Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

ak1726

Soalan

Assalamualaikum. Mohon penjelasan daripada pejabat mufti berkenaan dengan waktu solat sunat Subuh. Adakah ia dilakukan sebelum masuknya waktu Subuh atau selepas masuk waktu Subuh. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Solat sunat fajar atau solat sunat Subuh merupakan ibadah sunat yang sangat dituntut melakukannya. Tidak dinafikan lagi terdapat pelbagai kelebihan dan ganjaran yang dijanjikan kepada sesiapa yang melakukannya. Ini seperti mana yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA, sabda Nabi SAW:

رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Maksudnya: Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya. 

Riwayat Muslim (725)

Solat sunat Subuh termasuk di dalam kategori solat sunat rawatib yang dilakukan sebelum solat fardhu bagi menampung kekurangan ketika melakukan solat fardhu seperti tidak khusyuk atau tidak mentadabbur ayat-ayat yang dibaca. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ala al-Khatib, 1/413-414)

Selain itu, kami juga menulis artikel berkenaan dengan kelebihan solat sunat Subuh dan artikel berkenaan dengan solat sunat rawatib. Oleh itu, untuk maklumat yang lebih mendalam boleh rujuk artikel yang bertajuk:

  • AL-KAFI 1029: SOLAT SUNAT RAWATIB YANG MU’AKKAD DAN TIDAK MU’AKKAD
  • IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-192: KELEBIHAN SOLAT SUNAT FAJAR

Waktu Solat Sunat Subuh

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, bagi menjelaskan berkenaan dengan waktu melakukan solat sunat Subuh, kami datangkan beberapa nas dan pendapat para fuqaha untuk memahaminya dengan lebih lanjut.

Dalam menjelaskan waktu solat sunat Subuh, Baginda SAW melakukannya setelah azan Subuh dan jelas masuknya waktu fajar. Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA, sabda Nabi SAW:

فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُ مِنْ صَلاَةِ الْفَجْرِ وَتَبَيَّنَ لَهُ الْفَجْرُ وَجَاءَهُ الْمُؤَذِّنُ قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ ثُمَّ اضْطَجَعَ عَلَى شِقِّهِ الأَيْمَنِ حَتَّى يَأْتِيَهُ الْمُؤَذِّنُ لِلإِقَامَةِ 

Maksudnya: Apabila muazzin selesai azan solat Subuh dan fajar telah nyata, muazzin pun menemui Baginda, lalu Baginda bangun bersolat sunat dua rakaat yang ringkas, kemudian Baginda mengiring atas lambung kanannya sehingga muazzin menemuinya lagi untuk iqamah.

Riwayat Muslim (736)

Selain itu di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abd al-Razaq, Sabda Nabi SAW:

لَا صَلَاةَ بَعْدَ طُلُوعِ اَلْفَجْرِ إِلَّا رَكْعَتَيْ اَلْفَجْرِ

Maksudnya; Tidak ada solat selepas terbitnya Fajar melainkan dua rakaat (Sunat) Fajar

Bulugh al-Maram (28)

Imam al-San’ani menyebut hadis di atas adalah dalil pengharaman solat sunat selepas terbitnya fajar sebelum menunaikan solat fardhu Subuh melainkan solat sunat fajar sahaja. (Lihat Subul al-Salam, 1/175)

Selain itu Imam al-Nawawi menjelaskan di dalam kitabnya bahawa pandangan ashab al-Syafi’e waktu masuk waktu solat sunat iaitu sebelum menunaikan solat fardhu dengan masuknya waktu solat fardhu itu. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/11)

Begitu juga sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Khatib al-Syirbini dan Syeikh Muhammad Umar al-Bantani, bahawa masuknya waktu solat sunat rawatib sebelum solat fardhu dengan masuknya waktu solat fardhu dan selepas melakukan solat fardhu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/457; Nihayah al-Zain, 1/101)

Dr. Wahbah Zuhaili menyebut dua rakaat sebelum solat fajar (Subuh) dan waktu keduanya adalah waktu solat Subuh. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2/1057)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan serta penjelasan daripada nas dan pendapat ulama yang diberikan dapat kami simpulkan bahawa waktu melakukan solat sunat Subuh adalah setelah masuknya waktu Subuh dan sebelum menunaikan solat fardhu Subuh.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan