Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-369: ‘ATHIYYAH BIN SA’AD AL-‘AWFI

 

 

ih369_15291523.png

 

Soalan: Siapakah ‘Athiyyah bin Sa’ad al-‘Awfi dan bagaimanakah periwayatannya di dalam hadith?      

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Nama beliau ialah ‘Athiyyah bin Sa’ad bin Junadah al-‘Awfi al-Kufi. Kuniyyah beliau ialah Abu al-Hasan dan beliau termasuk di dalam kalangan Tabi’in yang masyhur. Di samping itu, beliau telah meriwayatkan daripada Ibn Abbas, Abi Sa’id, Abi Hurairah, Zaid bin Arqam, ‘Ikrimah, Abdulrahman bin Jundub dan juga Ibn Umar R.anhum. Adapun yang meriwayatkan daripadanya ialah anaknya al-Hasan, Hajjaj bin Arthoh, Qurrah bin Khalid, Zakariyya bin Abi Zaidah, Mis’ar, Mutharrif, Ismail bin Abi Khalid dan ramai lagi.

Di samping itu, Imam Ahmad pernah berkata bahawa ‘Athiyyah seorang perawi yang dhaif dan aku pernah mendengar bahawa beliau mendatangi al-Kalbi lalu bertanya kepadanya berkaitan tafsir. Selain itu, beliau memberi kuniyyah kepada al-Kalbi dengan Abu Sa’id. Apabila beliau meriwayatkan daripada al-Kalbi, beliau akan menyebut kuniyyahnya dan bukan namanya seperti “telah berkata Abu Sa’id.” [Lihat: Tahzib al-Tahzib, 7/225]

Selain itu, Imam Ibn Hibban berkata di dalam kitabnya al-Dhu’afat, ‘Athiyyah telah mendengar daripada Abu Sa’id (sahabat Nabi SAW) beberapa hadith. Selepas kewafatan Abu Sa’id (sahabat Nabi SAW), beliau mula melazimi (berguru) al-Kalbi. Apabila al-Kalbi meriwayatkan sesuatu hadith daripada Rasulullah SAW, beliau akan menghafalnya lalu meriwayatnya dengan menggunakan kuniyyah al-Kalbi seperti “telah berkata kepadaku Abu Sa’id.” Disebabkan itu, ramai orang menyangka bahawa beliau meriwayatkan hadith tersebut daripada Abu Sa’id al-Khudri iaitu sahabat Nabi SAW tetapi sebenarnya Abu Sa’id yang dimaksudkan adalah al-Kalbi dan bukannya Abu Sa’id al-Khudri.

Tambahan pula, beliau merupakan seorang syiah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Zahabi di dalam al-Siyar. Selain itu, Ibn ‘Adiy pernah berkata bahawa ‘Athiyyah mempunyai beberapa hadith daripada Abi Sa’id al-Khudri dan selain daripada Abu Sa’id al-Khudri. Walaupun beliau seorang yang dhaif tetapi ditulis hadithnya dan beliau tergolong dalam kelompok Syiah dari al-Kufah.

Tambahan pula, Ibn Sa’ad berkata satu hari ‘Athiyyah telah keluar bersama Ibn al-Ash’ath. Maka al-Hajjaj telah menulis satu perutusan kepada Muhammad bin al-Qasim agar meminta mereka mencela Ali RA. Sekiranya mereka enggan, maka pukullah mereka dengan 400 kali sebatan serta cukurlah janggutnya. Lalu mereka dipanggil dan mereka enggan melakukan apa yang diminta sehingga hukuman yang disebut oleh al-Hajjaj terlaksana kepada mereka. [Lihat: Tahzib al-Tahzib, 7/226] Hal ini juga, disebutkan oleh Abu Bakar al-Bazzar bahawa ‘Athiyyah seorang yang tasyayyu’ (cenderung kepada Syiah).

Beliau wafat pada tahun 111 Hijrah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Zahabi.

 

Riwayat ‘Athiyyah bin Sa’ad al-‘Awfi

Imam al-Zahabi menyatakan bahawa ‘Athiyyah merupakan seorang perawi yang dhaif.

[Lihat: Siyar A’lam al-Nubala’, 5/325-326] Begitu juga Imam al-Nasa’i mengatakan ‘Athiyyah seorang perawi yang dhaif. Manakala Abu Hatim menilai ‘Athiyyah seorang yang dhaif tetapi ditulis hadithnya dan Ibn ‘Adiy mengatakan bahawa ‘Athiyyah banyak meriwayatkan daripada perawi-perawi yang thiqah. Di samping itu, Imam Ibn Hajar menyatakan ‘Athiyyah seorang yang thiqah insyaAllah dan baginya hadith-hadith yang boleh diterima. Ada sebahagian manusia tidak menjadikan ‘Athiyyah sebagai hujjah seperti kata Abu Daud, ‘Athiyyah bukanlah seorang yang boleh berpegang padanya sahaja dan begitu juga kata al-Saji bahawa ‘Athiyyah bukanlah seorang yang boleh dibuat hujjah. Imam al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah ada meriwayatkan daripada beliau serta al-Bukhari juga ada meriwayatkan daripada beliau di dalam al-Adab al-Mufrad.

Melihat kepada beberapa pandangan ahli hadith di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa ‘Athiyyah bin Sa’ad al-‘Awfi adalah seorang perawi yang dhaif dan riwayatnya perlu diteliti terutamanya apabila beliau meriwayatkan daripada Abu Sa’id.

 

Penutup

Kesimpulannya, ‘Athiyyah bin Sa’ad al-‘Awfi merupakan salah seorang daripada tokoh yang mempunyai jasanya yang tersendiri. Tambahan pula, ‘Athiyyah bin Sa’ad juga merupakan salah seorang perawi yang didhaifkan riwayatnya sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dan kekuatan dalam mencontohi sifat atau akhlak yang mulia daripada tokoh-tokoh Islam terdahulu. Amin.

 

Wallahua’lam