Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 488 : ADAKAH BOLEH BERDOA UNTUK TOLAK BALA SELAIN DOA YANG WARID DARIPADA NABI SAW?

IH 488

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Wabak COVID-19 yang sedang melanda negara kita ini sangat membimbangkan. Saya ada dengar seorang ustaz yang berdoa:
تحصنت بذي العزة ، واعتصمت برب الملكوت ، وتوكلت على الحي الذي لا يموت ، اللهم اصرف عنا هذا الوباء إنك على كل شيء قدير. Persoalan saya, adakah warid doa ini daripada Nabi SAW?. Adakah boleh kita berdoa dengan lafaz ini sebagai satu ikhtiar untuk menolak wabak?. Terima kasih ustaz.

Jawapan :
Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Doa merupakan senjata yang paling ampuh bagi orang yang beriman. Bahkan doa adalah ibadah yang utama yang tidak boleh dicuaikan oleh setiap muslim. Firman Allah SWT :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya : “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Surah Ghafir : 60)

Al-Hafiz Ibnu Kathir menyebut bahawa ayat ini menzahirkan kemuliaan dan sifat Maha Pemurah Allah SWT di mana Dia menggalakkan hambanya untuk berdoa dan memberi jaminan untuk mengabulkan doa-doa tersebut. Seperti mana kata Sufian Al-Thauri :

يَا مَنْ أَحَبُّ عِبَادِهِ إِلَيْهِ مَنْ سَأَلَهُ فَأَكْثَرَ سُؤَالَهُ وَيَا مَنْ أَبْغَضُ عِبَاده إِلَيْهِ مَنْ لَمْ يَسْأَلْهُ وَلَيْسَ أَحَد كَذَلِكَ غَيْرك يَا رَبِّ

Maksudnya : “Wahai hamba yang paling di sukai-Nya adalah hamba yang banyak meminta kepada-Nya. Dan hamba yang paling tidak disukai adalah siapa yang tidak meminta kepada-Nya. Tiada siapa seperti Engkau wahai Tuhan.” (Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 14/366)

Justeru doa adalah merupakan inti kepada ibadah. Bahkan doa bukan sahaja inti ibadah, lebih dari itu ia merupakan kunci bagi segala kebaikan dan penutup bagi segala pintu keburukan dan kejahatan.

Kita melihat bagaimana Nabi Zakaria AS berdoa agar dikurniakan zuriat yang soleh tatkala isterinya tidak boleh melahirkan anak. Doa Baginda dirakam oleh Allah SWT :

هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُۥ ۖ قَالَ رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ

Maksudnya : “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan".

(Surah Ali Imran : 38)

Begitu juga Nabi Lut AS ketika mana kaumnya sudah tidak lagi mendengar seruannya dan maksiat terus berleluasa, Baginda berdoa agar diselamatkan dari kejahatan mereka. Allah SWT berfirman merakamkan doa Nabi Lut AS :

رَبِّ نَجِّنِى وَأَهْلِى مِمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya : “(Nabi Lut berdoa): "Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu."

(Surah Al-Syu’ara :169)

Bahkan Nabi kita, Nabi Muhammad SAW pernah berdoa :

اللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ بِأَحَبِّ الرَّجُلَيْنِ إِلَيْكَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ أَوْ عَمْرِو بْنِ هِشَامٍ

Maksudnya : “Wahai Allah, muliakanlah Islam dengan dua orang lelaki yang paling engkau suka iaitu sama ada Umar Bin Al-Khattab ataupun Amru Bin Hisyam.”

Riwayat Al-Tabarani (87) dalam Al-Mu’jam Al-Awsat

Justeru, jangan sesekali merendah-rendahkan kuasa doa dan jangan berputus asa berdoa jika lambat diperkenankan kerana berkemungkinan Allah menyediakan perkara yang lebih baik daripada apa yang kita minta. Ini bertepatan dengan apa yang Nabi SAW sabdakan :

مَا مِنْ مُؤْمِنٍ يَنْصُبُ وَجْهَهُ إِلَى اللَّهِ يَسْأَلُهُ مَسْأَلَةً ، إِلاَّ أَعْطَاهُ إِيَّاهَا ، إِمَّا عَجَّلَهَا لَهُ فِي الدُّنْيَا ، وَإِمَّا ذَخَرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مَا لَمْ يَعْجَلْ ، قَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا عَجَلَتُهُ ؟ قَالَ : يَقُولُ : دَعَوْتُ وَدَعَوْتُ ، وَلاَ أُرَاهُ يُسْتَجَابُ لِي

Maksudnya : “ Tidak ada seorang mukmin yang menghadapkan wajahnya (berdoa) kepada Allah, memohon apa sahaja permohonan kecuali Allah akan kabulkan permohonannya. Sama ada Allah akan segerakan permohonannya di dunia atau disimpan untuknya di akhirat selagi mana dia tidak tergopoh-gopoh. Sahabat bertanya: Bagaimana tergopoh-gopoh (dalam berdoa) itu wahai Rasulullah?. Nabi SAW bersabda : (Tergopoh-gopoh itu adalah) dia berkata aku telah berdoa dan aku tak Nampak Allah kabulkan doa aku.”

