Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

 

ih447_15291523.png

 

Soalan: Apakah kisah Bilal RA telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW selepas kewafatan Baginda SAW?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membaca sirah kehidupan atau perjalanan para sahabat Nabi SAW merupakan satu perkara yang terpuji dan amat digalakkan. Ini kerana, mereka berada pada kurun yang terbaik sebagaimana yang disifatkan oleh Rasulullah SAW dan mereka juga berada ketika zaman penurunan wahyu kepada Rasulullah SAW. Dengan itu, kita boleh mencontohi mereka dengan mengambil iktibar atau pengajaran daripada kisah mereka.

 

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami cuba untuk mendatangkan sebahagian teks berkaitan kisah tersebut sebagaimana yang terdapat di dalam kitab para ulama:

 

Teks Kisah Bilal RA Bermimpi Bertemu Dengan Nabi SAW Selepas Kewafatan Baginda SAW:

 

ثم إن بلالا رأى في منامه النبي صلى الله عليه وسلم وهو يقول له ما هذه الجفوة يا بلال أما ان لك أن تزورني يا بلال فانتبه حزينا وجلا خائفا فركب راحلته وقصد المدينة فأتى قبر النبي صلى الله عليه وسلم فجعل يبكي عنده ويمرغ وجهه عليه وأقبل الحسن والحسين فجعل يضمهما ويقبلهما فقالا له يا بلال نشتهي نسمع اذانك الذي كنت تؤذنه لرسول الله صلى الله عليه وسلم في السحر ففعل فعلا سطح المسجد فوقف موقفه الذي كان يقف فيه فلما أن قال (الله أكبر الله أكبر) ارتجت المدينة فلما أن قال (أشهد أن لا إله إلا الله) زاد تعاجيجها فلما أن قال (أشهد أن محمدا رسول الله) خرج العواتق من خدورهن فقالوا أبعث رسول الله صلى الله عليه وسلم فما رئي يوم أكثر باكيا ولا باكية بعد رسول الله صلى الله عليه وسلم من ذلك اليوم

Maksudnya: “Kemudian Bilal bermimpi bertemu Rasululllah di dalam tidurnya. Lalu dia ditegur oleh Nabi SAW: “Wahai Bilal! Alangkah keras dan gersangnya hatimu, di mana kerinduanmu kepadaku ,lama kamu tidak menziarahiku.” Bilal pun tersedar dalam keadaan yang sedih dan takut.” Dia terus menunggang tunggangannya menuju ke Madinah lalu menziarahi maqam Nabi SAW. Lalu, dia menangis di sisi maqam Nabi SAW sambil mengusapkan wajahnya pada maqam Nabi SAW. Setelah itu, datanglah al-Hasan dan juga al-Husain yang kemudiannya mereka berdua memeluknya dan menciumnya sambil berkata: “Wahai Bilal! kami rindu untuk mendengarkan azanmu sepertimana dulu kamu azankan untuk Rasulullah SAW pada waktu sahar (sebelum masuknya waktu subuh).” Bilal pun memenuhi permintaan mereka berdua lalu melaungkan azan dari atas bumbung di tempat yang sama ketika dia melaungkan azan dahulu (di zaman Rasulullah). Apabila terdengar laungan suaranya mengucapkan “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”, bergegar kota Madinah bergetar. Ketika dia mengumandangan syahadah bertambah lagi gegarannya sehingga ketika dia melaungkan “Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah!”, para penduduk Madinah keluar dari rumah-rumah mereka sambil berkata, “Apakah Rasulullah diutuskan kembali?.” Sungguh tiada hari yang paling banyak tangisan daripada kaum lelaki dan wanita di Madinah selepas kewafatan Rasulullah SAW melebihi daripada hari itu..” [Lihat: Tarikh Dimashq, 7/137 dan Usd al-Ghabah, 1/415]

 

Kisah ini ada dinukilkan di dalam kitab Tarikh Dimashq oleh Ibn Asakir dan juga Ibn al-Athir di dalam Usd al-Ghabah. Di sini kami cuba untuk nukilan beberapa pandangan para ulama dalam menilai status kisah ini, antaranya:

 

  • Imam al-Hafiz Ibn Abd al-Hadi (744 H) menghukum riwayat atau kisah ini tidak sahih. Tambahan pula, kisah ini gharib (ganjil) lagi mungkar. Pada sanadnya pula terdapat perawi yang majhul dan juga terputus. [Lihat: al-Sorim al-Munki, 237]
  • Imam al-Hafiz al-Zahabi (748 H) menilai riwayat yang menceritakan berkaitan apa yang diriwayatkan berkaitan hari yang paling ramai menangis daripada kalangan orang lelaki dan wanita di Madinah selepas kewafatan Rasulullah SAW berbanding pada hari tersebut (kembalinya Bilal ke Madinah) adalah riwayat mungkar. [Lihat: Siyar A’lam al-Nubala’, 1/358]
  • Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 H) di dalam kitabnya menyatakan kisah kembalinya Bilal RA ke Madinah adalah kisah yang jelas akan kepalsuannya. [Lihat: Lisan al-Mizan, 1/108]
  • Imam al-Syaukani mengatakan kisah Bilal RA ini diriwayatkan oleh sekumpulan daripada kalangan sahabat antaranya Bilal RA sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Asakir dengan sanad yang baik. [Lihat: Nail al-Awthar, 5/114]

 

Melihat kepada beberapa pandangan para ulama di atas, maka kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa riwayat atau kisah di atas adalah tidak sahih sebagaimana yang dipegang oleh Imam Ibn Abd al-Hadi, Imam al-Zahabi dan juga Imam Ibn Hajar al-Asqalani. Walaupun ia merupakan kisah yang tidak sahih, namun ia tidak menafikan kecintaan dan kerinduan Bilal RA kepada Rasulullah SAW. Selain itu juga, sebahagian ulama sedikit tasahul (tidak meletakkan syarat yang terlalu ketat) dalam menerima riwayat-riwayat berkaitan sirah ini. Tambahan pula, Imam al-Zahabi ada menukilkan satu riwayat yang lain berkaitan laungan azan Bilal RA selepas daripada kewafatan Nabi SAW iaitu:

 

  • Daripada Zaid bin Aslam , daripada ayahnya berkata:

قَدِمْنَا الشَّامَ مَعَ عُمَرَ، فَأَذَّنَ بِلاَلٌ، فَذَكَرَ النَّاسُ النَّبِيَّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَلَمْ أَرَ يَوْماً أَكْثَرَ بَاكِياً مِنْهُ

Maksudnya: “Kami datang ke Syam bersama dengan Umar RA, maka Bilal RA telah azan. Maka manusia (yang berada di situ) mengingati Nabi SAW (apabila mendengar azan Bilal RA). Aku tidak melihat satu hari pun orang yang paling banyak menangis daripadanya (iaitu Bilal RA).” [Lihat: Siyar A’lam al-Nubala’, 1/357]

 

Penutup

Kesimpulannya, kisah ini adalah tidak sahih sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani walaupun di sana terdapat para ulama yang menilai bahawa ia adalah sahih. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan akhlak kita seperti akhlak para salaf soleh dalam mencintai Nabi SAW dengan meletakkan Allah SWT dan Rasulullah SAW di atas segala-galanya. Amin.

 

Wallahua’lam