Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IFramadhan162

Assalamualaikum, saya seorang mualaf yang memeluk Islam pada pertengahan bulan Ramadhan tahun lepas. Saya ingin bertanya berkenaan dengan puasa ketika saya memeluk islam iaitu pada waktu siang di bulan ramadhan dan saya tidak berpuasa pada hari tersebut dan sebelumnya ketika saya belum memeluk islam. Adakah saya perlu menggantikan puasa pada hari tersebut dan sekiranya saya tidak sempat untuk ganti pada tahun ini adakah saya dikenakan fidyah sebab ada juga yang kata tak perlu ganti puasa pada hari yang saya masuk islam. Mohon penjelasan. Terima kasih

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kelebihan yang dikurniakan kepada sesiapa yang memeluk Islam adalah diampunkan segala dosa dan kesalahannya ketika ia belum memeluk Islam. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri RA

إِذَا أَسْلَمَ الْعَبْدُ فَحَسُنَ إِسْلاَمُهُ يُكَفِّرُ اللَّهُ عَنْهُ كُلَّ سَيِّئَةٍ كَانَ زَلَفَهَا

Maksudnya: Apabila seseorang itu memeluk Islam, lalu Islamnya baik, maka dihapuskan oleh Allah SWT daripadanya setiap keburukan yang dilakukannya pada masa lalu.

Riwayat al-Bukhari (14)

Ibnu Hajar menjelaskan bahawa Islamnya menjadi baik dengan niat dan keikhlasanya serta dia memeluk Islam secara zahir dan batin, (Lihat Fath al-Bari, 1/99)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, Islam merupakan syarat utama dalam menentukan sahnya sesuatu ibadah, begitu juga dengan ibadah puasa di antara syarat sah puasa adalah Islam. Dan tidak diwajibkan serta tidak sah sekiranya golongan bukan Islam melakukan ibadah puasa.

Ini seperti yang dinyatakan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, bahawa seseorang itu selagi tidak memeluk Islam amalan dan tuntutan berpuasa tidak memberi maksud bagi mereka. Namun, di hari akhirat mereka tetap diberi balasan kerana kekufuran dan meninggalkan perkara yang dituntut oleh agama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/79)

Hukum Qada Puasa Apabila Memeluk Islam

Dalam membincangkan berkenaan hal ini, sekiranya seseorang itu memeluk Islam pada siang hari bulan Ramadhan, maka tidak wajib baginya untuk menggantikan puasanya pada hari tersebut dan hari sebelumnya. Ini kerana Allah SWT telah mengampunkan segala kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka sebelum itu.

Firman Allah SWT:

قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوا إِن يَنتَهُوا يُغْفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ وَإِن يَعُودُوا فَقَدْ مَضَتْ سُنَّتُ الْأَوَّلِينَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.

(Surah al-Anfal, 38)

Imam Nawawi menyebut, adapun golongan kafir asli tidak dituntut berpuasa bagi mereka dalam keadaan mereka kafir kerana tidak sah puasanya. Namun sekiranya mereka memeluk Islam tidak wajib bagi mereka untuk menggantikannya apa yang telah lepas. Ini seperti Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal, ayat 38. Dan ini kerana apabila mereka diwajibkan qada apa yang telah lalu akan menjauhkan mereka daripada Islam. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/252)

Begitu juga Imam Khatib al-Syirbini menyebut para ulama bersepakat (Ijma’) tidak wajib bagi orang bukan Islam mengqada puasanya supaya mereka tidak menghindari dirinya daripada Islam. (Lihat, Mughni al-Muhtaj, 2,170)

Selain itu, Dr. Wahbah Zuhaili menyebut, dan sekiranya diwajibkan ke atas mereka untuk menggantikan puasa yang lalu iaitu semasa mereka dalam keadaan kafir akan menyebabkan mereka menghindari daripada memeluk Islam. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1664)

Hukum Berpuasa dan Qada Bagi Mereka Yang Memeluk Islam pada Siang Hari Ramadhan

Seseorang yang memeluk Islam pada waktu siang di Bulan Ramadhan, para fuqaha’ berbeza pandangan berkenaan dengan menggantikan puasa dan kewajipan ke atasnya untuk meneruskan puasa pada hari tersebut.

