Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE-5: PERBEZAAN DI ANTARA FIQH DAN USUL AL-FIQH DALAM PENGAPLIKASIAN HUKUM

Soalan:

Assalamualaikum S.S Mufti, apakah perbezaan di antara fiqh dan usul al-fiqh dari sudut pengaplikasian hukum ?

Jawapan:

Waalaikumussalam warahmatullah. Perbezaan di antara usul al-fiqh dan juga fiqh dapat dikenalpasti dengan cara mengetahui definisi keduanya terlebih dahulu.

 

Definisi Feqh:

Feqh dari sudut syarak membawa maksud: Ilmu berkenaan hukum-hakam syarak yang bersifat amaliyah (praktikal) yang diambil dari dalil-dalil tafsili (juz’ie). Rujuk Mukhtasar Ibn al-Lahham (Hlm. 31), Syarah al-Kaukab al-Munir (1/41).

Definisi Usul Al-Fiqh:

Usul al-fiqh dari sudut istilah bermaksud: Mengetahui dalil-dalil fiqh yang bersifat ijmali (kulliy), dan cara mengambil faedah daripadanya serta mengetahui keadaan seorang mustafid (mujtahid). Lihat Syarah al-Kaukab al-Munir (1/44).

 

Perbezaan Di Antara Usul Al-Fiqh Dan Juga Fiqh:

Di antara perbezaan feqh dan juga usul al-fiqh adalah seperti berikut:

Pertama: Feqh memberi tumpuan kepada dalil-dalil tafsili (juz’ie).

Manakala usul al-fiqh pula memberi tumpuan kepada dalil-dalil ijmali (kulliy). Dalil-dalil ijmali adalah dalil-dalil syarak yang disepakati dan juga dalil-dalil yang diperselisihi.

Kedua: Feqh adalah pengetahuan tentang hukum-hakam syarak dari sudut haram, wajib, sunat, makruh, dan juga mubah (harus). Dan kesemua hukum-hakam ini diambil daripada dalil-dalil tafsili bersumberkan al-Kitab dan juga al-Sunnah.

Sedangkan usul al-fiqh pula merupakan himpunan kaedah-kaedah yang menjelaskan kepada seorang faqih akan jalan yang wajib untuk dilaziminya dalam mengeluarkan hukum daripada dalil-dalilnya.

Ketiga: Isu yang dikaji dalam feqh adalah berkenaan perbuatan mukallaf. Justeru seorang ahli feqh ataupun faqih mengkaji berkenaan perbuatan mukallaf dari sudut jual belinya, sewa, pinjaman, solat, puasa, haji, zakat, dan semuanya yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf untuk diketahui hukum-hakam setiap perbuatan ini.

Sementara isu yang dikaji dalam usul al-fiqh pula adalah dalil-dalil syar’ie yang bersifat kulliy (ijmali). Maka seorang usuli mengkaji berkenaan qiyas dan juga kehujahannya, berkenaan ayat-ayat ‘am, ayat-ayat perintah, mutlak, muqayyad dan seumpamanya.

 

Contoh Perbezaan Di Antara Usul Feqh Dan Feqh

Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran:

وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ

Maksudnya: Dan dirikanlah Solat.

Surah al-Baqarah (43)

Berdasarkan ayat di atas, seorang faqih (ahli feqh) akan mengkaji berkenaan suatu perbuatan mukallaf iaitu solat serta hukumnya ke atas mukallaf.

Manakala seorang usuli (ahli usul feqh) pula akan mengkaji berkenaan ayat tersebut yang merupakan suatu ayat perintah seterusnya mereka membuat suatu kaedah usul:

الأَمْرُ لِلْوُجُوبِ إِلَّا أَنْ تصرفُهُ قَرِينَة

Maksudnya: “Kata perintah membawa kepada hukum wajib kecuali jika terdapat qarinah yang mengalihkan daripada wajib kepada sunat.”

Maka seorang faqih menggunakan kaedah yang telah disediakan oleh para ulama usul feqh ini lalu mengatakan: Hukum mendirikan solat bagi seorang mukallaf adalah wajib.

Justeru, seorang ahli usul feqh menyediakan kaedah untuk ahli feqh dalam mengeluarkan hukum. Manakala seorang ahli feqh (faqih) akan melazimi kaedah-kaedah yang disediakan oleh ahli usul fiqh ini dalam proses pengeluaran hukum.

Akhir kalam, semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat membantu kita semua dalam memahami perbezaan di antara fiqh dan juga usul al-fiqh. Ameen.