Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1666 : MENGADAKAN KENDURI PERKAHWINAN DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

AK1666

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, sekarang ini seperti yang diketahui merupakan musim cuti persekolahan maka ramai yang mengambil peluang mengadakan majlis kenduri kahwin. Namun setelah Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) dikeluarkan semalam, adakah perlu diadakan majlis kenduri kahwin atau ditangguh ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).

Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).

Secara umumnya, menghadiri kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan. Dan seperti yang diketahui bahawa setiap kata perintah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah membawa kepada hukum wajib, melainkan jika terdapat petunjuk-petunjuk lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut. Pendapat yang menyatakan kewajipan menghadiri kenduri kahwin ini merupakan pendapat jumhur para ulama. Mereka berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.

Riwayat Muslim 1053

Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis di atas berkata: ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran berikut:

  • Sekiranya ada syubhah (keraguan) pada makanan.
  • Adanya kemungkaran di dalam majlis tersebut.
  • Majlis perkahwinan yang hanya mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir.

Begitu juga beberapa keuzuran lain seperti yang disebutkan oleh Dr. Wahbah Al-Zuhaili :  ‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya’’. Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622).

Justeru, berbalik kepada persoalan yang dikemukakan maka kami katakan bahawa setiap keuzuran yang menghalang seseorang untuk hadir solat berjemaah di masjid merupakan keuzuran yang sama yang membolehkan untuk seseorang itu tidak hadir ke majlis kenduri kahwin.

Demikian juga kami katakan bahawa sekiranya larangan telah dikeluarkan oleh pihak pemerintah bahawa berlakunya Kawalan Pergerakan yang meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial, dan budaya. Ini termasuklah majlis kahwin, majlis tahlil, solat berjemaah di masjid dan seumpamanya seperti yang dijelaskan oleh Majlis Keselamatan Negara. Justeru, arahan ini wajib dipatuhi berdasarkan firman Allah S.W.T :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya : Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.

Surah Al-Nisa’ (59)

Penjelasan panjang lebar berkenaan hukum mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang ditetapkan oleh pihak pemerintah boleh dilihat dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 457 : Wajibkah Mengikut Arahan Pemerintah Untuk Tidak Pergi Ke Masjid ? yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2UdbvXa

Penutup

Secara tuntasnya, kami simpulkan kenyataan ini dengan beberapa noktah yang berikut :

  • Mengadakan majlis kenduri kahwin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini termasuk dalam perhimpunan sosial yang tidak dibenarkan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya ia gagal dipatuhi. Sesuatu arahan dari pihak pemerintah itu selama mana bukan suruhan maksiat, maka ia hendaklah dipatuhi lebih-lebih lagi ia didirikan atas dasar maslahah menjaga kesihatan dan keselamatan masyarakat bagi mengekang penularan Covid-19.
  • Majlis walimah atau kenduri kahwin yang ingin dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hendaklah ditangguhkan kepada tarikh yang lain. Meskipun pada penangguhan ini akan menyebabkan kesulitan dan kesukaran kepada pihak tertentu, namun ini bagi mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang keburukan yang lebih besar. Wallahu A’lam.
  • Meskipun begitu, majlis akad nikah masih boleh diteruskan dengan mengikut garis panduan dan ketetapan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.