Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE- 487 : STATUS HADIS BERWUDUK MENGHINDARKAN PENYAKIT DAN WABAK

ih487

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz. Saya ingin bertanya tentang status hadis yang banyak dikongsikan semenjak isu Covid- 19 ini yang menyatakan : ‘’Di akhir zaman nanti akan ada banyak wabak penyakit melanda manusia di dunia, hanya umatku yang terhindar kerana memelihara wuduknya’’ - Riwayat Al-Thabrani. Persoalan saya, adakah hadis ini sahih ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pertama sekali, perlu dijelaskan bahawa memang terdapat nas-nas syarak yang mengkhabarkan akan berlakunya wabak penyakit berjangkit pada generasi yang terkemudian dari kalangan umat ini. Antaranya adalah seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

لَمْ تَظْهَرِ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلاَّ فَشَا فِيهِمُ الطَّاعُونُ وَالأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلاَفِهِمُ الَّذِينَ مَضَوْا

Maksudnya : Tidaklah muncul kejahatan pada sesebuah kaum sehinggalah mereka melakukannya secara terang-terangan melainkan akan merebak dalam kalangan mereka wabak taun serta penyakit-penyakit yang tidak pernah muncul dalam kalangan generasi sebelum mereka.

Riwayat Ibn Majah (4019)

Berikut kami nyatakan beberapa pendapat para ulama hadis berkenaan status hadis di atas :

  • Imam Al-Hakim al-Naisaburi mengatakan : هَذَا حَدِيث صَحِيح الْإِسْنَاد ‘’hadis ini isnadnya sahih’’. Rujuk Al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Al-Hakim (4/582).
  • Imam al-Bushiri mengatakan bahawa : هذا حديث صالح للعمل به bermaksud ‘’hadis ini soleh (baik) untuk diamalkan’’. Rujuk Misbah al-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah, Al-Bushiri (4/186).
  • Syeikh Syu’aib al-Arna’uth pula menyatakan bahawa hadis ini hasan lighayrih. Rujuk Sunan Ibn Majah tahqiq Syu’aib al-Arnauth (5/150).

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, setelah kami melakukan pencarian yang meneliti terhadap teks hadis tersebut di dalam kitab-kitab hadis yang dikaryakan oleh Imam al-Thabrani seperti Al-Mu’jam al-Saghir, Al-Mu’jam al-Awsath, dan al-Mu’jam al-Kabir, maka kami tidak menjumpai walau satu pun hadis yang menghampiri atau menepati teks yang terdapat di dalam hadis tersebut.

Demikian juga kami menyatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis yang sahih lagi sarih menunjukkan bahawa perbuatan berwuduk menghalang wabak dan penyakit kepada seseorang yang melakukannya. Bahkan teks yang terdapat di dalam hadis tersebut jelas bercanggahan dengan hakikat yang berlaku apabila ia menyatakan bahawa umat Islam yang memelihara wuduk terhindar daripada wabak penyakit. Ini kerana, merujuk kepada hadis-hadis yang sahih, saat terjadinya wabak atau azab daripada Allah S.W.T kepada sesuatu kaum, maka ia turut menimpa golongan soleh dan orang beriman yang ada dalam kalangan mereka. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إِذَا ظَهَرَ السُّوءُ فِي الْأَرْضِ أَنْزَلَ اللَّهُ بَأْسَهُ بِأَهْلِ الْأَرْضِ ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَإِنْ كَانَ فِيهِمْ صَالِحُونَ؟ قَالَ نَعَمْ وَإِنْ كَانَ فِيهِم صَالِحُونَ، يُصِيبُهُمْ مَا أَصَابَ النَّاسُ، ثُمَّ يَرْجِعُونَ لِرَحَمَةِ اللَّهِ

Maksudnya : Apabila munculnya kejahatan di atas muka bumi maka Allah akan menurun azab-Nya kepada seluruh penduduk bumi. Aku (Ummu Salamah) bertanya : Sekalipun dalam kalangan mereka ada orang soleh ? Maka Rasulullah S.A.W menjawab : Ya, meskipun dalam kalangan mereka ada orang soleh. Mereka ditimpa sepertimana yang ditimpa oleh orang ramai kemudian mereka kembali kepada rahmat Allah.

