Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IH 500

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya hendak bertanya tentang status hadis yang pernah saya dengar dari seseorang.Hadis tersebut menyatakan ‘Mesir adalah anak panah Allah di atas muka bumi. Musuh yang masuk pastinya akan dihancurkan oleh Allah’. Saya ada terdengar berdasarkan hadis inilah Mesir dikenali sebagai bumi kinanah. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Seperti sedia diketahui, setiap apa yang dinisbahkan kepada Nabi SAW harus diteliti dan dipastikan terlebih. Ianya supaya tidak melakukan pembohongan terhadap Nabi SAW. Nabi SAW bersabda :

لَا تَكْذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجْ النَّارَ

Maksudnya : “Jangan berbohong menggunakan namaku. Sesiapa yang menipu menggunakan namaku maka rasakanlah jilatan api neraka.”

Riwayat Al-Bukhari (106)

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda :

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Maksudnya : “Sesiapa yang menipu atas aku maka tempahlah (tersedialah) tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat Al-Bukhari (107)

Kesemua ini adalah satu ancaman daripada Nabi SAW bagi sesiapa yang cuba-cuba untuk mereka-reka dan memanipulasi sabdaan sehingga sehingga sanggup berbohong menggunakan nama Nabi SAW.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, matan asal bagi hadis yang dinyatakan adalah seperti berikut :

مِصْرُ كِنَانَةُ اللَّه فِي أَرْضِهِ، مَا طَلَبَهَا عَدُوٌّ إِلا أَهْلَكَهُ اللَّه

Maksudnya : “Mesir adalah ‘bekas anak panah’ Allah di atas muka bumi-Nya. Tiada musuh yang memintanya melainkan Allah akan menghancurkan musuh tersebut.”

Setelah kami meneliti matan tersebut, kami dapati bahawa kebanyakan para ulama mengatakan bahawa hadis yang dinyatakan itu adalah hadis yang palsu.

Imam Al-Suyuti menyebut berkenaan hadis tersebut :

لَا أَصْلَ لهُ

Maksudnya : “ Tiada asal bagi hadis tersebut.” (Rujuk Al-Durar Al-Muntathirah Fi Al-Ahadith Al-Musytaharah,1/395)

Imam Badruddin Al-Zarkasyi menyebut :

لم اجده بل انما ورد في الشام كذا رواه ابن الحسن علي بن محمد بن شجاع الربعي في كتاب فضائل الشام من جهة المسعودي عن عون عن عبد الله بن عتبة قال فيما انزل الله على بعض الانبياء ان الله تعالى يقول الشام كنانتي فإذا غضبت على قوم رميتهم منها بسهم

Maksudnya :“Tidak aku dapati (asal bagi hadis tersebut) bahkan ia sebenarnya merujuk kepada syam sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Al-Hasan Ali Bin Muhammad Bin Syuja’ Al-Rib’i dalam kitab Fadhail Al-Syam (kelebihan-kelebihan tanah Syam) daripada jalan Al-Mas’udi daripada ‘Aun daripada Abdullah Bin ‘Utbah beliau berkata bahawa Allah menurunkan (wahyu) kepada sebahagian Nabi bahawa Allah SWT berfirman : Syam adalah kinanah ku (bekas anak panahku). Apabila Aku marah pada satu kaum maka aku akan lontarkan panah daripada bekas tersebut.” (Rujuk Al-Laali Al-Manthurah Fi Al-Ahadith Al-Masyhurah, 1/58).

Imam Abu Abdillah Al-Sakhawi menyatakan :

لم أره بهذا اللفظ في مصر

Maksudnya : “ Tidak aku lihat adanya lafaz hadis seperti ini berkenaan kelebihan Mesir.” (Rujuk Maqasid Al-Hasanah Fi Al-Ahadith Al-Musytaharah ’Ala Al-Alsinah, 1/6090)

Sheikh Al-Mar’i Bin Yusuf Al-Karami menyebut bahawa hadis tersebut tiada asalnya. (Rujuk Al-Fawaid Al-Maudhu’ah Fi Al-Ahadith Al-Maudhu’ah ,1/108).

Mulla Ali Al-Qari menyebut :

موضوع مبناه وإن كان صحيحا عندنا معناه

Maksudnya : “Lafaz tersebut adalah lafaz yang palsu walaupun maknanya sahih di sisi kami.” (Rujuk Al-Asrar Al-Marfuah Fi Al-Akhbar Al-Maudhu’ah, 1/317).

Ini bermakna walaupun dari sudut maknanya betul akan tetapi tidak boleh dinafikan bahawa lafaz tersebut adalah lafaz yang palsu dan ianya satu jenayah yang besar apabila lafaz yang palsu disandarkan kepada Nabi SAW. Bahkan kami dapati bahawa hadis tersebut tidak dinukilkan di dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Ini menjelaskan lagi tanda kepalsuan hadis tersebut.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa Mesir terdapat kelebihan dan negeri ini pernah disebutkan oleh Nabi SAW di dalam hadis-hadis yang sahih. Di antaranya yang diriwayatkan daripada Abu Zar RA bahawa Nabi SAW bersabda :

إِنَّكُمْ سَتَفْتَحُونَ مِصْرَ وَهِىَ أَرْضٌ يُسَمَّى فِيهَا الْقِيرَاطُ فَإِذَا فَتَحْتُمُوهَا فَأَحْسِنُوا إِلَى أَهْلِهَا فَإِنَّ لَهُمْ ذِمَّةً وَرَحِمًا

Maksudnya : “Kalian nanti akan membebaskan Mesir. Ia merupakan tanah yang dinamakan sebagai Al-Qiroth. Apabila kalian membebaskan Mesir maka berlaku baiklah kepada penduduknya kerana mereka mempunyai hak dan kehormatan serta mempunyai mempunyai pertalian (kerana Hajar ibu bagi bangsa Arab berasal dari Mesir).”

Riwayat Muslim (6586)

Kesimpulannya, lafaz hadis yang disebutkan adalah lafaz yang palsu dan tidak boleh dinisbahkan sama sekali kepada Nabi SAW. Semoga Allah memelihara lidah dan tangan kita daripada melakukan pembohongan terhadap Nabi SAW. Wallahu’alam.