Riwayat Al-Bukhari (711) di dalam Al-Adab Al-Mufrad

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, doa yang disebutkan iaitu

تَحَصَّنتُ بِذِي العِزَّةِ وَالجَبْرُوتِ، وَاعْتَصَمْتُ بِرَبِّ المَلَكُوتِ، وَتَوَكَّلْتُ على الحَيِّ الَّذِي لَا يَمُوتُ، اللهُمَّ اصْرِفْ عَنَّا هَذَا الوَبَاءَ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قَدِيرٍ

Maksudnya : “Aku berlindung dengan empunya kemuliaan dan kegagahan. Aku berlindung dengan Tuhan yang memiliki kerajaan segalanya. Aku bertawakkal kepada Yang Maha Hidup yang tidak akan mati. Wahai Allah, palingkanlah wabak ini daripada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Menentukan atas segala sesuatu

Pada asasnya, doa ini tidak warid daripada Nabi SAW. Kami tidak menjumpai sandarannya kepada Nabi SAW di dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Akan tetapi, doa ini kami temui dengan lafaz yang hampir sama di dalam tulisan nukilan  Sheikh Ahmad Bin Ghanim Al-Nafrawi Al-Azhari Al-Maliki. Beliau berkata :

Guru kepada guru-guru kami iaitu Sheikh Badruddin Al-Qarafi menyebut : Banyak persoalan tentang adakah boleh berdoa secara khusus agar diangkat dan dihilangkan wabak yang sedang melanda?. Ada yang mengatakan tidak harus untuk berdoa supaya hilangnya wabak kerana ianya merupakan peluang untuk syahid. Aku tidak jumpai nas yang jelas dari para ulama bermazhab Maliki yang membenarkan perkara tersebut. Akan tetapi Sayyidi Sheikh Ahmad Al-Zaruq dan Sheikh Umar Al-Qalshani menggunakan beberapa lafaz doa agar terpelihara dari terkena wabak tersebut. Antara lafaz yang digunakan oleh Sayyidi Sheikh Ahmad Al-Zaruq ialah :

تحصنت بذي العزة والجبروت، واعتصمت برب الملكوت، وتوكلت على الحي الذي لا يموت، اصرف عنا الأذى إنك على كل شيء قدير

Beliau membaca doa ini sebanyak tiga kali.” (Rujuk Al-Fawakih Al-Dawani ‘Ala Risalah Ibn Abi Daud Al-Qirwani, 2/551).

Walaupun doa tersebut tidak warid daripada Nabi SAW, ini tidak bermakna tidak boleh berdoa dengan doa tersebut. Kami melihat doa tersebut mempunyai lafaz yang baik dan tidak bercanggah dengan usul syariat. Di samping itu,tidak ada unsur-unsur syirik di dalam doa tersebut. Bahkan di dalam doa tersebut terkandung nama-nama Allah. Ini bertepatan dengan apa yang Allah SWT firmankan :

وَلِلَّـهِ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ فَٱدْعُوهُ بِهَا

Maksudnya : “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu…”

(Surah Al-‘Araf : 180)

Di samping doa ini, terdapat juga doa-doa lain yang warid daripada Nabi SAW. Di antaranya doa :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya : “Wahai Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Riwayat Abu Daud (1554), al-Nasa'ie (5493), Ahmad (13027).

Kami juga pernah mengulas berkenaan dengan doa menolak wabak di dalam ruangan Irsyad Al-Hadith siri ke 269.[1]

Kesimpulannya, doa tersebut tidak warid daripada Nabi SAW dan tidak boleh menyandarkan doa tersebut kepada Nabi SAW. Akan tetapi, tidak mengapa untuk berdoa dengan lafaz tersebut kerana di samping mempunyai makna yang baik, ia juga tidak bercanggah dengan usul syariat.

Semoga Allah menghilangkan wabak yang sedang melanda negara kita dengan segera. Perbanyakkan zikir dan doa kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT melindungi kita semua. Wallahu’alam.

 

[1] Rujuk pautan https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2433-irsyad-al-hadith-siri-ke-269-doa-menolak-wabak-ebola