IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-609 : PERLUKAH MENGGANDAKAN SUJUD SAHWI JIKA TERTINGGAL LEBIH DARIPADA SATU SUNAT AB’ADH ATAU TERSILAP DALAM SOLAT?

WhatsApp Image 2021 09 06 at 15.25.28

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, perlukah saya menggandakan sujud sahwi jika sekiranya saya terlupa lebih daripada satu sunat ab’adh atau tersalah dalam solat, contohnya saya tertinggal doa qunut  dalam solat Subuh dan sujud sahwi sebanyak tiga kali?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Sujud sahwi ialah sebanyak dua kali sujud walaupun seseorang melakukan banyak sebab-sebab yang disunatkan ke atasnya sujud sahwi. Oleh itu, tidak perlu untuk dia menggandakan sujud sahwi mengikut bilangan kesilapan yang dilakukannya di dalam solat. Contohnya jika seseorang meninggalkan doa qunut dalam solat subuh dan syak tentang bilangan rakaat yang dia telah laksanakan, maka dia hanya perlu untuk sujud sahwi sebanyak dua kali sujud sahaja dan tidak perlu menambah lebih daripada itu. Ini kerana sujud sahwi yang dilakukannya tersebut sudah menampung semua sebab-sebab lain bagi solatnya tersebut.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Sujud sahwi sunat dilakukan apabila meninggalkan sunat ab’adh dalam solat, syak terhadap bilangan rakaat solat, melakukan sesuatu perkara yang dilarang dalam solat tanpa sengaja dan melakukan kesilapan sama ada perkara rukun atau sunat ab’adh atau bentuk solat bukan pada tempat yang sepatutnya.[1] (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 1:172-173)

Oleh yang demikian, jika seseorang melakukan salah satu daripada sebab-sebab di atas maka disunatkan baginya untuk sujud sahwi sebanyak dua kali sujud. Namun begitu, timbul persoalan jika seseorang melakukan lebih daripada satu daripada sebab-sebab yang disebutkan, adakah perlu baginya untuk menggandakan sujud sahwi sebanyak mana sebab-sebab yang telah dilakukannya?

Dalam hal ini Imam al-Khatib al-Syarbini menjelaskan bahawa sujud sahwi hanya dua kali sujud sahaja walaupun banyaknya sebab-sebab sujud sahwi yang dilakukan seseorang. Beliau menyatakannya di dalam kitab al-Iqna’ bahawa:

 (وَسُجُود السَّهْو) وَإِن كثر السَّهْو (سَجْدَتَانِ) لاقتصاره صلى الله عَلَيْهِ وَسلم عَلَيْهِمَا فِي قصَّة ذِي الْيَدَيْنِ مَعَ تعدده فَإِنَّهُ صلى الله عَلَيْهِ وَسلم سلم من ثِنْتَيْنِ وَتكلم وَمَشى لِأَنَّهُ يجْبر مَا قبله وَمَا وَقع فِيهِ وَمَا بعده حَتَّى لَو سجد للسَّهْو ثمَّ سَهَا قبل سَلَامه بِكَلَام أَو غَيره أَو سجد للسَّهْو ثَلَاثًا سَهوا فَلَا يسْجد ثَانِيًا لِأَنَّهُ لَا يَأْمَن وُقُوع مثله فِي السُّجُود ثَانِيًا فيتسلسل.

Maksudnya: Sujud sahwi adalah sebanyak dua kali walaupun banyaknya tertinggal atau tersilap kerana Rasulullah SAW hanya melakukan sujud sebanyak dua kali dalam kisah Dzulyadain walaupun berbilang-bilang (sebab yang memerlukan sujud sahwi). Hal ini apabila Rasulullah SAW hanya mendirikan dua rakaat (dalam solat yang sepatutnya empat rakaat), kemudian Rasulullah SAW juga bercakap dan berjalan. Ini kerana semua sebab itu telah ditampung dengan dua sujud sahwi tersebut, sama ada berlaku sebelum, semasa atau selepas sujud sahwi itu.

Meskipun jika seseorang yang telah sujud sahwi kemudian dia terlupa lalu bercakap atau melakukan perbuatan lain sebelum salam atau dia sujud sahwi sebanyak tiga kali sujud, maka dia tidak perlu untuk sujud sahwi buat kali kedua. Hal ini kerana tidak dapat dipastikan bahawa dia tidak akan terlupa bagi sujud sahwi yang seterusnya, lalu tidak berkesudahan.[2] (Rujuk al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, 1:160)

Begitu juga, Imam al-Bujairimi menerangkan tentang kata-kata Imam al-Khatib al-Syarbini itu dalam Hasyiah-nya dengan berkata:

قَوْلُهُ: (وَإِنْ كَثُرَ السَّهْوُ) سَوَاءٌ كَانَ بِزِيَادَةٍ أَوْ نَقْصٍ أَوْ بِهِمَا، وَيُجْبَرُ جَمِيعُ الْخَلَلِ إنْ قَصَدَهُ أَوْ أَطْلَقَ، فَإِنْ قَصَدَ جَبْرَ بَعْضٍ حَصَلَ جَبْرُهُ وَفَاتَ جَبْرُ غَيْرِهِ وَلَا يُكَرِّرُهُ لَهُ

Maksudnya: Kata pengarang (Imam al-Syarbini): “Walaupun banyak tertinggal atau tersilap”, sama ada ia dengan menambah perbuatan atau mengurangkan atau kedua-duanya sekali, maka ditampung semua kesilapan tersebut tidak kira ia dilakukan dengan sengaja sama ada dia meniatkannya atau secara mutlak sahaja (niatnya). Jika seseorang berniat sujud sahwinya untuk menampung sebahagian kesilapan sahaja, maka ditampung yang diniatkan tersebut dan tidak pada lainnya, serta tidak perlu diulang sujud tersebut baginya.[3] (Rujuk Hasyiah al-Bujairimi ala Syarh al-Khatib, 2:112)

Kesimpulannya, jika seseorang melakukan lebih daripada satu sebab yang disunatkan baginya untuk sujud sahwi, maka cukup untuk dia melakukannya dengan dua kali sujud sahaja. Tidak perlu baginya untuk menggandakan sujud sahwi tersebut mengikut bilangan kesilapan yang telah dilakukannya di dalam satu solat. Contoh jika sekiranya dia meninggalkan doa qunut dalam solat subuh dan syak tentang bilangan rakaat yang dia telah laksanakan, maka dia hanya perlu untuk sujud sahwi sebanyak dua kali sujud sahaja dan tidak perlu menambah lebih daripada itu. Ini kerana sujud sahwi yang dilakukannya tersebut sudah menampung semua sebab-sebab yang dilakukannya di dalam solat.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[2] Al-Syarbini, al-Khatib, t.t, al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 160.

[3] Al-Bujairimi, Sulaiman, 1995, Hasyiah al-Bujairim ‘ala Syarh al-Khatib, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 2 hlmn. 112.


Cetak   Emel