Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IF RAMADHAN 167

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Semasa solat terawih, imam telah membaca satu ayat yang sangat panjang di dalam al-Quran iaitu ayat 282 daripada surah al-Baqarah. Akan tetapi beliau telah membahagikannya kepada empat rakaat solat terawih. Soalan saya, adakah perkara tersebut dibolehkan serta adakah dia mendapat pahala sunat sekalipun tidak membaca ayat tersebut secara lengkap? Mohon pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Membaca al-Quran adalah merupakan suatu ibadah. Pada setiap ayat dan kalimahnya ada pahala dan ganjaran buat sesiapa yang membacanya. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :

منْ قرأَ حرفًا من كتابِ اللهِ فله به حسنةٌ، والحسنةُ بعشرِ أمثالِها لا أقولُ: آلم حرفٌ، ولكنْ ألِفٌ حرفٌ وميمٌ حرفٌ

Maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan : Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.” Riwayat al-Tirmizi (2910)

Begitu juga, membaca surah dan ayat-ayat al-Quran selepas surah al-Fatihah adalah merupakan perkara sunat dan menyempurnakan lagi pahala solat. Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah bahawa :

كانَ النبيُّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَقْرَأُ في الرَّكْعَتَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ والعَصْرِ بفاتِحَةِ الكِتابِ، وسُورَةٍ سُورَةٍ، ويُسْمِعُنا الآيَةَ أحْيانًا.

Maksudnya : “Nabi SAW membaca di dalam dua rakaat (yang pertama) solat Zohor dan Asar surah al-Fatihah dan surah surah (iaitu di rakaat pertama dan kedua), serta baginda kadang-kadang memperdengarkan kami ayat (yang dibacanya).” Riwayat al-Bukhari (762) dan Muslim (451)

Membahagikan satu ayat yang panjang kepada beberapa rakaat solat

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, secara umumnya tiada larangan bagi seseorang itu untuk membahagi-bahagikan satu surah, mahupun satu ayat kepada beberapa bahagian untuk dibaca di dalam rakaat solatnya selagimana maknanya masih lagi sempurna. Lebih-lebih lagi, sekiranya ayat tersebut sangat panjang seperti ayat hutang di dalam surah al-Baqarah yang mana sehingga memenuhi satu muka surat.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada Ahmad al-Nafrawi al-Maliki bahawa :

بَعْدَ قِرَاءَةِ أُمِّ الْقُرْآنِ تَقْرَأُ بَعْدَهَا... شَيْئًا مِنْ الْقُرْآنِ وَلَوْ آيَةً قَصِيرَةً كَذَوَاتَا أَفْنَانٍ أَوْ مُدْهَامَّتَانِ أَوْ بَعْضَ آيَةٍ طَوِيلَةٍ كَآيَةِ الدَّيْنِ، وَالْأَفْضَلُ سُورَةٌ كَامِلَةٌ

Maksudnya : “Selepas membaca surah al-Fatihah, bacalah selepasnya… sesuatu daripada (ayat-ayat) al-Quran sekalipun ayat yang pendek seperti { ذَوَاتَا أَفْنَانٍ } atau { مُدْهَامَّتَانِ } atau sebahagian ayat yang panjang seperti ayat hutang (iaitu ayat 282 surah al-Baqarah). Dan adalah lebih baik (membaca) surah secara sempurna (lengkap).” (Lihat al-Fawakih al-Dawani, 1/178)

Begitu juga, Syeikh Sulaiman al-Bujairami jelas menyatakan bahawa :

 وَيَحْصُلُ أَصْلُ السُّنَّةِ بِقِرَاءَةِ شَيْءٍ مِنْ الْقُرْآنِ وَظَاهِرُهُ وَلَوْ كَلِمَةً وَفِيهِ نَظَرٌ. وَيَنْبَغِي اشْتِرَاطُ الْفَائِدَةِ... لَوْ قَرَأَ بَعْضَ آيَةٍ حَصَلَ أَصْلُ السُّنَّةِ وَهُوَ مُحْتَمَلٌ إذَا كَانَ مُفِيدًا كَالْآيَةِ الْقَصِيرَةِ الْمُفِيدَةِ

