Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1880 : DAHAN POKOK JIRAN MASUK KAWASAN RUMAH, BOLEHKAH DIAMBIL BUAHNYA TANPA IZIN PEMILIKNYA?

kafi 1880Soalan:

Sebahagian dahan pokok jiran saya telah tumbuh melepasi pagar rumah saya. Soalannya, adakah diharuskan untuk saya mengambil buah yang gugur ke dalam halaman rumah saya, atau yang masih ada pada pohon tersebut?

 

Ringkasan Jawapan:

Hukum asal mengambil atau memakan buah yang ada pada dahan pokok milik orang lain yang menjalar ke kawasan rumah kita, atau yang telah gugur daripada dahannya dan jatuh ke halaman rumah ialah haram, kerana ia merupakan hak milik orang lain. Namun ada pengecualian sekiranya keizinan telah diperoleh daripada tuannya, atau kita yakin bahawa pemiliknya akan reda dan mengizinkan kita mengambilnya.

Akan tetapi berasaskan kepada sifat warak, adalah disyorkan agar kita tidak mengambil dan memakannya kecuali keizinan telah diberikan oleh pemiliknya secara langsung dan jelas. Hal ini bagi menjaga diri daripada memakan harta yang tidak halal dan menjaga kerukunan hidup berjiran.

 

Huraian Jawapan:

Hukum asal mengambil atau memakan buah yang ada pada dahan pokok milik orang lain yang menjalar atau tumbuh membesar ke kawasan rumah kita, atau yang telah gugur daripada dahannya dan jatuh ke halaman rumah kita adalah haram, kerana ia merupakan hak milik orang lain. Ini termasuk dalam kategori memakan harta orang lain secara batil yang telah diharamkan oleh Allah SWT seperti dalam firman-Nya:

وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) sesama kamu dengan jalan yang batil.

Surah al-Baqarah (188)

Rasulullah SAW juga telah bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Maksudnya: Nyawa, harta dan maruah seorang muslim itu haram daripada dicerobohi oleh muslim yang lain.

Sahih Muslim (2564)

Kaedah fiqh yang masyhur juga telah menetapkan:

لا يجوزُ لِأَحَدٍ أَنْ يَأْخُذَ مَالَ أَحَدٍ بِلا سَبَبٍ شَرْعِيٍّ

Maksudnya: Seseorang itu tidak diharuskan untuk mengambil harta orang lain tanpa sebab atau alasan yang syar’ie.[1]

Menurut Imam Syamsuddin al-Ramli:

وَلَوْ وَصَلَ غَصْنُهُ بِشَجَرَةِ غَيرِهِ كَانَتْ ثَمَرَةُ الغَصْنِ لمالِكِهِ وَإِنْ كان مُتَعَدِّيًا

Maksudnya: Jika dahan pokok miliknya menjalar ke pokok milik orang lain, buah yang ada pada dahan itu merupakan milik pemiliknya, meskipun dahan itu masuk ke kawasan orang lain.[2]

Maksudnya, jika seseorang itu mempunyai sebatang pokok yang dahannya menjalar hingga mengena pokok orang lain, buah yang ada pada pokok yang menjalar itu tetap menjadi hak pemiliknya, meskipun ia mengena pokok orang lain.

Namun para ulama memberikan pengecualian sekiranya keizinan telah diperoleh daripada tuannya, atau kita yakin bahawa pemiliknya akan reda dan mengizinkan barangnya untuk diambil. Perkara ini dinyatakan oleh Sheikh Qalyubi:

يَجُوْزُ الْتِقَاطُ السَّنَابِلِ لِلتَّمَلُّكِ إِنْ أَعْرَضَ مَالِكُهَا عَنْهَا أَوْ عُلِمَ رِضَاهُ

Maksudnya: Diharuskan untuk mengutip tangkai-tangkai daripada pokok jika pemiliknya membiarkannya, atau diyakini bahawa pemiliknya membenarkannya.[3]

Syarak juga mengiktiraf adat dan budaya setempat dalam perkara ini. Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami:

وَيَحْرُمُ أَخْذُ ثَمَرٍ مُتَسَاقِطٍ إنْ حُوِّطَ عَلَيْهِ وَسَقَطَ دَاخِلَ الْجِدَارِ وَكَذَا إِنْ لَمْ يُحَوَّطْ عَلَيْهِ أَوْ سَقَطَ خَارِجَهُ لَكِنْ لَمْ تُعْتَدِ الْمُسَامَحَةُ بِأَخْذِهِ

Maksudnya: "Diharamkan memungut buah-buahan yang gugur jika pokoknya dipagari/dibuat kepung dan jika jatuhnya di dalam kawasan berdinding. Begitu juga (diharamkan) jika buah pokok itu (meskipun) tidak dikepung/dipagari atau jatuhnya di luar kawasan berdinding tetapi tidak menjadi adat (masyarakat setempat) yang membenarkan buah itu diambil."[4]

Akan tetapi berasaskan kepada sifat warak dan lebih berhati-hati, adalah disyorkan agar kita tidak mengambil dan memakannya kecuali keizinan telah diberikan oleh pemiliknya secara langsung dan jelas. Hal ini bagi menjaga diri daripada memakan harta yang tidak halal dan menjaga kerukunan hidup berjiran.

 

Kesimpulan

Hukum asal mengambil atau memakan buah yang ada pada dahan pokok milik orang lain yang menjalar ke kawasan rumah kita, atau yang telah gugur daripada dahannya dan jatuh ke halaman rumah kita ialah haram, kerana ia merupakan hak milik orang lain. Namun ada pengecualian sekiranya keizinan telah diperoleh daripada tuannya, atau kita yakin bahawa pemiliknya akan reda dan mengizinkan kita mengambilnya, dan adat setempat diamalkan bahawa pemilik pohon mengizinkan hal yang demikian. Tetapi sebaiknya kita mengamalkan sikap warak dan berhati-hati dalam mengambil hak orang lain serta menjaga adab hidup berjiran, dengan mendapatkan keizinan secara yakin dan pasti terlebih dahulu.

Wallahu a’lam.

[1] Rujuk al-Qawa’id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah oleh Muhammad Mustafa al-Zuhaily (1427H) Damsyik: Dar al-Fikr, Cetakan Pertama,  1/559

[2] Rujuk Nihayah al-Muhtaj oleh Syamsuddin al-Ramli (1984), Dar al-Fikr, 4/416

[3] Rujuk Hasyiyata Qalyubi wa ‘Umairah oleh Ahmad Salamah al-Qalyubi dan Ahmad ‘Umairah (1995) Beirut: Dar al-Fikr, 3/120

[4] Rujuk Tuhfah al-Muhtaj oleh Ibn Hajar al-Haitami (1983) Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra 9/338