Riwayat Al-Thabrani dalam Mu’jam al-Awsath (2089)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa sekiranya azab Allah S.W.T menimpa sesuatu kaum, maka ia akan meliputi kesemua yang terdapat dalam kalangan tersebut sama ada terdapat di dalamnya orang soleh atau tidak. Bahkan ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ عَذَابًا أَصَابَ الْعَذَابُ مَنْ كَانَ فِيهِمْ ثُمَّ بُعِثُوا عَلَى أَعْمَالِهِمْ

Maksudnya : Apabila Allah mengkehendaki azab berlaku kepada sesuatu kaum, Allah akan menimpakan azab kepada semua yang berada dalam kalangan mereka. Kemudian mereka akan dibangkitkan dengan amalan-amalan mereka.

Riwayat Muslim (2879)

Syeikh Muhammad Al-Amin al-Harari al-Syafi’e dalam syarahan ke atas hadis ini berkata : ‘’(Azab) akan meliputi kesemua yang berada dalam sesebuah kaum dari kalangan orang yang taat dan juga pelaku maksiat’’. Rujuk Al-Kaukab al-Wahhaj Syarah Sahih Muslim (26/58).

Begitu juga yang dinyatakan oleh Syeikh Abu Al-Abbas Ahmad bin Umar al-Qurthubi yang menyebut : ‘’Allah akan membinasakan kesemua mereka dengan azab yang Dia utuskan kepada mereka yang meliputi orang soleh dan juga orang jahat dari kalangan mereka. Adapun azab yang menimpa orang soleh maka itu bertujuan mengangkat darjatnya serta membanyakkan pahalanya kemudian dia akan dibangkitkan di atas niatnya yang soleh’’. Rujuk Al-Mufhim (7/144).

Demikian juga dikuatkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zainab bint Jahsy R.Anha beliau berkata :

أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ قَالَ ‏نَعَمْ، إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ

Maksudnya : Adakah kami akan binasa dalam keadaan orang-orang soleh berada dalam kalangan kami ? Maka Rasulullah S.A.W menjawab : Ya, jika kejahatan semakin banyak.

Riwayat Al-Bukhari (7059)

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami ringkaskan kenyataan ini dengan beberapa noktah yang berikut :

  • Tidak dinafikan bahawa wabak penyakit berjangkit akan muncul pada akhir zaman dan kita berpada dengan hadis-hadis sahih yang menjelaskan berkenaan hal ini.
  • Tidak ada nas yang secara spesifik lagi sahih menyatakan bahawa berwuduk dapat menghindarkan seseorang dari wabak penyakit. Tanpa menafikan bahawa antara fadhilat sampingan berwuduk adalah ia dapat membersihkan anggota wuduk dari kotoran.
  • Golongan soleh dan beriman juga turut tidak terlepas untuk ditimpa azab sekiranya Allah S.W.T menurunkannya kepada sesuatu kaum seperti mana yang disebutkan dalam hadis-hadis sahih yang telah kami kongsikan.
  • Hadis yang diajukan dalam persoalan di atas merupakan hadis palsu yang bercanggah dengan riwayat-riwayat yang sahih serta tidak ada asal baginya. Meskipun begitu, ini sama sekali tidak menafikan fadhilat berwuduk seperti yang telah disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih.
  • Perlu juga ditegaskan bahawa penyebaran hadis-hadis palsu merupakan salah satu perbuatan dosa yang haram hukumnya. Melainkan ia dibenarkan untuk disebar bagi menjelaskan kepalsuannya sahaja.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.