Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IFR158

Soalan:

Apakah hukumnya memakai contact lens semasa berpuasa? Adakah ia dikira sebagai memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka maka membatalkan puasa?

Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan daripada Anas R.A:

أنه كان يكتحل وهو صائم

Maksudnya: “Bahawasanya adalah dia yakni Anas bercelak padahal ketika itu dia sedang berpuasa”

Riwayat Abu Daud (2378)

Berdasarkan hadis di atas, di sisi mazhab Syafie, para ulama’ mengatakan hukum bercelak bagi orang yang berpuasa adalah harus dan tidak membatalkan puasa kerana mata bukan termasuk di dalam rongga yang terbuka.

Hal ini kerana di antara perkara yang membatalkan puasa adalah dengan memasukkan sesuatu ke rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut) melalui ruang yang sedia terbuka  (manfaz maftuh) iaitu mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. Rongga itu samada ia mempunyai kuasa memproses makanan dan ubat ataupun tidak. Sekiranya memasukkan sesuatu melaluinya sehingga sampai ke rongga dalam badan maka terbatal puasanya. Adapun mata tidak termasuk di dalam apa yang dikatakan rongga itu. (Lihat: al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181)

Berkata Imam Nawawi: “Dan diharuskan untuk bercelak berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Anas bahawasanya beliau bercelak ketika berpuasa kerana mata bukannya rongga yang terbuka, maka tidak batal puasa dengan apa yang sampai melaluinya (mata)”. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 6/361).

Berkata Imam Ibn Hajar al- Haitami:  “Dan hendaklah menahan diri daripada menyampaikan sesuatu ke dalam rongga yang disebut sebagai perut, kerana orang melakukan hal tersebut tidak dinamakan mumsik (orang yang menahan dirinya), berbeza halnya dengan sampainya kesan seperti rasa (makanan) dan bau yang dihidu, contohnya seperti masuknya asap kayu gaharu ke dalam perut sekalipun dengan sengaja, maka hal itu tidak membatalkan puasa”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 3/400-401).

Kesimpulan

Justeru, hukum memakai kanta lekap ketika berpuasa diqiyaskan kepada hukum bercelak iaitu harus dan tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana mata tidak termasuk di dalam rongga yang terbuka dan ianya bukan satu bentuk perbuatan makan dan minum. Hatta dalam keadaan sekiranya ketika seseorang memakainya (kanta lekap), terdapat cecair yang mengalir daripada ubat kanta lekap yang mungkin masuk ke dalam rongga mata maka ia tetap tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana jika yang sampai di kerongkong itu hanya rasanya dan bukannya cecair itu, jika ditelan tidak membatalkan puasa, kerana rasa itu adalah kesan dan tidak dinamakan ‘ain. Wallahu a’lam.