalah sedekah yang diberikan ketika ia mampu. Dan tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah. Dan dahulukanlah pemberian itu kepada orang yang menjadi tanggunganmu.”

Riwayat Muslim (1034)

Berkata Imam al-Nawawi: “Pada hadis ini terhadapat faedah pada perbuatan memulakan sedekah kepada individu yang paling penting kemudian yang kurang penting, dalam urusan Syariah.”

Rujuk al-Minhaj (7/125)

Manakala kepada sang anak, jika dia mengambil pinjaman berkenaan dan berusaha mendapat keputusan yang cemerlang, maka dia mendapat pahala kerana mengikuti nasihat ibu bapa (birr al-walidayn) dan tidak perlu membayar semula. Ini wajar dijadikan motivasi untuk berjaya dalam pelajaran.

Namun begitu, jika perselisihan masih berlaku, dan terdapat keperluan mendesak, maka bolehlah pihak anak itu membuat permohonan kepada pihak Mahkamah Syariah seperti yang kami sebutkan di atas. Wallahua’lam.