Imam Nawawi menyebut, mengikut pandangan penulis (al-Muhazzab) dan ulama Iraq berpendapat, sesungguhnya orang gila apabila ia sedar, orang kafir apabila ia memeluk Islam dan kanak-kanak apabila ia baligh pada siang bulan Ramadhan, dan mereka dalam keadaan tidak berpuasa maka disunatkan bagi mereka menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa pada hari tersebut.

Imam al-Nawawi menyebut lagi, dan dalam hal adakah wajib menggantikannya terdapat dua pandangan, mengikut pendapat yang sahih di dalam mazhab adalah seperti yang dinyatakan oleh al-Buwaiti dan Harmalah, iaitu tidak wajib menggantikannya. Dan mengikut pandangan Ibnu Suraij wajib menggantikannya. Dan penulis (al-Muhazzab) menyebutkan dalil kesemua pendapat, sekiranya kanak-kanak itu baligh dan ia sedang berpuasa pada waktu siang Ramadhan maka ia perlu menyempurnakan puasanya seperti mana yang dinyatakan. Ini merupakan pendapat yang asoh dengan Ittifaq (sepakat) ashab Syafi’e. Berkenaan dengan hal ini, tidak perlu ia menggantikan puasanya.

 (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/256)

Imam Khatib al-Syirbini menyatakan, Apabila seseorang itu memeluk Islam pada siang hari Ramadhan, maka tidak perlu menggantikan puasa pada hari itu dan ini merupakan pendapat yang asoh. Ianya disebabkan kerana tidak mencukupi masa untuk menunaikan puasanya. Dan untuk menyempurnakan puasanya pada hari tesebut adalah tidak mungkin, ini seperti apabila seseorang itu sempat masuk pada awal waktu dalam tempoh satu rakaat kemudian ia gila. Pada pandangan yang kedua iaitu wajib menggantikan puasa pada hari tersebut kerana ia memasuki sebahagian daripada waktu yang difardhukan. Dan ia tidak mungkin menyempurnakan puasanya dengan satu hari pada hari itu, maka wajib menggantikannya pada hari yang lain. Mengikut pendapat yang asoh tidak perlu bagi mereka menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa pada baki hari tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/170)

Dr Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya berkenaan dengan masalah ini menyatakan, dan sekiranya seseorang itu memeluk Islam pada waktu siang bulan Ramadhan dan ia dalam keadaan tidak berpuasa maka disunatkan baginya untuk menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa pada hari tersebut bagi menghormati waktu iaitu bulan Ramadhan. Dan bukan menjadi satu kewajipan kepadanya untuk berpuasa dan tidak wajib menggantikan puasa pada hari tersebut. Ini sepertimana seseorang itu masuk pada awal waktu solat dengan kadar satu rakaat kemudian ia gila, maka tidak wajib baginya untuk melakukan solat dan menggantikannya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/169)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan pandangan para fuqaha’, dapat kami simpulkan bahawa seseorang yang memeluk islam pada siang hari di bulan Ramadhan seperti berikut

  • Tidak diwajibkan baginya untuk qada pada hari ia memeluk Islam dan hari sebelumnya iaitu pada hari sebelum ia memeluk Islam.
  • Disunatkan ke atasnya untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa pada hari ia memeluk Islam

Justeru dengan keislamannya sudah cukup untuk Allah SWT mengampunkan kewajipan yang ditinggalkannya sebelum ia memeluk Islam. Oleh itu, beruntunglah bagi mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT untuk menerima Islam. Ini sepertimana Firman-Nya:

وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّـهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَـٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّـهُ

Maksudnya: dan mereka pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya);

(Surah al-A’raf, 43)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan