Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

kafi 1722

Soalan:

Apakah hukum sebenar lelaki memakai gelang? Saya pernah mendengar seorang ustaz menyatakan, ada pandangan ulama menghukumnya sebagai makruh, bukan haram. Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

 

Pengharaman menyerupai jantina berlawanan

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لُبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لُبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya:  Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.

Sahih al-Bukhari (5435) dan Musnad Imam Ahmad (8309)

Syeikh Badr al-Din al-‘Aini pula mengulas hadith ini dengan kata beliau :

وتشبه الرِّجَال بِالنسَاء فِي اللبَاس والزينة الَّتِي تخْتَص بِالنسَاء مثل لبس المقانع والقلائد والمخانق والأسورة والخلاخل والقرط

Maksudnya : (Celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Rujuk ‘Umdah Al-Qari, Al-‘Aini 22/41)

Jelas daripada hadith ini bahawa adalah haram hukumnya bagi seseorang untuk memakai pakaian mahupun perhiasan yang khas bagi jantina yang berlawanan dengannya.

Dinyatakan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 11/267)

 

Hukum lelaki memakai gelang

Terdapat riwayat daripada ‘Imran Bin Husain R.A bahawa Nabi SAW pada suatu hari melihat seorang lelaki yang memakai gelang di tangannya. Lalu Nabi SAW bersabda:

مَا هَذِهِ الْحَلْقَةُ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ هَذِهِ مِنَ الْوَاهِنَةِ ‏.‏ قَالَ ‏"‏ انْزِعْهَا فَإِنَّهَا لاَ تَزِيدُكَ إِلاَّ وَهْنًا

Maksudnya: Gelang apakah ini ? Maka lelaki itu pun menjawab: Ini disebabkan penyakit. Lalu baginda bersabda: Tanggalkanlah ia kerana sesungguhnya ia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan.

Sunan Ibn Majah (3531)

Maka jelas daripada hadith di atas bahawa Nabi SAW memerintahkan supaya pemakaian gelang dengan tujuan dan keyakinan bahawa ia dapat menyembuhkan ditanggal dan dijauhkan kerana ia sama sekali tidak dapat memberi manfaat mahupun mengelakkan kemudaratan.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa jumhur ulama mengharamkan lelaki memakai gelang. Terdapat juga pandangan sebahagian ulama seperti Imam al-Ghazali yang memfatwakan keharusan gelang perak, kerana nas hanya menyebut pengharaman bekas makanan daripada perak dan pengharaman menyerupai wanita bagi lelaki. Namun pendapat yang lebih sahih ialah pandangan jumhur, bahawa memakai gelang ialah haram bagi lelaki.

Syeikh Zakariyya Al-Ansari pula menyebut bahawa diharuskan bagi seorang lelaki memakai cincin perak kerana mengikut (ittiba’) Rasulullah SAW, bahkan hukumnya adalah sunat, namun lelaki tidak boleh memakai gelang (al-siwar) dan tidak halal baginya, meskipun gelang tersebut diperbuat daripada perak. Hal ini kerana memakai gelang itu mempunyai unsur kewanitaan, dan ia tidak layak dan sesuai dengan sifat seorang lelaki. (Rujuk Fatawa Hujjah al-Islam Abu Hamid al-Ghazali, hlm. 30; Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/444 dan Asna Al-Matolib 1/379).

Ibnu Hajar Al-Haitami pula menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita ialah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki; adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Rujuk Al-Fatawa Al-Fiqhiyyah Al-Kubra, 1/261)

Ini juga dipersetujui oleh fuqaha’ mazhab Hanafi, dimana Imam Kamaluddin Ibn al-Hammam jelas menyebut bahawa tidak diharuskan bagi lelaki memakai perhiasan perak melainkan dengan cincin al-mantiqah (tali pinggang) dan hiasan pedang. Pandangan yang sama juga disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah al-Hanbali (Rujuk Syarh Fath al-Qadir 22/180 dan al-‘Umdah fi al-Fiqh 1/37)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, majoriti besar ulama mengharamkan pemakaian gelang untuk orang lelaki yang mewakili empat mazhab besar dalam fiqh Islami, dan pandangan yang mengharuskannya ialah pandangan yang ganjil.

Namun dalam isu ini terdapat beberapa pengecualian, antaranya ialah fatwa daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Negeri Sembilan akan keharusan pemakaian gelang atau rantai tangan bagi lelaki untuk tujuan perubatan atau rawatan berdasarkan keperluan dan hajat dengan syarat:

  1. Ia bukan diperbuat daripada emas, perak, suasa atau sutera (bagi lelaki).
  2. Tidak terdapat unsur najis padanya.
  3. Tidak mempercayai atau meyakini bahawa pemakaian gelang tangan tersebut boleh menyembuhkan penyakit tertentu kerana ia dikhuatiri boleh menjerumuskan seseorang kepada unsur khurafat yang boleh menjejaskan aqidah.
  4. Tidak menyebabkan kemudaratan kepada pemakainya.
  5. Mendapat perakuan daripada pakar perubatan yang beragama Islam dan telah terbukti secara saintifik bahawa ia merupakan antara kaedah rawatan yang berkesan dalam merawat penyakit.

Begitu juga dengan pemakaian jam tangan yang tidak boleh diqiyaskan hukumnya dengan gelang, kerana sifat kedua-duanya yang berbeza dan telah menjadi ‘uruf serta kebiasaan yang diterima oleh masyarakat Islam sebagai satu perkara yang dilazimi oleh lelaki dan wanita.

Wallahu a’lam.

 

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.