IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-583 : HUKUM MENGEBUMIKAN JENAZAH PADA WAKTU MALAM

IF 583

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz berada dalam keadaan sihat sentiasa. Persoalan saya, apakah hukum mengebumikan jenazah pada waktu malam? Saya ada dengar yang kebumi jenazah waktu malam ini tidak dibenarkan. Mohon pencerahan ustaz. Maaf jika soalan saya ini menampakkan kejahilan saya.

Ringkasan jawapan :

Harus mengebumikan jenazah pada waktu malam. Jika ahli keluarga menangguhkan pengebumian sehingga waktu siang kerana ingin menunggu ahli waris yang lain atau supaya ramai yang boleh menunaikan solat ke atas jenazah, maka lebih baik dikembumikan pada siang hari. Namun, jika ahli keluarga takut sekiranya ditangguhkan pengebumian akan menyebabkan mudarat kepada jenazah, maka sebaiknya disegerakan. Semoga Allah mengurniakan pengakhiran hidup yang baik kepada kita semua.

Huraian jawapan :

Islam mengajarkan umatnya untuk menghormati manusia sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Oleh itu, Islam menuntut untuk mengebumikan mayat agar kehormatannya tetap terjaga. Ia juga bagi memastikan agar mayat tidak dirosakkan, bau tidak tersebar sehingga menarik perhatian binatang-binatang liar. Malahan, mengebumikan jenazah adalah salah satu fardu kifayah yang perlu ditunaikan dan tidak boleh ditinggalkan.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, harus mengebumikan jenazah pada waktu malam. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah. Beliau berkata :

‌رَأَى ‌نَاسٌ ‌نَارًا ‌فِي ‌الْمَقْبَرَةِ ‌فَأَتَوْهَا فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْقَبْرِ وَإِذَا هُوَ يَقُولُ: نَاوِلُونِي صَاحِبَكُمْ فَإِذَا هُوَ الرَّجُلُ الَّذِي كَانَ يَرْفَعُ صَوْتَهُ بِالذِّكْرِ

Maksudnya : “Orang ramai melihat (cahaya) api di kawasan perkuburan. Lantas mereka pergi ke kawasan perkuburan tersebut. Rupa-rupanya Rasulullah SAW berada di kawasan tersebut. Baginda bersabda : “Bantu saya kebumikan sahabat kalian ini. Beliau adalah seorang lelaki yang menguatkan suara ketika berzikir.[1]

Berdasarkan hadis di atas, para ulama menjadikan ia dalil tentang keharusan jenazah dikebumikan pada waktu malam, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi. Beliau menyatakan :

‌ويجوز ‌الدفن ‌ليلا

“Harus mengebumikan jenazah pada waktu malam”[2]

Al-Khatib Al-Syirbini juga menjelaskan dengan lebih terperinci :

(وَيَجُوزُ) بِلَا كَرَاهَةٍ (الدَّفْنُ لَيْلًا) لِأَنَّ عَائِشَةَ وَفَاطِمَةَ وَالْخُلَفَاءَ الرَّاشِدِينَ مَا عَدَا عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُمْ دُفِنُوا لَيْلًا، وَقَدْ فَعَلَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  كَمَا صَحَّحَهُ الْحَاكِمُ، وَلَا يَخْفَى أَنَّ الْكَلَامَ فِي مَوْتَى الْمُسْلِمِينَ

“Harus mengebumikan jenazah pada waktu malam tanpa ada kemakruhan pada perbuatan tersebut. Ini kerana ‘Aisyah, Fatimah dan para Khulafa’ Al-Rasyidin kesemuanya dikebumikan pada waktu malam melainkan Ali RA. Rasulullah SAW juga melakukannya seperti mana hadis yang telah dinilai sahih oleh Al-Hakim. Tidak syak lagi bahawa perbahasan tersebut adalah melibatkan jenazah orang Islam.”[3]

Ibn Hajar Al-Haitami juga menjelaskan perkara yang sama. Beliau menyatakan :

(‌وَيَجُوزُ ‌الدَّفْنُ ‌لَيْلًا) بِلَا كَرَاهَةٍ

“Harus mengebumikan jenazah pada waktu malam bukan makruh.”[4]

Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau terhadap hadis Sahih Muslim. Beliau menjelaskan bahawa keharusan mengebumikan jenazah pada waktu malam adalah berdasarkan beberapa riwayat hadis antaranya hadis wanita berkulit hitam serta riwayat hadis tentang seorang lelaki yang berada di masjid dan meninggal dunia pada waktu malam.

Namun,jika perbuatan mengebumikan jenazah pada waktu malam boleh menyebabkan orang ramai meninggalkan solat ke atas jenazah, kurangnya orang yang menunaikan solat ke atas jenazah atau tidak teliti ketika kafankan jenazah kerana ingin segera mengebumikan, maka ianya tidak dibenarkan seperti mana riwayat hadis yang lain.[5]

Kesimpulannya, harus mengebumikan jenazah pada waktu malam. Jika ahli keluarga menangguhkan pengebumian sehingga waktu siang kerana ingin menunggu ahli waris yang lain atau supaya ramai yang boleh menunaikan solat ke atas jenazah, maka lebih baik dikembumikan pada siang hari. Namun, jika ahli keluarga takut sekiranya ditangguhkan pengebumian akan menyebabkan mudarat kepada jenazah, maka sebaiknya disegerakan.

Nota hujung :

[1] Riwayat Abu Daud, no 3163, Sunan Abi Daud (2009), Dar Al-Risalah Al-‘Alamiyah, Beirut, j.5 h.65.

[2] Abu Zakariya Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Minhaj Al-Tolibin wa ‘Umdah Al-Muftin (2005), Dar Al-Fikr, Beirut, h.62

[3] Al-Khatib Al-Syarbini, Muhammad Bin Ahmad, Mughni Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz Al-Minhaj (1994), Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyah, Beirut, j.2 h.54.

[4] Ibn Hajar Al-Haitami, Tuhfah Al-Muhtaj fi Syarh Al-Minhaj (1983), Pencetakan Mustafa Muhammad, Mesir, j.3 h.194.

[5] Abu Zakariya Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim Bin Hajjaj (1972),Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabiy, Beirut, j.7 h.11.


Print   Email