Maksudnya : Asal pahala sunat (selepas bacaan al-Fatihah) diperoleh dengan membaca sesuatu daripada (ayat-ayat) al-Quran dan secara zahirnya sekalipun (membaca) satu kalimah tetapi padanya ada pertikaian. Dan mestilah meletakkan syarat bahawa ia bermanfaat (memberi makna)… Sekiranya membaca sebahagian ayat, juga mencapai (memperoleh) asal pahala sunat dan ia membawa maksud sekiranya memberi makna sepertimana ayat-ayat pendek yang memberi makna.” (Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 2/68)

Imam Ibn Hajar al-Haitami juga ada menyebutkan bahawa :

وَيَحْصُلُ أَصْلُ سُنَّتِهَا بِآيَةٍ بَلْ بِبَعْضِهَا إنْ أَفَادَ عَلَى الْأَوْجَهِ وَالْأَفْضَلُ ثَلَاثٌ وَسُورَةٌ كَامِلَةٌ أَفْضَلُ مِنْ بَعْضِ طَوِيلَةٍ

Maksudnya : “Asal pahala sunatnya (bacaan al-Quran selepas al-Fatihah) diperoleh dengan hanya (membaca) satu ayat. Bahkan sebahagiannya (daripada ayat tersebut) sekiranya bermanfaat (memberi makna). Namun, adalah lebih baik (membaca) tiga ayat. Dan (membaca) satu surah secara sempurna  adalah lebih baik berbanding membaca sebahagian ayat surah yang panjang.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/51-52)

Oleh itu, kami berpendapat bahawa tidak mengapa membahagikan satu ayat yang panjang kepada beberapa bahagian untuk dibaca di dalam rakaat solat dan tetap mendapat pahala sunat sekalipun hanya membaca sebahagian daripadanya. Tetapi dengan syarat mesti ia memberi makna yang dapat difahami.

Walau bagaimanapun, perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan perkara yang lebih utama daripadanya (Khilaf Aula) iaitu menyempurnakan bacaan ayat tersebut di dalam satu rakaat tanpa memotongnya. Hal ini kerana setiap ayat itu maknanya saling berkait antara satu sama lain. Dengan memotong atau membahagikannya kepada beberapa bahagian kebiasaannya akan menyebabkan maknanya tidak lagi tepat dan menyeluruh sebagaimana yang dikehendaki pada asalnya. Oleh sebab itu, para ulama terdahulu berpendapat bahawa membaca satu surah secara sempurna (lengkap) adalah lebih baik berbanding membaca sebahagiannya sahaja di dalam rakaat solat kerana ia lebih selamat dan berhati-hati dalam menjaga perkaitan dan topik yang dibawakan di dalam ayat-ayat al-Quran sebagaimana yang difahami menerusi kata-kata Imam al-Nawawi. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/174)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami meyimpulkan bahawa kami berpendapat tidak mengapa membahagikan satu ayat yang panjang kepada beberapa bahagian untuk dibaca di dalam rakaat solat dengan syarat ia memberi makna yang difahami. Dan itu sudah memadainya untuk memperoleh pahala sunat tersebut.

Namun, perbuatan tersebut bertentangan dengan perkara yang lebih utama dan afdhal daripadanya (Khilaf Aula), iaitu menyempurnakan bacaan ayat tersebut di dalam satu rakaat tanpa memotongnya kerana ia lebih selamat dan berhati-hati dalam menjaga maknanya yang saling berkait antara satu sama lain.

Cukup kata-kata seorang lelaki Ansar ini menjadi renungan kita bersama. Diceritakan bahawa lelaki Ansar ini telah dipanah ketika sedang menunaikan solat dan sahabatnya (lelaki Muhajirin) pula ketika itu sedang tidur. Apabila lelaki Muhajirin itu bangun dan melihat tubuh sahabatnya (lelaki Ansar tadi) berlumuran darah, lalu dia berkata : “Subhanallah, mengapa engkau tidak membangunkanku saat dia mula-mula memanahmu?” Jawab lelaki Ansar tersebut :

كُنْتُ في سورةٍ أقرَؤُها، فلم أحِبَّ أنْ أقطَعَها

Maksudnya : “Ketika itu, aku sedang membaca satu surah dan aku tidak suka memotong bacaan tersebut (menghentikannya).” Riwayat Abu Daud (198)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam mengamalkan kehidupan beragama. Ameen.